Monday, August 27, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PERKARA BERKAITAN AGAMA
TERLEPAS KE TANGAN BUKAN ISLAM

Kesal benar Setiausaha Agung Persatuan Peguam-Peguam Islam, Sdr Mohd Radzi Mustapha apabila perkara berkaitan Islam, ditangani oleh peguam bukan Islam. Beliau tak menyentuh kes yang disebut di mana-mana mahkamah, tetapi membayangkan isu membabitkan seorang lelaki mengaku ‘rasul’. Disebabkan urusan berkenaan memang membabitkan Mahkamah Persekutuan, ianya memberi peluang kepada peguam-peguam bukan Islam menangani isu berkaitan penganut agama Islam.“Tunggulah besok (28 Ogos 2007), dan eloklah aktivis Islam memberi sokongan moral kepada peguam-peguam Islam berkaitan isu yang menyangkut kepentingan Islam,” kata Radzi.

Bagi mengelak ianya ditakrif prejudis, Radzi sekadar meminta umat Islam yang cintakan agama memberi sokongan moral kepada peguam-peguam Islam di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya besok (28 Ogos 2007) bagi mendengar sendiri isu seorang lelaki beragama Islam memproklamir dirinya ‘rasul’. Peguam-peguam bukan Islam pula menampilkan diri bagi menangani isu berkenaan atas kepentingan sendiri, di samping memperlekeh, memperleceh dan memperlondeh wibawa peguam-peguam Islam. Justeru PRIMA memandang berat sikap barisan peguam-peguam bukan Islam yang cuba cmpur tangan dalam urusan agama Islam; apalagi ianya amat jelas mengguris perasaan setiap umat Islam.

-Muluk

INFO HAK ASASI MANUSIA

MELAYU MASIH TERKAPAI-KAPAI
MERDEKA BUKAN PESTA-PESTAAN

Pimpinan kanan PRIMA, Yahaya Ismail mahukan perayaan kemerdekaan bukan sekadar pesta-pestaan, sekalipun sudah 50 tahun diproklamir apabila menjelang 31 Ogos nanti, kerana majoriti orang Melayu masih terkapai-kapai. Yahaya (Pak Ya) yang juga bekas pensyarah di USM sekitar dekad 1970-an dulu, pernah membangkitkan isu ‘Melayu Pulau Pinang’ di samping mengerakkan penentangan terhadap masalah Melayu terpinggir. Beliau juga turut mengakui sikap pesta-pestaan menyambut kemerdekaan tak memantulkan semangat patriotik di kalangan rakyat, sebaliknya mereka menyamakan ianya sebagai perayaan iseng-isengan sahaja.

Menurut Pak Ya, beliau tak bersama menyambut kemerdekaan di tanah air kerana akan bertolak ke Jakarta pada 30 Ogos, di samping menyertai seminar sastera Melayu dan Islam di Pekanbaru pada 31 Ogos 2007. Sebagai pengkritik sastera, Pak Ya memang dikenali di kalangan sasterawan di Indonesia; apalagi beliau sendiri pernah menghasilkan tesis mengenai kebangkitan ‘Lembaga Kebudayaan Rakyat’ (Lekra) di Indonesia sebagai memenuhi keperluan kesarjanaan di bawah bimbingan H.B. Jassin sewaktu menuntut di Indonesia. “Saya menerima tawaran bagi memenuhi permintaan rakan-rakan lama di Indonesia, sekalipun seminar diadakan di luar Jakarta,” katanya.

ISU PENUBUHAN UMNO:
FAKTA SEJARAH LEBIH PENTING

Isu penubuhan UMNO di Kuala Lumpur, bukan di Johor Bahru yang dibangkitkan oleh Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr. Mohd Khir Toyo tak perlu dijadikan kontroversi, tetapi membetulkan fakta sejarah adalah lebih penting bagi kepentingan Melayu, kata bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Beliau mengulas mengenai kontroversi yang dibangkitkan oleh Dr. Khir mengenai penubuhan UMNO ialah di Kelab Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1-4 Mac 1946, dan bukan di Istana Besar, Johor Bahru pada 11 Mei 1946.


“Persetujuan menubuhkan UMNO dengan 41 buah gabungan pertubuhan-pertubuhan Melayu, memang di Kuala Lumpur, tetapi ianya diproklamir di Johor Bahru,” beritahu Dr Mansor. Fakta yang perlu diperbetulkan ialah UMNO ialah badan gabungan 41 buah pertubuhan-pertubuhan Melayu termasuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin al-Helmy, Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan Dato’ Ahmad Boestamam, katanya. Fakta sejarah ini perlu diperbetulkan, supaya generasi Melayu memahami fungsi UMNO sebenarnya, ujar Dr. Mansor.

Begitu juga nama UMNO pada peringkat awalnya dicadangkan oleh Dato’ Onn Jaafar ialah ‘Pertubuhan Melayu Bersatu’ (UMO) ketika Kongres Melayu Pertama di Kuala Lumpur, tetapi dipinda oleh Pendeta Tan Sri Zaaba kepada ‘Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu’ (UMNO). Cadangan tersebut dibuat oleh Dato’ Onn dan Zaaba pada persidangan di Kuala Lumpur (1-4 Mac 1946), atau lebih tepat lagi ialah di Kuala Lumpur. Di samping itu Dr Mansor juga menyarankan nama tokoh yang membuka Kuala Lumpur dalam silibas sejarah di sekolah-sekolah juga diperbetulkan faktanya.

“Orientalis barat mengiktiraf Yap Ah Loy membuka Kuala Lumpur, sedangkan tokoh berkenaan terbabit dalam Perang Selangor pada 1872,” menurut Dr Mansor lagi. Fakta tersebut menunjukkan Kuala Lumpur sudah dibuka lebih awal, hingga berlaku perang saudara dengan Yap Ah Loy membantu Tunku Kudin yang disokong oleh Inggeris. Kata Dr Mansor yang membuka Kuala Lumpur ialah Raja Abdullah bin Raja Ali pada 1858 dengan membangunkan perusahaan lombong bijih di Ampang. “Malah sebelumnya Sutan Puasa, sudah membuka kedai nasi di cabang tiga kuala sungai yang dinamakan Kuala Lumpur itu,” jelasnya menambah.

SURAT RASMI PM MONGOLIA
KERAJAAN MALAYSIA TAK JAWAB

Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz kesal dengan desas desus menyebut dua pucuk surat rasmi yang dikirim oleh kerajaan Mongolia kepada kerajaan Malaysia, berkaitan isu Altantoya Shaariibu tak diberi jawaban mengikut saluran diplomatik. Kalau benar kerajaan Malaysia tak memberikan jawaban mengikut saluran diplomatik kepada sebuah kerajaan yang berdaulat, menurut Kamal adalah memalukan negara dan rakyat Malaysia sendiri. Katanya, beliau menerima maklumat dari sumber yang boleh dipercayai dua pucuk surat dari Perdana Menteri Mongolio adalah bersabit dengan warganegaranya yang tak diberi perlindungan keselamatan semasa di negara ini.

“PRIMA akan mengambil langkah susulan untuk menemui konsolat Mongolia di sini bagi memperoleh maklumat lanjut,” beritahu Kamal. Seterusnya Kamal melahirkan rasa bimbang, sekiranya kerajaan Mongolia mengambil tindakan drastik dengan membawa isu Altantoya ke Mahkamah Pengadilan Antarabangsa, selaras dengan ‘piagam Bangsa-Bangsa Bersatu’ iaitu setiap warganegara asing perlu diberi perlindungan keselamatan semasa mereka berada di luar negeri. Dalam hubungan ini Kamal merasakan, PRIMA bukanlah mencampuri urusan politik tetapi sekadar mahukan penjelasan berkaitan hak asasi manusia secara umum.

INFO SASTERA & BUDAYA

PENERBIT MAHU KERJASAMA
KUMPULAN PANEL PENGARANG

Sebuah syarikat penerbitan terkenal di Kuala Lumpur mahu menjalin kerjasama dengan PRIMA bagi membentuk ‘Kumpulan Panel Pengrang’, bagi menjamin imbuhan yang diterima berbaloi dengan sumbangan pemikiran dan idea mereka menghasilkan karya. Pihak penerbit terbabit sudah meminta persetujuan ketua pimpinan PRIMA sasterawan Dharmala N.S. (atau Pak Dharma) bagi mewujudkan ‘kumpulan panel pengarang’ itu, dengan meletakkan sasaran hasil karya yang diterbitkan diberi sama rata dengan pihak penerbit, setelah ditolak kos percetakan dan kerja-kerja pra penerbitan. Pak Dharma dikatakan sudah berbincang dengan Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mengenai tawaran tersebut bagi dilaksanakan secepat mungkin.

Sekalipun belum dibuat perjanjian secara ‘hitam putih’, tetapi Pak Dharma bersama Dr Mansor (Pak Cot) sudah menerima pada dasarnya. Beberapa orang pengarang dan sasterawan yang berketerampilan akan dipelawa menyertai projek berkenaan, menerusi intensif yang dicadangkan oleh penerbit berkenaan. Karya-kara yang dihasilkan dalam ‘kumpulan panel pengarang’ ini termasuklah karya sastera, sejarah, autobiografi tokoh, agama dan semi ilmiah. Pihak penerbit mengambil inisiatif tersebut berikutan rungutan kalangan penulis-penulis tanah air selama ini yang berhadapan dengan eksploitasi pihak penerbitan yang mementingkan ‘ringgit dan sen’.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MERDEKA SEKADAR MERIAH DI TV
MASYARAKAT MASIH BELUM TERBABIT


Sambutan ‘Hari Kebangsaan’ setiap tahun memang meriah, apabila dipancarkan terus menerus di kaca TV. Begitulah! Kronologi berkenaan berterusan tak kira ianya 50 tahun merdeka, atau bukan 50 tahun merdeka. Berbezalah di Indonesia, ‘Hari Kemerdekaan’ disambut oleh rakyat jelata sama ada di kota mahupun di desa bukan sekadar pada 17 Ogos, malah berlanjutan beberapa minggu kemudiaan. Misalnya, kalau ke propinsi Riau, pertandingan ‘pacu jalur’ (perlubaan perahu jalur) di Taluk Kuantan di kabupaten Kuantan-Sengenge sentiasa dihidupkan sebagai acara tahunan. Tak termasuk di propinsi lainnya yang menjadi tradisi rakyat, kerana kemerdekaan adalah milik rakyat Indonesia.

Mungkin sahaja di Malaysia pendekatan yang dibuat oleh kerajaan menjadikan sambutan kemerdekaan sebagai ‘perayaan UMNO’, bukan membabitkan seluruh rakyat jelatan. Komponen BN sama ada MCA, MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain parti di Sabah dan Sarawak sekadar ‘ikut tui’ sahaja, menyebabkan semangat patriotisme sukar diterapkan dalam jiwa rakyat terbanyak. Apabila UMNO merasakan ‘Malaysia’ milik mereka, pembangunan milik mereka, malah apa sahaja yang dilaksanakan termasuk ‘merdeka’ ditakrif milik ‘UMNO’, makanya rakyat pun malas ikut sama ‘masuk kandul’.
Justeru pendekatan sebaik-baiknya dibuat ialah ‘Malaysia’ milik rakyat, pembangunan milik rakyat, segala yang dilaksanakan oleh kerajaan milik rakyat, makanya merdeka juga milik rakyat. Lainlah dalam period pemerintahan kesultanan Melaka, segala yang dilaksanakan adalah ‘titah tuanku patik junjung’, makanya rakyat menganggap ‘raja’ itu adalah milik rakyat, yang mesti dipertahankan dengan seluruh jiwa raga. Kira-kiranya begitulah, seperti kefahaman yang diberikan kepada anak cucu dan zuriat yang memang dilahirkan di tengah-tengah rakyat iaitu:

HIDUP BAHASA MELAYU!