Sunday, July 12, 2009

SEKALI PERSETUA:

Banyak buruk dari baik:
100 hari Orangkaya PM
Syahdan tersebutlah ceritera Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, sudah 100 harilah ia menduduki singgahsana di balairongseri. Maka sekalian orang banyak yang hina dina sekaliannya memuji-muji apabila di depan Orangkaya itu, tetapi tetap mencemuh keji sekeji-kejinya apabila di belakang. Adapun akan bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun (Tabib) Mahathir Mohamad itu, tak mengira di belakang atau di depan ia akan kata Orangkaya Dato' Najib itu lebih banyak buruk daripada baiknya. Bekas orangkaya itu bercakap dalam satu majlis selepas menyampaikan ucap utama di balai besar harakah Melayu dikenali orang sebagai PWTC.
Majlis tertutup "Wacana Kedudukan Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dari Perspektif 1Malaysia" mengenai pandangannya kepada 100 hari pentadbiran Orangkaya Dato' Seri Najib Razak "lebih banyak yang buruk daripada yang baik". Sebermula yang buruk itu katanya, ialah mengenai cadangan pembinaan jambatan ketiga antara Johor dan Singapura. Satu perkara lagi yang dianggap buruk, menurut bekas Orangkaya (Tabib) Mahathir lagi, ialah pelantikan orang yang huh huh huh dalam pentadbiran Najib. Bekas Orangkaya itu berkata, adapun orang Melayu hari ini tidak puashati kerana dituduh menjadi penghalang perpaduan, pertumbuhan iktisad dan sebagainya.

Arakian setelah berteguh-teguhan janji, maka Seri Nara Diraja pun berlengkap menghimpunkan segala orang-orang besar yang serta menghadap bendahara dan orang lain sekalian. Telah hari malam, maka Raja Kasim naik gajah yang bernama Juara Demang (gamaknya macam Proton Perdana). Seri Nara Diraja mengepalakan gajah. Maulana itu pun sama di atas gajah itu. Maka orang kapal (layar, tetapi sudah bertukar kepada dacing, adanya) pun naik dengan segala alat senjatanya (sperti di Perak, gamaknya). Maka kata Raja Kasim, "Apa bicara tuan hamba, jika bendahara tiada serta kita?". Maka kata Seri Nara Diraja, "Mudah juga pekerjaan itu pada hamba, mari kita ke rumah bendahara." Syahdan tak diketahui pula selepas 100 hari kelak, kerana orang banyak diperbuatnya nyanyi:

Kalau antah dibubuh kanji/Kain sehasta bawa ke muara/Kalau sudah berteguhan janji/Mari kita ke rumah bendahara.

Maka sekalian orang banyak sama-sama menyuratkan 'Kitab Melayu' kepada:




HIDUP BAHASA MELAYU!

1 comment:

Gedung Akal said...

PPSMI Jiwa Bangsa
Aku patut gelak besaq dulu..kah..kah..kah..
Melayu mahu jadi clever
misti pulun cakap English...kah..kah..kah
misti pandai cakap Ingglish macam
paddayappa dan heroin pilem Tamil..kah..kah..kah..
Melayu belajar Sains dalam bahasa Melayu
mistinya Melayu kangkung
Melayu maju misti speaking English..kah..kah..kah..
Bahasa PPSMI Jiwa Bangsaku kah..kah..kah
Melayu patut tahu Inglish kerana
jiwa Melayu adalah jiwa Ingglish....
kah..kah..kah..
Melayu bijak kerana Inglish
Jangan cakap dan tulis ikut ejaan Melayu