Sunday, September 16, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:



PENULIS TAK PERNAH BERSARA
PERIHAL LEGASI AZIZ DERAMAN DI DBP



Assalamualaikum,



Sebaik sahaja berhenti di depan CIMB jam 10 pagi hari ini (15 September 2007), untuk mencari surat khabar, tiba-tiba terserempak bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dato’ A. Aziz Deraman baru mahu masuk ke kereta. Beliau keluar semula dari keretanya, apabila ternampak saya di seberang jalan terlangah-langah memerhati warung surat khabar. Sudah tentu yang dibicarakan ialah karya terbaru yang dihasilkan, kerana penulis tak pernah bersara, sekalipun secara formal mereka dalam perjawatan sudah bersara dari perkhidmatan. Apalagi A. Aziz yang sudah bersara dari perjawatan, masih terus berkarya menghasilkan puisi-puisi, sekalipun legasi pemikiran beliau bagi memperkasa DBP seolah-olah ikut ‘dibersarakan’. Begitulah!



Sebelum memegang jawatan Ketua Pengarah DBP, A. Aziz pernah mengirimkan buku kajian kebudayaannya ‘KERIS’ (Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan; 1984), tetapi apabila beliau berkhidmat di DBP hubungan itu seakan-akan terputus. Sebelum beliau bersara pun pernah juga saya menghadiri majlis perkahwinan anaknya, ketika itu ramai rakan-rakan penulis yang hadir. Kebetulan pula A.Aziz berjiran dengan kenalan saya yang pernah berkhidmat di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Puan Hajah Sarah. Justeru hubungan berkenaan taklah terputus terus, sebaliknya keterbatasan waktu sahaja yang memisahkan persahabatan para penulis itu. Demikianlah!



Antara legasi pemikiran A. Aziz di DBP yang sudah mula dipinggirkan ialah ‘Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu’ (MABM) apabila dilancarkan pada 21 Ogos 2000. Malah penubuhannya diluluskan oleh kerajaan Malaysia pada 2 Julai 1997; maknanya bukan ‘Bahasa Malaysia’ seperti yang ditetapkan oleh kabinet pada 2007 apabila Jawatankuasa Ad-Hoc Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) secara terbuka bangkit menentangnya. A. Aziz atas kapisiti Ketua Pengarah DBP ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian persidangan selaku Pengerusi Tetap MABM di Kuala Lumpur pada 21 Ogos 2000 secara tegas mengungkapkan:


“Kerajaan Malaysia, dengan kesedaran dan keprihatinan yang ada terhadap perkembangan Bahasa Melayu dan usaha-usaha oleh pelbagai pihak di peringkat antarabangsa, melihat perlunya MABM yang akan membantu penggalakan program pembelajaran, pengajian, penelitian, pertukaran pakar dan penyelarasan usaha pengembangannya. Dengan hal yang demikian, melalui kesepakatan yang ada, saya juga percaya kita akan dapat mengatur pelbagai program dan aktiviti bagi kepentingan kita bersama. Dalam tempoh lima tahun mendatang, DBP perlu memberikan tumpuan kepada tugas-tugas utamanya bagi menjadikan institusi bahasa, sastera penerbitan ilmu dalam bahasa Melayu dan institusi budaya yang ulung.”


-Muluk


INFO HAK ASASI MANUSIA:



RADZI MINTA SOKONGAN UMMAH
KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN


Setiausaha Agung Persatuan Peguam Islam (PPI) Malaysia, Sdr Md Radzi Mustapha meminta umat Islam memberi sokongan menerusi doa mahupun solat hajat berkaitan isu mengenai kedudukan Islam dalam Perlembagaan apabila kes berkenaan didengar di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, Isnin ini (17 September 2007). Radzi juga meminta umat Islam melapangkan masa untuk turut sama memberi sokongan kepada PPI dalam menangani isu mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini. “Kes S vs S dibicarakan di Mahkamah Persekutuan adalah kes berkaitan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, justeru isu ini adalah penting kepada umat Islam,” kata Radzi menerusi SMS kepada sekretariat PRIMA.



Pihak sekretariat PRIMA sudah menyampaikan mesej PPI kepada semua aktivis masyarakat yang prihatin dengan perjuangan umat Islam. Di samping itu PRIMA memberi sokongan penuh kepada PPI dalam usaha mempertahan kedudukan Islam dalam Perlembagaan yang sudah diterima sebagai ‘kontrak sosial’ ketika kemerdekaan, malah ‘tak manis’ dipersoal oleh mana-mana pihak. Memang ‘kontrak sosial’ pernah dipersoal seperti surat Presiden MCA (Tun) Dr. Lim Chong Eu kepada Tunku Abdul Rahman Putra bertarikh 24 Jun 1959, atau insiden UMNO Selangor menyingkirkan MIC dalam resolusi bertarikh 13 Disember 1957, yang memperlihatkan orang Melayu menyokong sebarang langkah politik UMNO. Ehem ehem!



GEMPA DI SUMATERA BARAT
MENGGEGAR HINGGA KE JOHOR


Laporan berbeza media di Malaysia mengenai bencana gempa di Sumatera Barat seolah-olah gegaran sederhana berukuran 5.2 dan 5.7 pada skala Ritcher di Selatan Sumatera jam 10.26 malam tadi (15 September 2007), memberi gambaran ianya tak mendatangkan ancaman tsunami apabila menggegar ke Barat Daya Johor. Bagaimanapun sama ada ianya membabitkan ancaman tsunami atau sebaliknya, agensi berita luar negeri Reuter/AFP melaporkan kenyataan Kementerian Kesihatan Indonesia gempa pada 15 September 2007 menyebabkan 21 orang terkorban, di samping 88 cedera. Lebih 15,000 buah bangunan runtuh atau rosak teruk di Sumatera Barat akibat gegaran berukuran 8.4 pada skala Ritcher.


Di Bengkulu pula hampir 2,000 rumah ranap, di samping sekurang-kurangnya 90 buah hospital dan klinik musnah. Memang pelajar-pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Andalas di Padang, Sumatera Barat semuanya terselamat, tetap dua pelajar yang balik ke tanah air menerusi Singapura mengakui keadaan ketika gempa itu terlalu mencemaskan. Rina Theresa dan Shanker, pelajar Malaysia yang berjaya pulang ke tanah air menceritakan kemelut berkenaan kepada keluarganya. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz meminta kerajaan lebih prihatin dalam menyampaikan laporan tepat kepada keluarga pelajar-pelajar berkenaan di tanah air.


Kata Kamal, kita tak mahu rakyat diberitahu mengenai ‘yang baik’baik’ sahaja dengan membiarkan ‘perhambaan minda’, hingga bantuan perumahan kepada mangsa tsunami sejak 2004 di negara ini masih belum selesai. Apabila media sekadar melaporkan perkara ‘yang baik-baik’, mereka yang menjadi eksploitasi adalah mangsa tsunami berikutan 100 keluarga yang dijanjikan memperoleh rumah baru di Tanjung Bungah, Pulau Pinang hanya akan menduduki premis mereka akhir bulan ini. Kononnya! “Berasa malulah kepada janji kerajaan, apabila berlaku ancaman tsunami kedua baru mahu memikirkan isu bantuan perumahan sebelum ini,” jelas Kamal.



INFO SASTERA & BUDAYA:


HARGA BEKALAN BUKU KE KBS
BUKAN PERKARA MEMERANJATKAN



Harga bekalan buku yang dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya baru-baru ini seolah-olah mensasarkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Berdasarkan laporan berkenaan KBS dikatakan membeli 17 set buku teknikal pada harga RM181,900 atau RM10,700 bagi set, sekalipun harga buku-buku berkenaan di Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah RM417 satu set. Bukan sahaja di KBS berhadapan dengan isu harga buku yang mahal, sebaliknya dalam Kementerian Pelajaran juga harus diberi perhatian; apalagi Tan Sri Ambrin sendiri pernah berkhidmat di kementerian berkenaan.



Buku bacaan tambahan yang disalurkan ke sekolah-sekolah rendah juga mencecah harga RM60 satu set, sekalipun ianya bukan digunakan untuk silibas. Begitulah! Kos cetak bagi buku-buku terbabit bagi kulit keras (hard cover) pada kadar RM8 – RM9 sahaja, tetapi komisyen kepada konsultan (iaitu broker) hingga 30 %, apalagi melalui banyak ‘tol’ di pintu jabatan, memungkinkan penerbit sekadar memperoleh 24% sahaja daripada kos keseluruhan. Sejumlah 24% yang diterima penerbit inilah untuk melunaskan kos cetak, dan royalti kepada penulis dianggarkan 10%. Tak hairanlah harga RM10,700 satu set yang dibeli oleh KBS, hanya RM41.70 sahaja royalti yang diterima oleh penulis apabila dirujuk kepada harga pasaran di DBP.


Apalagi buku-buku yang dipilih untuk menyertai Biro Teknikal Pendidikan (BTP) di Kementerian Pelajaran atau perpustakaan desa di bawah Perpustakaan Negara, melalui jambatan ‘siratul-mustaqim’ bak rambut dibelah tujuh. Tak hairanlah apabila dirujuk kepada buku-buku teks tak lama dulu, eloklah juga diaudit semula oleh Tan Sri Ambrin, apalagi dikatakan berlaku rungutan di kalangan aktivis penulis mengenai buku-buku yang dipilih mempunyai kaitan keluarga dengan panel pemilih. Para penulis adalah pejuang bahasa yang konsisten, justeru mereka lebih arif mengenai penerbitan buku-buku yang berkualiti berbanding dengan panel penilai yang he heh he heh! Pihak PRIMA bersedia memberikan kerjasama kepada Tan Sri Ambrin. Insya Allah!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


APABILA PELAJAR SERAH DIRI
NARATIF RUSUHAN DI TERENGGANU


Hari ini (16 September 2007) laporan berita radio di Klasik Nasional jam 3.00 petang menyebut mengenai pelajar berusia 16 tahun menyerah diri ke balai polis berikutan insiden rusuhan di Kuala Terengganu. Pelajar berkenaan mungkin sahaja gambarnya yang disiar di akhbar semalam (15 September 2007), apabila polis mahukan maklumat bagi membantu melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat ketika rusuhan. Tak tahulah bagaimana naratif rusuhan di Kuala Terengganu minggu lalu, kerana pada 1928 berlaku juga naratif rusuhan di Hulu Terengganu yang membabitkan Tuan Guru Abdul Rahman Limbong.

Tuan Guru Abdul Rahman dieksploit oleh polis British ketika itu sebagai tokoh yang melakukan onar, malah pembunuhan ke atas Tok Janggut di Telemong dilabel sebagai penderhaka seolah-olah merancang gerakan menyerang Sultan Terengganu. Hebat juga propaganda polis British pada 1928, tetapi ketika itu media semuanya dikawal oleh penjajah British. Orang Melayu juga masih ‘bengap’, sebelum digodak oleh Jepun minda mereka pada dekad 1940-an, hingga berani mengutuk British terutama mensifatkan Mac Michael sebagai ‘penyamun’. Ketika membuat dokumentasi ‘Perang Di Padang Kacung’, sekitar dekad 1970-an, Shahrom Md Dom mewawancara bekas polis yang terbabit dalam perang melawan Tok Janggut.


Polis terbabit mengakui, tembakan dimula oleh pihak British bagi menimbulkan provokasi. Pengikut-pengikut Tok Janggut yang tak bersenjata kecuali keris dan parang di pinggang menjadi panik, di samping bertempiaran lari mencari perlindungan. Tetapi laporan pihak British menyebut, orang-orang Melayu pimpinan Tok Janggut mahu menyerang wakil istana. Bagusnya! Begitu juga dengan cerita sastera lisan Melayu mengenai anak kambing yang minum air di hilir sungai dituduh oleh bapak harimau mengeruhkan air untuk minumannya di hulu. Astaga! Kalau gunakan peluru hidup kerana ‘gas pemedih mata’ tak perlu menyuraikan rusuhan, sukarlah mahu mentafsirkan ‘anak kambing’ di hilir sungai yang dituduh oleh ‘bapak harimau’ keruhkan air minumannya di hulu sungai, kerana yang gemar membaca sastera Melayu lama ialah:







HIDUP BAHASA MELAYU!