Tuesday, June 9, 2009

INFO HAK ASASI MANUSIA


Mat Hassan tak prihatin:
Pelihara institusi adat di NS

Institusi adat di Negeri Sembilan mungkin pupus, sekiranya kerajaan negeri masih di dominasi oleh UMNO dan Menteri Besar Dato' Seri Mohamad Hassan, menurut pimpinan PKR di Rembau Badrul Hisham Saharin atau Chegu Bard (gambar, berbaju biru)dalam laman blognya http://chegubard.blogspot.com/ .UMNO terus menjadi pekak dan tuli dalam isu tanah Adat di Rembau yang akan menjadi mangsa jalan keretapi berkembar. Bukan sahaja permintaan waris terlibat tidak dilayan malah permintaan untuk berbincang juga tidak dipedulikan.

Menurutnya lagi, Regim UMNO/BN dan Mat Hassan tak pertahankan adat dan istiadat, malah turut memperkosa institusi agama hingga diperkotak katikkan. "Pengurusan wang zakat rugi... Peranan Mufti dalam mengurus wang zakat ditarik.... Tidak langsung taksub dengan Syeikh Murtadza keturunan Sheikh Ahmad keluarga mufti, namun mengapa tiba – tiba keturunan Sheikh Ahmad disingkirkan …. ? Adakah kerana 'arahan' Menteri Besar tidak dipeduli..." beliau mempersoalkan menerusi laman blognya.

Ketika istiadat mengangkat DYMM Paduka Seri Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan juga ada cerita disebaliknya. Regim ingin campur kacau namun mujur pemegang amanah adat keras kental sedikit. (Sekalipun tak dsentuh oleh YM Dato' Seri Maharaja Khalid Bonget dan Pak Dharma dalam 'Helo Malaysia' di TV Bernama (502) pada 3 dan 9 Januari 2009 mengenai isu pelantikan Yamtuan Besar kepada Tuanku Muhriz). Seterusnya kata Chegu Bard, jelas kerajaan UMNO/BN Negeri Sembilan dan Mat Hassan gagal memainkan peranan dalam memulihara kemuliaan Adat Perpatih.

JEMPUTUAN PIDATO PERDANA


INFO LUAR NEGARA:


Wartawan jadi mangsa:
Apabila dua negara bertelagah

Ketegangan dua negara Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara berikutan isu pelancaran nuklear semakin meruncing, apabila dua wartawan AS dipenjarakan di Korea Utara. Wartawan berkenaan menjadi mangsa, ketika dua negara bertelagah yang membabitkan kepentingan politik dan ekonomi. PRIMA mengutuk penahanan dua wartawan berkenaan, di samping mengingatkan kerajaan AS tak mengambil tindakan bodoh untuk menghantar tentera seperti dilakukan di Iraq dan Afghanistan, atau kepongahan Israel terhadap Palestin. Bagi PRIMA kedua-dua negara baik AS maupun Korea Utara wajar menghormati profesion kewartawanan.

Pimpinan Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Barrack Hussein Obama tak akan mengirim tentera bagi membebaskan dua orang wartawannya yang dipenjarakan di Korea Utara, lapor William Foreman dan Matthew Lee dari Associated Press (AP) hari ini (9 Jun 2009). Euna Lee, 36 dan Laura Ling, 32 wartawan stesen Gore's Current TV (stesen TV milik bekas Naib Presiden AS, Al Gore) dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan kerja berat oleh Korea Utara. Bagaimanapun rundingan sedang diatur bagi membebaskan kedua-dua wartawan terbabit mengikut sumber pentadbiran Rumah Putih, malah mungkin menggunakan khidmat Gabenor New Mexico, Bill Richardson.

Beliau dianggap berpengalaman dalam rundingan tersebut, kerana pernah melakukan misi yang sama pada 1990 di Korea Utara. Di samping Bill Richardson, pimpinan Rumah Putih juga menaruh keyakinan kepada Al Gore sendiri bagi merundingkan pembebasan dua wartawan itu. "Richardson dan Gore sudah dihubungi bagi mengambil langkah seterusnya untuk rundingan dan membebaskan Euna Lee dab aura Ling," menurut sumber pegawai kanan di Rumah Putih. Bagaimanapun Setiausaha Negara AS, Hillary Rodham Clinton memberitahu media semalam (8 Jun 2009), pihaknya lebih percaya kepada rundingan dalam menelesaikan isu berbangkit. "Kita akan berunding di samping merayu Korea Utara segera menghantar balik dua wanita muda ini," kata Hillary Clinton kepada media.

UMNO CABAR KESABARAN MELAYU:


KerajaanUMNO mahu laksana:
SPM gagal kalau tak lulus Inggeris

Terkilat ikan di air sudah tahu jantan betinanya, justeru kerajaan pimpinan UMNO terus melakukan 'test market' dalam isu Bahasa Inggeris, di samping mencabar tahap kesabaran bangsa Melayu. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempelawa orang ramai mengemukakan pandangan masing-masing kepada Kementerian Pelajaran mengenai isu mewajibkan calon lulus mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Katanya, satu lagi perkara yang memerlukan pandangan orang ramai ialah pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah pada masa ini yang tidak melibatkan pengajaran tatabahasa tetapi hanya untuk berkomunikasi.

Muhyiddin belum menjadi Ahli Parlimen pada 1969, apabila kerajaan pimpinan UMNO hilang banyak kerusi apabila Tunku Abdul Rahman Putra menolak Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi pada 1967 (iaitu syarat kemerdekaaan negara, Bahasa Inggeris kekal sebagai bahasa rasmi dalam tempoh 10 tahun dari 1957-1967). Ketika itu pelajar Darjah IV sekolah Melayu dibolehkan memasuki 'remove class' ke sekolah aliran Inggeris. Tetapai apabila DAP banyak menang dalam pilihanraya 1969, bagi mengekang perkembangan parti itu serta merta diperkuatkan Bahasa Melayu, menyebabkan Ahli-AhliParlimen DAP kelam kabut kerana tak fasih berbahasa Melayu.

Disebabkan PAS memenangi banyak kerusi pada pilihanraya 1999, dipertingkatkan pula Bahasa Inggeris, kerana pada pandangan UMNO kebanyakan orang PAS tak boleh berbahasa Inggeris. UMNO cuba mempolitikkan isu Bahasa Inggeris untuk mengekang kebangkitan PAS (itu pun masih ramai orang PAS tak sedar). Pada dekad 1940-an, Jepun juga memaksa orang Melayu belajar bahasa Jepun untuk menghapuskan budaya Melayu, bagaimanapun mereka dikalahkan kerana 'budaya memaksa' itu. “Saya sekadar melontarkan perkara itu kepada masyarakat untuk mendapatkan pandangan. Saya anjurkan supaya ada maklum balas masyarakat dalam bentuk debat,” kata Muhyiddin lapor Utusan Melayu hari ini (9 Jun 2009).
Muhyiddin memberitahu pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung pertama Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Bukit Kiara di sini semalam (8 Jun 2009). Hadir sama presiden penaja persatuan alumni itu, Tan Sri Yahaya Ibrahim. Muhyiddin menambah, memandangkan beliau hanya ingin mengumpul pandangan berhubung kedua-dua perkara itu maka tiada sebarang tempoh yang ditetapkan untuk orang ramai mengemukakan pendapat. “Mempelajari bahasa Inggeris tetapi tidak mewajibkan pelajar untuk lulus subjek berkenaan dalam SPM menjadikan standard bahasa Inggeris merosot," kata Muhyiddin.

Monday, June 8, 2009

SUARA DARI REMBAU


Perhebatkan menentang PPSMI:
Jangan beri ruang kepada UMNO

PAS Rembau membawa usul dalam Mukatamar PAS yang berakhir semalam (7 Jun 2009) mahukan PPSMI dan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) diteruskan serta diperhebatkan dengan tak memberi ruang kepada UMNO, kata Timbalan Yang Dipertuanya, Rozmal Malakan(gambar, baju putih). Menurutnya, PAS Rembau tak berkompromi dengan isu PPSMI, malah bersedia menyertai gerakan GMP di mana-mana sahaja dalam usaha menentang PPSMI. "Kita akan perhebatkan penentangan sekalipun terpaksa menunggu hingga kehancuran pendukung-pendukung PPSMI yang mementingkan kedudukan dan kepentingan diri sendiri," jelas beliau menambah.

Bagaimanapun suara kerdil dari Rembau kurang diberi perhatian dalam perhimpunan besar yang dihadiri kalangan ilmuan agama, profesional dan mereka yang tak prihatin dengan perjuangan bahasa dan budaya. Rozmal juga memberi jaminan PAS Rembau akan bersama dengan pejuang-pejuang bahasa bagi mendaulatkan Bahasa Melayu, di samping menentang PPSMI berterusan. "PPSMI akan dihapuskan, kalau rakyat mengambil pendekatan bersama menolak UMNO dalam sebarang pilihanraya kecil mahupun pilihanraya umum," beritahu Rozmal selanjutnya.

DIARI SEORANG GURU

Cuti sekolah guru bekerja:
Tugas yang melewati ganjaran

oleh: Cikgu Fadzli

Ramai yang kata guru kini lebih beruntung. Selain gaji yang tinggi, cuti pun banyak. Itu orang yang kata, hakikatnya tidak. Cuti punkerja perlu jalan supaya pelaksanaan tugasan lancar selepas sekolah. Susah menerangkan kepada masyarakat yang cuti sekolah ýang banyak tidak sedikit pun mengurangkan kerja guru. Sebenarnya, tugas guru melewati segala ganjaran yang ada termasuk gaji. Jika hendak dibandingkan gaji, masih lagi perlu penambahbaikan kerana kurang berbaloi dengan pengorbanan yang diberikan, Cikgu Fadzli menulis menerusi blognya www.cikgumalaysia.com

Jika di mana-mana jabatan lain, kita mempunyai kakitangan sokongan namun guru perlu menjalankan tugasnya dengan keupayaan sendiri. Tiada siapa lagi mahu mengisi borang, membuat kertas kerja dan pelbagai urusan kebajikan pelajar melainkan guru juga yang laksanakan. Jadi, guru tidak bercuti namun banyak lagi perlu diselesaikan sebab semasa sekolah hanya memikirkan pendekatan mengajar semata-mata. Memang sejak dekad 1960-an lagi tanggapan demikian, justeru guru-guru dilabel sebagai pejuang untuk kenaikan gaji.

Ironinya, tak siapa peduli perjuangan guru-guru Melayu sejak 1950-an mahukan kerajaan wujudkan pengajian Melayu hingga ke peringkat tinggi menerusi gerakan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KKGMS), di samping mendaulatkan Bahasa Melayu seperti disuarakan Cikgu Mohd Noor Ahmad, Cikgu Mohd Noor Hamid, Cikgu Ahmad Abdul Rahman, malah Cikgu Ahmad Arshad (bekas Ahli Parlimen Tangkak) berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan Bahasa Melayu disambut tepukan gemuruh. Apabila dapat tunggakan kenaikan gaji pada dekad 1960-an, guru-guru sekadar mampu membeli 'volkswagen' dan vespa - justeru ianya dituduh berjuang kerana gaji!

INFO SASTERA & BUDAYA

PUISI

Sepermai Fatamorgana

Aduhai semalamku segalanya
kenangan manis yang dikumpul
waktu telah satu demi satu
dibatalkan oleh mimpi-mimpi
yang mungkir lalu rebahlah
sumpah tak terkotakan janji idaman
bagaikan simfoni kehilangan lagu
bagaikan bunga menguntum
tak berputik.

Sungguh amat lamanya sudah
kita berpisah imbauan
mimpi-mimpi yang tewas
terus jua merasuk jaga
dan tidurku siang menakung luka
malam menatang duka.

Setiap kali aku tengadah
kau masih jua tetap di situ
dengan senyuman menyaksikan
betapa kakiku yang luka
menari-nari di lantai pelangi
menanti gemalainya angin fajar
meniup hilang rintihan kalbu
yang kian piatu dan terbuang.

Waktupun bagaikan biasa
amat patuh mengumpul
citra semalam yang tetap jua
setekunnya menyusun lapis nestapa
santak ke sudut benua
sarat harapan sepermai fatamorgana.

-Yassinsalleh
jam 1540
Jun 7, 09
dalam pedih meniti
nestapa pelaut tua
mencari pelabuhan semalam.

Chao Phrya

Chao Prya, banyaknya
kiambang kau hanyutkan.

Dulu aku berenang menghilir
arusmu dingin dan jernih.

Kini untuk membasuh
muka pun aku tak tergamak.

Chao Phrya bila kita jumpa lagi
ingin amat aku merenangi
dingin jernih arusmu
bagaikan dulu menyelami dasarmu
membaca ceritera sejarah
Ayuthayamu yang megah gagah.

Chao Phrya bila kita jumpa lagi nanti
pastikanlah aku dapat membasuh muka!

-Yassinsalleh
jam 1513
Mei 21, 09
Sathorn Taksin Jetty
Sungai Chao Phrya
Kota Bangkok, Thailand.