Friday, May 8, 2009

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Orangkaya Menteri berkata-kata:
Orang banyak terbahak-bahak ketawa

Arakian tersebutlah kepada suatu hari akan Orangkaya Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishamuddin Hussein berkata, ia akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang negara tanpa mengira kaum, agama dan fahaman siasah. Maka hendaklah Orangkaya itu mengambil tindakan ke atas dirinya terlebih dahulu kerana PPSMI itu melanggar undang-undang jua. Sebermula disuruhlah anak-anak buah dato' temenggung mengheret Orangkaya Yang Dipertua DUN Perak keluar dari balarirong.

Syahdan diketahui orang banyak Orangkaya Menteri Besar itu masih dbicarakan di balai panjang nan tinggi. Maka kekecohan yang berlaku di balairongseri negeri Perak semalam (12 Jamadiawal 1430) itu akan mempengaruhi pula perbicaraan di balai panjang nan tinggi yang belum memutuskan mengenai Orangkaya Menteri Besar itu. Adapun orang banyak bertanya kepada fakir tidakkah ia berlawanan dengan daulat di balairong. Maka sukarlah mahu menjawab kerana adat resam itu tak sama, adanya.

Hatta, maka Betara Majapahit menyuruh panggil seorang kepetangan yang terlalu tahu, lagi lekas daripada yang lain. Maka titah Betara Majapahit kepada kepetangan itu, "Sendalkan aku keris Tun Bija Sura itu, kerana ia cerdik amat ku lihat." Maka sembah kepetangan itu, "Apa daya kula menyendal dia kerana Melayu itu berkeris di hadapan, jika ia bekeris di belakang dapat juga kula sendal." Maka fikir Betara Majapahit adat resam Melayu itu memang kerisnya di hadapan, tetapi sekali sekala dihunus juga lalu dicium, selepas itu meminta maaflah sekalipun orang banyak terbahak-bahak ketawa dengan berpantun:

Perigi timbanya gayung tiris
Mari digali di tepi kota
Sekali hamba menghunus keris
Dua kali maaflah dipinta.

Maka kepetangan itu berfikir juga di dalam hati, akan segala Jawa memang keris di belakang kerana resam Melayu keris di depan seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:





HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: