MANEK URAI ANAK EMAS
PROJEK PERTAMA ONE MALAYSIA

Golongan muda yang progresif ini akan membuktikan kepada para pemimpin politik Malaysia bahawa setelah 50 tahun merdeka, para pemimpin politik sudah cukup dewasa untuk menerima perubahan iklim politik dari pertentangan kepada persepakatan. Mereka ini akan berusaha menyatukan kembali rakyat Manek Urai yang berpecah teruk akibat PRK baru-baru ini. Mereka mahu Tuan Aziz Tuan Mat mengambil tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat di Manek Urai untuk benar-benar melakukan perubahan ke arah perpaduan dan pembangunan untuk semua. Kumpulan ini akan meminta Tuan Aziz Tuan Mat menjadi ketua rombongan ke Putrajaya untuk menemui PM dan timbalannya bagi membincangkan cara-cara menjadikan Manek Urai anak emas One Malaysia seperti yang dijanjikan dalam PRK.
Apakah yang ingin dicapai oleh kumpulan pemuda prihatin ini? Menurut analisis mereka, terdapat tiga isu besar yang mesti dijelaskan kepada rakyat sehabis telus yang mungkin. Tiga isu itu ialah: kedudukan sebenar royalti minyak untuk negeri Kelantan; kedua, pelaksanaan janji-janji pilihan raya 14 Julai 2009, terutama sekali pembinaan jambatan baru berharga RM7 juta; dan ketiga, menjadikan Manek Urai sebagai model pelaksanaan One Malaysia di peringkat pelaksanaan di atas tanah untuk menjadikan Manek Urai sebuah bandar contoh yang menjadi anak emas kerajaan Malaysia. Tentang royalti minyak, tidak ada masalah dari segi memberi penjelasan sebenar.
Yang mungkin menjadi masalah ialah mahu atau tidak kerajaan persekutuan menjelaskan perkara ini sehabis terbuka untuk diketahui oleh rakyat, sesuai dengan semangat One Malaysia. Isu kedua mungkin akan menghadapi masalah dan halangan besar. TPM telah memutuskan bahawa tidak ada apa-apa pembangunan yang dijanjikan dalam PRK baru-baru ini kerana pengundi Manek Urai telah menolak pelawaan BN. Janji-janji itu bersyarat, iaitu hanya akan dilaksanakan sekiranya rakyat Manek Urai memilih BN. Sekarang mereka menolak BN, maka dengan itu dengan sendirinya semua janji tidak wajib dilaksanakan lagi disebabkan oleh rakyat tidak menerima pelawaan BN itu dengan mengundi calon BN. Tetapi bagi pemuda prihatin Manek Urai, keputusan itu bertentangan dengan semangat One Malaysia yang tidak meletakkan syarat untuk kepentingan rakyat, apatah lagi bagi rakyat yang begitu besar bilangannya yang telah memilih BN.

Kita sampai kepada isu ketiga, yang terpenting dalam konteks One Malaysia. Pada waktu ini One Malaysia perlu membuktikan idea PM itu boleh dilaksanakan dengan jaya tanpa sebarang halangan jika projek menjadikan Manek Urai sebagai anak emas Persekutuan itu diteruskan. Sehingga sekarang semua perbincangan mengenai One Malaysia berada pada taraf andaian belaka, oleh itu pengertian One Malaysia masih belum mantap, masih belum jelas kepada ahli politik dan juga kepada rakyat. Dalam keadaan ini, One Malaysia perlu dilaksanakan betul-betul di tengah-tengah rakyat, supaya mereka dapat melihat bentuk One Malaysia yang dikehendaki kerajaan, bukan hanya cakap-cakap umum yang longgar.
Dilihat daripada perspektif ini, membina jambatan di Manek Urai, dan menjadikan Manek Urai sebagai model pelaksanaan One Malaysia, akan meyakinkan rakyat bahawa One Malaysia bukan hanya omongan ahli politik, tetapi boleh dilaksanakan dengan berkesan mengikut panduan “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”. Janji rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan tidak akan tercapai jika tidak diwujudkan projek yang boleh mentakrifkan janji-janji itu. Dengan hal yang demikian, mengikut analisis pemuda prihatin di Manek Urai, adalah menjadi tanggungjawab moral yang besar bagi PM dan timbalannya untuk membuktikan mereka benar-benar jujur mengutarakan One Malaysia kepada rakyat, bukan hanya slogan semata-mata.

Walaupun mereka yang memilih PAS seolah-olah menentang BN, namun sebagai rakyat Malaysia yang berhak bersuara dan membuat pilihan, mereka adalah sebahagian daripada rakyat Manek Urai yang tidak boleh diketepikan semata-mata kerana mereka membuat pilihan yang berbeza. Pendeknya, kata kumpulan pemuda prihatin Manek Urai, jika rancangan yang mereka aturkan itu berjaya, dan PM serta timbalannya pula menyebelahi rakyat seperti yang dikehendaki oleh One Malaysia, maka Manek Urai akan muncul sebagai satu model politik perubahan yang diperkatakan oleh ahli politik selama ini, terutama dari UMNO.
Model itu boleh dijadikan contoh untuk dilaksanakan di tempat lain pula, dengan itu projek One Malaysia akan tersebar di seluruh negara untuk dilihat sendiri oleh rakyat. Kata pemuda prihatin, seolah-olah satu rayuan ikhlas, jika berjasa kepada rakyat tanpa membezakan mereka satu kebaikan dan sesuai pula dengan semangat One Malaysia, mengapa projek yang dicadangkan itu tidak boleh dilaksanakan? Jika slogan “Malaysia Boleh” masih boleh dilaungkan, maka inilah waktunya semua rakyat yang inginkan perubahan melaungkan kembali slogan itu dengan memberi peluang kepada rakyat Manek Urai melaksanakan projek pertama One Malaysia di daerah mereka, sesuai dengan janji-janji yang telah diberikan. - [16/7/2009] Mohd. Affandi Hassan
No comments:
Post a Comment