Friday, July 17, 2009

SEKILAS PANDANG...

Satu suruhanjaya bebas:
Wajar siasat punca kematian



Memang wajar gesaan Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar agar satu suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian Setiausaha Politik Exco kerajaan negeri Selangor dikenali Teo Beng Hock, 30 yang dilaporkan terbunuh selepas dipercayai jatuh bangunan pejabat SPRM Selangor di Shah Alam. Dato' Mahfuz memberitahu http://harakahdaily.net/ di Seremban, Teo dibawa ke pejabat SPRM semalam, dan ditemui di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat suruhanjaya tersebut. Teo telah dibawa ke pejabat tersebut untuk disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan Dun membabitkan beberapa Adun Pakatan Rakyat negeri itu.


Berikutan berita mengejut dan luar biasa tersebut, Dato' Mahfuz berkata perlu satu siasatan menyeluruh bagaimana Teo terbunuh perlu diberi penjelasan walaupun dakwaan menyatakan beliau terjatuh bangunan. "Kes ini memberi kesan buruk kepada keyakinan masyarakat akan keselamatan pihak saksi yang ditahan oleh SPRM kerana mereka seharusnya dijaga dari segi keselamatan ketika berada di bawah tahanan SPRM," ujar Mahfuz. Peristiwa mati dalam tahanan sebelum ini banyak berlaku tetapi membabitkan dalam tahanan polis, namun kali ini lebih mengejutkan ia berlaku di SPRM, katanya. Justeru, beliau mendesak satu siasatan menyeluruh dilakukan dengan suruhanjaya bebas ditubuhkan.

Sebagai pimpinan pembangkang di samping Ahli Parlimen, Dato' Mahfuz wajar membawakan suara rakyat sebagai manifestasi setiap warga negara yang mahukan keselamatan mereka terjamin. Apalagi masyarakat barat sejak tragedi 21 September di AS, melabelkan negara-negara Islam menjadi sarang pengganas, justeru imej Malaysia juga perlu dilihat sebagai negara Islam contoh. Dalam sidang media di pejabat SPRM negeri itu, Pengarah Siasatan SPRM Dato' Shukri Abdull berkata mayat ditemui jam 1.30 tengah hari ini. Ditanya media bagaimana mendiang ditemui, beliau berkata seorang pegawai suruhanjaya ke tempat kejadian selepas mendengar jeritan seseorang tentang mayat itu. Menurutnya lagi, siasatan terhadap Teo - sebagai saksi kes - selesai kira-kira 3.45 pagi tadi.

SPRM sebelum itu telah menyoal siasat beberapa orang, termasuk pembantu lima wakil rakyat. Wakil rakyat Pakatan Selangor masing-masing diberi RM500,000 setahun untuk membiayai program kemasyarakatan di kawasan masing-masing. SPRM mendakwa dana tersebut telah disalahguna. Menjadi tanggungjawab SPRM melakukan soal siasat, tetapi keselamatan mereka yang disoal siasat juga wajar diutamakan. Apalagi kematian Teo berlaku dalam keadaan yang meragukan. Justeu setakat ini SPRM perlu menerima tanggungjawab terhadap kematian tersebut sehingga semua pihak mendapat penjelasan yang memuaskan. Keraguan tersebut boleh juga dirujuk kepada laporan polis no. KUANTAN/002014/09 bertarikh 28 Januari 2009 yang dibuat oleh aktivis UMNO Halimi bin Kamaruzzaman di Balai Polis Damansara. Aduhai!

-Pak Dharma

No comments: