Sunday, May 10, 2009

ANALITIKAL KECOH DI PERAK


Undang-undang Simumbang Jatuh:
Dilaksana di Perak bermula 7 Mei 09?

Insiden di DUN Perak 7 Mei 2009 menyebabkan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin menunggu dari 10.00 pagi hingga jam 4.30 petang bagi menyampaikan titah ucapan diraja merasmikan sidang, memberi peringatan kepada pimpinan UMNO, empangan yang keras tak mampu untuk menghalang air sungai yang mengalir. Pelaksanaan kuasa polis di DUN Perak memperlihat frasa melestari 'Undang-Undang Si Mumbang Jatuh' di Padang Panjang-Pariangan 2000 tahun di bawah Dato' Maharajo Dirajo cuba diadaptasi di Perak.
Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sendiri tak mencemar duli untuk menyampaikan titah ucapan merasmikan persidangan yang penting bagi menyelesaikan krisis perlembagaan. Apakah akan berlaku sekiranya Paduka Seri Sultan Perak terpaksa menunggu dari jam 10.00 pagi hingga 4.30 petang bagi menyampaikan titah ucapan? Pengajaran ini seharusnya difahami oleh Dato' Zamry Abdul Kadir kerana pepatah Melayu menyebut: 'Ibarat memijak gelegar buluh' bunyinya memang bergegar, tapi bersiap sedialah untuk terbolos!
'Undang-Undang Simumbang Jatuh' adalah perundangan awal orang Melayu di Padang Panjang- Pariangan dilaksanakan 2000 tahun dulu. Dato' Maharajo Dirajo yang mahukan setiap keputusan dilaksanakan dengan tak bleh dipertikai, tak disenangi oleh penasihatnya Cati Bilang Pandai. Justeru dalam diam-diam Cati Bilang Pandai menyediakan agenda menentang bos sendri, mahu menggantikan dengan 'Undang-Undang Si Gamak-Gamak'. Apabila Dato' Maharajo Dirajo meninggal dunia, bukan sahaja undang-undang dirombak oleh Cati Bilang Pandai, malah isteri bos dkenali Indo Jolito pun dikebas sama.
'Undang-Undang Si Gamak-Gamak' itu dilaksanakan oleh anak Cati Bilang Pandai dikenali Sutan Balun dinamakan 'Undang-Undang Tarik Balik' iaitu peraturan hidup yang membenarkan rakyat mempertikai setiap hukuman dari 'Balai Panjang Nan Tinggi'. Berikutan kedatangan Islam, undang-undang berkenaan dipinda kepada 'Undang-Undang 20' berdasarkan 'Piagam Malapialam' pada 1830-an. Undang-undang berkenaan dikenali 'Adat Perpatih' di Negeri Sembilan sekarang, tetapi digugat oleh pelaksanaan undang-undang Barat yang menjajah negeri-negeri Melayu. Apakah UMNO/BN berhasrat menjadi neo-kolonial dan bentuk dan kerangka yang baru? - Pak Dharma.