Friday, July 17, 2009

BACA PUISI MANIFESTASI RAKYAT

Pertemuan aktivis masyarakat-penyair:
Di kelab golf Perangsang, Templer Park

Baca puisi PRIMA bertema 'Baca Puisi Manifestasi Rakyat' yang akan digerakkan di Kelab Golf Perangsang, Templer Park, Selangor pada 15 Ogos 2009 nanti dibuat secara tak formal, tetapi beberapa orang aktivis masyarakat sudah menyatakan kesediaan untuk menyertainya, beritahu Jurucakap PRIMA Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz. Seorang Ahli Parlimen dan seorang bekas Ahli Parlimen, akan turut membaca puisis malam berkenaan yang membariskan penyair-penyair PRIMA seperti Pak Dharma, Prof Dr Mohamad Mansor Abdullah, Yassinsalleh, Dr Seri Intan Mokhtar, L Mankadir Shamsi, Zakaria Bidin, Datin Rozie Rahman dan beberapa lagi, menurut Dato' Kamal Amir seterusnya.

Beliau juga memberitahu pimpinan PKR Negeri Sembilan Cikgu Bard dan Penasihat Undang-Undang PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid juga turut member jaminan akan membacakan puisi mereka. Pemilihan tema 'Baca Puisi Manifestasi Rakyat' berikutan jaminan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyididn Yassin iaitu keputusan memansuhkan PPSMI pada 2012 adalah muktamad. "Kita tak mahu menunggu 2012, tetapi perlu lebih awal seperti pelan peralihan kuasa Muhyiddin tak perlu menunggu Oktober 2010," kata Dato' Kamal Amir lagi.

Pimpinan GMP Dato' Dr Hassan Ahmad, Dato' Dr A Samad Said dan Dinsman turut diundang, di samping pimpinan Gapena Prof Emeritus Tan Sri Ismail Hussein, bekas Ketua Pengarah DBP Dato' Aziz Deraman, pengkritik sastera tersohor Mohd Affandi Hassan dan penulis lirik lagu Hajjah Habsah Hassan dan dramatis Hajjah Rubiah Suparman. Bagaimanapun pimpinan lain akan diberitahu kemudian selepas mereka memberikan persetujuan untuk menyertainya, jelas Dato' Kamal Amir. Pemilihan tema 'Baca Puisi Manifestasi Rakyat' dikira lebih berhemah bagi menyampaikan mesej bagi merajakan 'Bahasa Melayu' di samping menolak perhambaan minda, beritahu Dato' Kamal Amir. Majlis berkenaan terbuka kepada orang ramai, justeru mereka yang berminat menyertainya dijemput hadir, kata beliau.

No comments: