Tuesday, July 28, 2009

Proses damai Asia Barat...


AS tak harap Arab-Israel
Akan jalin hubungan segera

KAHERAH: Washington tidak mengharapkan negara Arab menjalin hubungan sepenuhnya dengan Israel serta-merta tetapi ia diharapkan berlaku ketika proses damai dilaksanakan. Wakil khas Asia Barat Presiden Barack Obama, George Mitchell berkata selepas mengadakan pertemuan dengan presiden Mesir, Hosni Mubarak pemulihan hubungan akan muncul "lebih lama ketika proses damai dilaksanakan." Mitchell berkata beliau merancang mengadakan pertemuan dengan ramai pemimpin Arab "untuk menggalakkan mereka mengambil langkah tulen ke arah pemulihan hubungan dengan Israel." - (Gambar rakyat Palestin mengadakan tunjuk perasaan di Gaza, semalam - foto Reuters)

Beliau juga meminta Palestin untuk menahan diri daripada mengeluarkan "kenyataan atau membuat tindakan yang mungkin menyebabkan rundingan yang bermakna dan proaktif hampir mustahil untuk diadakan." Setiausaha agung Liga Arab, Amr Moussa berkata selepas menemui Mitchell "negara Arab tidak akan mengambil langkah untuk menjalin hubungan sebagai pengorbanan untuk Israel. Negara Arab tidak akan bertindak ke arah itu selagi Israel tidak menghentikan dasar pembinaan penempatan Yahudi," katanya. Mitchell membuka lembaran baru usaha ke arah rundingan damai dengan mengunjungi Israel Ahad lalu dan Syria sebelum itu.

Beliau berlepas dari Kaherah semalam untuk menuju semula ke Israel, dan Bahrain selepas itu. Obama berhasrat untuk mencapai proses damai menyeluruh di antara Israel dan semua jiran Arabnya bagi menjamin "kestabilan, keselamatan dan kesejahteraan" di rantau berkenaan. "Jika kita mahu mencapai kejayaan, kita memerlukan kedua-dua negara Arab dan Israel untuk berusaha bersama kita bagi membentuk kedamaian yang menyeluruh," kata Mitchell.
Mesir memainkan peranan sebagai "orang tengah" dalam memulihkan hubungan di antara kumpulan Palestin Fatah dan Hamas yang merampas kuasa di semenanjung Gaza pada 2007. – AP/AFP

No comments: