Wednesday, March 12, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

DARI ALLLAH KITA DATANG
KEPADA ALLAH KITA PULANG

Assalamualaikum,


Dari Allah kita datang, kepada Allah kita pulang. Pagi lagi jam 7.00 am hari ini (11 Mac 2008) aktivis belia Sdr Sobri Ahmad (Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asean) mengirim SMS beritahu ibu Dato’ Seri Syed Hamid Albar meninggal dunia. Ketika menjemput anak saya Elmi Fadzimah yang mengikuti bengkel mata pelajaran Matematik di Kolej Kris Mas, UKM di Bangi jam 11.00 a.m., Sdr Fadzil Abdul Samad pula menelefon beritahu ibunya Puan Sri Asiah Haji Hussein (Mak Lang, iaitu isteri Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris) meninggal dunia. Justeru dari Bangi saya terus sahaja ke Masjid UPM di Seri Kembangan bagi solat jenazah seleaps soalt zohor dan seterusnya ke tanah perkuburan Islam di UPM bagi perjalanan terakhir seorang insan.

Mak Lang memang tak terbabit secara langsung dalam gerakan nasionalisme, tetapi beliau tetap menjadi pendorong di belakang tabir membantu suaminya Tan Sri Abdul Samad Idris. Misalnya, ketika darurat di proklamir pada Jun 1948, Mak Lang yang baru sahaja melahirkan anak sulung (Dr Nuraini) malah masih ‘di dalam hari’ terpaksa pula berhadapan dengan kemelut politik apabila rumahnya diserbu oleh polis. Tan Sri Abdul Samad yang disyaki aktivis Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dikehendaki oleh polis bagi soal siasat, tetapi dibebaskan selepas ditemui potret Dato’ Onn Jaafar di dalam diarinya. Insiden yang berlaku ketika umat Islam menjalankan ibadat puasa itu memang sebahagian dari pahit getir yang dilalui oleh pejuang-pejuang nasionalisme.

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz pula mengatur majlis makan tengahari di Kampung Baru, 12 Mac 2008 di sebuah restoran masakan Minangkabau. Secara tak langsung pula berbincang berkaitan keputusan pilihanraya ke 12 yang melalut hingga 5.00 petang. Sekalipun turut dihadiri bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Dato’ Suhaimi Ibrahim, bekas Setiausaha Usaha Agung GPMS Sdr Sobri Ahmad mahupun bekas Setiausaha Front Bertindak Bahasa Kebangsaan Haji Yahaya Ismail, bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah tetapi sukar mahu mencapai persefahaman dalam isu ‘agenda Melayu’. Justeru PRIMA mengambil ketetapan meneruskan perjuangan ‘menentang perhambaan minda manusia kepada manusia’ bagi agenda Melayu seperti diusulkan oleh Haji Mohd Sayuti Omar. Begitulah!

Memang sejak gerakan menentang ‘Malayan Union’ pada awal 1946, Melayu perlu kepada pimpinan yang dinamik memacu keterampilan yang lebih bermakna, sekalipun ianya digerakkan oleh Tan Sri Pendeta Zaaba sejak November 1945. Menerusi Tan Sri Zaaba bangsa Melayu menemui frasa kepimpinan Dato’ Onn Jaafar bagi menggerakkan Kongres Melayu Pertama pada 1-4 Mac 1946. Insiden 8 Mac 2008, melihat pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berhadapan kekalutan, kekemelutan dan kekelabutan sama seperti dialami oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 29 November 1999. PRIMA mengambil pendekatan pimpinan Dato’ Seri Abdullah diperlukan ketika keserabutan ini, sebaliknya kekuatan Melayu harus dikembalikan kepada akar umbi menerusi proses bistari, lestari dan jauhari. Insya Allah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

MENGHADAPI KRISIS KETUANAN
KERAJAAN TAK PEROLEH 2/3 MAJORITI


Beberapa kerajaan negeri berhadapan dengan krisis ketuanan

apabila ianya tak memperoleh majoriti dua pertiga, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz selepas majlis makan tengahari di Kuala Lumpur hari ini (12 Mac 2007). Bukan sahaja kerajaan negeri yang ditubuhkan oleh pakatan PKR-PAS-DAP, malah kerajaan BN di Negeri Sembilan juga turut berhadapan dengan fenomena berkenaan, katanya. Dato’ Kamal Amir yang juga penganalisis politik memberitahu, kerajaan negeri di Kedah dan Pulau Pinang juga tak stabil dengan dominasi PAS di Kedah sekadar16 daripada 36 kerusi di samping bergantung kepada PKR (4), DAP (1) dan Bebas (1). “Di Pulau Pinang juga DAP tak selamat dengan 19 kerusi daripada 40, dengan bergantung kepada PKR (9) dan PAS (1),” jelas Dato’ Kamal Amir.

Beliau juga tak yakin dengan kestabilan kerajaan negeri Selangor, apalagi di Perak yang terpaksa berhadapan dengan krisis ketuanan. Dengan kedudukan PKR 15 kerusi daripada 56 menurut Dato’ Kamal Amir seterusnya, sukar bagi kerajaan negeri membuat keputusan apabila DAP mendominasi 13 kerusi di samping PAS (8 kerusi) di samping BN (20). Kerajaan negeri di Perak lebih rumit berikutan DAP sekadar 18 kerusi, dengan PKR (7) dan PAS (6) berbanding BN mendominasi 28 daripada 59 kerusi. Dengan empat kerajaan negeri saling bergantung kepada permuafakatan politik yang serba longgar, satu lagi kerajaan negeri yang didominasi oleh BN juga tak memperoleh majoriti dua pertiga hingga sukar membuat sebaranag keputusan, katanya.

Sekalipun BN meneruskan penguasaan kerajaan negeri di Negeri Sembilan beritahu Dato’ Kamal Amir selanjutnya, tetapi BN sekadar memperoleh 21 daripada 36 kerusi dengan tak mencapai majoriti dua pertiga. Bagaimanapun keadaan di Negeri Sembilan tak terlalu meruncing seperti berbanding di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor, disebabkan pecahan dominasi pembangkang sekadar DAP (10), PKR (4) dan PAS (1). Berikutan di Dewan Rakyat juga BN tak memperoleh majoriti dua pertiga, krisis dalam pentadbiran sukar dielakkan. “Malaysia akan berhadapan dengan krisis ketuanan, justeru mungkin sahaja pilihanraya baru perlu diadakan bagi mencari penyelesaian,” menurut Dato’ Kamal Amir.

TAHAP PEMIKIRAN RENDAH:
MEDIA ARUS PERDANA JATUHKAN BN


Pimpinan kanan PRIMA, Haji Yahaya Ismail merumuskan tahap pemikiran rendah yang digerakkan oleh media arus perdana menjadi pendorong kepada jatuhnya imej BN pada pilihanraya ke 12, Sabtu (8 Mac 2008) lalu. Mengulas laporan media arus perdana hari ini (12 Mac 2008) berkaitan isu ‘hukum Hudud’ di Kedah yang didominasi PAS, Haji Yahaya berasa hairan bagaimana media arus perdana memanipulasi isu berkenaan, sedangkan pimpinan tertinggi PAS (Jawatankuasa Tertinggi) hanya bermesyuarat petang ini (12 Mac 2008) bagi membuat keputusan. “Disebabkan penampilan propaganda media arus perdana yang keterlaluan dengan tahap pemikiran rendah, menyebabkan generasi muda merasakan ‘perhambaan minda’ perlu ditolak dengan memberi mesej menerusi peti undi,” beritahu Haji Yahaya.

Haji Yahaya yang juga bekas pensyarah USM di samping pengkritik sastera tersohor sekitar dekad 1960-an mahukan ‘dasar media negara’ diselaras bagi meningkatkan ‘tahap pemikiran tinggi’ dalam menjana kebebasan intelektual di peringkat global. Katanya lagi, akibat ‘perhambaan minda’ selama ini pimpinan negara kurang prihatin terhadap ‘dasar media negara’ yang menjurus kepada ‘tahap pemikiran rendah’ yang memberi implikasi kepada kejatuhan teruk imej BN menjelang hari pengundian pada 8 Mac 2008. Menurut Haji Yahaya berdasarkan beberapa laporan diterima oleh pihak PRIMA menerusi SMS mahupun telefon, penyibaran maklumat media arus perdana termasuk media elektronik menimbulkan ‘benci dan meluat’ kalangan generasi muda. “Justeru ‘dasar media negara’ penting bagi memantau ‘tahap pemikiran rendah’ dijadikan bahan maklumat,” ujarnya.

PAKATAN MEMBENTUK KERAJAAN NEGERI
RAKYAT PERLU TOLAK ‘PERHAMBAAN MINDA’


Pembentukan kerajaan negeri-kerajaan negeri menerusi pakatan parti-parti perlu dilihat demi memeliharaan kepentingan rakyat, bukan berdasarkan emosi berikutan isu kekalahan BN, beritahu aktivis masyarakat Haji Mohd Sayuti Omar. Mengulas beberapa pandangan negatif terhadap kemampuan PKR-PAS-DAP menubuhkan kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, Haji Mohd Sayuti yang juga pengarang akhbar tabloid ‘SIASAH’ memberitahu, rakyat perlu menolak ‘perhambaan minda’ dengan memberi peluang parti-parti terbabit melaksanakan manifesto mereka. “Setiap pihak tak wajar membuat andaian berdasarkan emosi berikutan kekalahan BN, dengan tak menilai kelemahan-kelemahan menerusi ‘kebebasan intelektual’,” jelas Haji Mohd Sayuti.

Bercakap dalam perjumpaan bersama pengendali laman blog ketika majlis makan tengahari PRIMA di Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini (12 Mac 2008) Haji Mohd Sayuti mengingatkan, Malaysia tak mampu melonjak sebagai negara maju menjelang 2020 sekiranya masih terikat dengan ‘perhambaan minda’ yang berterusan. Beliau juga mengingatkan, rakyat Malaysia berhak menolak kerajaan negeri-kerajaan negeri terbabit pada pilihanraya akan datang apabila ianya gagal melaksanakan manifesto yang dijanji kepada rakyat. Justeru katanya, komuniti Melayu juga harus menolak ‘perhambaan minda’ bagi masa hadapan dan generasi akan datang yang lebih cemerlang. “Mereka yang dipilih menduduki kerusi Parlimen mahupun DUN akan berkhidmat secara maksimum, apabila rakyat tak terikat dengan ‘perhambaan minda’,” menurut Haji Mohd Sayuti.

INFO SASTERA & BUDAYA

SUBURKAN ‘BUDAYA MEMBACA’
DIGERAKKAN DARI KESEDARAN MINDA


Kegagalan instiusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyuburkan ‘budaya membaca’ di kalangan rakyat menyebabkan penerbitan karya sastera Melayu mahupun buku-buku bacaan umum terbatas. Memberitahu sekretariat PRIMA, pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mahukan DBP lebih telus dalam mengusahakan penerbitan buku-buku bacaan umum. Sepanjang terbabit dalam penulisan kreatif jelas Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga novelis prolifik dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, beliau lebih banyak ditawarkan menulis oleh penerbit-penerbit swasta sekalipun pemasaran buku-buku bacaan umum terbatas. “Dengan wujudnya lebih 1,000 perpustakaan awam di seluruh negara di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKWa), budaya membaca masih sukar dicapai,” beritahu beliau.

Berdasarkan ucapan Pengerusi Akademi Buku Malaysia, Dato’ Haji Khalid Yunus ketika pelancaran akademi berkenaan 29 Februari 2008 lalu, kata Dato’ Dr Mohd Mansor tentulah memalukan Malaysia, apabila di Taiwan dengan geografi yang lebih kecil dari negara kita mampu menerbitkan 30,000 judul buku dalam setahun. Malah di Malaysia sendiri ujar beliau, akhbar berbahasa Mandarin dan Tamil mampu bertahan berbanding dengan akbar Melayu bertulisan jawi yang memperlihatkan tahap ‘budaya membaca’ di kalangan komuniti Melayu terlalu rendah. Seterusnya Dato’ Dr Mohd Mansor membuat saranan kempen ‘budaya membaca’ perlu digerakkan oleh DBP dengan kerjasama berterusan Akademi Buku Malaysia, IPTA dan IPTS.

Katanya lagi, penyaluran buku-buku ke perpustakaan awam juga tak akan mencapai sasaran apabila komuniti Melayu enggan mengamalkan ‘budaya membaca’. Di samping merujuk kepada sikap penduduk-penduduk di luar bandar sekadar membaca akhbar yang dibekalkan di kedai-kedai kopi, Dato’ Dr Mohd Mansor beranggapan ianya menyuburkan ‘budaya lepak’ yang membawa unsur-unsur negatif. Justeru katanya, kempen ‘budaya membaca’ boleh digerakkan oleh DBP seperti dekad 1960-an dengan menganjurkan ‘Bulan Bahasa Melayu’ setiap tahun, di samping pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan kecintaan kepada bahasa dan budaya. “Apabila aktiviti bahasa dan budaya sekadar seminar, forum dan simposium ianya akan berakhir dengan zero,” menurut Dato’ Dr Mohd Mansor.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

DOSA BESAR BANGSA MELAYU
APABILA TAK UNDI PEMBESARNYA



Sebermula diceriterakan oleh yang empunya ceritera marahlah orang-orang besar di negeri Melayu itu, apabila rakyat jelata tak memberikan undi kepada orang kerajaan. Maka disuratkan oleh pemukul-pemukul canang hari ini (4 Rabiulawal 1429 seperti yang dikatakan anak cucu fakir ialah 12 Mac 2008) marah sangat Dato’ Dr Ng Yen Yen kerana orang-orang Melayu tak mengundi pembesar kerajaan, seperti juga perihal Dato’ Seri Nazri Aziz yang menyalahkan orang Melayu dalam PKR dan PAS. Anak cucu fakir pun bertanyalah kepada suatu hari, berdosa besar sangatkah bangsa Melayu kerana mereka tak mengundi orang-orang besar kerajaan pada hari pemilihan. Syahdan akan orang-orang besar itu tak pula menyalahkan diri mereka sendiri setelah orang Melayu itu disuratkan seperti nasib ‘Pak Kaduk’, adanya!

Adapun Pak Kaduk itu disuratkan di dalam ‘Kitab Melayu’ pergilah ia menyabung ayam. Arakian dilihat raja akan ayam Pak Kaduk itu memang perkasa, lalu dimintanya bertukar ayam sabung. Maka bersetujulah Pak Kaduk bertukar ayam sabung oleh kerana sejak bertahun-tahun ‘diperhamba akalnya’ disebabkan peraturan-peraturan adat di dalam negeri itu ‘pantang anak Melayu derhaka’. Arakian menanglah ayam Pak Kaduk yang dtukar kepada raja, tetapi kerana adat serta peraturan di dalam negeri, ayam yang menang itu menjadi kepunyaan raja. Maka disuratkan orang banyak tergadailah akan kampung halaman Pak Kaduk setelah ayam raja yang kononnya menjadi kepunyaannya kalah di tengah gelanggang seperti disebut oleh:.











HIDUP BAHASA MELAYU!