Thursday, July 30, 2009

MOHD AFFANDI HASSAN MENULIS...

PENGARUH BESAR TOK GURU NIK AZIZ
DALAM POLITIK MALAYSIA

Kutukan Tok Guru Nik Aziz terhadap UMNO, “Pergi jahanamlah UMNO!”, menimbulkan huru-hara di kalangan ahli UMNO dan penyokong UMNO, yang mendorong para pemimpin UMNO mengisytiharkan diri merekalah pemimpin sejati orang Melayu dan Islam. Semua mereka sebulat suara mengajak rakyat Malaysia, terutama sekali orang Melayu dan orang Islam, supaya melupakan saja Tok Guru Nik Aziz, tidak memberi perhatian lagi kepada Tok Guru yang sangat bisa mulutnya itu. Seorang Timbalan Manteri dari Kelantan berkata, Tok Guru itu hendakkan buah, tapi tak mahu pohon apabila menolak kerjasama dengan UMNO tetapi bersedia bekerjasama dengan kerajaan pusat. - (Gambar, Mohd Affandi Hassan)

Jika anda pernah ke pasar tani yang kebetulan ada penjual durian, bagaimana perasaan anda jika penjual durian bertanya, “Tuan mahu buahnya saja atau pohonnya sekali?” Tentulah anda anggap penjual buah durian itu sudah gila. Apa perlunya pembeli hendak beli pokok durian, jika buahnya saja yang dia mahu? Tidakkah gila jika setiap kali anda ingin makan buah-buahan, anda terpaksa membeli pokoknya sekali. Tetapi Timbalan Menteri yang terlalu cerdik itu jadi amat bodoh apabila menggunakan analogi yang tidak masuk akal itu. Inilah taraf pemikiran pemimpin UMNO, baru berada pada kelas budak-budak sekolah, belum lagi sampai ke taraf seorang ulama seperti Tok Guru Nik Aziz.

Kelemahan terbesar UMNO ialah tidak dapat menerima kekalahan, oleh itu mereka akan menjahanamkan musuh politik mereka dengan cara apa saja, misalnya dengan merampas kuasa seperti yang mereka lakukan berkali-kali di Kelantan, Terengganu, di Perak (terbaru) dan kini sedang mencuba bermati-matian hendak menjahanamkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Mereka boleh malakukannya kerana mereka mempunyai kuasa undang-undang kerana masih berkuasa di peringkat pusat. Mereka menggunakan undang-undang yang mereka bikin sendiri dalam Dewan Rakyat untuk memastikan mereka terus berkuasa. - (Gambar hiasan, FRU berkawal di depan DUN Perak)

Dalam konteks inilah ucapan keras Tok Guru Nik Aziz itu harus difahami. UMNO dan sekutunya menganggap Malaysia kepunyaan mereka, dengan alasan bahawa merekalah yang “memperjuangkan” kemerdekaan Malaysia. Sebenarnya mereka bukan pejuang dalam makna yang tepat yang digunakan dalam politik perjuangan kemerdekaan yang dialami di Indonesia, Vietnam, Burma dan lain-lain. UMNO adalah “perunding” kemerdekaan, yang dicipta oleh penjajah Inggeris untuk mewakili orang Melayu dan raja-raja Melayu. Kerana adanya perasaan “Malaysia UMNO punya”, maka UMNO tidak boleh terima sebarang kekalahan.

Sikap inilah yang telah menjahanamkan orang Melayu, kerana orang Melayu dipaksa berada dalam keadaan yang sentiasa bergantung kepada UMNO “demi keselamatan Melayu dan Islam”. Sedar atau tidak, orang Melayu telah dijadikan hamba oleh UMNO untuk terus berkuasa. Begitu terhutang budinya si Melayu ini apabila diberi sebuah jambatan baru berharga RM300,000 selepas PRK 14 Julai 2009 baru-baru ini. Diberi seekor anak beruk atau anak kambing pun mereka sangat terhutang budi kepada UMNO. Demikian hinanya menjadi Melayu di bawah naungan UMNO, terpaksa menjadi peminta sedekah untuk mendapat sesuatu yang mereka perlukan.

Walaupun disedari mereka perlukan jambatan, pemimpin UMNO memberi syarat dan kata dua kepada para pengundi dalam sejenis amaran yang dihamburkan oleh TPM Muhyiddin Yassin di Manek Urai baru-baru ini: “Kita boleh bagi jambatan baru, Insya Allah, tetapi ada syarat. Yang itu senang saja, pangkah saja Barisan Nasional. Kita nak beritahu semua, mu (kamu) nak lalu sini, mu kena pangkah Barisan Nasional. Kalau tidak, esok tak dapat jambatan. Nak jambatan, pangkah Barisan Nasional.” (Siasah, 19-25 Julai, 2009).

Keangkuhan seperti ini mendorong sebahagian besar rakyat Manek Urai menjeritkan kutukan, “Pergi jahanamlah UMNO!” Suara rakyat itulah yang digemakan kembali oleh Tok Guru Nik Aziz ketika beliau mengulang kutukan itu. Ituah makna sebenar “rakyat diutamakan” yang digembar-gemburkan oleh Najib Tun Razak, yang kononnya mencipta One Malaysia (bukan Satu Malaysia kerana satu sen tidak ada harga sekarang!). Nah, mengapa pula UMNO marah-marah apabila rakyat benar-benar diutamakan dengan mengulang kutukan mereka, “Pergi jahanamlah UMNO!” seperti yang dibuat oleh Tok Guru Nik Aziz. - (Gambar)
Kalau betul-betul rakyat diutamakan, UMNO wajib dengar suara yang berbeza daripada rakyat, walaupun berupa kutukan. Kutukan demikian sebenarnya perlu untuk mengimbangi keangkuhan para pemimpin UMNO seperti yang ditunjukkan oleh Muhyiddin Yassin di Manek Urai. Dalam konteks ini, UMNO mesti bersedia untuk dikalahkan, malah UMNO mesti belajar menjadi kumpulan yang kalah.

Pendeknya, hanya dengan menerima kekalahan sebagai ketua parti yang budiman dan bersikap lapang dada, barulah UMNO boleh berubah. Jika UMNO tidak mahu kalah, maka sikap itu bertentangan dengan Islam yang dikatakan amat disanjung oleh UMNO. Atau sebenarnya UMNO berpura-pura dalam semua perkara, termasuk dalam agama? Kalau begitu, tepatlah tempelak Tok Guru Nik Aziz, “Pergi jahanamlah UMNO!” - [29/7/2009] Mohd. Affandi Hassan.

No comments: