Saturday, July 28, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


INFO HAK ASASI MANUSIA:
(dari meja pimpinan)


PERSEPSI PRIMA DITERIMA MENTERI
SEGELINTIR PEMIMPIN UMNO TAK RASIONAL


Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Radzi Sheikh Ahmad secara tak langsung bersetuju dengan persepsi PRIMA mengenai isu pengendali blog tak menjejaskan UMNO, tetapi UMNO boleh dijatuhkan oleh ahli-ahli UMNO sendiri. Radzi dilaporkan oleh media mengenai kekuatan UMNO tak terjejas berikutan diserang hebat pengendali laman blog ketika menyampaikan kad pemastautin tetap (MyPR) jurulatih badminton negara Rexy Mainaky di Putrajaya. Sebelum ini laman blog PRIMA pada 25 Julai menyebut jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz meminta kerajaan tak dipengaruhi segelintir ahli UMNO yang kurang rasional kerana mempunyai agenda.


Radzi mengakui desakan segelintir ahli-ahli UMNO menyebut: “Mereka kata…apa ni Datuk, teruk sangat… perlu ada had, takkan sampai caci agama dan mengata Agong macam-macam!”. Sudah tentu perkara yang mustahil orang Melayu caci agama atau mempertikaikan Yang Dipertuan Agong. Seperti keperihalan PRIMA yang meminta (bukan menuntut) kerajaan yang dipimpin UMNO prihatin dengan Bahasa Melayu dan bangsa Melayu. Kalau tak ada ‘Bahasa Melayu’ bagaimana boleh wujud ‘bangsa Melayu’, justeru tiada ‘bangsa Melayu’ maknanya hilanglah ‘raja-raja Melayu’. Inilah isu yang terkandung dalam 13 Perkara ‘Malayan Union’ dulu, kalau ahali-ahli UMNO terbabit sentiasa rasional!


MODAL INSAN DI UNISEL, BISTARI JAYA

Matlamat kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besar Dato’ Seri Dr. Mohd Khir Toyo mahukan Universiti Industri Selangor (UNISEL) menjadi fokus ‘modal insan’ sepatutnya sejajar dengan sasarannya. Kalau menjadi ‘ketam yang berjalan mengereng, mahu anak-anak berjalan betul’, susahlah gamaknya! Hari ini (28 Julai 2007) pendaftaran masuk pelajar-pelajar baru dan pelajar-pelajar yang meneruskan pengajian semestar di kampus Bistari Jaya (Batang Berjuntai), bukan sahaja kelam kabut, malah berserabut, berkelabut dan bersemabut. Bukan sahaja insiden di kampus Shah Alam berulang dengan masalah ‘asrama’, tetapi pendaftaran tak berjalan lancar.


Ibu bapa yang menghantar pelajar-pelajar baru diingatkan, mereka yang lewat mendaftar akan didenda RM25.00, tetapi pelajar-pelajar menunggu jam 8.30 pagi, pejabat belum pun dibuka. Mereka terpaksa menunggu angka giliran sebaik sahaja pejabat dibuka, hingga angka giliran atas 1700 belum selesai hingga jam 3.00 petang. Ketika itu baru sahaja angka giliran ke 1200 ke atas. Apalagi pelajar-pelajar yang mendaftar (bagi menyambung pengajian semester) masih belum menerima PTPTN untuk membayar sewa rumah di luar kampus, dan lain-lain yang menteri terbabit pun faham, fahamlah!

SEPETANG BERSAMA RAJA PETRA


Isu penahanan pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin tak berakhir selepas dibebaskan daripada soal siasat polis. PRIMA akan menganjurkan ‘Sepetang Bersama Raja Petra Kamaruddin’ 5 Ogos 2007 nanti, di Taman Tasik Titiwangsa bagi memberi sokongan moral kepada beliau dan Nathaniel Tan. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz berkata, kita memberi sokongan moral kepada Raja Petra kerana beliau warga prihatin yang mampu mempersoal isu-isu yang mempunyai kepnetingan rakyat, apabila disembunyi oleh pihak berkuasa.


Misalnya, rakyat mahu tahu butir-butir siasatan terhadap Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) dan bekas Ketua Pengarah BPR (Dato’ Seri Zulkifli Mat Noor) ditutup oleh Peguam Negara atas sebab-sebab ‘tiada kes’. Kalau butir-butir siasatan tak diberitahu kepada umum kewibawaan Peguam Negara akan dipersoal. Tujuannya, bukan mahu menjatuhkan kerajaan tetapi mahu ‘membetulkan’ supaya negara ditadbir di bawah kerajaan yang berwibawa, kata Kamal.


Sementara pengendali blog, Zaharin Mohd Yassin pula mengingatkan segelintir ahli-ahli UMNO yang beragenda tetapi tak rasional, supaya memahami perbezaan antara laman web dan laman blog. Menurutnya, mereka yang mempertikai pengendali laman blog, tak memahami perbezaan tersebut menyebabkan ianya menjadi seperti pepatah orang Negeri Sembilan ‘rebung tak miang, bemban pula yang miang’. Justeru katanya, kerajaan jangan dikelirukan oleh ‘bemban’ yang mendakwa mereka ‘rebung’, hingga tak tahu membezakan laman web dan laman blog.

INFO SASTERA & BUDAYA :

SEMINAR PERTEMUAN AKTIVIS BAHASA
PERBINCANGAN TAK MELEPASI SEMPADAN


Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah menganjurkan seminar bahasa dan persuratan dalam ‘Pertemuan Penulis Utara’ di Hotel Holliday Villa, Alor Setar sejak semalam (27 Julai 2007). Mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr. Mohd Mansur Abdullah turut serta mewakili Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), di samping mewakili PRIMA secara tidak rasmi. Mansor memberitahu, sekalipun beliau tak berpeluang menyampaikan pandangan, tetapi seminar berkenaan merumuskan Bahasa Melayu tetap dipertahankan.



Bagaimanapun PRIMA berpendapat seminar sahaja belum mencapai sasaran, kerana perjuangan Bahasa Melayu perlukan juga di peringkat akar umbi. Kalau mahu ianya merakyatkan GAPENA, seminar tak perlu diletakkan di bawah kolong hotel lima bintang atau gerbang istana dan seumpamanya. Bawalah budaya kita ke hati dan jantung rakyat iaitu di peringkat akar umbi. Mari kita kembali kepada saranan Allahyarham Dato’ Dr. Ishak Haji Muhammad, duduk bersila di atas tikar mengkuang, makan rebus ubi dan rebus pisang bersama rakyat. Apabila dibawa ke hotel besar kita sekadar menikmati budaya luaran, bukan jiwa dan raga bangsa Melayu sebenarnya. Begitulah!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


KRITERIA MENJADI CALON PILIHANRAYA
MOHD RASHID SUDAH MACAM KETUA PARTI


Tiba-tiba sahaja Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Mohd Rashid Abdul Rahman, bercakap macam ketua parti apabila menyarankan calon-calon pilihanraya perlu dinilai pencapaian akademiknya. Biasanya ketua parti politik yang membuat kenyataan mengenai kriteria calon-calon yang akan bertanding. Kalau Pengerusi SPR, sewajarnya bercakap fasal pencapaian akademik kakitangan dalam agensi di bawahnya. Apalagi Pengerusi SPR berkenaan bercakap seolah-olah beliau sudah tahu tarikh pilihanraya, sebelum Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapat ilham.


Elok juga Mohd Rashid belajar sikit daripada pengalaman Lim Kit Siang yang pernah menjadi ketua parti politik iaitu DAP pada pilihanraya 1999. Kononnya, ketika itu beliau menetapkan kriteria calon-calon partinya, perlu tahu mengenai IT dan mengendalinya, di samping menyarankan ‘satu keluarga satu homepage’. Keputusan pilihanraya 1999 parti itu Mohd Rashid pun tahu iaitu ’10 budak hitam’, malah ketua parti itu juga ‘gendang gendut tali kecapi’ juga akhirnya. Kalau sekadar tahu SPR sahaja, Mohd Rashid eloklah bertanya Pak Lah sudah mendapat ilham atau belum, kerana yang tahu sikit-sikit fasal ilham nak mengarang, mengerang dan memberang ialah: