KATA TOK GURU NIK AZIZ
“Pergi jahanamlah UMNO,” sergah Tok Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan. Adakah ini satu kutukan atau satu kenyataan politik yang tepat? Yang pasti, Tok Guru Nik Aziz marah apabila UMNO dan media di bawah kekuasaan mereka memutar-belitkan kenyataannya tentang kerjasama antara pusat dan negeri Kelantan. Masalah yang dihadapi Kelantan, yang menjadi masalah kronik yang dihadapi oleh setiap Menteri Besar dari PAS, ialah tentang perhubungan pusat dan negeri yang penuh konflik. Pusat tidak boleh terima ada negeri yang tidak sehaluan dengan pusat, walaupun dalam konteks demokrasi.
Meskipun peruntukan dalam Perlembagaan jelas tentang tanggungjawab pusat kepada negeri, terutama dari segi membayar gran tepat pada waktunya, tetapi dari segi pelaksanaannya tidak pernah dibuat dengan profesional, berasaskan kehendak Perlembagaan, oleh kerajaan pusat. Kita tidak perlu soal tentang kejujuran kerajaan pusat, kerana memang mereka tidak jujur dan soal kejujuran ini tidak penting dalam politik. Yang penting ialah sama ada mereka patuh kepada Perlembagaan yang mereka buat sendiri. Kita mesti ingat, Perlembagaan Malaysia dibuat oleh UMNO dan konco-konconya. Jadi apabila mereka tidak mahu ikut, tentu ada masalah. Mereka tidak profesional, itulah kesimpulan yang tepat.
Rakyat tidak wajar mengharapkan kejujuran daripada UMNO (baik zaman Perikatan mahu pun zaman Barisan Nasional), tetapi mereka mahukan sikap profesional, bertindak sebagai manusia normal dan rasional, bukan sebagai manusia yang menggunakan kuasa untuk menindas. Tentang aspek ini, Dr. Nik Ibrahim bin Nik Mahmud telah menulis tesis Ph.D. (1977) yang menganalisis hubungan penuh konflik dan penindasan antara pusat (di bawah Tunku dan Tun Razak) dengan Kelantan. Beliau memberikan data-data konkrit dengan mengemukakan dokumen yang boleh diperiksa oleh sesiapa juga yang tidak menerima kenyataan ini.
Jika kutukan Tok Guru Nik Aziz dilihat dalam konteks yang dianalisis oleh Dr. Nik Ibrahim ini, kita akan faham mengapa Tok Guru Nik Aziz mengucapkan dengan lantang kutukan beliau yang memang berasaskan kenyataan pengalaman politik yang tidak boleh diketepikan. Adakah orang Melayu berharap kutukan Tok Guru Nik Aziz akan menjadi kenyataan? Jika kita melihat perkembangan terbaru dalam UMNO, kita akan dapati betapa para pemimpin UMNO sendiri mengaku betapa teruknya parti Melayu itu menghadapi masalah rasuah. Beberapa orang pemimpin penting UMNO telah menjadi korban tabiat rasuah itu apabila dinafikan daripada bertanding dalam pemilihan UMNO.
Tetapi mereka tidak dipecat dari jawatan penting di negeri-negeri, misalnya sebagai Ketua Menteri di Melaka. Kutukan Tok Guru Nik Aziz diluahkannya berasaskan kenyataan politik dalam UMNO sendiri. Tidakkah rasuah itu satu kecelakaan besar bagi negara, apabila para pemimpin negara dengan tidak ada perasaan malu mengaku bahawa mereka adalah pengamal rasuah. Malah Dr. Mahathir Mohamed sendiri menegaskan Kabinet Najib yang ada sekarang tidak bersih, masih ada pemimpin rasuah di dalamnya. Adakah Dr. Mahathir berbohong? Yang boleh menjawabnya dengan tepat hanya orang UMNO sendiri, tetapi apabila bekas PM sendiri sudah membuat kesimpulan demikian, maka ucapan Tok Guru Nik Aziz yang umum itu memang dikhususkan kepada UMNO sebagai parti Melayu yang Islam yang telah merugikan Melayu dan Islam.
Yang menjadi masalah kepada UMNO dan ketua-ketua UMNO ialah apa yang diucapkan oleh Tok Guru Nik Aziz itu tepat sekali dengan perilaku politik dalam UMNO sendiri, yang diakui mereka dan disedari mereka kebenarannya. Oleh itu apabila lidah rasmi UMNO, akhbar Utusan Malaysia melalui ruangan “Bisik-bisik” yang ditulis sendiri oleh Ketua Pengarangnya (bertarikh 28/7/2009), berkata Tok Guru Nik Aziz merugikan Islam dan bukan seorang pemimpin Islam sejati, maka fakta yang ada menunjukkan kesimpulan Ketua Pengarang itu lebih tepat ditujukan kepada UMNO dan para pemimpin UMNO. Kita boleh bertanya: Dari segi apa Najib Tun Razak dan Dr. Mahathir Mohamed misalnya menguntungkan Melayu dan Islam, dibandingkan dengan sumbangan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat?
Adakah kedua-dua mereka pemimpin Islam sejati? Adakah ketiga-tiga mereka ini sama-sama merugikan Melayu dan Islam dan bukan pemimpin Islam sejati? Oleh itu, siapakah pemimpin Islam sejati itu di Malaysia? Kita perlu tahu siapa pemimpin Islam sejati itu, kerana pada waktu orang Islam sudah begitu jauh dibawa UMNO untuk mengelirukan masyarakat tentang Islam (misalnya dengan mengemukakan Islam Hadhari, yang dengan sendirinya memberi keraguan kepada konsep Islam sejati, kecuali jika Islam Hadhari itulah yang sejati), maka pemimpin Islam sejati itu perlulah dinamakan supaya boleh dijadikan ukuran dalam menentukan siapa yang sejati dan palsu dalam kepemimpinan Islam ini.
Yang sah, tidak seorang pun daripada UMNO pernah muncul sebagai seorang pemimpin Islam sejati seperti yang disebut oleh Ketua Pengarang Utusan Malaysia dalam pojoknya. Yang pasti PAS telah melahirkan seorang negarawan besar dan seorang pemimpin Islam sejati dalam diri Dr. Burhanuddin Hilmi. Siapakah di kalangan pemimpin UMNO yang setanding dengan beliau sebagai seorang pemimpin Islam sejati? Di sinilah Tok Guru Nik Aziz berada, berdiri sebagai seorang pemimpin Islam yang tidak kalah dengan ketokohan Dr. Burhanuddin. Sama ada beliau seorang pemimpin Islam sejati atau tidak, tentulah bukan Utusan Malaysia yang menentukannya. - [28/7/2009] Mohd. Affandi Hassan
No comments:
Post a Comment