Saturday, August 11, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:

MESYUARAT TAK RASMI PRIMA
Assalamualaikum,

Cuaca hujan petang Sabtu, 11 Ogos 2007 mejadi panorama kepada aktivis PRIMA bermesyuarat secara tak rasmi di restoran teh tarik mamak di Taman Seri Gombak. Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah dan Pak Ya (Yahaya Ismail) tak sempat diberitahu, kerana Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz tergesa-gesa mahu menjamah durian. Justeru rakan-rakan yang hadir termasuklah saya sendiri, Dato’ Kamal Amir, Mohd Sayuti Omar, Haji Abu Bakar Ninggal, Abdul Rahman Osman dan Najib Mohd Noor. Mohd Sayuti pula sengaja mengusik Abdul Rahman fasal majlis jamuan yang dianjurkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Batu Caves turut dihadiri oleh Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kabarnya!

Bagaimanapun PRIMA tak condong kepada mana-mana gerakan politik, kerana ianyanya mahukan keprihatinan diberi kepada masalah rakyat. Menjadi kebiasaan sahaja mengusik rakan-rakan fasal isu politik, kerana yang penting ialah mahukan kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah bangsa, agama dan tanah air. Mesyuarat tak rasmi itu bersetuju memberi mandat kepada Dato’ Kamal Amir menjadi jurucakap PRIMA ketika majlis perjumpaan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 15 Ogos 2007, Mohd Sayuti mewakili PRIMA untuk berdialog, di samping Pak Ya dipersetujui menyerahkan naskhah antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.
-Muluk-

INFO HAK ASASI MANUSIA:

SOKONGAN PENDUDUK JOHOR
KEPRIHATINAN PROWARIS DIHARGAI


Majoriti penduduk-penduduk di Johor Bahru menghargai keprihatinan Generasi Profesional & Pewaris Bangsa (ProWaris) dalam isu ‘Wilayah Pembangunan Iskandar’ (WPI). Presiden ProWaris, Sdr Feriz Omar ketika menghubungi PRIMA petang ini (11 Ogos 2007) memberitahu, sambutan dalam perjumpaan di Johor Bahru memang amat menggalakkan. Perjumpaan yang berlangsung pada 11 – 12 Ogos 2007, adalah mencari jalan penyelesaian iaitu meminta kerajaan peka dengan aduan yang disampaikan rakyat menerusi memorandum yang sudah diserahkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. “Mereka mahukan Pak Lah memberi penjelasan mengenai 20 Perakara yang dibangkitkan, bukan berdiam diri dalam isu yang membabitkan kepentingan bangsa, agama dan tanah air,” kata Sdr Feriz.
Sikap berdiam diri bukanlah langkah bijak, kerana rakyat perlu membebaskan diri mereka daripada perhambaan minda yang bobrok, jelas Sdr Feriz selanjutnya. Selagi Pak Lah mengambil sikap tak mahu menjawab aduan yang disampaikan oleh rakyat, majoriti penduduk Johor tak akan berpuas hati. Mereka sudah membari jaminan akan berdiri teguh bersama ProWaris mempersoal 20 Perkara yang dibangkitkan, termasuk prosedur mengenai Akta 664 digazetkan pada 13 Februari 2007. “Kita bukan mahu meletakkan Pak Lah dalam dilema, tetapi kita tak mahu Pak Lah sentiasa diselubungi dilema dari semasa ke semasa,” ujar Sdr Feriz.

Sementara itu jurucakap PRIMA Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu PRIMA sentiasa bersama perjuangan ProWaris. Sekalipun PRIMA tidak sempat turun ke Johor Bahru tetapi mesej ProWaris tetap disalurkan menerusi blog PRIMA. Seterusnya Dato' Kamal juga memberitahu ProWaris akan menghantar 10 perwakilan menghadiri perjumpaan degan Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 15 Ogos ini.

INFO SASTERA & BUDAYA:

MANSOR MAHUKAN SASTERA
KEMBALI PERKASA DI SEKOLAH

Sastera semakin terpinggir di sekolah-sekolah, apabila pelajar-pelajar digalakkan memberi tumpuan kepada sains dan matematik, bagi mencapai kecemerlangan global. Justeru PRIMA mahukan sastera kembali diperkasakan di sekolah-sekolah, malah tak salah sekiranya ‘sastera’ dijadikan mata pelajaran wajib dalam kertas peperiksaan PMR, SPM atau STPM. Mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah melahirkan rasa kecewa, kerana ‘sastera’ dan ‘agama’ tak dijadikan mata pelajaran wajib, malah pelajar-pelajar yang gagal dalam mata pelajaran berkenaan tak menjejaskan keputusan peperiksaan mereka berbanding sains dan matematik.



Dr Mansor yang juga aktivis PRIMA, memberitahu mata pelajaran sastera perlu diperkasakan di sekolah-sekolah bagi menanamkan jati diri Melayu pelajar-pelajar yang semakin jauh dari kebudayaan dan patriotisme. Katanya, beliau tak menolak pentingnya sains dan matematik dalam persaingan globalisasi, tetapi pengabaian kepada sastera bukan sahaja mendorong pelajar-pelajar jauh dari kebudayaan Melayu dan patriotisme, malah mereka lebih bersifat ‘perutisme’ iaitu mementingkan ‘kebendaaan’ dan ‘duniawi’ yang serba bobrok. “Sastera Melayu perlu diperkasakan di peringkat sekolah, bukan menjadi mata pelajaran sampingan sahaja,” ujar Dr. Mansor selepas menghadiri majlis wacana dengan ‘Sasterawan Negara’ di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim 9 Ogos lalu.

"TOK SAID" HENTAM BLOG PRIMA

"Assalamualaikum,

Tuan, saya terpanggil untuk mencelah mengenai artikel "PENGUATKUASA VS AHLI MAJLIS GARA-GARA SI PENJUAL DURIAN".Saya cuba berpandangan baik dalam hal ini. Dikatakan Ahli Majlis Perbandaran (AMP) melarang Pegawai Penguatkuasaan (PP) dari mengambil tindakan ke atas penjual durian tapi tidak diendahkan malah dikatakan PP juga tidak mengenali AMP.Saya rasa apabila PP cuba mengambil tindakan sudah tentulah atas undang undang yang dibuat oleh Majlis Perbandaran yang dianggotai oleh AMP tersebut.

Sudah tentunya juga ada sebabnya mereka diambil tindakan seperti kerana menjual tanpa lesen, menjual ditepi jalan sehingga mengganggu kelinciran jalanraya. Bayangkan, sekiranya tiada tindakan diambil keatas mereka, maka akan keluarlah kata kata PP tidak peka, tidak peduli akan keselesaan penduduk dan lebih buruk lagi kata kata mengatakan PP sudah kena suap, sebab itu tiada tindakan diambil. Bagi saya tindakan yang dilakukan oleh AMP tersebut hanyalah sebagai membuli PP dan boleh juga dikatakan menghalang PP dari menjalankan tugas mereka.

Tambahan pula bila meminta PP mengira setiap biji durian agar tiada kurang seolah olah ingin memburukkan nama PP dengan mengandaikan buah buahan itu akan menjadi habuan PP. Samada ini benar atau tidak, ianya adalah akademik sahaja.Meminta PP melakukan budi bicara adalah suatu yang mudah dikata tapi sukar di buta. Bayangkan, sekiranya budi bicara digunakan, tiada tindakan diambil, lalu aduan dibuat oleh penduduk tempatan mengenai mereka ini, menyalahkan PP tidak melakukan tugas yang diamanahkan kepada mereka, adakah AMP tersebut akan membela PP dan mengatakan tiada tindakan diambil kerana budi bicara digunakan atas arahan AMP tersebut.
Potong jari saya berani berkata, tidak. Mengataka agar mereka diberi peluang untuk berniaga kerana ianya "setahun sekali" tidaklah amat tepat. Sekarang ni, kita boleh lihat menjual durian bukanlah senario setahun sekali. malang lagi bila dilihat bahawa majoriti mereka yang menjual ini bukannya penduduk tempatan. Mereka ini dengan sewenang wenangnya mencacakkan khemah di tepi jalan, di selekoh selekoh jalan tanpa menghiraukan kesesakan dan kesukaran yang akan timbul.
Sekiranya AMP tersebut amat prihatin mengenai penjual buahbuahan bangsa "Melayu" tersebut, sepatutnya beliau membawa hal itu ke mesyuarat majlis dan mencari jalan agar disediakan tempat yang sesuai untuk mereka yang mencari makan setahun sekali ini. Sekiranya terlalu mengharapkan budi bicara, takut nanti ianya menjadi kes tutu sebelah mata. Waallahualam"

-Tok Said, Kuala Lumpur (komen: 8 Ogos 2007)-

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERIHAL BALAK DAN BALA
KETIKA PAK LAH DI SABAH


Ketika lawatan ke Sabah, Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ingatkan lesen balak tak dikeluarkan sewenang-wenang. “Kawasan hutan perlu dilindungi dan amanat itu akan dilaksanakan sebaik mungkin.” Begitulah! Bukan di Sabah sahaja lesen balak perlu dikawal hingga tak diberikan sewenang-wenang, tetapi di negeri-negeri lain juga. Al-maklumlah hutan belantara di masa kesultanan Melayu dulu-dulu memang sentiasa dipantau, sekalipun tak pernah diberi lesen, konsisi dan sebagainya. Apalagi dalam sejarah bangsa Melayu, di wilayah pentadbiran penghulu sesiapa sahaja mahu meneroka hutan tak diberi geran, kerana yang menguasai hutan belantar terletak di bawah pentadbiran penghulu-penghulu.


Justeru ketika Inggeris mahu menjajah negeri-negeri Melayu, kalangan penghulu yang mempersoal cukai yang dikenakan Inggeris memberitahu pengikut-pengikutnya: “Kita semua tak akan kebuluran kerana di hutan, kalau lapar kita boleh memakan umbut-umbut dan buah-buah kayu, kalau haus kita boleh minum di anak-anak air dan di jeram-jeram batu.” Tak hairanlah di Negeri Sembilan misalnya, dato’dato’ adat akan menyebut mengenai umbut-umbut dan anak air di hutan sebagai simbolik kuasa mereka. Memang wajar Pak Lah ingatkan begitu, kerana yang memohon lesen balak sudah tentu kalangan korporat-korporat menerusi sokongan pimpinan BN, bukannya kutu belahak yang ‘habuk pun tarak’ seperti keperihalan kaum kerabat:

HIDUP BAHASA MELAYU!