Wednesday, August 29, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

DALANG CABAR ENAKMEN SYARIAH
PEGUAM BUKAN ISLAM BERMAIN API

Assalamualikum,

Insiden seseorang mengaku dirinya ‘Rasul Melayu’ mencabar kesahihan lima peruntukan enakmen syariah Selangor, tak akan berhasil sekiranya tak didalang oleh peguam-peguam bukan Islam. Lelaki berusia 55 tahun itu mahukan Seksyen 7, 8(a), 10(b), 12 dan 13EJS 1995 dan Seksyen 49 EPAI 2003 diproklamir tak sah dan terbatal mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan, mungkin sahaja peguam-peguam bukan Islam di sebalik isu berkenaan tak menyedari mereka sedang bermain api. Apabila mereka tak berkelayakan menjadi peguambela di mahkamah syariah, maka dicuba kaedah yang lain iaitu meminta proklamir seksyen yang disebut dalam enakmen berkenaan tak sah dan terbatal.

Ketika menghadiri satu mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan pada 2003 tak lama dulu, memang pernah saya dibangkitkan perlunya diperkukuhkan struktor ‘rajo nan tigo silo’ iaitu ‘raja alam’, ‘raja adat’ dan ‘raja ibadat’ yang diguna pakai dalam sitem ‘Adat Perpatih’. ‘Raja Alam’ ialah pemerintahan negeri yang menguasai pentadbiran, ‘Raja Adat’ ialah penggubal peraturan hidup bermasyarakat yakni dato’-dato’ pembesar (iaitu dato’ lembaga dan dato’ buapak), sementara ‘Raja Ibadat’ adalah pentadbir agama. Justeru ‘pentadbir agama’ mempunyai bidang yang khusus melaksanakan tanggungjawab dengan tak diganggu gugat oleh ‘Raja Alam’ dan ‘Raja Adat’. Begitulah!

Individu yang mencabar enakmen syariah itu sudah jelas lagi diperjelas dan jelas sejelas-jelasnya akan kejahilan, kekhilafan dan kekeliruannya, makanya dihasut lagi golongan yang sememang bukan Islam dengan berlindung di sebalik profesion peguam. Bagi lebih jelas untuk difahami, maka selepas Setiausaha Agung Persatuan Peguam Islam Malaysia (PPI) Sdr Md Radzi Mustapha menyampaikan isu berkenaan kepada PRIMA, maklum balasnya begini: Beberapa kariah masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat bagi menyokong PPI, termasuk di Klebang, Melaka, di Kampung Atas Pengget, Kota Bharu, di Pasir Gudang, Johor, di Jalan Tok Paduka, Kangar, Perlis dan di Jelebu, Negeri Sembilan. Tak termasuk seorang bekas guru berusia lebih 90 tahun di Gombak yang berulang kali menggertap bibir menahan keberangan. Cukuplah!

-Muluk.

INFO HAK ASASI MANUSIA

KUASA AUTONOMI DI IPTA
MEREBUT STATUS UNIVERSITI APEX


Kuasa autonomi diberikan kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) secara berperingkat-peringkat menjelang 2020 bagi melonjakkan sistem pendidikan tinggi negara, memang dialu-alukan oleh PRIMA. Seperti disebut oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed kepada media semalam (28 Ogos 2007) memang ditunggu-tunggu oleh semua pihak, apalagi kebebasan memilih naib canselor diberi perioriti. Baguslah, IPTA sendiri memilih naib canselornya sendiri bagi mengelakkan campur tangan politik yang kadangkala boleh mencemar kewibawaan seseorang yang berkebolehan, menyebabkan ahli akademik menjadi mangsa.

Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz sebelum bertolak ke London semalam (28 Ogos 2007) sempat memberitahu pihak PRIMA merasakan sudah tiba masanya autonomi diberikan kepada IPTA dan IPTS. Bagaimanapun beliau tetap sukar meramalkan apabila tiada kuasa politik mencampuri urusan ‘pemegang dasar universiti’ ianya boleh juga mewujudkan ‘politik akademik’ yang berlaku secara berleluasa sebelum ini di IPTA. ‘Politik akademik’ dalam beberapa buah IPTA sebelum ini memang turut juga mewujudkan senario ‘cantas mencantas’ secara tak berhemah. “Kuasa autonomi di IPTA digalakkan, tetapi ‘politik akademik’ harus dipantau secara berkesan,” beritahu Kamal selanjutnya.

SIME DARBY UNTUNG RM2b
PROTON SEKADAR KIRA RUGI


Pimpinan kanan PRIMA,Yahaya Ismail secara sinis menyebut, ketika Sime Darby Bhd merekodkan sejarah buat pertama kali mencatat keuntungan sebelum cukai melebihi RM2b dalam tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007, syarikat kereta nasional Proton Holdings Bhd sekadar mampu mengira kerugian sekalipun mampu dikurangkan kepada RM46.85 juta sebelum cukai. Yahaya (Pak Ya) yang akan bertolak ke Jakarta besok (30 Ogos 2007) bagi menghadiri seminar sastera Melayu dan Islam di Pekanbaru, propinsi Riau hari berikutnya berkata, fenomena yang dihadapi oleh Proton itu samalah seperti disebut dalam pepatah Melayu: Mengira buah kerayung!

Baginya, adalah menghairankan syarikat automobil milik negara itu berhadapan dengan fenomena kerugian, ketika produk jenama kereta nasional itu menembusi pasaran di seluruh negara. Di samping mempersoal pengurusan syarikat automobil nasional itu, Pak Ya turut melahirkan rasa bimbang insiden yang dihadapi oleh Bank Bumiputra (M) Bhd akan berulang menimpa Proton. “Orang Melayu sudah kehilangan perbankan yang menjadi kebanggaan negara, janganlah automobil nasional pula mengikut jejak mundur ke belakang, ketika propaganda ‘berjalan ke hadapan’ sering muncul di TV,” katanya.

INFO SASTERA & BUDAYA

PENDEKATAN DAN PEMIKIRAN BARU
GAPENA PERLUKAN PIMPINAN DINAMIK


Kritikan Pemangku Presiden Persatuan Penulis Selangor (PPS) Dato’ Dr Anwar Redhuan yang menganggap pimpinan Gapena tak menggerakkan pembentukan Badan Pelindung Harta Intelek Penulis, seolah-olah kekecewaan beliau terhadap Gapena yang merangkumi 23 persatuan penulis. Apalagi Ketua Satu Gapena, Profesor Emiritus Tan Sri Ismail Hussein sendiri dikatakan tak mungkin mewujudkan badan khas mengenai isu berkenaan. Dr Anwar yang pernah menjadi Setiausaha Gapena, tak mungkin meluahkan kenyataan berkenaan, sekiranya masih berharapkan pimpinan lama dengan pendekatan dan pemikiran yang berligar pada dekad 1970-an dan 1980-an.

Malah Dr. Anwar turut mendedahkan pembabitan Gapena dalam perniagaan dengan anak syarikatnya ‘Gapeniaga Sdn Bhd’, tetapi tak mampu mempertahankan ‘Badan Pelindung Harta Intelek Penulis’, sehingga meminta dijadikan model operasi Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP). Maknanya, Gapena tak mampu mempertahankan ‘harta intelek penulis’, kerana ianya lebih tertumpu kepada projek lain, yang tentunya di bawah Gapeniaga Sdn Bhd. Tak hairanlah aktivis PRIMA, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mengimbau kembali insiden seminar penulis di Ipoh 1970, ketika Ismail Hussein mempertikai kertas kerja Suhaimi Haji Muhammad, Penulis Mesti Kaya Kalau Mahu Jadi Agung!

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MENJELANG MALAM MERDEKA
APABILA KAWAN TIADA LAGI DI SISI


Dalam salah satu rencana dimuatkan menerusi kolumnya di Mingguan Malaysia sekitar dekad 1980-an, Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris memberitahu akan perasaan sebak setiap kali menjelang malam 31 Ogos. Beliau akan memainkan lagu ‘Semalam Di Malaya’ yang dicipta rakan baiknya Saiful Bahri, bagi mengimbau liriknya yang sayu, pilu dan mendayu. “Aku pulang dari rantau/bertahun-tahun di negeri oran/oh Malaya/kekasih hatiku sudah pula hilang/hilang tiada ganti/aduhai sayang/apakan daya/ aku hanya seorang pengembara/yang hina.

Bait-bait lirik itu mungkin sahaja tak membawa makna kepada generasi sekarang, kerana Saiful Bahri yang menciptanya tiba di Kuala Lumpur selepas perang berakhir pada 1945. Beliau mahu mencari sahabat handai di Malaya ketika itu, terpaksa berperap di bilik sebuah hotel hingga terpantul idea mahu mencipta lagu berkenaan. Memang ketika Tan Sri Abdul Samad menelefon malam-malam memberitahu latar belakang lagu berkenaan, tak menarik perhatian sangat. Tetapi setelah ketiadaan beliau untuk menelefon di malam-malam kemerdekaan; apalagi Allahyarham Pak Sako yang sanggup menjengah ke rumah sekalipun ketika beliau uzur, makanya kepiluan, kesayuan dan keharuan semakin terasa di hati menjelang malam kemerdekaan ini ialah:







HIDUP BAHASA MELAYU