Thursday, August 9, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia keapda manusia)

DARI LAMAN BLOG:


CORAT CORET DI TANJUNG MALIM
DR MANSOR SESAT ‘DI RUMAH SENDIRI’

Assalammualaikum,


Belumpun masuk subuh, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah sudah menelefon, kerana sudah berjanji mewakili PRIMA ke majlis ‘Wacana Pemikiran Global Sasterawan Negara Malaysia’ di UPSI, Tanjung Malim hari ini (9 Ogos 2007). Tak disangka pula Dato’ Mansor membawa bersama isterinya yang ramah, hingga sentiasa banyak bahan berbual sepanjang perjalanan. Kalau beliau beritahu fasal membawa isterinya bersama, saya pun ingin juga couple dengan isteri yang sentiasa banyak modal berbual. Lainlah saya lebih banyak mendengar daripada bercakap, hingga kadangkala dianggap ‘sombong’ oleh rakan-rakan. Begitulah!



Dato’ Mansor yang pernah menuntut di Tanjong Malim satu ketika dulu, seolah-olah rusa masuk kampung apabila tersesat di kawasan UPSI yang tak sebesar mana. USM di Pulau Pinang yang luas terbentang pun tak pernah tersesat, tapi di Tanjung Malim dikira ‘rumah sendiri’ Dato’ Mansor boleh tersesat. Isterinya pula tak lepas peluang mengusik Dato’ Mansor yang tersesat di Tanjong Malim, salangkan di luar negeri tak tersesat. Bagaimanapun tak senasib dengan Dr. S. Othman Kelantan yang masuk ke rumah rihat, pelajar di situ tak tahu kiblat untuk solat. Ketika bertemu Dato’ Profesor Yusof Hassan, jenakanya masih segar. Dr. A. Wahab Ali pun boleh tahan juga cerianya ketika makan, kerana sentiasa banyak ‘modal’ untuk berbual. Memang sekali sekala bertemu kawan penulis, mereka semakin banyak ‘modal’ untuk berbual tetapi saya terus juag mengunci bicara. Entahlah!

-Muluk-

INFO HAK ASASI MANUSIA:


PEMBANGKANG JADI RAHMAT
SUBURKAN AMALAN DEMOKRASI

Mantan Ahli Parlimen Sik, Profesor Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad mengingatkan pihak berkuasa (kerajaan Barisan Nasional), pembabitan parti-parti pembangkang sepatutnya adalah menjadi rahmat kepada negara, bukan dimusuhi sebagai seteru politik. Malah, menurut Dato’ Shahnon seterusnya, parti-parti pembangkang menyuburkan amalan demokrasi di dalam sesebuah negara, kerana mereka menjadi pengkritik yang membantu kerajaan mentadbir dengan baik. “Sebaliknya fungsi parti pembangkang dipandang serong oleh kalangan ahli politik yang berfikiran dangkal sehingga memusuhi mereka di puak pembangkang,” katanya.

Dato’ Shahnon diberi sambutan meriah oleh pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Tanjung Malim ketika memberikan pandangan dalam ‘Wacana Pemikiran Global Sasterawan Negara Malaysia’ di Dewan Budaya IPTA berkenaan hari ini (9 Ogos 2007). Tiga orang Sasterawan Negara yang diundang bagi menyampaikan pandangan masing-masing dalam wacana tersebut di samping Dato’ Shahnon, ialah Dato’ Dr A. Samad Said dan Dr. S. Othman Kelantan. Bagaimanapun Dato’ Shahnon tak berasa kecewa dengan pembabitan beliau menyertai pembangkang yang terlalu banyak memberi pengalaman mengenali watak manusia.

“Sekarang saya lebih senang bercakap dengan bukit bukau, gunung ganang dan hutan belantara,” beritahu Shahnon sambil mengumumkan wasiatnya menyerahkan sebahagian buku-buku miliknya yang berjumlah hampir 2,000 naskhah kepada UPSI. Pengumuman Dato’ Shahnon itu disambut dengan tepuk gemuruh, di samping mengakui manuskrip novel terbarunya berjudul ‘Durian Di Hujung Julai’, sudah diserahkan kepada pengerusi wacana, Dato’ Profesor Dr. Mohd Yusof Hassan. (Selepas jamuan makan, Pengarah Urusan ‘Goal Inteligent Publishing Sdn Bhd’, Syed Salim kelihatan berbincang sesuatu dengan Dato’ Shahnon).

DI TEMURAMAH MENGENAI ISU BAHASA
SEPATAH PUN TAK DISIARKAN MAJALAH


Sasterawan Negara, Dato’ Dr A. Samad Said tetap mempertahankan Bahasa Melayu, sekalipun mengakui beliau menerima pendidikan aliran Inggeris. Di samping itu Dato’ A Samad yang lebih mesra dipanggil Pak Samad mendedahkan novel ‘Salina’ ditolak oleh panel penilai daripada sayembara novel kemerdekaan yang dianggap ‘melanggar’ syarat pertandingan. Ketika menyampaikan wacanannya di UPSI bersama dua orang lagi rakan Sasterawan Negara, Pak Samad menerima pujukan Allahayarham Kris Mas membenar ‘Salina’ menyertai sayembara sebagai mewakili ‘Asas 50’, di samping ianya memenangi hadiah sagu hati sahaja.


Beliau yang tak bersetuju dengan penampilan karya-karya Melayu diselit dengan Bahasa Inggeris yang di Melayukan, tetapi menyerahkan kepada pusat pengajian bahasa di ITPA dan ITPS bagi memartabatkan Bahasa Melayu. Katanya, beliau percaya dalam karya sastera ianya perlu berfungsi, sekalipun kadangkala dianggap ‘propaganda’; dalam penulisan sastera pula ianya perlukan ‘tata bahasa’. “Kalau tak berfungsi dan tak bertata bahasa, bukanlah sebuah karya sastera,” menurut Pak Samad. Bagaimanapun dalam isu ‘Bahasa Melayu’ beliau pernah ditemuramah oleh wartawan majalah, tetapi tak pernah disiarkan kerana beliau ehem ehem!


HANYA BANGSA KULI SAHAJA
MEMANG TAK MEMILIKI BAHASA


Bangsa yang tak memiliki bahasa adalah ‘bangsa kuli’ yang tak bermartabat, menurut Sasterawan Negara Dr. Syed Othman Syed Omar yang lebih dikenali dengan nama pena S. Othman Kelantan. Dalam majlis ‘Wacana Pemikiran Global Sasterawan Negara Malaysia’ di UPSI hari ini, S. Othman menyebut bangsa Melayu perlu mempertahankan ‘Bahasa Melayu’, kalau tak mahu menjadi ‘bangsa kuli’ (bukan Ku Li), disambut gelak ketawa oleh pelajar-pelajar sastera di UPSI. Majlis wacana berkenaan dirasmikan oleh Naib Canselor UPSI, Dato’ Muhammad Rais Abdul Karim, dengan penyelarasnya Dato’ Dr. Mohd Rosli Saluddin.

“Kalau Bahasa Melayu sudah tak ada, bangsa Melayu pun tak ada, sebab itu jadilah kita ‘bangsa kuli’,” beritahu S. Othman yang menyampaikan wacananya sentiasa sahaja menimbulkan gelak ketawa. Menurutnya lagi, sebagai sasterawan beliau tak peduli sama ada karyanya dianggap ‘tak bermutu’ atau sebaliknya oleh pengkaji-pengkaji sastera. Menjawab soalan peserta, S. Othman mengakui beliau tidak pernah kering ilham dalam sebarang suasana, sekalipun di tengah hiruk pikuk keluarga. Katanya, ketika menyiapkan novel ‘Angin Timur Laut’ ianya dihasilkan sambil menonton TV.
INFO SASTERA & BUDAYA:


ANTOLOGI PUISI KEMANUSIAAN
‘MERAUT AIR LIMPAH’ DARI UPSI



Dengan memuatkan 77 buah sajak menerusi antologi ‘Meraut Air Limpah’ oleh Penerbitan Profesional baharu, Tanjung Malim ianya seolah-olah mewakili pernyataan UPSI dalam mesej kemanusiaan. Mungkin sahaja sebahagian besar penyair-penyair terbabit di kalangan pelajar-pelajar UPSI, tetapi penyelenggaranya Abdul Halim Ali turut memuatkan sajak penyair-penyair tersohor seperti Kemala (Hujan, Air), Wan A. Rafar (Musim Tengkujuh: Sebuah Lanskap), Leo A.W.S. (Cengkerama Si Katak Gomok, Nazam Banjir Lima Rangkap) Talib Samat (Gelombang Kedua Banjir Besar Di Johor, Johor Negeriku Dilanda Banjir Besar) dan Naapie Mat (Banjir: Satu Musibah 1, Di Kala Menghadapi Derita, Banjir: Satu Musibah 11).



Sebagai penyelenggara Abdul Halim turut memuatkan dua sajakanya (Meraut Air Limpah, Biarkan Banjir Begitu). Abdul Halim membawa mesej kemanusiaannya iaitu berikutan banjir besar di Johor tak lama dulu menerusi ‘Meraut Air Limpah’ dengan mengungkapkan: Kini kita mesti segera mengerti/menjadi lebih insaf dari kesedaran dahulu/tentang indah dan kasih sayang Tuhan/tersembunyi di sebalik himpunan/ lumpur, sampah sarap, pasir, kelodak dan air limpah/yang kau deritai dan tangiskan. UPSI mengambil sikap peka dengan kehidupan manusia yang berhadapan dengan musibah, menerusi antologi sajak ‘Meraut Air Limpah’nya ini.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

WABAK DEMAM PILIHANRAYA
BOMOH POLITIK MAKIN POPULAR

Kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan penggunaan dakwat khas dari India menanda jari pengundi pada pilihanraya umum (akan datang), sudah dirasakan wabak demam pilihanraya semakin menular hingga lebih dahsyat daripada denggi, JE, selsema burung atau HIV. Gamaknya! Kalau tak disebabkan wabak demam pilihanraya sudah menular, takkan Majlis Fatwa Kebangsaan dipanggil membuat kenyataan supaya ianya tak keliru, tak haru biru dan tak bercelaru! Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa pun turut bersuara, fasal partinya driamalkan menang besar kalau pilihanraya diadakan tahun ini. Mudah-mudahan!




Khabarnya parti-parti komponen BN pula tak selesa, sekiranya pilihanraya umum mahu diadakan juga tahun ini. Sebelum itu dikatakan Ogos 2007 ilham pilihanraya sudah tiba, tetapi parti-parti komponen membantah kerana berdasarkan ‘trim card’ pengundi-pengundi Cina ianya ‘cak boh liau’ kepada pihak lawan. Apalagi kerusi Parlimen Taiping mahu diambil semula dari PPP, hingga Dato’ M. Kyveas pun tersinggung. MCA yang kononnya mahu digabungkan dengan Parti Gerakan pun, sudah senyap sepi, senyap sunyi dan senyap berapi. Justeru pilihanraya terpaksa juga ditangguh, setidak-tidaknya selepas semua parti-parti komponen tak berkecamuk seperti keprihalan yang tertunggu-tunggu buah durian di hujung julai yang tak jatuh-jatuh ialah:










HIDUP BAHASA MELAYU!!!!!!