Tuesday, May 10, 2011

Takziah Buat Keluarga Aimi Jarr

Tadi AW menonton Buletin Utama. AW terkejut bila mendapat tahu aktivis seni Aimi Jarr atau nama sebenarnya Datuk Omar @ Abdul Majid Puteh, 72, meninggal dunia jam 7.00 pagi tadi akibat serangan sakit jantung.

Arwah Aimi Jarr telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Klang Gate selepas solat Zohor tadi. Arwah Pak Dharma kenal akan Arwah Aimi Jarr. Mereka tidak berapa rapat, tapi pernah bertemu beberapa kali memandangkan kedua-duanya berkerja dalam bidang yang sama.

Al-Fatihah. Semoga roh kedua-dua arwah dicucuri rahmat. Amin.

-ANAK WARISAN...

Tuesday, April 19, 2011

ISU OBESITI DALAM KALANGAN PELAJAR

Assalamualaikum,

Sekarang ini kecoh dengan berita obesiti dalam kalangan pelajar sekolah. Jadi cadangannya adalah mengurangkan penjualan nasi lemak dan mengharamkan penjualan makanan ringan di sekolah.

Cadangan itu memang bagus, tapi ramai yang tidak sedar sebenarnya punca anak-anak sekarang obesiti bermula dari rumah. Sudah tentu kaum ibu di rumah ingin memasak makanan yang lazat untuk anak-anak mereka. Apabila di luar pula, kaum bapa membelikan anak-anak makanan ringan.

Jadi apa gunanya mengharamkan segala jenis makanan tidak berzat di kantin sekolah tapi tidak di rumah? Kesannya sama sahaja kalau begitu. Senang cerita baiklah haramkan sahaja kantin sekolah dan semua restoran makanan segera serta gerai menjual nasi lemak di Malaysia ini.

Sepatutnya sebelum beri cadangan patut dijalankan kajian secara menyeluruh. Pada pendapat AW, cara sepatutnya adalah mengubah suai resipi makanan tersebut. Contohnya makanan yang menggunakan minyak yang banyak, dikurangkan sedikit kuantiti minyaknya dan menambah sayur-sayuran dalam setiap menu masakan.

Selain itu boleh juga dijual minuman yang mengandungi kurang gula. Bukankah itu lebih baik daripada mengharamkan segala jenis makanan yang sudah menjadi kelaziman pelajar di sekolah mahupun di rumah? Harap cadangan pengharaman tersebut ditimbang balik.

-ANAK WARISAN...

Sunday, March 6, 2011

KEMENANGAN BESAR BN

CALON-CALON BN TELAH DIBERI MANDAT
UNTUK MENERAJUI KAWASAN MASING-MASING
Assalamualaikum,

Tak banyak yang AW nak ulas sebab AW hanya sempat mendengar sedikit sahaja daripada Buletin Utama tadi. Yang AW tahu calon BN di Merlimau, Roslan Ahmad dan di Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad menang besar dengan majoriti undi 2000+.Tahniah AW ucapkan.


Semoga Roslan dan Syed Ibrahim yang juga dikenali sebagai Syed Ibra dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah. Selamat menerajui Merlimau dan Kerdau daripada AW.

-ANAK WARISAN...

Wednesday, February 16, 2011

KAMI PRIHATIN!

KEMALANGAN NGERI DI TANJUNG KARANG
TETAPI SAKIT HATI DENGAN 999 DAN HOSPITAL TANJUNG KARANG!

Assalamualaikum,

Semalam, 14 Februari AW pulang ke kampung di Bagan Datoh, Perak bersama keluarga AW. Keesokan harinya (15 Februari) AW pulang semula ke Gombak.

Di dalam perjalanan pulang itu, ada satu kemalangan kira-kira 2.5 km dari Hospital Tanjung Karang kira-kira pukul 4 petang.Kemalangan itu pula berlaku kira-kira 400 meter dari kereta kami.Kiranya betul-betul berlaku di depan mata. Bagi AW itu memang kemalangan ngeri kerana pertama kedua-dua motosikal yang terlibat hancur dan yang kedua, dua daripada empat mangsa parah dan salah seorangnya pecah kepala hingga ternampak tempurung kepalanya. Maaflah tiada gambar kerana kami sibuk menguruskan kemalangan.

Ikut cerita abang AW, Ritma Sakti (RS), motor yang keluar dari simpang Taman Murni itu yang salah. Maka kedua-dua motor itu dipandu laju. Tetapi Alhamdulillah, dengan tindakan pantas RS dan hamba-hamba Allah yang lain, mangsa-mangsa tersebut dapat dialihkan ke tepi sebelum digilis oleh lori kerana terdapat lori di kedua-dua arah.

Menggigil sebentar AW melihat mangsa yang pecah kepala itu tidak bergerak sambil menggenggam tangan tapi berasa lega bila ternampak dadanya masih berombak. AW dan kakak AW, Waris Pak Dharma (WPD) terus sahaja menghubungi 999 tanpa berlengah. Tetapi memang sakit hati kerana pada panggilan pertama, operator tersebut terus meletak telefon. Pada panggilan kedua pula berjawab, tapi macam nak tak nak sahaja menjawabnya. Aik, takkan marah kena kerja pada hari cuti?

Memang rasa nak membara sahaja jiwa. Apa yang diwar-warkan kononnya 999 adalah nombor yang patut dihubungi bila kecemasan dan bantuan akan segera tiba hanya indah khabar dari rupa. Setelah lima minit menelefon 999, operator yang menyambutnya itu menyuruh agar menelefon 103 pula. Setelah memperoleh nombor Hospital Tanjung Karang, masalah yang lain pula tiba.

Petugas di Hospital Tanjung Karang tidak ingin mengangkat telefon!Puas dicuba berkali-kali tetapi tidak berjawab. Syukur kerana masih ada insan prihatin yang ingin membawa kesemua mangsa ke hospital. Kalau hendak menunggu ambulans, fikirlah sendiri apa yang akan berlaku pada mereka.

AW bukan nak puji RS dan warga-warga prihatin yang terlibat itu, tapi tindakan pantas mereka menguruskan kemalangan sehingga kesesakan lalu lintas cuma berpanjangan selama dua minit sahaja patut dicontohi. Kebiasaannya kemalangan seteruk itu akan mengakibatkan kesesakan yang panjang dan lama.

Apa-apahal pun kepada operator 999 dan petugas perubatan atau siapa sahaja yang kena bekerja pada hari cuti, janganlah bersikap macam itu. Jika benda yang sama berlaku pada anda, apa perasaan anda?Ubahlah sikap atau berhenti sahaja dari kerja.

Jadi berhati-hatilah di jalan raya. AW harap keempat-empat mangsa itu selamat kerana mereka masih muda dan masih panjang perjalanan hidup mereka. Amin.

p/s:Teringatkan arwah abang AW yang meninggal kerana kejadian yang serupa.Perkara yang sama juga berlaku, jenazahnya lambat dibawa ke hospital dan mayatnya tidak dibersihkan dahulu oleh petugas Hospital Tanjung Karang juga sehinggalah kami sampai. Sepatutnya perkara sebegini tidak berlaku. Arwah tidak bernasib baik, harap mereka di luar sana yang terlibat dalam kemalangan lebih bernasib baik daripada arwah.Walaupun kami tidak dapat menolong adik-beradik kami, tapi kami dapat menolong orang lain. Harap masih ramai lagi insan prihatin di luar sana. Al-Fatihah untu arwah abang AW dan kesemua roh mereka yang terlibat dalam kemalangan....

-ANAK WARISAN...

Wednesday, December 29, 2010

PIALA SUZUKI

TAHNIAH MALAYSIA!
TERUSKAN LAGI USAHA DI MASA DEPAN

Assalamualaikum,

Tak mengapa walaupun kalah, Malaysia kerana kita mempunyai kelebihan dua agregat. Walaupun AW tidak berapa kenal pemain Malaysia sangat tapi permainan mereka cukup membanggakan. Contohnya Safee Ali, jaringannya di Bukit Jalil mahupun di Gelora Bung Karno cukup mantap sehingga diberikan anugerah Penjaring Terbanyak. Harimau Malaya yang dipimpin oleh K.Rajagobal membuka jaringan sebelum diekori rapat oleh Indonesia. Ketangkasan Khairul Fahmi dan kecekapan pemain-pemain lain juga tidak boleh dinafikan.

Tapi yang menghairankan AW, pada separuh masa kedua, pemain Malaysia berjersi no 12 (AW tidak berapa kenal) ditolak pemain Indonesia tetapi pemain Indonesia yang lain cuba memarahi pemain Malaysia. Di mana letaknya pemikiran yang rasional? Tidak bolehkah bermain secara profesional?Hai,entahlah!

Lagi satu, ketika AW asyik melihat Khairul Fahmi menangkap bola, AW terpandang cahaya hijau di mata Khairul. Agaknya penyokong Indonesia membalas dendam atas kejadian tempoh hari. Tapi tak mengapa, kami tetap menang!Tidak banyak kejadian yang melampaukan sepanjang perlawanan berlangsung.Alhamdulillah.

Semasa jurugambar merakam gambar di kerusi penyokong, terakam pula gambar Manohara di situ. Tapi tak mengapa, walaupun banyak selebriti Indonesia dikhabarkan turun padang, ia tidak menjadi kudis pada Malaysia. Walaupun ura-ura mengatakan Julia Perez ingin memakai coli laser, ia tidak menggentarkan Harimau Malaya.

Akhirnya Harimau Malaya yang "membaham" Garuda.Tahniah Malaysia!!!He!He!He!

-ANAK WARISAN...

Saturday, October 30, 2010

AL-KISAH KLATE VS NISMILAN

MONANG KALAH SAMO JO!
KHILAF YANG LALU TAK DIJADIKAN PEDOMAN

Assalamualaikum,

AW bukanlah marah sebab pasukan kegemaran AW, Negeri Sembilan kalah, tapi AW geram melihat penyokong Kelantan tetap membaling mercun dan botol air ke arah padang. Sudah menang tapi masih nak tunjuk lagak!

Cuba tengok penyokong Negeri Sembilan. Walaupun kalah, mereka tetap tenang, tak perlu nak buka baju, baling mercun dan botol air. Kenapa penyokong Kelantan tak boleh nak contohi penyokong Negeri Sembilan? Jangan disebabkan sikap besar kepala itu menyebabkan penyokong-penyokong Red Warrior nanti dicemuh. Bukan sahaja masa final ini, malah perlawanan-perlawanan sebelum ini pun penyokong-penyokong berbaju merah tetap setia dengan balingan mercun dan botol air. AW sempat jugalah menonton perlawanan antara Kedah dengan Kelantan. Tetapi hasilnya, penuh dengan asap!

Cuba imbas kembali perlawanan Piala Malaysia tahun lalu antara pasukan Negeri Sembilan dan Kelantan yang dimonopoli oleh Negeri Sembilan itu. Penuh dengan asap, mercun dan botol mineral, lebih teruk daripada kali ini sebab pasukan mereka kalah. Bukankah KAFA kena denda disebabkan perangai yang ditunjukkan oleh mereka?(tolong betulkan jika AW tersalah fakta). Tapi AW pelik, mereka masih tak ambil iktibar.Ish ish ish!

Berpatah balik pada cerita final tadi, masa di separuh masa kedua, Aidil Zafuan tercedera disebabkan pemain Kelantan. Dan selepas itu permainan Negeri Sembilan terus jatuh merudum. Kenapa sampai begitu? Begitu juga masa di kawasan corner, pemain Kelantan dan Negeri Sembilan berebut-rebut bola . Tapi kenapa pemain Kelantan nak marah-marah. AW rasa ramai pemain Negeri Sembilan dikasari, tetapi mereka mampu mengawal emosi.Kenapa tidak pemain Kelantan?Seorang pemain Kelantan naik berang apabila Shukor Adan tidak sengaja menolaknya, tapi Shukor Adan dengan pantas mengawal perasaan marah. Kan elok begitu?

Apa-apa hal, tahniah pada Kelantan. Tapi sesungguhnya AW bangga menjadi anak Negeri Sembilan sebab orang kampung AW (penyokong-penyokong Negeri Sembilan) menjadi orang yang bertamadun sebab tak baling mercun dan botol air walaupun kalah. Bagi AW, Negeri Sembilan tetap menang dan tak perlu malu sebab lepas ini "bukan kito yang kono saman ngan kono kutok!"
~HOBEN JANG HOBEN!~

-ANAK WARISAN...

Wednesday, October 13, 2010

CERPEN:

SEKEPING HATI YANG TERLUKA...

BAHAGIAN PERTAMA:

Zara termenung lagi. Dia teringat akan kisah itu. Entah mengapa, semakin dia cuba untuk melupakan semua itu, semakin menggila memori itu menerjah ke ruang fikirannya.

20 tahun dahulu:

"Hey orang tua, kau tau tak aku ni baru balik dari kerja, aku lapar, kenapa tak masak lagi?" jerkah Zara pada Mak Humairah, ibunya yang telah mengandungkannya sembilan bulan. Begitu biadap tutur kata Zara pada seorang ibu tua yang setia melayan kehendak anaknya walaupun dia tahu hanya racun pemedih jiwa yang dihamburkan kepadanya sebagai balasan."Bukan mak tak mau masak, Za. Mak sakit lutut tadi, sakit sangat. Mak pun berehat la sekejap. Mak tak sangka kau balik awal, nak," lembut saja suara Mak Humairah membalas."Aku peduli apa kau sakit ke, apa ke. Kalau aku balik, aku nak makan. Dah lah aku penat menanggung keluarga ni, tapi bila aku balik tak ada makanan, apa guna aku cari duit macam nak tercabut nyawa aku!" Mak Humairah cuba untuk menyentuh lembut muka Zara dengan harapan hati anaknya itu akan sejuk semula, tapi dengan kasarnya dia menolak tangan ibu tua itu sehingga hampir terjatuh. Qira hanya mampu mendengar pertengkaran itu sambil menangis.

Zara bergegas keluar dari rumah untuk makan di luar tanpa rasa bersalah atas sikapnya terhadap Mak Humairah. Qira yang muda lima tahun dari Zara segera mendapatkan ibunya yang hanya mampu menangis hiba. "Bu, sabar bu, Qira ada di sini. Biarlah kak Zara tu bu, tak guna ibu bazirkan air mata ibu yang berharga hanya kerana seorang anak yang tak sedar diuntung. Kalau tak ada arwah abah dan ibu, dia tak dapat nak tengok dunia. Baru dua bulan arwah abah tinggalkan kita, dia dah buat kita macam ni. Tapi nak kata apa, masa arwah abah ada dulu pun, dia dah tunjuk sikap besar kepala dia tu, bu. Tak apa bu, lepas je Qira habis SPM, Qira cari kerja, Qira bawa ibu pindah dari neraka yang kak Zara ciptakan untuk kita!" lancar sahaja kata Qira dalam tangis sendunya."Jangan kata begitu pada kakak kau, Qira. Kita doakan sahaja kakak kau berubah," serak dan sebak sahaja suara Mak Humairah meluahkan apa yang terbuku di hatinya.


********************

Pagi itu, sesudah solat Subuh dan bersiap-siap untuk ke sekolah, Qira membantu ibunya membuat kuih dan nasi lemak untuk dihantar ke Gerai Pak Jali sebelum pergi ke sekolah."Sebelum Qira pergi sekolah, boleh tak tolong ibu hantarkan kuih dan nasi lemak ini pada Pak Jali? Sakit sangat lutut ibu ni nak jalan ke gerai tu."pinta Mak Humairah. Selalunya dia yang menghantarkan makanan-makanan itu ke Gerai Pak Jali kerana tidak mahu menyusahkan Qira, tapi kali ini dia terpaksa meminta bantuan anaknya disebabkan lututnya yang berdenyut-denyut. "Boleh bu, rasanya sempat nak hantar makanan-makanan ni pada Pak Jali."

Dengan muka sombongnya, Zara keluar dari bilik tanpa rasa bersalah kerana tidak membantu ibunya."Mana sarapan aku? Aku dah lambat nak pergi kerja ni!" arah Zara seolah-olah ibunya itu seperti hamba abdi yang tidak layak mendapat belas ihsan. "Za, boleh tak kalau Zara buat sendiri, ibu sibuklah. Adik kau pun buat sarapannya sendiri," perlahan sahaja suara ibu tua itu."Tak apa kak, Qira dah buat sarapan untuk akak sekali. Nah, ni dia," manis sahaja suara Qira membalas sambil menghulurkan sarapan Zara dengan cepat, bimbang ibunya diherdik lagi. Dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya hati terpaksa melayan kerenah kakak kandung yang berlagak seperti Permaisuri. Zara menghabiskan sarapannya dengan cepat dan bergegas keluar dari rumah.

"Qira ada duit belanja tak, kalau tak ada ambil dalam dompet ibu."tanya Mak Humairah. "Tak apa, bu. Duit belanja semalam pun masih berbaki lagi sebab semalam Qira tak makan sangat,"tutur Qira dengan jujur. Sebelum keluar dari rumah, Qira mengucup tangan dingin ibunya tanda meminta restu dan mengucup dahi ibunya tanda kasihnya pada ibu yang disayangi, lalu mencapai basikal untuk ke destinasi yang ingin dituju.

~Bersambung...

(Setelah pelbagai ulasan mengenai isu semasa yang AW tulis di sini, kini AW ingin mencuba pula menulis dalam bidang cerpen yang pernah menjadi genre penulisan arwah ayahanda AW, arwah Pak Dharma, pengasas blog ini. Sekiranya ingin mengkritik cara penulisan AW, bolehlah memberi komen mengenainya supaya AW boleh mengasah lagi cara penulisan AW. Sekian, wassalam.-ANAK WARISAN...)