Tuesday, April 21, 2009

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Bukanlah peralihan kuasa:
Tapi mengikut nasihat jua

Sebermula tersibarlah ke serata pelusuk negeri akan Orangkaya Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob itu diperintah oleh balai panjang nan tinggi membayar RM63 juta kepada syarikat pembalakan kerana bersalahan ia mengikut peraturan negeri. Maka gemparlah orang banyak dengan kejadian; apalagi belum pun satu purnama Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Orangkaya Perdana Menteri. Adapun di negeri Pahang itu sudah disebut-sebutlah anak tuan-tuan yang akan menjadi Orangkaya Menteri Besar. Oleh itu kejadian yang menimpa Dato' Seri Adnan samalah macam 'mati ayam, mati tungau' gerangannya.

Syahdan kejadian yang menimpa Orangkaya Dato' Seri Adnan dan Orangkaya Dato' Seri Ahmad Said di Terengganu disebut orang seolah-olah termas uk 'janji pembesihan' Orangkaya Dato' Seri Najib. Maka disebut-sebut orang banyak Orangkaya Dato' Seri Mohamad Hassan di Negeri Sembilan akan terkena tempias juga, adanya. Adapun peralihan kuasa harakah Melayu (UMNO) itu tak sama dengan raja mangkat. Maka tersebutlah perkataan Sultan Mahmud raja Pahang yang tua itu, telah mati. Maka tinggal anakanda baginda tiga orang lelaki, Sultan Abdul Jamil seorang namanya, Raja Muzaffar seorang namanya, Raja Ahmad seorang namanya.

Arakian maka Sultan Abdul Jamil menitahkan Seri Wangsa Diraja menghadap ke Melaka membawa rahap dan memberitahu akan ayahanda baginda sudah mangkat itu. Maka tak disebut orang peralihan kuasa. Sebermula surat pun diarak ke perahu. Maka Seri Wangsa Diraja pergilah ke Melaka. Syahdan Sultan Mahmud pun tiada nobat tujuh hari. Maka Seri Dewa Raja disuruh baginda ke Pahang menabalkan Sultan Abdul Jamil. Maka terlalulah gembira Sultan Abdul Jamil kerana dirajakan oleh Sultan Mahmud, oleh itu memerintahlah ia di Pahang dengan mendengar segala tunjuk ajar dari Melaka seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:








HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: