Tuesday, November 13, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG

BAS KE MAJLIS KAHWIN DITAHAN
BAGAI ‘ENGGANG LALU RANTING PATAH’
Assalamualaikum,


Lucu juga apabila kenang kekalutan dalam insiden Gerakan Massa 10 November (GEMASEPUNOV) Sabtu lalu (10 November 2007), hingga sekatan jalanraya yang digerakkan polis bagi menghalang orang ramai masuk ke Kuala Lumpur turut menahan bas yang membawa rombongan ke majlis perkahwinan. Naib Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Gombak, Roslan Muda ketika menghubungi sekretariat PRIMA semalam (12 November 2007) memberitahu, insiden tersebut bagaikan ‘enggang lalu ranting patah’ apabila bas terbabit disertai oleh aktivis PAS yang masih dalam kes ketika rusuhan di Batu Buruk, Terengganu. “Aktivis PAS berkenaan pak ngah saya dalam perjalanan menghadiri majlis perkahwinan keluarga kami di Gombak Setia,” beritahu Roslan mengulas laporan aktivis PRIMA Haji Abu Bakar Ninggal.


Laman blog PRIMA 10 November lalu melaporkan Haji Abu Bakar mengirim SMS kepada sekretariat PRIMA berkaitan tujuh buah bas ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur jam 12.00 tengahari. Menurut Roslan, beliau terpaksa bergegas ke IPD Jalan Hang Tuah sebaik sahaja diberitahu mengenai insiden bas berkenaan ditahan polis, berikutan pemandu bas terbabit yang membawa rombongan dari Terengganu ke majlis perkahwinan di Gombak tersesat ke Jalan Duta akibat kurang pengalaman mengenai laluan di Kuala Lumpur. “Sebenarnya mereka mahu ke Gombak Setia ke majlis kahwin anak ‘Abang Sidik’, tetapi tersasar ke Jalan Duta,” jelas Roslan.

Seterusnya kata Roslan, ketika beliau ke IPD berkenaan memang kelihatan tujuh buah bas sudah ditahan berkaitan dengan langkah menghalang GEMASEPUNOV. Sebaliknya beliau tak menghiraukan enam buah bas lain yang ditahan, kerana menguruskan bas yang membawa rombongan keluarganya dari Terengganu. Kebetulan pula ‘pak ngah’ beliau yang juga aktivis PAS yang terbabit dengan insiden di Batu Buruk turut menaiki bas berkenaan. Bagaimanapun beritahu Roslan selanjutnya, beliau tak memakai baju yang ditakrif sebagai ‘gelombang kuning’, sebaliknya T-shirt lusuh yang menggambarkan beliau bukan menyertai GEMASEPUNOV berkenaan.


Menurut Roslan lagi, sekalipun bas berkenaan dibebaskan selepas satu jam ditahan di IPD, tetapi sebahagian penumpangnya rata-rata penduduk kampung mengalami trauma akibat tindakan pihak polis. Beliau melahirkan rasa kecewa apabila mereka yang tak terbabit dengan GEMASEPUNOV turut menjadi mangsa, berikutan langkah pihak berkuasa seolah-olah tak beretika. “Kalau mereka anggap GEMASEPUNOV bukan budaya Malaysia, apakah menahan bas rombongan ke majlis pengantin itu budaya Malaysia; kalau mereka anggap memperalatkan kanak-kanak tak berperi kemanusiaan, apakah menahan mereka untuk hadir majlis pengantin itu berperi kemanusiaan?” tanya Roslan meminta penjelasan.
-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


SELANGOR SEDIA ‘KHAIRAT KEMATIAN’
GOMBAK ALU-ALUKAN LANGKAH DR KHIR

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Omar Sudi Abdul Manan mengalu-alukan pengumuman Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo memberi insentif kepada keluarga yang ditimpa musibah sebagai ‘khairat kematian’ bagi rakyat di negeri Selangor beragama Islam sejumlah RM2,000 mulai tahun 2008. Mereka yang bukan rakyat Selangor, tetapi sudah menetap lebih 15 tahun juga turut diberi insentif berkenaan bagi membantu mereka menguruskan jenazah keluarga. Dato’ Seri Dr Khir mengumumkan insentif tersebut ketika berucap dalam Majlis Hari Raya anjuran persatuan penduduk AU2 Keramat dalam kawasan DUN Hulu Kelang minggu lalu.



Menurut Omar Sudi, mulai tahun 2008 rakyat Selangor beragama Islam di kalangan berpendapat rendah boleh menerima insentif berkenaan apabila keluarga mereka ditimpa musibah kematian. Katanya, langkah yang diambil oleh Dato’ Seri Dr Khir merupakan insentif pertama dilakukan oleh kerajaan negeri di negara ini, bagi membantu rakyatnya yang ditimpa musibah sebagai takrif ‘khairat kematian’. Setakat ini jelas Omar Sudi, belum ada kerajaan negeri yang memberi insentif demikian; apalagi kemudahan kepada rakyat negeri lain tetapi sudah bermastautin lebih 15 tahun di Selangor. ADUN Hulu Kelang, Dato’ Ahmad Bujang turut hadir dalam majlis berkenaan, beritahu Omar Sudi selanjutnya.


Menyentuh laporan akhbar hari ini (13 November 2007) berkaitan pemberian penyapu kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang kurang menyerlah dalam prestasinya oleh Dato’ Seri Dr Khir, Omar Sudi yang juga Ahli Majlis Perbandaran Selayang menganggap bukanlah satu penghinaan. “Kalau hadiah kasut yang diletakkan dikaki tak dianggap satu penghinaan, kenapa kita membuat persepsi yang salah terhadap penyapu yang simbolik sifatnya bagi pembersihan?” menurut Omar Sudi. Bagaimanapun beliau berharap, bukan sahaja PBT yang dijadikan sasaran, sebaliknya semua jabatan kerajaan yang diklasifikasi lembab perlu disuntik dengan mutu perkhidmatan terbaik.


Katanya, langkah Dato’ Seri Dr Khir mengarahkan PBT menyegerakan pemberian lesen kepada penjaja dan peniaga kecil mulai 2008 juga dilihat sebagai usaha menyuntik mutu perkhidmatan PBT. Beliau turut mengalu-alukan usaha memberi lesen seberapa segera kepada penjaja dan peniaga kecil yang sering dilambat-lambatkan akibat kerenah birokrasi dalam jabatan. Justeru ujar Omar Sudi, memang Dato’ Seri Dr Khir mahukan rakyat Selangor keluar dari ‘kepompong kemiskinan’ menjelang 2010, bagi membawa mereka lebih peka kepada masa depan generasi akan datang. “Kalau Dr Khir seorang sahaja berkerja keras tak mungkin tercapai sasaran itu, sebaliknya semua pihak di Selangor perlu mengambil tanggungjawab bersama.” Katanya.



IMEJ KERAJAAN AKAN TERCALAR
AKIBAT GELAGAT ‘HARIMAU KERTAS’



Kalau imej kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tercalar berikutan senario politik sekarang, mereka yang mendorong kepada fenomena begitu ialah sikap segelintir orang UMNO yang menampilkan gelagat ‘harimau kertas’, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau memberitahu, gelagat ‘harimau kertas’ yang ditunjukkan dalam sidang Dewan Rakyat berdasarkan laporan berita TV semalam (12 November 2007), boleh mencalar imej kepimpinan Pak Lah selaku ketua kerajaan. “Menteri yang tahu undang-undang pun sebut nama seseorang secara peribadi di dalam Parlimen, sedangkan ‘standing order’ jelas tak boleh buat begitu,” menurut Dato’ Kamal Amir.



Apabila mentakrifkan perhimpunan yang tak diberi permit oleh pihak polis sebagai ‘perhimpunan haram’, kenapa pihak polis tak meluluskan permit apabila permohonan dibuat bagi menganjurkan perhimpunan sebelum ini, ujar Dato’ Kamal Amir merujuk kepada Gerakan Massa 10 November (GEMASEPUNOV), Sabtu lalu (10 November 2007). Memang jelas seorang menteri menyebut nama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang tak berada di dalam Parlimen dan tak mampu mempertahankan diri berlawanan dengan ‘standing order’, justeru samalah dengan isu perhimpunan tak diberi permit polis, beliau menambah.


Dato’ Kamal Amir juga mempersoal gelagat ‘harimau kertas’ yang menyebut akan kekalahan teruk parti-parti pembangkang pada pilihanraya akan datang, bagi menarik perhatian Pak Lah mengekalkan kedudukannya dengan tak menilai reputasi sendiri, di samping rungutan orang ramai di peringkat bawahan. Kalau berlagak dengan gelagat ‘harimau kertas’, maknanya pimpinan UMNO terbabit tak ‘turun padang’ dalam usaha menganalisis sendiri rungutan rakyat bawahan. Sepatutnya pemimpin berkenaan perlu peka dengan setiap rungutan rakyat, kerana ‘teori pendulum’ sudah menjadi lumrah dalam sejarah keputusan pilihanraya sejak 1955, jelas Dato’ Kamal Amir.



Dalam perbahasan di Dewan Rakyat 12 November 2007, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz merujuk nama ‘Anwar Ibrahim’ apabila menyentuh isu GEMASEPUNOV dengan menyebut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan tugas secara bersih dan adil pada pilihanraya 2004 hingga membolehkan PKR menang di Permatang Pauh. Seterusnya beliau meramalkan parti-parti pembangkang akan kalah teruk dalam pilihanraya akan datang, dengan memberi alasan Barisan Nasional (BN) tak pernah melakukan penyelewengan. “Janganlah buat gelagat ‘harimau kertas’ sekadar mahu mengaum, tetapi ngauman itu mudah dinilai keberkesanannya,” ujar Dato’ Kamal Amir selanjutnya.


INFO SASTERA & BUDAYA



MEMBENTUK PENYAIR BERPERIBADI
BACA PUISI PRIMA PENTAS MANIFESTASI



Acara baca puisi PRIMA 17 November 2007 ini di pekarangan rumah Jurucakapnya Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz di No 1 Lorong Dato’ Suleiman 8, Taman Tun Dr Ismail mulai 8.00 malam adalah pentas bermanifestasi bagi membentuk penyair berperibadi, menurut pengerusi penganjurnya yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Katanya, setiap pendeklamator dan pemuisi diberi kebebasan memilih tema masing-masing, sekalipun antologi ‘Melayu Mudah Lupa’ disediakan bagi mereka yang tak membawa sama teks puisi. “Biarlah setiap penyair dan pendeklamator bebas menyampaikan manifestasi mereka secara berperibadi,” beritahu Dato’ Dr Mansor seterusnya.


Di samping aktivis PRIMA, beberapa penyair dari kelompok badan-badan penulis dijangka turut serta mendeklamasikan sajak mereka, jelas Dato’ Dr Mansor ketika menghubungi sekretariat PRIMA. Katanya, kemungkinan juga beberapa orang penuntut IPTS akan menyerikan majlis baca puisi berkenaan. Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong Dato’ Ruhanie Ahmad (Ruhanie A.R.), pengendali laman web Raja Petra Kamaruddin (Pet), pengkritik sastera Yahaya Ismail (Pak Ya), penulis politik Mohd Sayuti Omar (MSO) sudah memberi pengakuan akan turut serta. Menurut Dato’ Dr Mansor beberapa orang penyair tersohor sudah diundang, tetapi setakat ini masih belum memberikan respons antaranya termasuk Dr Ahmad Razali, Dr Ibrahim Ghaffar, Ismas Saring, Ahmad Sarju dan S.M. Zakir.


Bagaimanapun aktivis teater kanak-kanak Ladin Nuawi sekadar menyampaikan salam kepada rakan-rakan penyair kerana tak sempat menyertai majlis baca puisi. Memang Ladin jelas Dato’ Dr Mansor memberikan komitmen dalam aktiviti PRIMA termasuk menyumbangkan sajaknya dalam antologi ‘Melayu Mudah Lupa’. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Ladin memberi penjelasan beliau terbabit dengan pementasan teater kanak-kanak yang akan dipersembahkan minggu ini. “Kalau tak disebabkan komitmen bagi latihan teater kanak-kanak yang jadualnya terlalu dekat, memang saya teringin untuk bersama menyertai majlis baca puisi PRIMA,” kata Ladin menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).



KOMENTAR
bersama Pak Parjo



LANDASAN PROSES DEMOKRASI
PERHIMPUNAN HARAM, PERMIT HARAM



Maka diberitahu kepada fakir akan keperihalan, Ketua Menteri Melaka Dato’ Seri Mohd Ali Rustam mengutuklah ia Gerakan Massa 10 November (GEMASEPUNOV) kerana tak ikut landasan proses demokrasi. Mungkinlah disebabkan beliau Naib Presiden UMNO, maka diwawancara oleh pihak media massa, disebabkan Ketua Menteri itu tak sempat membuat apa-apa majlis bagi dijadikan landasan menyalurkan kritikannya bagi memburuk-burukkan GEMASEPUNOV. Tak hairanlah dengan kenyataan Dato’ Ali (bukan nenek moyang fakir, Seri Nara Diraja Tun Ali bin Mani Purindam di Melaka dulu), memang kenalah menjadi hulubalang dalam isu-isu hangat.



Proses demokrasi yang dicerna-cerna oleh Dato’ Ali itulah juga yang menyebabkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kehilangan kerusi menteri kabinet, apabila kemenangannya menduduki kerusi Naib Presiden UMNO yang nombor satu dikaitkan dengan ‘politik wang’. Tan Sri Mohd Isa bukan sahaja kehilangan kerusi menteri kabinet, jawatan Naib Presiden UMNO malah digantung keahlian bagi tempoh tiga tahun. Aduhai! Kalau proses demokrasi tak mampu mengawal unsur-unsur penyelewengan dalam pemilihan UMNO, bagaimana gamaknya UMNO nak mengawal unsur-unsur penyelewengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Lainlah ehem ehem!



Syahdan disuratkan kepada fakir oleh yang empunya ceritera akan perihal Penghulu Bendahari Sang Rajuna Tapa di negeri Temasik, terlalu kuat ianya berpegang kepada sistem pemerintahan ketika itu ‘pantang anak Melayu derhaka’. Maka datanglah akan hulubalang-hulubalang Jawa mahu memberikan emas berketi-keti, agar dibukakan pintu kota, tetapi Sang Rajuna Tapa itu tiadalah ia berkhianat kepada rajanya berdasarkan sistem pemerintahan ‘pantang anak Melayu derhaka’ atau sekarang sistem pemerintahan mengikut proses demokrasi itu. Takdirnya sistem itulah juga akan anaknya Dang Anum disula oleh hulubalang-hulubalang raja, menyebabkan Sang Rajuna Tapa membuka pintu kota seperti dalam ‘Kitab Melayu’ yang jadi pedoman kepada:










HIDUP BAHASA MELAYU!