Tuesday, July 28, 2009

INFO SASTERA & BUDAYA

PUISI

Tapi Bahagia Melata Di Kota

Aduhai, saujananya alam
tanah kampung yang terbentang
di manakah agaknya kerbau dan bangau
tiada ciak mengejar belalang
tak kelihatan rama-rama berlegaran
tak kedengaran serling batang padi berlagu
tak berkejaran puyu dan haruan
senda gurauan.

Alahai, terbiarnya tanah pusaka
turunan nenek moyang
gempita kota gelora cita dan cinta
metropolitan merobah lentera budaya
anak pesawah mengejar janji kota
yang amat payah dan serakah.

Bila lembayung melabuhkan senja
pilu amat terasa
betapa pewaris dan pusaka
keempunyaan tanah bumi
Semenanjung Tanah Melayu
tidak lagi melihat ketuanannya
terpasak ke bumi di kampung laman
tapi bahagia melata di kota
sebagai pengawal sekuriti.

-Yassinsalleh
jam 2235
Julai 28, 09
Kuala Lumpur.

Bagaikan Semangatmu

Seri Intanku tersayang
siang kau adalah mentari pagi
mendakap hangat azam
dan semangat keramat.

Keazamanmu adalah gerimis
tengah hari yang mendandan pelangi
membeah nesapa tunjang remaja
bangsamu yang baru belajar
nikmatnya bercita-cita.

Rembang, senyummu sayangku
adalah meriah warna lembayung
bertemasya menutup
setiap liang duka
yang mendera dan tertawa.

Senja, syahdu suaramu
adalah merdu nyanyian serindit
menyambut cumbuan angin malam
menyisir rambut impian
yang kian jua kau lerai
kusutnya.

Dan malam kau adalah gemerlap
bintang-bintang menarikan
belaian jari jemari
embun yang dingin membuka
lembaran daun-daun waktu
ceritera semalam yang lemas
dan payah.

Dan kau dengan amat tenang
amat percaya dan pasti
bahawa citra esok
cita-cita perkasa remaja
Jeram Besu adalah satu kepastian
yang hakiki, keramat dan berdaulat
semoga Jeram Besu akan berseri
sepermai semangatmu,
duhai Seri Intan.

-Yassinsalleh
jam 2131
Julai 28, 09
Kuala Lumpur.

No comments: