Thursday, July 30, 2009

SEKILAS PANDANG...

Kerana lenggang baju koyak
Kerana lonjak kupiah pesuk


Ekoran laporan Utusan Malaysia mengenai kenyataan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum muktamar PAS Jun 2009 lalu yang menyebut: 'NASIHAT SAYA MESTI DIDENGAR', beliau memfailkan samannya terhadap akhbar terbabit. Justeru akhbar berkenaan mengakui kesilapannya secara terbuka, sekalipun implikasinya memang menjejaskan reputasi akhbar Melayu tertua itu. Sebaliknya kalau ianya tak terlalu ghairah mahu memerangkap lawan UMNO, barangkali segalanya masih boleh dielakkan.

Misalnya sekitar 1965, akhbar berkenaan melaporkan Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Syed Jaafar Albar seolah-olah menggambarkan Lee Kuan Yew seorang pengamal komunisme. Justeru apabila Lee Kuan Yew bertindak balas, bukan sahaja Tan Sri Jaafar Albar menanggung risiko, sebaliknya bangsa Melayu turut terheret di samping Tunku mengambil langkah menyingkirkan Singapura dari Malaysia. Aduhai!Pengalaman saya bersama Tan Sri Abdul Samad Idris pada 1970-an juga bermula daripada laporan Utusan Melayu (akhbar jawi), seolah-olah bekas menteri itu menyebut: 'Orang Melayu dalam DAP bukan Melayu'.

Sebenarnya beliau tak berkata begitu, tetapi apabila saman difailkan dengan mendakwa beliau menafikan hak orang Melayu yang menjadi ahli parti itu, saya terpaksa meminta Pak Mail (jurulatih di Dusun Tua) membeli buku 'Who Lives if Malaysia Die' di ibu pejabat parti itu. Bagaimanapun lembaga pengarah Utusan Melayu (Tan Sri Abdul Samad salah seorang ahli lembaga pengarah) bersetuju membuat penyelesaian di luar mahkamah. Maknanya, wartawan yang ghairah sangat (sekarang) eloklah belajar dari pengalaman masa lalu! Seperti diungkap pepatah orang tua-tua: "Kerana lenggang baju koyak, kerana lonjak kupiah (songkok) pesuk". Di bawah ini keratan akhbar berkenaan menurut http://siasahdaily.com/ hari ini (29 Julai 2009):
"PERMOHONAN MAAF

Utusan Malaysia memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat, Menteri Besar Kelantan di atas kesilapan laporan mengenai kenyataan beliau yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009.YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz sebenarnya bermaksud bahawa "nasihat beliau tidak semestinya didengar" ketika mengulas mengenai cadangan kerajaan perpaduan pada sidang media itu.Oleh itu, tajuk atas sebelah kiri, muka surat hadapan Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009 iaitu Nasihat saya mesti didengar adalah salah serta bukan menggambarkan apa yang dimaksudkan oleh YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz pada sidang media itu.

Begitu juga fakta berhubung perkara yang sama pada berita penuh mengenai kenyataan beliau itu pada muka surat 7, Utusan Malaysia keluaran 15 Jun 2009, adalah salah.Utusan Malaysia dengan ini menarik balik dengan sepenuhnya kesilapan tersebut dan secara tulus ikhlas memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu dan atas apa jua kedukaan atau pengaiban yang mungkin diakibatkan kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz daripada kesilapan tersebut. "

- Pak Dharma

1 comment:

Unknown said...

itulah akhbar kalau sudah tidak beretika,politiking tak bertempat
sepatut nya laporan berlandaskan
kenyataan tuan guru,tetapi saya rasa kesilapan di sengajakan utk politiking milage dgn harapan tak ada komplain, kalau ada komplain
minta maaf saja cukuplah,kerana apa
yg nak di sampai dah sampai walau
pon pembuhungan, dah puas hati dan memuaskan hati bos22 yg diatas.ora
ng kata buat2 buduh, berjaya juga
nampak nya taktik ini.