Assalamualaikum,
Tuesday, March 31, 2009
DARI LAMAN BLOG...
Surat Terbuka Zolkifli Bidin...
Saya bukan nak komen tentang DAP mempergunakan Nizar atau PAS diPerak. Oleh kerana perkara tersebut memang berlaku walaupun sesiapa yang memerintah. Maksudnya Melayu memang sudah biasa dgn menjual tanah kepada cina sewenang-wenangnya kerana inginkan wang. Habis tanah Melayu di Malaysia ni oleh kerana Melayu sanggup melakukan apasaja kerana wang.
Sebenarnya saya berjumpa dengan seorang ahli UMNO yang dapat informasi daripada imam tu sendiri tentang Nizar rampas microphone. Ianya bukan lah berlaku yang di sebarkan. Itu la dia orang Melayu yang bergelar Muslim... masih hendak bertelagah di dalam masjid. NIzar di suruh imamkan sembahyang waktu pada ketika tu dan pada ketika itu juga ramai ahli UMNO berada di masjid termasuk lah Timbalan Presiden UMNO. Dan mereka sembahyang beramai ramai dgn Nizar sebagai imam....... Dia "Amin" semua makmum pun "Amin" lah.
Hal tersebut tidak menjadi hal.. ianya ada lah cerita biasa sahaja. Oleh kerana mic tu telah pun di bahagikan kepada Nizar, Nizar terima dengan berbuka hati untuk mengimamkan. Takkan lah dia nak rampas mic dari Imam. Ini semua kes fitnah.
Seperti juga yang dikatakan oleh penganalisis politik,Prof. Agus dari UKM semalam di Radio Bernama semasa mengulas Piliharaya2 kecil ... sekiranya rakyat atau orang ramai yang berada disesuatu perhimpunan dan mereka dapat melihat secara terang terang apa yang berlaku tetapi media dan ahli politik kerajaan mengatakan perhimpunan tersebut ada lah haram dan rusuhan di mulakan oleh penyokong-penyokong pembangkang, Ini akan merosakkan persepsi rakyat terhadap Barisan Nasional oleh kerana kerajaan masih tidak telus dan tulus dalam hal ini. Rakyat akan memberontak dan akhirnya akan pangkah parti2 lain.
Kita sebagai rakyat biasa mahukan keadilan dan "fairness" dalam semua hal. Itu saja.
Sekian,
Wabillah hit taugiq wal hidayah wassalamualaikum warah matullah hiwabarakatuh.
Zolkifli Bidin
(Bekas Ahli UMNO - sedang menunggu keputusan Tun untuk masuk balik UMNO)
Ulasan L Mankadir Shamsi...
APA KATA DR SERI INTAN...
Akta Harta Intelek Tak Berkesan?
Secara tak disedari berlaku perkosaan terhadap lagu-lagu klasik yang dhasilkan oleh Allahyarham Tan Sri Dr P. Ramlee. Sekalipun Akta Pelindungan Harta Intelek diwar-warkan oleh kerajaan bagi melindungi hakcita dan royalti, tetapi tak membabitkan hukuman terhadap mereka yang 'memperkosa' karya terbabit. Misalnya lagu P. Ramlee 'Dengan Cinta Ku Bina Istana', bukan sekadar liriknya sahaja memukau perasaan malah melodinya menyentuh hingga menusuk ke kalbu. Sebaliknya lagu berkenaan dirakam semula oleh penyanyi lain dengan rentak yang konon nak memperlihat kehebatan penggubah muziknya. Kalau dah pandai menggubah begitu dan begini, kenapa tak cipta aje lagu lain bagi diperbandingkan dengan karya P. Ramlee yang klasik dan malar segar?
Memang saya terkedu apabila mendengar radio klasik nasional yang mengangkat lagu berkenaan sebagai salah satu lagu untuk pertandingan yang dianjurkan oleh stesen terbabit. Kenapa tak digunakan lagu asalnya yang dipetik dari filem 'Anakku Sazali'? Apalagi liriknya memang tak berubah, sebaliknya melodi yang entahlah! Kalau merujuk kepada lagu 'Tunggu Sekejap' yang dinyanyikan oleh Rafeah Buang, memang kita terpesona dengan suara lunak penyanyi itu sesuai dengan melodi lagunya yang menawan. Maknanya, apabila Rafeah Buang merakamkan semula, ianya menjadi lebih seronok didengar. Malah Dato' Ahmad Jais juga merakam semula 'Di Ambang Sore' yang pernah dipopularkan oleh S. Affandi, tetapi lagu berkenaan lebih menusuk perasaan daripada rakaman asal. Kalau mahu buat perubahan biarlah daripada yang baik kepada yang lebih baik, bukan berubah hingga rebah dan demam tak kebah!
Monday, March 30, 2009
DARI PEJABAT ANWAR IBRAHIM...
Ucaptama 'Forum Krisis Ekonomi Sejagat
30 Mac 2009 - Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan menyampaikan ucaptama di Forum Krisis Ekonomi Sejagat Dan Masa Depan ASEAN di Universiti Chulalongkorn, Bangkok pada 30hb Mac jam 1.30 PM. Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga bekas menteri kewangan itu akan membicarakan krisis kewangan mutakhir ini di dalam konteks kepimpinan beliau pada tahun 1997; sewaktu krisis kewangan yang melanda Asia. Beliau juga akan menawarkan beberapa pandangan di dalam membentuk Asean yang stabil serta makmur.
Professor Pirom Kamolratanakul, Rektor Universiti Chulalongkorn akan menjadi hos forum tersebut manakala HRH Sukumphan Paribatra Boriphat, Wizurai Bangkok dan mantan Timbalan Menteri Luar Thailand akan menyampaikan ucapan pendahuluan.
Acara ini adalah sebahagian dari siri syarahan oleh pemimpin ASEAN terkemuka bagi berkongsi pandangan, pengalaman dan cita-cita untuk pembangunan demokrasi serta perkembangan rantau di tengah dunia yang melangkah pesat ini. Forum ini dianjurkan oleh Thailand Political Database Project.
KOMENTAR:
Hatta beberapa lamanya maka Raja Suran itu pun beranaklah dengan Tuan Puteri Onang Kiu anak Raja Chulan, seorang perempuan terlalu baik parasnya, pada masa itu tiadalah sebagainya seorang jua pun. Maka dinamai oleh ayahanda baginda Tuan Puteri Chendan Wasis. Syahdan beranak dengan Tuan Puteri Zaris Gangga tiga orang laki-laki, Bichitram Shah seorang namanya
Maka oleh Raja Suran anaknya yang bernama Paldu Tani itu dirajakannya di Negeri Amdan Negara dan Nila Manam dirajakannya di Bija Negara akan menggantikan kerajaan baginda, maka Bichitram Shah dirajakannya di Negeri Cnadu Kani. Maka kata Bichitram Shah, "Aku tua dirajakan di negeri kecil, baiklah aku membuang diriku." Arakian kalau semuanya diserahkan kepada Orangkaya Dato' Seri Najib seperti perihal Bichitram Shah inilah di dalam 'Kitab Melayu' dikarang oleh:
HIDUP BAHASA MELAYU!
DARI LAMAN BLOG...
Zambry Sengaja Nak Timbul Sensasi
Mempersoalkan teknikal kertas pencalonan Dato' Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin yang mengisi di ruang pekerjaannya sebagai 'Ahli Dewan Negeri' dan bukan 'Menteri Besar' amat jelas pimpinan UMNO bankrap idea, malah mungkin pupus sama sekali di masa akan datang. Dato' Dr Zambry Kadir seorang intelektual Melayu tak seharusnya berfikiran jumud, semata-mata sudah tak ketahuan bagi menghadapi keberangan Melayu terhadap UMNO. Majoriti Melayu tak akan memaafkan UMNO dalam insiden di istana pada 6 Februari 2009 (Kecuali segelintir Melayu Abdul Wahab dan Melayu Abdul Wahib di dalam UMNO). Melayu yang mengamalkan budi bahasa budaya kita, tak mampu menerima insiden memalukan, memilu dan mengilukan itu.
TERSIRAT DI HATI KAMAL AMIR...
PADA HEMAT L. MANKADIR...
YASSINSALLEH BERPUISI...
Kicau Serindit
Kerana wajahmu
separuh sembunyi
melalui matamu
aku masuk
ke kamar kalbumu
taman pelangi
mekar ranum
kuntum-kuntum orkid
menari-nari
dalam melodi bayu
mengiringi
kicau serindit
mendayu pilu
menahan sendu.
-Yassinsalleh
Jam 2245
Mac 09
Bukit Puchong, Selangor
CATATAN LARUT MALAM AFFANDI...
Dr. Mahathir Mohamed:
Tidak ada siapa pun menduga, Dr. Mahathir Mohamed yang dianggap oleh UMNO sebagai pemimpin besar mereka yang diberi peluang (lebih tepat merebut peluang) menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, hanyalah seorang Si Luncai saja, yang terjun dengan labu-labunya sambil bernyanyi “Biarkan, Biarkan!” Dia keluar UMNO, terjun dari perahu bocor yang ditinggalkannya kepada Abdullah Badawi. Dia marahkan Abdullah kerana tidak ikut telunjuknya. Jika benarlah Abdullah rasuah dan dia tahu, dia tidak seharusnya melantik Abdullah sebagai penggantinya.
Jika dia tidak tahu ternyatalah dia bukan seorang pemimpin yang cekap membaca peribadi budak-budak bawahannya. Dia cerca dan hamun Abdullah sebagai perasuah dan pembinasa UMNO. Abdullah yang pendiam dan tidak suka bergaduh tidak menjawab bahawa dia menerima perahu buruk yang bocor di sana sini, sebuah organisasi yang likat dengan rasuah. Tidak terfikir oleh orang UYMNO Dr. Mahathir Mohamed akan terjun perahu seperti Si Luncai. Kini kata khabarnya dia akan masuk UMNO balik setelah terjun dengan labu-labu keangkuhannya kerana terlampau bencikan tokoh pilihannya yang disedarinya tidak boleh dicucuk hidung. Sangkanya dia dapat jadikan Abdullah Badawi budak suruhannya, tetapi ternyata meleset.
Dengan caranya yang tersendiri, Abdullah Badawi muncul sebagai seorang tokoh UMNO yang lain dari yang lain: lemah lembut, bersahaja, tidak pandai menyelar musuh dengan bahasa yang kesat, dan lebih istimewa beliau sentiasa tersenyum dalam keadaan yang rumit sekali pun. Dia tahu orang yang dilantiknya sebagai menteri dengan diam-diam mengkhianatinya, tetapi tidak diambil tindakan apa-apa. Dia sedar tindakannya tidak disukai orang-orang seperti Si Luncai kita, tetapi dia tetap sabar dan terus menjalankan tugasnya. Tiba-tiba dia dituduh rasuah kerana kononnya anaknya dan menantunya mengambil kesempatan daripada kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
Si Luncai berjaya memberi gambaran buruk kepada Abdullah Badawi, anaknya dan menantunya. Bagaimana dengan anak-anak Dr. Mahathir Mohamed sendiri? Mungkin jarang orang tahu ada anaknya yang mempunyai bangunan besar di Vancouver, Kanada. Orang yang bekerja di luar negeri tahu banyak rahsia tentang tokoh ini, yang mujurlah tidak didedahkan. Jika tidak, malu besarlah Malaysia dan orang Melayu. Sebagai Perdana Menteri, dia paling banyak mengembara, hingga ke Antartica. Buat apa di sana? Bolehkah Melayu dimajukan dengan berhijrah ke Antartica? Kita tidak diberitahu berapa belanja setiap lawatan rasmi yang banyak itu ditanggung rakyat Malaysia, yang faedahnya terbang di angin lalu saja, hanya ada dalam ucapan dan penegasan, tetapi tidak nampak di alam nyata.
Biarlah semua itu tersembunyi dan disembunyikan sehingga tiba waktunya untuk dibuka bagi pengetahuan umum. Apa yang penting di sini ialah hakikat sebenar tokoh ini. Seperti orang lain juga, banyak dosanya. Cuma orang Melayu yang baik hati berdiam diri, tidak ungkit kerana perkara-perkara itu terlalu memalukan dan menyakitkan hati. Paling utama bagi UMNO, perpecahan dalam UMNO berlaku kerana Dr. Mahathir Mohamed tidak dapat menerima saingan daripada tokoh-tokoh UMNO yang mungkin lebih cerdik dan lebih berkarisma daripada beliau, mungkin juga lebih jujur. Dr. Mahathir Mohamed komplen mengapa keputusan Ketua Pemuda UMNO mengambil masa yang lama untuk diumumkan: kerana terdapat unsur rasuah.
Ini bukan pembelaan kepada Khairy, hanya sekadar memberitahu fakta yang diselewengkan. Memang ahli politik suka menyelewengkan fakta, tetapi janganlah terlalu melampau kerana perbuatan itu menunjukkan anda tidak mempunyai integriti. Jika kita tidak senang dengan kemenangan Khairy, bolehkah kita berkata kita juga tidak senang dengan kemenangan 42 undi Dr. Mahathir Mohamed tahun 1987 itu. Penganalisis politik yang ramai sekarang boleh tolong kita menjelaskan perbezaan dua kemenangan yang meragukan itu. Samakah kemenangan Khairy tahun 2009 dengan kemenangan Dr. Mahathir Mohamed tahun 1987?
Kini Dr. Mahathir Mohamed kembali ke perahu UMNO setelah terjun beberapa lama kerana terlalu panas berada di dalam perahu di bawah nakhoda baru (Pak Lah). Kini nakhoda yang ditunggu-tunggunya sudah dapat merebut kuasa dengan izin Pak Lah sendiri, setelah menerima tekanan yang sangat hebat daripada Muhyiddin Yassin yang bekerja di bawah naungan Dr. Mahathir Mohamed. Kembalinya Si Luncai ke perahu sebenarnya tidak memberi manfaat apa-apa yang istimewa, selain dari menambah beban perahu yang sudah sarat dengan barangan bermasalah. Benarkah Dr. Mahathir Mohamed faktor penting dalam penyatuan UMNO?
[*Mohd. Affandi Hassan, bekas pegawai tinggi kementerian yang pernah berkhidmat di bawah pentadiran Tun Dr Mahathir Mohamed sejak dekad 1980-an, dan berpengalamn dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan. Dilahirkan di Kelantan pada 1942, beliau pesara PTD dan menetap di Petaling Jaya]
Sunday, March 29, 2009
KOMENTAR:
Berebut Untuk Orangkaya:
15 Bersaing Di Bukit Selambau
Kata sahibul hikayat tersebutlah ceritera di negeri Melayu itu, seramai lima belas orang anak tuan-tuan berebut mahu menjadi Orangkaya Bukit Selambau. Arakian pada hari ini 2 Rabiulakhir 1430 (atau disebut orang 29 Mac 2009). Adapun pada hari yang sama berebut-rebut anak tuan-tuan mahu menjadi Orangkaya di Bukit Gantang dan Orangkaya Batang Air. Maka terfikir kepada fakir selama ini tak pernah berebut-rebut hingga 15 orang mahu menjadi Orangkaya. Sebermula pada hari semalam 1 Rabiulakhir 1430, bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun (Tabib) Mahathir Mohamad, gembiralah ia kerana Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu berhentilah daripada jawatannya. Syahdan diketahui oleh orang banyak bekas Orangkaya itu tak mahu ia kembali bersama harakah Melayu (UMNO), kalau Orangkaya Dato' Seri Abdullah masih lagi menjadi Perdana Menteri.
Syahdan pada masa itu sembilan orang yang layak jadi Orangkaya Bendahara iaitu tak sampailah ramainya 15 orang seperti di Bukit Selambau pada akhir zamannya. Pertama-tama Paduka Tuan, kedua Tun Zainal Abidin (seakan-akan pula Tan Sri Muhyiddin), ketiga Tun Telanai, keempat Seri Nara Diraja, kelima Seri Maharaja, keenam Seri Wak Raja ketujuh Tun Abu Saiyid, kedelapan Tun Abdul, kesembilan Tun Bijaya Maha Menteri. Maka berdirilah berbanjar di hadapan istana Sultan Mahmud. Arakian titah baginda, "Siapa antara Orangkaya sekalian ini akan jadi bendahara?". Adapun bunda Sultan Mahmud itu adik Tun Tahir dan Tun Mutahir, ada ia di balik pintu. "Pak Mutahir itulah jadikan bendahara," katanya kepada Sultan Mahmud, kerana sejak zaman Melaka begitulah anak orang-orang besar sekalian seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' oleh:
DARI LAMAN BLOG...
Assalamualaikum,
Tulisan Larut Malam Mohd Affandi...
Satu perkara aneh telah terjadi: beberapa orang pemuda yang didengar bercakap tentang perhimpunan agung UMNO, telah mengemukakan satu pertanyaan yang sangat pelik dan sungguh menghairankan: Berapa lama Najib boleh kekal? Jika pertanyaan itu datang daripada golongan tua (dipanggil veteran) dalam UMNO, kita boleh faham kerana mereka orang bijaksana, pandai melihat rahsia tersembunyi jauh ke depan. Ini orang muda yang bertanya seperti itu. Mengapa? Nampaknya mereka bingung dengan segala macam kontroversi yang tidak berjawab mengenai Presiden UMNO yang baru ini, yang juga Perdana Menteri baru.
-Mohd. Affandi Hassan
Saturday, March 28, 2009
SUARA HATI LEO A.W.S...
INFO SASTERA & BUDAYA...
Sang Matador Si Lembu-LEMBU
Bertemu dan berpisah
adat manusia biasa
hilang di mata
tapi dihati
takkan lupa.
Membeli dan menjual
adat orang kaya raya
hilang maruah
tapi dapat
kekalkan kuasa.
Demi bangsa
demi negara
demi agama
demi matlamat
makanya,
halallah segala cara.
Dari meratah
bangkai saudara
sehinggalah
menaburkan isi
gua Qarun
sambil berebutan
mengkakak tuakan
hadis dan Quran
dan mengucup
keris dengan penuh azam
tak akan minta ampun
minta maaf lagi
kali ini.
MAKAnya,
mustainlah gerombolan
kafilah itu membina
fatamorgana
idaman bangsa
yang dirayakan
penuh sorak sorai
hilai tawa
yang amat gempita,
mengiringi nakhoda perkasa
mempertinggi tempat jatuhnya.
Bertemu dan berpisah
adat manusia biasa
pulanglah yang buta tuli
dan bisu
setelah shopping
sesakan-sakannya.
Tinggallah
patung-patung
biara
berpencak dan
bertandak
mematuhi
rentak dan bentak
sang matador si lembu-LEMBU
-Yassinsalleh
Masjid Jamek, Kuala Lumpur
28 Mac 2009
jam 16:57:39
Seminar Penulisan Biografi...
Tiga Kertas Kerja Akan Dibentang
Teks Ceramah Pak Dharma...
Sudut Pandangan Mohd Affandi Hassan...
UMNO mempunyai syahwat politik yang sangat kuat. Kita akan lihat bagaimana syahwat politik itu mereka puaskan dengan memperkasa (jangan baca “memperkosa”) undang-undang untuk menjamin keselamatan mereka dan melindungi mereka dalam kegiatan rasuah politik. Anda tentu pernah melihat keldai kurus ditutup matanya mengelilingi perigi mencurahkan air ke dalam parit mengairi tanaman di padang pasir. Walaupun beribu batu keldai berjalan, dia tidak berpindah dari telaganya, malah dia tidak pun tahu dia hanya mengelilingi telaga. Itulah jenis perubahan yang dicadangkan oleh UMNO dalam perhimpunan mereka Mac 2009 di telaga besar kepunyaan mereka bernama PWTC (nama itu pun sama dengan UMNO, tetap bercorak Inggeris!).
Sekarang ketua-ketua UMNO bercakap perlunya diadakan pembaharuan untuk menarik kembali sokongan orang Melayu. Jika semua hujah mengenai perlunya pembaharuan itu diteliti, diperhalusi, dan dianalisis dengan kritis, maka yang mereka maksudkan dengan “pembaharuan” itu ialah umpan-umpan baru yang boleh disogokkan kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia untuk menarik mereka kembali. Umpan baru itu, antara lain, ialah upaya yang mesti dilakukan dengan segera untuk menarik minat orang muda menyokong UMNO. Sebenarnya ini satu perkara yang sangat pelik, malah boleh dikatakan bodoh.
Sudah bertahun-tahun anak-anak muda ini dikongkong di universiti dengan segala macam akta, dengan wujudnya pula jawatan akademik (yang tidak ada unsur akademik sama sekali) untuk menghukum mereka jika mereka bersuara dengan suara yang berbeza daripada yang dibenarkan oleh UMNO. Anak-anak muda ini wajib membenci dan memusuhi UMNO/BN kerana tekanan mental dan fizikal yang mereka terima daripada kerajaan UMNO/BN selama berada di universiti. Tidak wajar mereka menyokong puak yang menzalimi mereka yang mengajar mereka menjadi bodoh dan pak turut membuta tuli.
Apakah pilihan yang terbuka kepada UMNO? Tidak mungkin UMNO dibubarkan oleh ahlinya, walaupun itulah pilihan terbaik. Secara khusus hanya dua pilihan yang ada pada UMNO: meneruskan rasuah politik dengan menghalalkannya menerusi undang-undang, dengan memperkenalkan undang-undang khusus yang mungkin diberi nama Undang-undang Pengecualian Rasuah. Undang-undang ini bermaksud untuk mengeluarkan rasuah politik daripada senarai tindakan rasuah dengan beberapa peraturan yang boleh dilaksanakan dengan mudah.
Misalnya, setiap calon diberi kebenaran untuk berbelanja tidak lebih daripada sepuluh juta untuk berkempen mendapat pengaruh (kini tiada had, antara 20 hingga 30 juta); setiap perbelanjaan diaudit oleh juru audit politik yang kerjanya menentukan perbelanjaan itu dijalankan tanpa sebarang penipuan; selain itu sumbangan wang boleh diterima daripada sesiapa pun yang mahu memberinya, tetapi dihadkan dari sumber dalam negara saja. Jika ini dilakukan, UMNO selamat daripada rasuah politik; dan rakyat berpuas hati kerana mereka mendapat habuan mengikut budi bicara calon atau agennya. Kita juga dapat membuka peluang secara telus kepada para penderma yang ikhlas menyokong calon yang terbaik.
(*Mohd. Affandi Hassan ialah pengkritik sastera Melayu tersohor. Berpengalaman dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan sejak memegang jawatan Penolong Pegawai Daerah (ADO) hingga kepada pengarah di beberapa kementerian. Pesara PTD, tetapi tak bersara sebagai penulis dan sasterawan Melayu berwibawa)
KOMENTAR:
DARI LAMAN BLOG...
Serasi Atau Tak Serasi:
Gandingan Najib-Muhyiddin sama sahaja dengan Onn Jaafar-Hamzah Abdullah, Tunku-Tun Razak, Tun Razak-Tun Dr Ismail/Hussein Onn, Hussein Onn-Mahathir dan Mahathir-Musa/Ghafar/Anwar/Abdullah. Persaingan politik tak akan menunggu masa untuk melonjak naik, kerana senyuman mempunyai seribu makna. Berpeluk-pelukan juga mempunyai seribu erti yang tersirat dan tersurat. Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau atau Batang Air, juga akan melihat aksi berjabat tangan dan saling bertukar-tukar senyuman calon yang bertanding. Ianya tak membawa makna calon-calon bertanding itu 'suka sama suka' apabila mengalami kekalahan atau mencapai kemenangan.
Justeru pemilihan Najib-Muhyiddin tak semestinya gandingan serasi. Cantas mencantas sudah menjadi agenda; apalagi perubahan yang disebut-sebut sekadar mencantas mereka yang pro Dato' Seri Abdullah. Kalau tak dicantas akan menyukarkan pula pihak yang lain. Tun Razak juga mencantas mereka yang pro Tunku; malah Tun Sardon Jubir yang sepatutnya menggantikan Tun Dr Ismail pada 1973; tup tup Tun Hussein Onn yang heh heh heh! Begitu juga pada period pasca merdeka, Abdul Aziz Ishak perlu dicantas sebelum menggugat kedudukan Tun Razak. Aziz Ishak menteri paling popular dengan kapasiti Menteri Pertanian dan Syarikat Kerjasama.
Selepas Aziz Ishak dicantas, gandingan Tunku-Razak dianggap semakin mantap. Tun Razak diberi kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi menarik sokongan golongan prolitar yang mempopularkan Aziz Ishak. Idea Aziz Ishak melaksanakan kilang baja urea untuk petani-petani Melayu dan kilang kertas bagi meningkatkan kemampuan syarikat kerjasama Melayu perlu dileburkan. Siapa sahaja yang mempunyai idea bernas perlu dicantas, sebelum keterampilan individu itu menggugat pimpinan. Inilah amalan politik; tak kira UMNO atau bukan UMNO. Justeru dalam politik, Muhyiddin juga akan dicantas kalau dilihat lebih 'pintar' daripada bos. Maknanya, iklan 'dengan bos andalah bos' sebenarnya tak berfungsi apa-apa!
- Pak Dharma
Friday, March 27, 2009
MOHAMAD MANSOR BERSUARA...
Berundur Tak Terpilih: