Bagaimana UMNO Yang Haru Biru
Boleh Memerintah Dengan Meyakinkan?
Inilah rakaman perbualan rakyat biasa tentang situasi politik sekarang, yang dikutip dalam pertemuan/perbualan santai dengan orang-orang biasa yang barangkali tidak secerdik pemimpin UMNO, tetapi sangat jujur. Moga-moga suara hati mereka memberi sedikit gambaran tentang perasaan mereka yang sudah muak dan meluat dikelentong oleh pemimpin yang mereka kasihi. Dengarlah dan fikirkan ...
Inilah rakaman perbualan rakyat biasa tentang situasi politik sekarang, yang dikutip dalam pertemuan/perbualan santai dengan orang-orang biasa yang barangkali tidak secerdik pemimpin UMNO, tetapi sangat jujur. Moga-moga suara hati mereka memberi sedikit gambaran tentang perasaan mereka yang sudah muak dan meluat dikelentong oleh pemimpin yang mereka kasihi. Dengarlah dan fikirkan ...
Jika kita boleh percaya ucapan perwakilan UMNO 2009 yang mendedahkan betapa pincangnya UMNO dan para pemimpinnya sekarang, maka bagaimanakah UMNO boleh memerintah negara dengan meyakinkan? Bagaimana UMNO boleh mendakwa merekalah pemerintah yang terbaik? Semua cakap-cakap perwakilan dan ketua-ketua UMNO sendiri membuktikan UMNO sedang sakit tenat, demikian juga ketua-ketua UMNO dari segenap peringkat. Bukan hanya rasuah politik yang menjadi masalah, tetapi peribadi pemimpin tertinggi UMNO juga menjadi masalah.
Dalam seluruh ucapan perwakilan dan ketua-ketua UMNO, yang jelas adalah betapa mereka banyak membuang masa bercakap tentang kepincangan dalam UMNO, sedikit sekali berbicara tentang masalah rakyat. Ekonomi negara telah dirangsang, dan akan terus dirangsang dengan belanja yang jauh lebih besar. Siapa yang merangsang rakyat? Apakah benda yang boleh merangsang rakyat? Ada disebut rangsangan ketiga akan dilancarkan, berjumlah 100 bilion. Berapa sen yang akan jatuh ke tangan rakyat? Sekarang perkataan rakyat cukup popular. Di sana sini orang bercakap ingin membela rakyat, terutama dari mulut ketua-ketua UMNO.
Perubahan ini berlaku setelah Parti Rakyat tidak ada lagi, diganti dengan PKR. Dulu perkataan rakyat itu dikaitkan dengan Komunis, atau paling kurang dianggap golongan kiri perosak negara. Dari dulu UMNO tidak mahu dikaitkan dengan rakyat kerana tidak mahu dianggap golongan kiri atau bersimpati dengan Komunis. Sekarang semua sudah berubah, malah rakyat kini menjadi agenda utama, menjadi perkataan yang amat dihormati jauh lebih tinggi kedudukannya daripada istana. Rakyat boleh menaikkan atau menurunkan sesiapa juga yang tidak mendapat undi daripada rakyat.
Sekarang rakyat digula-gula merekalah yang berkuasa ketika diadakan pilihan raya. Semua ketua parti di Malaysia berebut-rebut mahu jadi pembela rakyat yang paling baik dan paling dekat dengan rakyat. UMNO melalui Timbalan Presiden yang baru telah meminta maaf kepada rakyat, dalam satu rayuan pilihan raya kecil, kerana selama ini meninggalkan rakyat. Orang itu berjanji UMNO tidak akan buat salah lagi. UMNO seperti biasa ingin jadi wira rakyat, oleh itu UMNO akan dirakyatkan. Bolehkah rakyat percaya? Jika rakyat percaya, mereka akan tertipu lagi. Sekarang sudah dicipta lagu “Tipah Tertipu Lagi”. Rakyat Malaysia harus berhati-hati supaya tidak jadi macam Tipah yang terus tertipu. Ini hanya boleh dilakukan dengan menolak UMNO secara total, jika tidak rakyat akan terus tertipu untuk setengah abad, untuk 50 tahun lagi.
Mengapa UMNO tidak relevan lagi? Pemimpin UMNO bercakap tentang rakyat; padahal setiap masa mereka memberi tumpuan kepada kedudukan peribadi dalam parti. Para pemimpin UMNO berkelahi sesama sendiri berebut kedudukan dalam parti, yang akan berakhir dengan kedudukan selesa dalam kerajaan. Hakikat ini diakui sendiri oleh semua pemimpin UMNO, yang berbicara tentang kerakusan dan ketamakan ketua-ketua UMNO sekarang. Lalu yang tidak dapat apa-apa, atau kalah pertandingan, memberi nasihat bahawa parti lebih utama daripada kepentingan peribadi.
Mengapa UMNO tidak relevan lagi? Pemimpin UMNO bercakap tentang rakyat; padahal setiap masa mereka memberi tumpuan kepada kedudukan peribadi dalam parti. Para pemimpin UMNO berkelahi sesama sendiri berebut kedudukan dalam parti, yang akan berakhir dengan kedudukan selesa dalam kerajaan. Hakikat ini diakui sendiri oleh semua pemimpin UMNO, yang berbicara tentang kerakusan dan ketamakan ketua-ketua UMNO sekarang. Lalu yang tidak dapat apa-apa, atau kalah pertandingan, memberi nasihat bahawa parti lebih utama daripada kepentingan peribadi.
Adakah orang UMNO sendiri percaya nasihat ini siuman dan masing-masing berebut-rebut melaksanakannya? Mereka berebut-rebut mendapat kedudukan, bukan untuk berkorban. Apa maknanya berkorban jika papa kedana? Sah ketua-ketua UMNO tidak mahu jadi papa kedana, kerana orang-orang begitu sangat susah hidupnya. Jadi kalau begitu, sudah jelas nyata memang benar ketua-ketua UMNO itu sentiasa mencari kesempatan untuk memperkayakan diri sendiri dan keluarga. Inilah corak kepemimpinan UMNO dari dulu hingga sekarang.
Jika kecenderungan memperkaya diri sendiri dan anak buah menjadi fokus utama ketua-ketua UMNO, pengakuan mereka bahawa mereka mengutamakan rakyat hanya omong kosong, tidak boleh dipercayai sama sekali. Kini rakyat sudah sedar bahawa politik pembohongan yang diamalkan oleh UMNO menjana pembangunan ekonomi, tetapi faedahnya di luar jangkauan rakyat, hatta tempiasnya pun tidak sampai. Jalan-jalan raya memang banyak, tetapi bukan yang terbaik oleh itu membahayakan kenderaan, dan jalan-jalan yang membahayakan ini perlu dibayar tol yang tinggi.
Orang-orang yang terlibat dalam pembinaan jalan-jalan ini boleh jadi jutawan, walaupun tidak berbuat apa-apa selain hanya mendapatkan lesen dan kontrak. Ada pembangunan, tetapi tidak ada kemajuan untuk rakyat. Adakah orang begini layak menjadi pemerintah negara? Tidak layak, dan wajib ditolak jika “menawarkan” diri. Pendeknya, UMNO sah menjadi beban kepada rakyat, oleh itu perlu diperangi habis-habisan jika rakyat mahu selamat. Itulah keputusan terbaik dan tindakan paling tepat untuk dilakukan rakyat. Jangan lagi memberi peluang kepada UMNO untuk menjadikan rakyat miskin sebagai hamba UMNO.
Bahasa dan budaya Melayu tidak selamat di bawah UMNO; kini sudah jelas PPSMI akan diteruskan walaupun ditentang oleh rakyat. Jadi yang perlu berubah ialah sikap rakyat, berubah dari percaya buta kepada janji manis UMNO menjadi tidak lagi terpedaya dengan cakap-cakap kosong tentang rakyat yang tersembur dari mulut para pemimpin UMNO. Jika UMNO berubah, seperti yang dijeritkan dengan lantang oleh barisan kepemimpinan baru UMNO yang terus terkongkong oleh nilai-nilai Malayan Union bikinan British, maka perubahan itu hanya untuk menarik hati rakyat memberi kepercayaan kepada mereka untuk dijadikan hamba selama 50 tahun lagi.
Kalau orang Melayu mahu terus jadi bodoh dan bersedia untuk dijadikan hamba, maka percayalah kepada janji-janji kosong UMNO. Kata UMNO perjuangan mereka belum selesai. Masih belum selesai setelah diberi 50 tahun untuk menyelesaikannya? Ketua Menteri Pulau Pinang sekarang telah berjanji akan menjadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai contoh pemimpin jujur; sayangnya nama khalifah ini tidak pernah disebut oleh mana-mana pemimpin UMNO, apatah lagi mahu dijadikan model. Mustahil mereka tidak tahu kerana UMNO mempunyai ramai ustaz.
Khalifah Umar Abdul Aziz mengambil masa hanya dua setengah tahun untuk menghapuskan kemiskinan sebuah empayar Islam; bagaimana pula UMNO masih belum selesai diberi 50 tahun? Apa yang mereka buat? Tidak susah untuk mengetahuinya: Lihat rumah dan kemewahan ketua-ketua UMNO, di situlah terletak jawapan mengapa agenda UMNO belum selesai. Masih ramai di antara mereka yang belum betul-betul kaya. Mereka perlu lebih banyak masa. Itulah agenda yang belum selesai itu. Itulah sebabnya mengapa mereka mahu terus berkuasa. Itulah sebabnya mengapa rakyat harus menolak mereka. Rakyat tidak perlu ditipu lagi. Jangan jadi Tipah Yang Tertipu lagi!! (31/3/2009)
(*Mohd. Affandi Hassan sasterawan dan pengkritik sastera Melayu tersohor. Pesara PTD dan berpengalaman dalam pentadbiran dan pengurusan negara. Beliau tak berkompromi dalam menggunakan mata pena bagi mengkritik kepincangan masyarakat dan kebobrokan pentadbiran)
(*Mohd. Affandi Hassan sasterawan dan pengkritik sastera Melayu tersohor. Pesara PTD dan berpengalaman dalam pentadbiran dan pengurusan negara. Beliau tak berkompromi dalam menggunakan mata pena bagi mengkritik kepincangan masyarakat dan kebobrokan pentadbiran)
No comments:
Post a Comment