Tuesday, July 14, 2009

HADIAH UNTUK RAKYAT...

One UTAMA dan
One Malaysia adakah sama?

oleh: Mohd Affandi Hassan, 13 Julai 2009

Jika anda pernah ke Petaling Jaya dan lalu Lebuh raya LDP (Lebuh raya Damansara Puchong), anda akan lihat terpampang tulisan besar 1 UTAMA (baca One UTAMA) bersebelahan sempadan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. 1 UTAMA adalah rangkaian kompleks beli-belah terbesar di Malaysia, sampai ke The Curve dan lain-lain yang berdekatan. Semuanya menggambarkan kejayaan PPSMI, semuanya dalam bahasa Inggeris, menjadi lambang kemegahan kemajuan Malaysia. Adakah 1 UTAMA sama dengan 1 Malaysia?

Kata orang yang sinis dan celupar mulutnya, 1 UTAMA lahir terlebih dulu, kira-kira 20 tahun dulu (sebenarnya kurang dari itu!) daripada 1 Malaysia. Oleh itu, orang sinis itu membuat kesimpulan, 1 Malaysia adalah tiruan daripada 1 UTAMA. Dari satu segi yang praktikal, kesimpulan ini benar juga, kerana 1 Malaysia mempunyai semangat yang sama dengan 1 UTAMA, iaitu semangat penjajah yang mendewakan bahasa Inggeris. Munculnya 1 Malaysia di dada PM dan anak buahnya, membenarkan tindakan 1 UTAMA menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perniagaan dan bahasa budaya baru berteraskan komersialisme.

Di dalam perkataan ini terdapat perkataan “sial”, tersembunyi di tengah-tengah. Adakah ini semangat sebenar pembangunan Malaysia, yang lebih membawa sial? Jika mengikut pendapat Mufti Perak yang bernama Tan Sri Harussani, tekaan itu memang benar kerana kemajuan yang dibawa pembangunan itu memang banyak yang sial, misalnya popularnya “jom heboh” (dimulai dengan menggunakan bahasa Inggeris juga, sure heboh, yang diharamkan oleh Mufti bergelar itu tetapi masih diteruskan dengan memakai bahasa Melayu pasar yang masih membawa semangat hiburan yang sama dengan “sura heboh” yang sangat pekat semangat komersialismenya).

Semangat komersialisme itu ternyata menjadi asas kukuh 1 Malaysia, One Malaysia, yang dibuktikan dengan bangga oleh PM One Malaysia dalam 11 (lihat betapa pandainya ahli strategi One Malaysia, meletakkan sebaris angka 1, tepatnya sepasang angka 1) untuk membuktikan “rakyat diutamakan”. Iklan sebelas “hadiah rakyat” (Mingguan Malaysia, 12/7/2009) One Malaysia ini menjadi berita besar seluruh negara, sebagai (kononnya) “anugerah ikhlas” Perdana Menteri yang kreatif. Tak perlu senaraikan semua “hadiah”, cukup kita lihat apakah hadiah terakhir untuk rakyat.

Hadiah itu ialah: “Menubuhkan Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz sehingga 10 bilion unit terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.” Sungguh hebat hadiah ini. Rakyat diminta menderma dengan membeli saham yang keseluruhan jumlahnya 10 bilion. Sungguh banyak wang rakyat Malaysia ini, dan sungguh bangkrap kerajaan 1Malaysia sehingga terpaksa mengemis 10 bilion untuk “membangun” mereka dengan 10 janji yang disebut awal-awal tadi (janji nombor 1 hingga nombor 10).

Jadi, dengan jelas, dan ini patut diperhatikan oleh rakyat yang boleh membaca dan diberitahu kepada yang tidak boleh membaca, sepuluh perkara yang disebut sebagai hadiah rakyat itu semuanya akan dilaksanakan daripada kutipan dana melalui Amanah Saham 1Malaysia. Anda beli saham, anda kasi wang kepada kerajaan melalui amanah saham tadi, dan anda harus perhatikan tidak semua akan dilaksanakan, bergantung cukup tidaknya dana terkumpul; jika pun banyak yang terkumpul, tidak semua akan dilaksanakan, kerana yang akan didahulukan ialah yang dapat dilihat dengan mata kepala untuk membuktikan janji itu dilaksanakan, bukan bohong.

Yang lain-lain akan dibuat lambat-lambat, mengikut rentak yang dipilih oleh kerajaan atau oleh UMNO. Jadi anda dapat “kemajuan” atau “durian runtuh” kerana anda telah memberi wang anda untuk mendapatnya. Adakah anda faham bagaimana anda ditipu? Tentu saja anda dapat faedah, jika sedikit sekali pun pun dibesar-besarkan untuk menggembirakan hati anda. Bukan, tapi untuk publisiti.

Tetapi pada hakikatnya anda telah dipaksa membayar apa yang anda dapat, supaya kerajaan dapat kredit yang boleh dilaungkan kepada rakyat betapa pemurahnya kerajaan. Murah hati membelanjakan wang anda sendiri. Anda, rakyat Malaysia semua, pasti sudah faham sekarang. Jadi tidak ada pun sifat pemurah dan prihatin kepada rakyat itu. Yang ada sifat lain. Anda pun tentu sudah tahu apa dia sifat itu. Demikianlah orang politik mempermainkan anda. Faham?

No comments: