BAHASA INGGERIS BUAT
MELAYU UMNO JADI GILA


Para pemimpin UMNO ketakutan mendengar pandangan tidak siuman ini, lalu dengan serta-merta keluar wang berbilion untuk memastikan bahasa Inggeris terus kekal dengan megahnya dalam sistem pendidikan Malaysia selepas gagal meningkatkan penggunaan bahasa Melayu setelah merdeka lebih dari 50 tahun. Semua media, elektronik dan akhbar, riuh rendah memberi amaran kepada orang Melayu bahawa masa depan mereka sangat gelap jika mereka tidak mencintai bahasa Inggeris dan tidak mahu anak-anak mereka belajar bahasa Inggeris. Tidakkah ini suasana gila namanya? Bukan gila sakit mental, tetapi gila kira bicara. (Gambar, Allahyarham Aminuddin Baki, pejuang Bahasa Melayu).
Kegilaan ini sudah merebak di kampung-kampung terpencil kerana terpengaruh dengan analisis palsu dalam TV yang hampir setiap minit mengetuk kepala orang kampung supaya terus percaya kepada UMNO yang menjadi tempat mereka bergantung hidup. Tetapi mujurlah masih ada orang kampung yang siuman. Kata orang kampung yang siuman ini, mereka masih ingat pesan datuk nenek mereka dahulu, zaman penjajahan Inggeris, supaya tidak hantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris, terutama anak-anak perempuan. Kalau mereka tidak jadi Kristian, mereka akan lupa daratan dan menganggap kehidupan mereka hanya akan selamat jika mendapat pekerjaan di bandar-bandar, dan ini hanya akan diperolehi jika anak cucu mereka fasih berbahasa Inggeris.

Orang ini bukan ustaz atau lebai, tetapi selebriti yang sama tarafnya dengan penyanyi dan pelakon. Mereka berlakon dalam bicara agama mereka untuk membuat orang tertawa, bukan untuk membuat orang sedar dan cintakan agamanya. Semuanya kini sudah diperdagangkan. Itulah, kata orang kampung yang insaf, yang membuat mereka amat dukacita. Mereka lebih dukacita lagi apabila kini anak cucu mereka diberitahu hanya dengan pandai bahasa Inggeris saja mereka boleh berjaya, jika tidak mereka akan terus jadi miskin, tidak mempunyai kerja yang baik dan tidak mempunyai peluang untuk maju.
Kata mereka, bukan main hebat lagi bahasa Inggeris, lebih hebat daripada zaman penjajahan. Dalam zaman penjajahan mereka bebas mendirikan pondok, tidak ada gangguan dari parti-parti politik seperti UMNO. Kini semua ditentukan oleh UMNO, malah ketua-ketua UMNO dengan beraninya berkata jika pengundi Manek Urai memilih UMNO, mereka pun akan masuk syurga juga, sama seperti mereka memilih PAS. Kedua-dua parti Melayu itu, kata ketua-ketua UMNO, adalah parti-parti yang boleh menjamin syurga kerana kedua-duanya memperjuangkan Islam.
Bukan main hebat lagi ketua-ketua parti sekarang, kata orang-orang tua di kampung-kampung. Mereka mengambil tempat tok-tok guru, walaupun mereka jahil dan tidak jujur seperti tok guru. Mereka adalah pejuang bahasa Inggeris yang bahasa Melayunya sangat buruk dan lemah. Malah bercakap Melayu pun menggunakan bahasa pasar yang tidak bermutu, tetapi boleh digunakan untuk menipu rakyat. Tokoh-tokoh ini sangat banyak bercakap tentang semua perkara, tetapi tidak satu pun boleh dipercayai.
Siapa sangka, selepas merdeka setengah abad, bahasa Inggeris menjadi puaka jahat mengancam keselamatan rakyat Malaysia setelah diberi makan nasi kuning oleh UMNO dalam polisi bahasa untuk menghidupkan bangkai bahasa Inggeris yang ditolak oleh Perlembagaan Malaysia. Yang tertulis dalam Perlembagaan Malaysia tidak dilaksanakan sepenuhnya, manakala yang tidak tertulis diperjuangkan dengan gigih. Jadi semangat bahasa Inggeris, yang tertulis dalam Perlembagaan Malaysia bahawa segala tafsiran tentang apa juga fasal dalam Perlembagaan itu, jika menghadapi masalah, maka versi Inggeris itulah yang muktamad, dijadikan panduan.
Sudahkan ini berubah? UMNO patut diberi pujian tinggi oleh rakyat kerana masih mendaulatkan bahasa Inggeris baik dalam Perlembagaan (yang mesti dibaca dalam bahasa Inggeris jika timbul masalah) mahupun dalam sistem pendidikan negara. Sesuai dengan semangat ini, para menteri UMNO/BN akan bercakap Melayu bercampur bahasa Inggeris pasar (bukan bahasa Inggeris yang baik) untuk menunjukkan mereka boleh berbahasa Inggeris. Sekarang tidak ada lagi saluran Melayu di TV, tetapi masih ada saluran Cina dan India. Yang wujud sekarang ialah saluran Melanggeris (Melayu Inggeris) yang kedua-duanya tidak bermutu. Itulah hakikat sebenarnya tentang kemajuan bahasa Melayu dan Inggeris di Malaysia. - [12 Julai 2009] Mohd. Affandi Hassan.
No comments:
Post a Comment