Tuesday, August 14, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:

YAHAYA ISMAIL AKAN BENTANG
DEKLARASI PUTRAJAYA 10 KEPRIHATINAN.

Assalamualaikum,


Restoran Minangkabau di Desa Pandan menjadi pilihan kawan-kawan bertemu hari ini (14 Ogos 2007). Entah kenapa Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz pula terlambat sampai kerana jam 12.00 tengahari masih lagi di rumahnya di Taman Tun Dr. Ismail. Sebaliknya Yahaya Ismail (Pak Ya) yag tinggal di Kampung Tunku, lebih awal terjongol di premis berkenaan, di samping Mohd Radzi juga tiba bersama Pak Ya, sebaik sahaja selesai kes di mahkamah Jalan Duta. Dalam kesibukan sebagai peguam, beliau sempat juga menyertai aktiviti PRIMA. Begitu juga Haji Abu Bakar Ninggal sibuk juga sekalipun sekadar menghantar dan menjemput anak ke sekolah. Eh heh heh!



Mohd Sayuti Omar sampai awal sedikit daripada Najib Mohd Noor, kononnya hampir terlupa kerana sedang menyiapkan artikel untuk dateline akhbarnya. Sementara Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah pula pagi lagi sudah menelefon, memberitahu beliau ke Johor Bahru kerana urusan jawatan. Memang mesyuarat tak rasmi biasanya bukan mementingkan agenda, kerana yang penting ialah bagi memperkukuhkan penyatuan idea untuk persediaan pertemuan di Putrajaya esok, 15 Ogos 2007. Pak Ya pula sudah pun membentangkan ‘Deklarasi Putraya’ dengan ’10 Keprihatinan’, justeru ianya diterima sebulat suara untuk dilancarkan bersama. Alhamdullillah!


-Muluk-


INFO HAK ASASI MANUSIA:

IKUT LANDASAN YANG BETUL
KU LI INGATKAN HAK MELAYU


Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah mengingatkan mereka berjuang untuk memperkukuhkan kertuanan Melayu sentiasa mematuhi landasan yang betul, supaya tak disalah tafsirkan oleh pihak-pihak tertentu. Dalam pertemuan di pejabat Ku Li petang ini (14 Ogos 2007), Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengakui, Ahli Parlimen Gua Musang itu sentiasa memberi sokongan moral ke atas setiap perjuangan mempertahan hak ketuanan Melayu. “Ku Li mengucapkan syabas kepada usaha PRIMA mengadakan pertemuan dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, tetapi hendaklah mematuhi landasan yang betul,” beritahu Kamal.



Kamal membuat kunjungan hormat ke pejabat pemimpin UMNO tersohor itu, bagi memberitahu perkembangan PRIMA dalam perjuangan mempertahan ‘ketuanan Melayu’. Menurut Kamal, Ku Li memberi jaminan akan sentiasa mengikuti perkembangan PRIMA di samping memberikan khidmat nasihat, supaya tak terkeluar dari landasan yang betul atau terbias dari keluhuran perlembagaan. Justeru kata Kamal selanjutnya, kita sentiasa berpegang kepada keluhuran perlembagaan dalam mempertahankan ketuanan Melayu, di samping menolak sebarang campur tangan politik dalam gerakan massa.




MB JOHOR BERI JAMINAN
BINCANG AKTA BERCANGGAH



Menteri Besar Johor, Dato’ Seri Abdul Ghani Othman dikatakan memberi jaminan akan menerima perwakilan Generasi Profesional & Pewaris Bangsa (ProWaris) bagi membincang akta yang bercanggah seperti disebut dalam memorandum mengenai tuntutan ‘20 Perkara’. Ghani yang ditemui perwakilan ProWaris diketuai presidennya Sdr Feriz Omar dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Takzim anjuran Gabungan Penulis Nasional (Gapena), 11 Ogos 2007 lalu seolah-olah terkejut apabila diberitahu mengenai memorandum berkenaan tak menerima maklumbalas dari pejabat MB.

“Saya ada memberitahu MB Johor bahawa ProWaris telah memanjangkan satu salinan Dokumen 20 Tuntutan ProWaris-MAPAN terhadap WPI ke pejabatnya beberapa hari selepas dokumen yang sama diberi kepada PM,” beritahu Feriz selepas pertemuan itu. Selepas diberitahu percanggahan mengenai akta tersebut, Ghani memberi jaminan akan memenuhi temujanji dengan ProWaris. Bagaimanapun, menurut Feriz lagi, MB Johor belum memberikan tarikh pertemuan, tetapi akan mengaturkan mesyuarat tersebut secepat mungkin demi kepentingan rakyat Johor.



RADZI MAHU MENELITI
KANDUNGAN AKTA 664

Peguam dari PRIMA Sdr Mohd Radzi mahu meneliti terlebih dahulu Akta 664 mengenai ‘Wilayah Pembangunan Iskandar’ (WPI) yang dikatakan bercanggah. Ketika dihubungi oleh Presiden ProWaris, Sdr Feriz Omar, beliau mahukan salinan Akta 664 tersebut difaksmili ke pejabatnya, sebelum tindakan susulan boleh difikirkan. Katanya, beliau masih belum melihat Akta 664 itu, setelah ianya dibangkitkan oleh ProWaris menerusi laman blognya, apabila tak diberikan liputan oleh pihak media. “Perkara Akta adalah membabitkan undang-undang dan perlembagaan Melaysia, justeru tak seharusnya dirahsiakan daripada orang ramai,” beritahu Mohd Radzi.


INFO SASTERA DAN BUDAYA:

SEPETANG DI RUMAH PENA
SEDIH, SAYU DAN HIBA PENULIS


Aktivis PRIMA berasa sedih, sayu dan hiba ketika sampai di halaman Rumah PENA (12 Ogos 2007) yang juga sedih, sayu dan hiba menyambut kunjungan sasterawan Dharmala N.S, Dato' Mohd Mansor Abdullah, Mohd Sayuti Omar, Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz, Nurul Salwa dan Adiah Mat Lana. Mereka sekadar disambut oleh Setiausaha Agung PENA sdr S.M Zakir berseorangan ketika semua penulis-penulis muda PENA tak menampakkan kelibat. Mohd Mansor yang juga mantan Timbalan Naib Canselor HEP UTM turut melahirkan rasa kecewa kerana wacana memperkatakan pemikiran Pak Sako tak diberi sambutan.



Justeru sepetang di Rumah PENA meninggalkan kebosanan, kekosongan dan kelompongan dengan sikap penulis-penulis muda terhadap sumbangan pemikiran Pak Sako dalam kesusateraan Melayu. PRIMA merasakan peminggiran terhadap Pak Sako samalah macam "mahu melupakan" perjuangan Pak Sako dalam memartabatkan kesusasteraan dan Bahasa Melayu ketika novel-novel seperti "Putera Gunung Tahan" dan "Anak Mat Lela Gila" diterima oleh pengkaji-pengkaji sastera sebagai transisi novel-novel dedaktik sekitar 1920-an kepada novel-novel satira, kata Dr Mansor.




KOMENTAR
bersama Pak Parjo


WAKIL RAKYAT DAN BAHASA MELAYU
SUKAR ATAU MALU MAHU BERTUTUR


Kabarnya Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Dato' Seri Dr Rais Yatim menyarankan wakil-wakil rakyat wajar gunakan Bahasa Melayu yang betul ketika mengambil bahagian dalam perbahasan sama ada di Parlimen mahupun Dewan Undang Negeri. Tak apalah kalau mereka berasa malu mahu bertutur Bahasa Melayu apabila diwawancara media, asal sahaja mampu berbahasa dalam Bahasa Melayu. Setidak-tidaknya sudah 50 tahun merdeka, takkan malu kepada Bahasa Melayu masih juga tak merdeka. Apalagi mereka yang pernah merasai ‘kesengsaraan’ pada period pemerintahan Jepun dulu mengakui, dalam tempoh sebulan sahaja mereka boleh bertutur bahasa ‘arigato’.


Disebabkan pernah berkawan dengan Allahyarham Pak Sako dan Tan Sri Abdul Samad Idris, sedikit sebanyak faham jugalah akan keperihalan period ‘ubi kayu’ yang ditakuti oleh umat Melayu ketika itu. Pak Sako memang fasih berbahasa Jepun, Tan Sri Samad juga tak kurang satu apa. Kalau membaca buku ‘Autobiografi Dato’ Seri Utama Tan Sri Abdul Samad Idris: Angry Young Man Dari Negeri Sembilan’, memang beliau juga turut merasa ‘pelempang Jepun’ ketika mengikuti kurus bahasa Jepun di Seremban selama tiga bulan. Selesai berkursus beliau dilantik menjadi jurubahasa Jepun, di samping pernah mengajar di sekolah Jepun. Kalau dalam masa sebulan boleh fasih bertutur bahasa Jepun kerana ‘pelempang Jepun’, apahal Bahasa Melayu sudah 50 tahun merdeka, kerana yang belajar pepatah petitih Melayu ini,
memang:
HIDUP BAHASA MELAYU!!!