Friday, July 18, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

Assalamualaikum,

TIDAK SEMPAT BERSARAPAN
MENGEJAR PERJUMPAAN DI KLANG

Memang tak sempat Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah bersarapan, disebabkan jam 10.30 pagi baru sampai di destinasi saya menunggu bersama kawan-kawan di Taman Seri Gombak. Semalam (16 September 2008), saya bersama kawan-kawan Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah, Sobri Ahmad, Zainal Abidin Rasidin dan seorang Dato’ dari Pahang ke Kelang. Disebabkan perjumpaan di Kelang bermula jam 11.00 pagi, justeru Dato’ Dr Mohd Mansor tak sempatlah bersarapan. Bagaimanapun Dato’ Lim yang mahu ditemui di Kelang (iaitu kawan Dato’ dari MCA Pahang itu) masih belum balik lagi dari Hong Kong, kami sekadar berbincang dengan ‘sifu’ sahaja. Apalagi Dato’ MCA dari Pahang pun baru balik dari Medan kerana urusan perniagaan. Gamaknya!

Beberapa kali juga Dato’ Lim hubungi Dato’ dari Pahang itu semasa beliau di Medan, tetapi kesal juga disebabkan hanset masing-masing tak dapat saling berhubungan. Tak apalah! Bagaimanapun semua yang dibincangkan dikira positif, hanya menunggu Dato’ Lim balik dari uruskan perniagaannya di sana. Perbincangan singkat itu itu seolah-olah tak berbaloi, kerana masa banyak habis di perjalanan sahaja. Ketika ke Kelang saya naik kereta bersama Zainal Abidin Rasidin dan Dato’ Dr Mohd Mansor, sementara Syed Adnan dan Dato’ MCA itu bersama Sobri Ahmad. Apabila bersama Dato’ Dr Mohd Mansor, beliau memang suka mengimbau kembali masa lalu ketika sering keluar ‘berpeleseran’ di Kuala Lumpur dengan Pak Sako.

Bukan sahaja Dato’ Dr Mohd Mansor, malah Yassinsalleh dan L Mankadir Shamsi pun berasa hairan, kenapa Pak Sako terlalu akrab dengan saya. Biasanya Pak Sako lebih mesra dengan anak-anak Pahang berbanding dengan rakan-rakan lain. Mungkin sahaja Dato’ Dr Mohd Mansor, Yassinsalleh dan Mankadir tak menyedari ketika Pak Sako menjadi Pengerusi Parti Buroh Malaya sekitar dekad 1960-an, ayah saya Dato’ Sati Haji Daud bin Sheikh Haji Ahmad ialah Pengerusi Parti Buroh Negeri Sembilan. Sekitar dekad 1980-an, pernah juga saya mengajaknya hidupkan semula Parti Buroh (ketika itu beliau sudah berusia lebih 70 tahun), tetapi Pak Sako syorkan supaya menyertai Parti Rakyat yang baru sahaja dipimpin oleh Dr Syed Husin Ali.

Justeru saya pernah hubungi Ahmad Noor (Abang Mat) selepas beliau menyertai SDP (Parti Sosialis Demokratik tetapi ditukar kepada Parti Sepakat Demokratik), tetapi tak lama selepas itu beliau bersama DAP pula. Memang peringkat awal penubuhan SDP saya bersama Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz pernah dihubungi oleh pengasasnya Oh Keng Seng (bekas Ahli Parlimen Petaling), tetapi kami sekadar heh heh heh! Jadi, hubungan akrab saya dengan Pak Sako, mungkin sahaja ide pemikiran kami dalam isu bangsa Melayu hampir selari sekalipun di atas landasan politik yang berombak-ombak, berolak-olak dan berkocak-kocak. Kira-kira jam 3.30 petang apabila sampai di Taman Seri Gombak semalam (16 Julai 2008), Sobri menerima panggilan telefon dari kawannya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ditahan polis jam 1.00 tengahari (iaitu kami masih lagi berbincang di Kelang).

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

PERPADUAN MELAYU SEBENAR:
PAK LAH SETUJU JUMPA USTAZ HADI?

Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dikatakan bersetuju untuk berjumpa Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam masa terdekat bagi membincang perpaduan Melayu sebenarnya. Menurut sumber, Dato’ Seri Abdullah juga berasa kurang senang dengan beberapa siri perjumpaan dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini, berikutan senario politik selepas PRU12. Kedua-dua pemimpin berkenaan dikatakan sudah bersetuju mengadakan dialog bagi mensasarkan matlamat perpaduan Melayu, seperti pernah digerakkan oleh Tun Abdul Razak dan Tan Sri Mohd Asri pada malam 13 Mei 1969. “Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi bersedia melupakan insiden 1978 demi kepentingan negara, agama dan bangsa,” beritahu sumber berkenaan ketika menghubungi sekretariat PRIMA.

Insiden pada 1978 aktivis PAS enggan memaafkan kepongahan UMNO di bawah Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila ‘menendang’ PAS keluar daripada BN setelah kedudukan UMNO kembali kukuh. Ketika Tan Sri Mohd Asri bersetuju menerima pendekatan Tun Abdul Razak pada 1969 di samping membentuk kerajaan campuran di semua peringkat pada 1973, aktivis muda PAS memberi sokongan penuh kepadanya. Seterusnya kata sumber berkenaan, aktivis muda PAS ketika itu seperti Dato’ Mustapha Ali, Abdul Mutalib Embong, Dato’ Abu Bakar Omar, Zahari Awang dan Dato’ Abdul Wahab Yunus sentiasa berdiri teguh di belakang Tan Sri Mohd Asri, dalam masa Dato’ Hassan Adli, Ustaz Abu Bakar Hamzah, Dato’ Wan Mustapha Ali, Daud Abdul Samad menolak gagasan berkenaan.

Beberapa pihak mendoakan Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi cepat sembuh daripada rawatan di IJN, bagi membolehkan perjumpaan berkenaan menjadi kenyataan setelah kedua-dua pihak bersetuju mencari pendekatan politik bersama. Menurut sumber tersebut lagi, insiden pada 1969 Tun Abdul Razak sendiri menjemput Tan Sri Mohd Asri dalam perjumpaan menyelesaikan isu perpaduan Melayu, menerusi usaha Tan Sri Hamzah Abu Samah. Justeru tak perlu diungkit sama ada Dato’ Seri Abdullah menjemput Tuan Guru Dato’ Seri Hadi Awang atau sebaliknya dalam lanskap politik sekarang. “Signal dalam usaha mendorong perjumpaan itu sudah jelas, tak perlu lagi wujud prejudis atas kejujuran kedua-dua pihak,” beritahu sumber berkenaan.

FAKTA SEJARAH BANGSA PERLU TEPAT
PETRONAS LAMBANG KEKUATAN SEMANGAT

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menyokong pandangan Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato’ Ibrahim Ali membetulkan fakta sejarah mengenai peranan Tengku Razaleigh Hamzah selaku penggerak awal Petronas sebagai lambang kekuatan semangat bangsa Melayu. Mengulas perbahasan isu minyak yang membabitkan Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim 15 Julai 2008 lalu, Dato’ Kamal Amir menyifatkan pihak tertentu ‘takut’ untuk menyebut Tengku Razaleigh sebagai pengasas Petronas. Sambil mengakui Tun Abdul Razak yang memberi restu di samping Tun Dr Mahathir melebarkan pelaboran ke luar negara. “Dato’ Shabery Cheek jangan melukakan hati bangsa Melayu dengan menukar fakta sebenar penubuhan Petronas,” kata Dato’ Kamal Amir.

Dato’ Ibrahim Ali dalam sidang Dewan Rakyat semalam (16 Julai 2008) meminta fakta Tengku Razaleigh sebagai pengasas Petronas diperbetulkan sebagai reaksi kepada debat berkenaan. Ketika menyentuh peranan Petronas, Dato’ Ahmad Shabery enggan menyebut Tengku Razaleigh sebagai pengasas Petronas, sebaliknya memberitahu agensi berkenaan digerakkan oleh Tun Abdul Razak dan pelaburan di luar negara dilaksanakan oleh Tun Dr Mahathir. Di samping menyokong saranan Dato’ Ibrahim Ali, Dato’ Kamal Amir juga meminta Dato’ Ahmad Shabery meminta maaf kepada Tengku Razaleigh. “Tengku Razaleigh bukan sahaja mengasaskan Petronas, malah menggerakkan hubungan perdagangan dengan Republik Rakyat China ketika beliau belum pun dilantik menjadi ahli kabinet,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

PERSEMBAHAN BUDAYA ORANG ASLI
PENYAIR-PENYAIR BAKAL DITAMPILKAN

Persembahan budaya masyarakat Orang Asli di kawasan DUN Jenderak di Pahang pada 2 Ogos 2008 ini dijangka menampilkan deklamasi puisi penyair-penyair tempatan di samping dendangan lagu-lagu rakyat sempena musim buah-buahan di negeri itu. Pihak penganjur persembahan budaya itu, L Mankadir Shamsi memberitahu ianya sebagai kesinambungan majlis baca puisi PRIMA sebelum ini. Menurut Mankadir, pada 27 April 2008, PRIMA menganjurkan ‘majlis baca puisi’ di Kampung Pian, di kawasan Orang Asli di DUN Jenderak dengan disertai oleh Dharmala N.S., Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Yassinsalleh, Haji Suhaimi Said, Dr Seri Intan Mokhtar, Zainal Abidin Rasidin, Yusleh Yassin dan Nurul Salwa. “Majlis kali ini adalah janji masyarakat di sini bagi mengadakan persembahan sempena musim buah-buahan,” beritahu Mankadir.

Sementara itu Haji Suhaimi Said ketika menghubungi Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pahang, Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah semalam (16 Julai 2008), sebaik sahaja balik dari kunjungan ke Korea memberitahu persiapan bagi majlis berkenaan sudah siap diatur. Beliau seterusnya meminta wakil PRIMA turut sama menjayakan majlis tersebut, berikutan hasrat masyarakat Orang Asli di sini mahukan karyawan dari Kuala Lumpur memberikan sokongan kepada perjuangan mereka. Syed Adnan yang kebetulan menemui pimpinan PRIMA di Kuala Lumpur semalam (16 Julai 2008), menyampaikan hasrat tersebut. “Masyrakat Orang Asli di Pahang mahukan masalah mereka diberi perhatian bagi masa depan generasi mereka yang jauh di pedalaman,” menurut Syed Adnan.

INFO SUARA PROLITAR

TAK BERANI BAHAS BERDEPAN:
NAJIB PERNAH JADI GURKHA ANWAR

Berita ringkas di TV1 jam 4.00 petang, TPM Dato’ Seri Najib Razak berlagak macam hero. Dia kata cadangan DSAI ketika bahas dengan Shabery Cheek, boleh sebabkan generasi akan datang susah. Dulunya Najib jadi gurkha Anwar, kritik Dr M fasal isu rasuah (lihat laporan China Press 20 Julai 1997). Kalau Najib nak tunjuk terror, kenapa tak berbahas sendiri lawan DSAI?. Kenapa hantar Shabery yang kerdil untuk lawan Anwar dalam isu yang babitkan masa depan negara? - (SMS; 17 Julai 2008; 16:34:06 – K S Song, Sg Chua, Kajang, Selangor).

KEMPEN BERJIMAT PERKARA LAMA
ORANG KAMPUNG MASIH TERKAIS-KAIS.

Kempen berjimat di radio (hari ini 17 Julai 2008, jam 7.00 pm di Klasik Nasional) jangan nak mengarut. Memang berjimat ikut kemampuan, bukan kemahuan. Tapi kalau orang kampung nasih terkais-kais dapat RM10 sehari, nak suruh berjimat macam mana. Sejak tahun 1970-an pun, kerajaan berkempen begitu. Suruh rakyat berjimat atau menabung. Harga barang naik, sebelum menteri penerangan lahir pun, dah berlaku dah! Semasa menteri penerangan bersekolah lagi, kempen berjimat pun dah ada. Menteri Kewangan ketika itu Tun Tan Siew Sin pun kata, dah lama dia tak beli limau mandarin. Orang pun mengejek, macam mana menteri nak beli, sebab terima free aje! – (SMS; 17 Julai 2008; 18:41: 53 – Haji Razak, Batu Muda, Kuala Lumpur).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

GEMPARLAH SELURUH PELUSUK NEGERI
BEKAS ORANGKAYA DITAHAN TEMENGGUNG

Syahdan tersebutlah di dalam negeri Melayu itu bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim ditangkap oleh pegawai-pegawai Orangkaya Dato’ Temenggung Tan Sri Musa Hassan. Maka gemparlah di seluruh pelusuk negeri pada 13 Rejab 1429 (hari Rabu). Arakian diberitahu orang banyak perihal bekas Orangkaya itu ditahan ialah di tengah jalan sewaktu mahu balik ke rumahnya. Astaga! Sebermula hari ini 14 Rejab 1429 (atau disebut anak cucu fakir 17 Julai 2008), maka pegawai-pegawai Orangkaya Dato’ Temenggung pun membebaskan bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri itu, adanya. Adapun perihal kejadian itu memang mengelirukan, mencelarukan dan menselarukan rakyat jelata sekalian.

Arakian tersebutlah ceritera akan garuda itu di dalam Hikayat Merong Mahawangsa tak mahulah ia melihat anak raja Rom itu berkahwin dengan anak maharaja benua Cina. Garuda itu mahu menunjukkan dirinya mampu melawan ketentuan Allah SWT. Maka dimusnahkannya bahtera yang membawa anak raja Rom. Syahdan puteri Maharaja Cina itu dilarikan oleh garuda ke sebuha gua di Langkasuka, adanya. Sebermula dengan kehendak Allah SWT jua, hanyutlah anak raja Rom itu berhampiran gua di Langkasuka itu, lalu bertemulah mereka di situ. Arakian malulah garuda itu kerana tak mampu ia melawan kudrat dan iradat Allah SWT yang menentukan jodoh anak raja Rom dan puteri Maharaja Cina seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:





HIDUP BAHASA MELAYU!