Thursday, April 30, 2009

YASSINSALLEH BERPUISI

Kita Boleh Tidur Lena


Malam tadi aku
tidur nyenyak
lena sangat
sikit tak mimpi
ngigau
pun tidak.

Tidur ni
masalah betul
kadang-kadang
susah sangat
nak lena
lebih-lebih lagi
kalau hati
geram
tengok remaja
masakini
tak beradab
tak tahu berhemah
tak reti nak hormat
orang tua-tua.

Mak bapak dia orang
yang kurang ajar anak
aku pulak
yang jadi mangsa
tak boleh nak tidur
apalah nak jadi
anak bangsaku
Melayu.

(Panjang
bebenor sub-plotnya weh!
dipendekkan cerita
malam tadi aku dapat
tidur nyenyak
sebab hati tak geram
malah jadi amat tenteram)

Aku jadi tenteram
apabila melihat betapa
tingginya hemah
dan tertib pemimpin
Melayu
menunjukkan contoh
untuk diteladani.

Amat tertib sekali
Dato' Seri Shahidan
mencium tangan
YAB Dato' Seri
Perdana Mnteri kita
sesiapa yang mahu
turut tenteram
dan dapat tidur lena
tengoklah gambar itu
dalam banyak blog.

Antaranya
blog Raja Petra
Malaysia Today
dan laman web Marhaen
demikianlah hebatnya
kepimpinan melalui teladan
kita boleh tidur
lena tanpa mimpi
ngingau pun tidak
eii, bestnya!

-Yassinsalleh
jam 1720
April 29, 09
melintasi Titiwangsa
mencari serinditku
yang luka.

Kita Berbagi Sama Rata

Mari kita
rebahkan
mentari pagi ini
kita belah dan
berbagi
sama banyak
tanpa haloba
sampai matilah
kita benderang
sendiri
orang lain
bergelap
kita apa peduli
pergilah mati!

Malam nanti kita
ambil pula
bulan
kita kerat ambil
seorang sebelah
orang lain
jangan kita
pedulikan
malamnya gelita
tak dapat
bercumbu rindu
pergilah mati!

Esok pula kita
berbagi
Titiwangsa
dari Gunung Tahan
ke Teberau
engkau ambiklah
dari Genting Highland
ke Segenting Kra
aku nak di puncaknya
kita bina mahligai
engkau satu aku satu.

Orang lain nak
duduk dalam laut ke
dalam sungai ke
dalam parit ke
dalam longkang ke
kita peduli apa
pergilah mati.

Sekarang
engka dah tengok sendirikan
bahawa aku sikitpun
tak tamak
segalanya kita berbahagi
sama rata.

-Yassinsalleh
jam 1008
April 30, 09
di lebuhraya
timur-barat
pulang dari
meniduri mimpi.

Wednesday, April 29, 2009

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Mana rimah nasi:
Yang kita makan tadi?

Syahdan kecohlah lagi di negeri Terengganu kerana baju untuk diberikan kepada pelajar-pelajar miskin dibeli dari negeri China. Adapun yang berkata-kata itu Orangkaya Hulu Besut, Nawi Mohamad. Tiadalah ia berkata-kata itu ditujukan kepada Orangkaya Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said (gambar), tetapi berasa kecewa kerana membabitkan peruntukan RM7.9 juta. Arakian disebut orang banyak di Terengganu itu sudah sedia ada 32 pusat jahitan Persatuan Ibu Tunggal yang mampu menyediakan 100,000 pakaian seragam sekolah sebulan. Maka dipantunkan oleh orang tua-tua:

Buai laju-laju
sampai pucuk sena
beli baju baru
pergi ke negeri China

Sebermula adapun Sultan Ahmad itu, semanya baik, lagi murah; tetapi suatu celanya, sebab tiada kasih akan segala pegawai-pegawai dan segala orang-orang besar, melainkan orang muda-muda dan hamba raja yang ersebut itu dikasihi baginda. Apabila orang-orang muda sudah makan di dalam ayam suapan dan nasi kunyit, atau barang sebagainya, maka apabila segala orang besar-besar datang menhadap Sultan Ahmad, maka dikias-kias atau disindir-sindir oleh segala orang muda itu katanya, "Mana rimah nasi kunyit dan tulang ayam suapan yang kita makan tadi?"; seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:






HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG:


Pak Kaduk & Lebai Malang:
Di kalangan segelintir Melayu

Assalamualaikum,
Ketika UMNO hampir tersungkur dalam pilihanraya 1969, diikuti tragedi 13 Mei yang tak pernah dialami oleh kalangan yang menganggap diri mereka serba tahu dalam usia tak menjangkau 45 tahun, Bahasa Melayu tampil menyelamatkan pimpinan politik Melayu termasuk UMNO, PAS mahupun tak berparti. Tun Rahman Yaakob (gambar) mengangkat martabat Bahasa Melayu dengan dilaksanakan dalam surat menyurat jabatan kerajaan, mahkamah malah di Dewan Rakyat. Selaku Menteri Pelajaran, Tun Rahman menjadi kebanggaan Melayu dengan pendekatan beraninya ketika itu.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang tewas di Parlimen Kota Setar Utara turut mendaulatkan bangsa Melayu menerusi 'Dilema Melayu'. Beliau mempersoal peratusan Melayu dalam jawatan tinggi kerajaan; mempersoal peratusan Melayu dalam perebutan ekonomi, apalagi kemiskinan Melayu yang berstatus Pak Kaduk dan Lebai Malang. Begitulah! Semua beban kesalahan diletakkan dibahu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra yang kononnya terlalu 'bertolak ansur', menyebabkan bangsa Melayu ditolak, ditolak, ditolak dan terus diansur.

Kalau pendukung-pendukung PPSMI yang menolak Bahasa Melayu mahu pertahankan juga pelaksanaan berkenaan, teruskanlah! Pejuang-pejuang bahasa tak rugi apa-apa dengan kesediaan menyuarakan kepentingan bangsa Melayu apalagi semuanya sudah menjangkau warga emas yang usia jangka hayatnya beberapa tahun sahaja lagi. Bukan sahaja Dao' Hassan Ahmad, Dato' A Samad Said, Dato' Dr Muhamad Mansor Abdullah, Mohd Affandi Hassan dan ramai lagi, semuanya tak memerlukan apa-apa lagi.

Tetapi kalau dengan PPSMI UMNO merasakan mampu meneruskan jangka hayat, silakan! Pilihanraya 1969 sudah meletakkan UMNO dipersimpangan, justeru terpaksa melutut kepada Bahasa Melayu menerusi ketegasan Tun Rahman Yaakob (selepas diperlekeh oleh pimpinan UMNO pada 1967). Selepas itu barulah Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan, berikutan 'Dilema Melayu' yang diungkit-ungkit oleh Tun Dr Mahathir. Bagaimanapun DEB tak juga mencapai sasaran 30% individu Melayu dalam penyertaan ekonomi menjelang 1990 (kecuali agensi-agensi kerajaan, pun tak mencapai juga 30% itu). Alahai!

-Pak Dharma

APA KATA DR MANSOR...


Sukar UMNO lwn aura Anwar:
Lakukan segera sikap 'self criticsm'

Pimpinan UMNO tak seharusnya berasa malu mengakui aura Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim lebih mengkagumkan orang Melayu berbanding dengan pemimpin UMNO sendiri, kata bekas Timbalan Naib Canselor HEP UTM Profesor Dato' Dr Muhamad Mansor Abdullah (gambar kanan). Beliau yang berkunjung ke Sabah minggu lalu diberitahu lebih 70% kakitanagn awam dari Semenanjung yang berkhidmat di negeri itu menganggap Anwar sebagai ikon kepimpinan sekarang. Justeru menurut Profesor Dato' Dr Muhamad Mansur, pimpinan UMNO perlu melonjakkan diri lebih dikagumi daripada Anwar kalau mahu memulihkan semla reputasi UMNO. "Kalau UMNO masih berkhayal dengan kualiti pimpinan mereka sekarang, maknanya mereka menunggu masa menjadi denosour yang akan pupus," beliau menjelaskan.

Serentak dengan itu Profesor Dato' Dr Muhammad Mansur yang juga aktivis UMNO meminta pimpinan UMNO tak berasa malu untuk melakukan 'self criticism' dan jangan berkhayal dengan puji-pujian media massa yang memang 'ada udang di sebalik batu'. Pemimpin UMNO tak perlu berselindung apabila tak disambut kedatangan mereka di Sabah, tetapi perlu bermuhasabah diri memperbaiki rekod peribadi, bagi mengatasi populariti Anwar di kalangan orang ramai. Selagi pemimpin UMNO bergantung kepada puji-pujian media massa dengan tak membuat 'self criticism', Anwar dan Pakatan Rakyat akan sentiasa berada di hadapan, menurut Profesor Dato' Dr Muhamad Mansor. "Trend pemikiran masyarakat sekarang sudah jauh berbeza, justeru UMNO jangan membiarkan diri terus menjadi denosour," beriahu beliau selanjutnya.

KENYATAAN MEDIA ANWAR IBRAHIM

Profesor Madya di USM:
Calon PKR di DUN Penanti


(Permatang Pauh, Pulau Pinang) Sesudahnya tsunami politik Mac 2008, rakyat Malaysia kembali ke peti undi sebanyak lima kali. Empat darinya kita menyaksikan rakyat Malaysia memilih Pakatan Rakyat, yang kelimanya walaupun dicemari politik wang dan penipuan, menunjukkan betapa rakyat begitu mengidamkan perubahan dan politik baru di negara ini.

Mesejnya jelas. Rakyat Malaysia mahukan perubahan dan menidakkan pemerintahan BN yang dikuasai Umno. Mereka mendakap perjuangan Pakatan Rakyat yang mahukan rakyat bersatu padu dan berusaha membasmi rasuah serta memastikan tidak ada lagi kaum yang dipinggirkan, baik Melayu mahupun kaum bumiputera Sarawak dan Sabah.

Oleh itu saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan calon KEADILAN bagi kawasan Penanti pada pilihanraya 31 Mei ini ialah En. Mansor bin Othman. Beliau merupakan Ketua Bahagian KEADILAN Balik Pulau dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri KEADILAN Pulau Pinang. Beliau juga telah berkhidmat selama 10 tahun sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat dan Timbalan Pengarah Pilihanraya Pusat KEADILAN. En. Mansor Othman juga telah berkhidmat dengan saya yang pada ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri sebagai Setiausaha Politik dari tahun 1996-1998.

Beliau telah mencurahkan tenaga demi membawa pembangunan ke Pulau Pinang dan saya yakin beliau bersedia untuk berkhidmat untuk penduduk Penanti sepenuh jiwa dan raga.

En. Mansor merupakan pemegang ijazah sarjana dari Universiti Sains Malaysia dan sarjana falsafah serta sarjana sastera dari Universiti Yale. Beliau merupakan Profesor Madya di USM dan Pengarah Pusat Kajian Dasar. Beliau secara aktif berusaha meningkatkan taraf pendidikan dan program belia di Pulau Pinang dengan penglibatan sebagai ahli Jawatankuasa Pendidikan Masyarakat dan Jawatankuasa Program Pembangunan Belia. Sebagai exco PEMADAM, beliau bekerja keras meningkatkan kesedaran awam berhubung penyalahgunaan serta langkah-langkah pencegahan dari terlibat dengan dadah.

Melalui program TEKUN di mana beliau sebagai Pengurus Besar, En. Mansor Othman terlibat secara aktif dalam pembangunan usahawan bumiputera, bertujuan meningkatkan kemahiran usahawan kecil dan sederhana serta membiayai usaha mereka dengan pemberian kredit mikro.

Saya merakamkan ucapan penghargaan kepada YAB Ketua Menteri Lim Guan Eng kerana sudi bersama kita malam ini dan membuktikan kepada semua keteguhan kerjasama Pakatan Rakyat. Parti Keadilan Rakyat yakin DAP dan PAS pasti bersama-sama di dalam pihanraya kecil ini bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat.

Tuesday, April 28, 2009

MOHD AFFANDI MENULIS...


(Nota: Analisis ini ditulis Mei 2002 membicarakan secara ringkas tentang politik Melayu. Peristiwa yang berlaku selepas itu membuktikan analisis ini tepat sekali dengan kejadian yang berlaku, terutama akhir-akhir ini. Tulisan ini belum tersiar. Moga-moga ada yang berminat untuk membahaskan persoalan ini di mana-mana forum atau tulisan.)

Dua Mitos Agung:
Dalam Sistem Politik Melayu
Oleh Mohd. Affandi Hassan

Bolehkah masalah Melayu diselesaikan dalam bingkai UMNO? Diskusi buku Imbasan oleh Dr. Datuk Hassan Ahmad (gambar, bersongkok) di DBP baru-baru ini nampaknya mengambil pendirian hanya UMNO yang boleh menyelesaikan masalah orang Melayu, tanpa menyedari, atau melupakannya, bahawa sejak merdeka hingga kini UMNO lebih banyak menimbulkan masalah daripada menyelesaikannya. Pandangan begini tidak dibenarkan disuarakan, walaupun dalam diskusi itu ada disebut bahawa suara yang berbeza haruslah diterima. Tetapi itu hanya usapan jempul, bukan sesuatu yang dipercayai dan diyakini, sesuatu yang tidak diperjuangkan.

Oleh kerana itu amat sulit hendak membicarakan masalah yang dihadapi oleh Melayu, kerana setiap perbincangan mesti mengambil kira bahawa UMNOlah yang menjadi penyelamat bangsa Melayu. Bagaimana jika sebaliknya yang berlaku, yakni UMNO menjadi masalah kepada bangsa Melayu? Bolehkah kita mengambil pendirian ini sekadar untuk perbincangan, bukan untuk maksud lain-lain? Saya akan uji kejujuran bangsa Melayu seluruhnya, terutama UMNO, untuk mendengar pandangan yang berbeza daripada yang biasa didengar oleh mereka.
Saya harap bangsa Melayu dalam abad 21 tidak sama dengan bangsa Melayu zaman Melaka, yang sering disebut-sebut dalam diskusi itu. UMNO harus bijaksana untuk menerima hakikat bahawa masalah orang Melayu tidak akan selesai selagi UMNO berkuasa dan bertindak dalam konteks dua mitos agung yang dijadikan landasan politik Melayu.

Bangsa Melayu harus sedar bahawa mereka telah diperdaya oleh UMNO sejak 1946 hingga sekarang, untuk percaya bahawa UMNOlah penyelamat mereka, padahal UMNOlah yang membuat Melayu terumbang-ambing tak tentu arah pada waktu ini, dibebankan dengan masalah yang merugikan mereka akibat keputusan politik para peimpin UMNO yang hanya berminat mengekalkan kekuasaan, bukan menyelesaikan masalah mereka.

Adalah ironis bahawa pada hakikatnya UMNO menjadikan masalah orang Melayu sebagai landasan untuk mengekalkan kuasa, dengan menakut-nakutkan mereka bahawa mereka akan musnah jika tidak menyokong UMNO.Masalah yang dihadapi bangsa Melayu ialah masalah lama, yang diperbaharui setiap masa untuk menentukan segolongan pemimpin terus berkuasa dan berhak menentukan nasib bangsa Melayu sepanjang zaman.

Terikat kepada feudalisme

Masalah itu ialah orang Melayu masih terikat kepada feudalisme, baik dalam bentuk lama yang diwarisi dari Sejarah Melayu maupun dalam bentuk baru yang dicipta oleh UMNO dengan menggunakan peristiwa kebangkitan "menentang" Malayan Union sebagai akar feudalisme bentuk baru tadi. Kehidupan orang Melayu dikuasai melalui dua mitos agung, iaitu Mitos Sejarah Melayu yang melahirkan Waad Sejarah Melayu, dan Mitos Malayan Union yang melahirkan Waad Malayan Union.
Dalam waad pertama, yang dipersetujui oleh Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana, rakyat dilarang mengingkari perintah raja, walaupun salah, manakala raja pula dilarang menghina rakyat, walaupun mereka bersalah. Tetapi dalam amalannya, suara rakyat hilang ghaib. Yang wujud hanya suara raja, yang berkuasa mutlak. Yang boleh menentang hanya orang besar, berasaskan sama ada kepentingan orang besar tadi terjejas atau tidak. Suara rakyat juga hilang. Jadi Waad Sejarah Melayu telah menentukan bahawa pemimpin Melayu hanya berasal dari istana, yakni dari golongan raja dan pembesarnya. Ringkasnya, pemimpin Melayu mestilah dari golongan bangsawan.

Itulah keadaan politik Melayu apabila "penentangan" terhadap Malayan Union terjadi: hanya untuk mengembalikan kedudukan golongan bangsawan ke tempat asalnya seperti yang dimeterikan dalam Waad Sejarah Melayu. Apabila orang Melayu "menang" dalam perjuangan menentang Malayan Union itu, keadaan politik sudah berubah sama sekali. Orang Melayu harus menerima hakikat politik bahawa kuasa politik Melayu haruslah dikongsi bersama dengan bangsa asing, yang kini sedang menunggu untuk dijadikan rakyat Persekutuan Tanah Melayu setelah persetujuan baru diterima dan Malayan Union diketepikan.

Malayan Union tidak pernah dihapuskan, kerana unsur-unsur penting menjelma dalam Perjanjian Persekutuan. Pada waktu itu orang Melayu berada di persimpangan: sebahagian besar mereka menyokong perjuangan kemerdekaan yang dipelopori oleh pemimpin dari golongan rakyat, yang tidak mempunyai akar dengan istana atau golongan bangsawan. Inggeris tidak suka golongan pejuang kemerdekaan ini, lalu menggalakkan golongan istana mengambil tempat sebagai pemimpin rakyat dalam suasana politik yang sudah berubah itu.

Inggeris menyokong penuh golongan bangsawan istana ini, malah mereka digalakkan menentang Malayan Union. Kesempatan itu diambil Inggeris untuk memusnahkan kepemimpinan Melayu yang berasal dari golongan rakyat, dan memaksakan golongan bangsawan dan istana sebagai pemimpin bangsa Melayu. Dalam konteks inilah UMNO dilahirkan dengan sokongan Inggeris. Dengan itu feudalisme bentuk lama yang hampir lumpuh pada mulanya, dihidupkan dengan gagahnya dalam kepemimpinan baru yang dipelopori UMNO.

Satu ironi sejarah

Jika kita ingin berkata satu ironi sejarah telah berlaku, kita boleh berkata begitu, kerana dari segi sejarahnya UMNO menerima kemerdekaan dari Inggeris dengan syarat-syarat tertentu. Inggeris puas hati kerana Tanah Melayu jatuh ke tangan golongan bangsawan dan istana yang sediakala memihak kepada mereka, di samping dapat pula memberi hadiah kepada bangsa asing yang mereka bawa masuk, yang sediakala menyokong mereka.

Dari situlah UMNO mencipta mitos baru berasaskan "perjuangan menentang Malayan Union". Mitos itu jelas menegaskan bahawa UMNOlah yang menjadi penyelamat bangsa Melayu, yang memberi kedaulatan kepada rakyat, yang membangunkan negara ini. Bukan bersendirian, tetapi bersama-sama bangsa asing yang kini menjadi rakyat yang dijamin kedudukannya dalam Perlembagaan. Sejak permulaan "kemenangan" UMNO, hingga sekarang, rakyat sentiasa diberitahu bahawa keselamatan dan kemakmuran mereka hanya akan dapat mereka capai melalui UMNO.

Jadi dalam konteks ini, UMNO mencipta feudalisme baru berasaskan Waad Malayan Union tadi untuk menyediakan kepemimpinan orang Melayu dari kalangan mereka sahaja. Sesiapa yang menentang, akan dianggap menentang negara dan bangsa Melayu. Sesiapa yang menentang, akan dihukum dengan keras untuk memastikan kelangsungan feudalisme ciptaan UMNO terus kekal, dan UMNO terus berkuasa dalam menentukan sistem politik negara.

Itulah keadaan politik yang ada sekarang, ketika para pembicara diskusi membahaskan masalah orang Melayu. Mereka melihat persoalan itu dalam konteks yang dihuraikan di atas. Oleh itu apapun juga cadangan yang mereka buat, tidak akan terkeluar daripada Mitos Agung Kedua, yakni mitos di sekitar Waad Malayan Union. Walaupun mereka bercakap tentang kebebasan dan sebagainya, maksudnya hanyalah kebebasan dalam konteks Waad Malayan Union tadi. Tidak ada pilihan lain. Bolehkah masalah orang Melayu diselesaikan dalam konteks yang demikian? Saya akan membincangkan persoalan ini dalam siri tulisan berikutnya, jika pandangan yang berbeza boleh dikemukakan dan bersedia didengar.


Petaling Jaya, 22 Mei 2002


(*Mohd Affandi Hassan ialah sasterawan dan pengkritik sastera Melayu tersohor. Beberapa kali memenangi hadiah karya sastera nasional, tetapo menolaknya. Pesara PTD dan bekas pegawai tinggi kementerian, beliau berpengalaman luas dalam penadbiran dan pengurusan negara, di samping menenali rapat pimpinan politik Melayu)

Monday, April 27, 2009

YASSINSALLEH BERPUISI

What A Wonderful World

Hari ini hari
Ahad,
aku letak kereta
di tepi jalan
sekejap
masuk duit
mesin bank
bayar hutang
credit card.

Sampai kat kereta
polis tengah
tulis saman
salah parking
dedikasi betul
polis
hari cuti am pun
Sedia
Berkhidmat!

Nak bagi duit kopi
aku takut polis
tu nanti kata
"Encik tak nampak
ke kat dada saya ni?"
aku tengok,
menjerit megah
slogan:
KAMI BENCI
RASUAH
Alhamdullillah!

Aku pun pergi
Chow Kit
gunting rambut
bagi kontot
nanti tak payah
beli syampu,
mahal.

Sampai kat kereta
kono saman lagi den
ayo golo dek eh
jang oi,
padan muko den
gomarlanggar undang-undang
untung tak kono
lokap!
Alhamdullillah
Malaysia bertuah
polisnya amat dedikasi
dan benci rasuah.

Alhamdullillah
polis benci
rasuah
makanya
hukum lojik
merumuskan
justeru polis
benci rasuah
polis akan tangkap
semua orang yang rasuah.

Alhamdulillah
Masya Allah
siapa nanti nak ketuai
kampung dan mukim
sapa pula yang nak jaga
daerah dan wilayah
siapa pula yang
nak luluskan
balak dan AP
softwares dan hardwares
PPSMI
tergendala pula
nayalah anak-anak
nak belajar
nanti tak layak
pula jadi glokal.

Tapi syukurlah juga
takde menteri
yang akan kena
tangkap
kalau salah
parking
drebar
menterilah yang
kena saman
Alhamdullillah
pentadbiran negara
takkan terjejas
kerana polis
tak dapat nak
benci menteri
sebab menteri
tak ambil rasuah
menteri ambil
komisyen je!
Alhamdullillah
what a wonderful
world

-Yassinsalleh
jam 2317
April 09
esok nak motong
kumpul duit
nak bayar
kompaun dua saman
den kono jang oi.

Kalaulah Dalam Mimpi

"Tolong berhenti
nyanyi boleh
tak?"
khianatnyalah
nyanyian itu
mendera
bagaikan
menabur bara
pasir
ke mata fikir
nestapa.

Btapalah ya
mampunya aku
sekadar
menyisir rambutnya
bagaikan angin timur
menunda buih
ke pasiran rindu
yang tak
kesampaian.

Lagu yang kau
tak mau
kedengaran itu
kalaulah dalam
mimpi
itu adalah genta
sepiku
yang tak terbisikkan
itu adalah
rontaan rinduku
membenamkan
gelisah pilu yang singgah
kakinya luka
tertancap
pec ahan kaca
jendela yang
enggan terbuka.

Alahai
kalaulah sekadar
menyanyipun
sudah demikian
kau angkuh
serakah
betapalah gerangan
amarahmu meledak
sekiranya aku minta
pinjam sebiji viagra
dan angsa tua
yang kau tiduri
itu.

-Yassinsalleh
jam 2023
April 27, 09
mencari esok
untuk menempah lusa
yang tak tau
berkata-kata

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Wabak selsema babi merebak:
Kenapa orang banyak terlalu takut
Sebermula gemparlah orang banyak kerana wabak penyakit selsema babi merebak di negeri-negeri atas angin di Mexico, Amerika Syarikat dan New Zealand. Arakian akan Orangkaya Menteri Kesihatan Dato' Seri Liow Tiong Lai sudah menyuruh bilik gerakan dicergaskan untuk memantau wabak penyakit itu. Adapun sekali persetua wabak penyakit JE disebabkan haiwan babi merebak ia di negeri Melayu, tetapi ladang ternakan babi itu semakin banyak dibuat. Maka fakir pun berfikir di dalam hati, kenapa orang banyak terlalu takut dengan wabak selsema babi, tetapi tak takut mempersenda-senda heh heh heh!

Syahdan maka ada selang dua hari, raja China pun sakit gatal semua tubuhnya lalu menjadi kedal. Maka raja China menyuruh memanggil tabib, minta ubat. Maka diubati oleh tabib itu, tiada sembuh. Sebermula beberapa ratus tabib, tiada juga sembuh. Maka ada seorang tabib tua berdatang sembah (gerangannya di negeri Melayu juga ada tabib tua itu) pada raja China, demikian sembahnya, "Tuanku, seri kopiah, adapun penyakit kenohong ini tiada akan sembuh dengan ubat patik sekalian, krana penyakit ini bersebab datangnya." Maka titah raja China, "Apa sebabnya penyakit ku ini?"

Arakian maka sembah tabib itu, "Tuanku ini tulah oleh raja Melaka berkirim sembah itu; dan jika tiada air basuh kaki raja Melaka Tuanku santap dan basuhkan muka, tiada akan sembuh penyakit Tuaku ini." Maka tiadalah tabib Melayu berani berdatang sembah kepada raja Melaka memberitahu perkara yang benar, kerana apabila sekalian anak-anak muda itu duduk sesamanya mereka akan berpantun:

Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada
Adakah gila bagimu tuan
Burung terbang dipipiskan lada.

Syahdan demikianlah yang disampaikan kepada fakir dalam 'Kitab Melayu' daripada:






HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG...

Konsep 'Kerajaan Perpaduan'
Pilihan Ku Li atau Hadi Awang?

Assalamualaikum,

Presiden PAS Dato' Seri Haji Hadi Awang menarik balik saranannya berkaitan 'Kerajaan Perpaduan', tetapi sebelumnya gagasan berkenaan sudah disuarakan oleh Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah. Pergolakan dalam PAS juga sukar dibendung apabila pandangan Hadi Awang mengenai kerajaan campuran bersama UMNO disanggah oleh Dato' Nik Aiz Nik Mat, Mursyidul Am PAS. Malah ura-ura mahu mencalonkan Nik Aziz bagi jawatan presiden parti Jun 2009 ini mula kedengaran, sekalipun kedua-dua pimpinan terbabit menolak sebarang spekulasi pertandingan jawatan Presiden PAS.


'Kerajaan Perpaduan' memang idea Tengku Razaleigh sebelum pemilihan UMNO Mac 2009 lalu, tetapi tak menyebut secara terperinci. Selepas gagal dicalonkan bagi jawatan Presiden UMNO, Tengku Razaleigh turut mengambil sikap berdiam diri. Sebaliknya Tengku Razaleigh tak boleh berharap 'Kerajaan Perpaduan' itu disokong oleh UMNO, ketika mereka menolak secara total dalam pimpinan. Malah sebahagian aktivis UMNO sendiri tak berapa yakin dengan kemampuan Tengku Razaleigh atas alasan era gemilangnya sudah berakhir.

Tengku Razaleigh secara kronologi adalah sama seperti Dato' Seri Anwar Ibrahim yang gagal dalam persaingan politik menentang arus deras kelicikan 'The art of possible' Tun Dr Mahathir Mohamad. Tetapi Anwar cuba bangkit seperti keperihalan Tun Dr Lim Chong Eu yang dicantas oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada 1958. Dr Lim Chong Eu tak bangkit bersendirian, tetapi memerlukan sokongan daripada Tan Sri Dr Tan Chee Khoon, Profesor Dr Syed Hussein al-Attas, V. David, V Veerapan dan lain-lain profesional. Justeru Tengku Razaleigh tak mampu bersendirian, apalagi mengharapkan skongan aktivis UMNO sendiri.

Konsep 'Kerajaan Perpaduan' sudah disambut oleh Hadi Awang, tetapi seolah-olah tak menerima restu Nik Aziz. Tengku Razaleigh masih kekal mempunyai populariti di Gua Musang yang sukar digugat oleh lawannya sama ada UMNO, PAS mahupun PKR, tetapi beliau tak mampu melebar pengaruh berkenaan ke seluruh negeri Kelantan. Malah Tnegku Razaleigh masih mampu bertahan, ketika Tun Musa Hitam sukar menyaingi kelicikan Tun Dr Mahathir. Senario politik sekarang dikatakan banyak dicorakkan oleh Tun Dr Mahathir, tetapi ianya sekadar spekulasi. Apakah di tengah senario sekarang, Tengku Razaleigh mampu merealisasikan 'Kerajaan Perpaduan'.


-Pak Dharma

AHMAD NIZAM MENULIS...

Wan Esah ibu Manap Jepun:
Siapa terhutang budi kepadanya?

Siapa berjasa kepada siapa? UMNO berjasa kepada Melayu atau bangsa Melayu berjasa kepada UMNO? Barangkali yang diungkapkan melalui laman blog http://www.matamin.blogspot.com/ hanya sekelumit perjuangan bangsa Melayu. Apalagi yang berkaitan dengan sumbangan Manap Jepun menyelamatkan nyawa Allahyarham Dato' Hussein Taib; iaitu ayahanda Tun Abdul Razak dan datuk kepada Dato' Seri Najib, Perdana Menteri sekarang. Barangkali juga Dato' Najib tak pernah tahu mengenai Manap Jepun (gambar dengan ihsan muzium sejarah Kampung Chulaborn Patana 12, Thailand) dan Wan Ali tokoh gerila Melayu yang berjuang di sekitar Jerantut, Pahang sekitar dekad 1950-an.

Dalam buku 'Askar Melayu 50 Tahun' (Tan Sri A Samad Idris; Pustaka Biduman, KL, 1983) juga menyebut keberangan Brigedear Jeneral Syed Muhammad al-Sagoff kepada Inggeris kerana meletakkan mayat Manap Jepun di bumbung kereta, kemudian diarak di pekan Jerantut. Ketika itu Syed Muhammad al-Sagoff sekadar berpankat leftenan sahaja. Maknanya, Askar Melayu yang terdahulu teta menghargai pejuang gerila Melayu seperti Manap Jepun, Wan Ali, Abu Samah Kassim, Abdullah CD dan ramai lagi. Tetapi apa sumbangan Najib terhadap pejuang-pejuang bangsa in?

Dalam blognya Mat Amin mengungkapkan: "Sewaktu penjajahan Jepun,Dato Hussien menjadi Penolong Pegawai Daerah (ADO) di Temerloh yang telah dijawatnya semenjak tahun 1924. Sewaktu Jepun menduduki Temerloh,maka bermulalah kisah ini yang tidak pernah dicatat di dalam mana-mana buku sejarah, Orang Kaya Indera Shah Bandar Ke-9 Dato Hussien Bin Mohd Taib telah ditangkap oleh Kempetai Jepun atas tuduhan menjadi tali barut Inggeris. Jepun yang terkenal dengan keganasan mereka diluar perikemanusiaan akan menyiksa siapa sahaja yang ditangkap tidak kira yang ditangkap itu bersalah atau sebaliknya malah bukti juga tidak perlu cukup sekadar syakwasangka sahaja.

Itulah nasib yang menimpa Dato Hussien apabila beliau ditangkap dan dibawa ke Rumah Pasung Temerloh. Ketua Polis Jepun ketika itu dikenali dengan nama Tuan Nagai yang cukup terkenal dengan kebengisannya. Diceritaka jika ada anak-anak kecil yang nakal, maka si ibu akan memberikan amaran jika tidak dengar kata akan dihantar jumpa Tuan Nagai; malah anak-anak kecil yang merengek atau menangis pun akan berhenti merengek jika nama Tuan Nagai ini disebut. Begitulah reputasi Tuan Nagai dikalangan masyarakat orang Melayu di Temerloh ketika itu.

Maka dapat dibayangkan layanan yang diterima oleh Datok Hussien tatkala beliau dibawa ke Rumah Pasong untuk diinterrogasi oleh Kempetai Jepun. Pelbagai siksaan dikenakan terhadap Orang Besar Pahang ini tanpa henti. Menjadi "adat" Jepun,mereka yang ditangkap akan disiksa di khalayak ramai kononnya untuk dijadikan contoh. Malah sering dikatakan,mereka yang bernasib baik ialah yang kena libasan katana,pedang samurai Jepun untuk "potong kepala" kerana tidak perlu melalui penyiksaan Jepun.

Dato Hussien disiksa di khalayak ramai.Beliau diikat di sebatang tiang di hadapan Sekolah Cina (Sekolah Rendah Khee Chee ketika ini) dan menderita disiksa Jepun dengan pukulan serta kaedah "water treatment" yang terkenal itu, yakni diberi minum berbaldi air sabun.Tidak ada walau seorang pun yang berani membantu beliau.Hanya sekadar memerhatikan dari jauh sambil didalam hati bersyukur kerana "bukan aku yang kena". Di dalam keadaan Dato Hussien mengalami siksaan dan penderitaan sebegitu rupa, rupa-rupanya ada seorang perempuan yang berhati mulia punya keberanian untuk membantu beliau dan berhadapan dengan Jepun yang zalim itu.

Wanita itu yang rumahnya berhampiran dengan Sekolah Cina tempat Dato Hussien disiksa rupa-rupanya tidak dapat menahan diri melihat penyiksaan terhadap Dato Hussien.
Wanita tersebut dikalangan orang Temerloh di panggil Wan Esah. Suaminya Aki Sewang,bekas kelasi kapal.Wan Esah ini berasal dari Jepun berkahwin dengan Aki Sewang dan dibawa menetap di Temerloh.Wan Esah dapat menyesuaikan diri dengan cara hidup masyarakat Melayu Temerloh malah khabarnya cukup fasih bercakap loghat Temerloh dengan lidah Jepun.

Perkahwinan Wan Esah dengan Aki Sewang melahirkan sepasang anak;putera pasangan ini menjadi tokoh terkenal sewaktu zaman darurat iaitu Manap Jepun,manakala puteri mereka hanya dikenali dengan nama Bi. Manap Jepun memilih perjuangan bersenjata menentang Inggeris dengan menyertai Rejimen Ke-10*,PKM.Noel Barber,pengarang Inggeris yang terkenal itu,didalam bukunya War Of The Running Dog ada menyentuh tentang kisah Manap The Jap ini.
Suatu kisah yang ironi dan tragiks ialah berkenaan adik ipar Manap Jepun,suami kepada adik perempuannya,Bi,meninggaldunia di tembak gerila PKM di jalan Triang apabila bas yang ditumpanginya kena ambush.

Menurut narasumber kejadian malang ini berlaku kerana mereka tidak ada maklumat tentang adik ipar Manap Jepun,jika mereka tahu,kejadian malang ini tidak akan berlaku.Narasumber saya tidak dapat mengingati nama adik ipar Manap Jepun ini.Manakala kejadian lain yang berlaku kepada abang ipar Manap Jepun (abang kepada isterinya),juga orang Temerloh yang dikenali dengan nama Mat Zali.Mat Zali juga memilih perjuangan bersenjata menentang Inggeris.Di Pulau Tawar,berikutan tawaran menyerah diri oleh pihak Kerajaan dan kerana mempercayai janji Dato Yeop Mahidin,Mat Zali mengambil keputusan untuk keluar dan menyerah diri kepada orang kampung tersebut.

Beliau keluar ke Kampung Pulau Tawar dengan membawa senjata sepucuk senapang carbine yang tidak berisi peluru dengan niat menyerah diri. Apa yang berlaku,orang kampung kemudiannya membuat laporan kononya Mat Zali ditangkap,bukannya menyerah diri, semata-mata kerana hendak menuntut wang reward (reward money) dari Kerajaan.Mat Zali akhirnya dijatuhkan hukuman gantung oleh Mahkamah Inggeris diatas fitnah tersebut padahal beliau sebenarnya menyerahdiri dan bukannya ditangkap homeguard.

Berbalik kepada kisah penyiksaan terhadap Dato Hussien,Wan Esah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Tuan Nagai.Maka pergilah wanita mulia ini ke Rumah Pasong Temerloh mengadap Tuan Nagai yang bengis itu.Wan Esah akhirnya berjaya memujuk Tuan Nagai untuk membebaskan Dato Hussien dari tahanan dan penyiksaan Jepun. Dato Hussien setelah dibebaskan dari penyiksaan Jepun,kembali ke Bentong.Beliau dan seluruh keluarganya,saya kira,berhutang nyawa dengan Wan Esah,ibu kepada pejuang Manap Jepun.

(*Ahmad Nizam Hamid ialah peguambela an peguamcara, trbabit dalam gerakan persuratan dan pendeklamator puisi. Aktivis Dewan Persuratan Melayu Pahang [DPMP], beliau juga pengedali laman blog www.lanailestari.blogspot.com)

DARI HARAKAHDAILY...


Isu model Indonesia hilang:
Husam tak mahu anggapan negatif

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Husam Musa berharap media tempatan dan luar negara menghentikan tindakan memburukkan rumahtangga Tengku Temenggong Kelantan, berikutan laporan hubungan baginda dengan isterinya kelihatan sentiasa mesra sejak berkahwin tahun lalu. Sebelum ini katanya, pasangan diraja tersebut sering hadir pada program anjuran pihak istana dan kerajaan negeri. "Jadi tidak timbul lagi ia berlaku sebagaimana dilaporkan sesetengah media sebelum ini," ujarnya pada majlis kenduri sempena perkahwinan anaknya di sini, semalam (26 April 2009).

Tengku Muhammad Fakhry Petra bersama isteri, Cik Puan Temenggong yang berasal dari Indonesia turut berangkat ke majlis kenduri di rumah Husam di Kampung Kota kira-kira jam 1.30 petang. Kenduri kesyukuran itu diadakan sempena menyambut menantu iaitu isteri kepada anak sulungnya Ahmad Syafi?, 21 - Indah Purnama Sari, 19 juga berasal dari Indonesia.
Sebelum ini ibu kepada Cik Puan Temenggong, Manohara Odelia Pinot, Daisy Farajina mendakwa sebagaimana disiarkan media di Indonesia anaknya menghadapi masalah rumahtangga.

Sehubungan itu Husam yang juga Naib Presiden PAS berharap pihak tertentu supaya tidak lagi menyebar berita negatif terhadap pasangan terbabit. "Biarkan pasangan diraja berkenaan hidup dengan aman dan melayari bahtera rumah tangga mereka tanpa campurtangan pihak lain," katanya. Sementara itu, anak Husam dan pasangannya diijabkabul di Banten, Tangrang, Jakarta pada Disember lalu.

Indah Purnama Sari anak kedua daripada tujuh adik beradik merupakan anak kepada pegawai kerajaan Republik Indonesia, Haji Didin Solahuddin Aep Hasbuna. Pada majlis itu Tengku Temenggong kelihatan mesra dan sesekali ketawa bersama isterinya. Pasangan diraja itu sempat meraikan pengantin dan beramah mesra dengan Husam dan isterinya, Datin Rohana Abdul

INFO ANTARABANGSA...

Dunia makin cemas
Angkara selsema babi

Malaysia didesak secara sinikal membantu dunia yang cemas seperti dilaporkan akhbar arus perdana hari ini (27 April 2009) menggunakan ISA, OSA atau Akta Polis bagi menghalang virus selesama babi yang mengancam dunia sekarang. Desakan itu dibuat oleh aktivis PAS di Jelebu, Haji Hassan Abdul Rahman ketika menziarahi guru agama di Kampung Teriang, Tuan Haji Abu bin Saat, 93 yang berpulang ke rahmatullah petang ini (26 aPRIL 2009). Katanya, Malaysia tak perlu bimbang dengan selsema babi, kerana ianya lengkap dengan ISA, OSA dan Akta Polis, apabila media elektronik melaporkan ancaman virus berkenaan di Mexico semalam.

Dalam laporan akhbar arus perdana hari ini memperlihatkan petuga lapangan terbang di Mexico City melakukan pemeriksaan ketat terhadap para penumpang bagi mencegah menularnya wabak virus selesema babi. Sehingga semalam, wabak itu telah mengorbankan 81 nyawa, memetik laporan agensi berita AFP. Jumlah kematian akibat selesema babi di Mexico semalam, meningkat kepada 81 orang berbanding 68 orang kelmarin. Wabak itu mula menular ke Amerika Syarikat (AS) dengan jumlah mangsa meningkat 10 orang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran wabak yang dianggap makin mencemaskan itu berpotensi untuk menjadi pusat ‘pandemik’ atau wabak yang akan merebak
di seluruh dunia. Di Malaysia, orang ramai diminta segera berjumpa doktor jika ada simptom batuk, demam dan sakit badan.Kementerian Kesihatan menguat kuasa serta-merta empat langkah pencegahan.Malaysia Airports Holdings Berhad akan memantau penumpang penerbangan dari luar negara termasuk AS mulai hari ini.

ANWAR & BOLA


Kemuncak bolsepak piala FA 09:
Anwar diberi sambutan istimewa

Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim lebih diberi penghormatan daripada pimpinan kerajaan negeri, apabila tampil menyaksikan perlawanan akhir bolasepak Piala FA 2009 antara Selangor dan Kelantan. Sama ada secara kebetulan atau disengajakan pihak penganjur seolah-olah bersetuju Anwar menjadi wira sukan bolasepak, hingga kenamaan lain seolah-olah sudah diketepikan. Justeru Anwar melabelkan perlawanan akhir bolasepak itu sebagai acara kemuncak Pakatan Rakyat, seperti diungkapkan beliau menerusi laman blognya. Heh heh heh!

"Sabentar tadi saya hadhir ke Stadium Nasional, Bukit Jalil menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2009 antara Selangor dan Kelantan. Antara pimpinan yang hadhir termasuk Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid, YB Azmin, YB Yaakob Sapari dan saudara Shamsul Iskandar. Kelihatan juga YM Tengku Faris Petra dan juga barisan kepimpinan KAFA di pentas VIP. Turut serta adalah Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Perlawanan ini dikategorikan ‘perlawanan panas’, sehingga memaksa pasukan polis mengerah ratusan anggotanya mengawal keamanan di sekitar stadium.

Pun begitu,profesionalisme kedua-dua belah penyokong jelas terlihat tanpa sebarang insiden provokasi yang keterlaluan.Ada yang bertanya pasukan mana yang saya sokong. Haha! Bukankah kedua-duanya pasukan Pakatan Rakyat? Pun demikian, penentuan menerusi sepakan penalti di penghujung perlawanan telah menobatkan pasukan Selangor sebagai juara Piala FA tahun ini.Tahniah saya ucapkan buat barisan pemain! Semuga kejayaan malam tadi bakal membangkit semangat untuk terus mengukir kecemerlangan."

-ANWAR IBRAHIM

Sunday, April 26, 2009

YASSINSALLEH BERPUISI...

Kelepek Wek Belake!



Guanne pulok
ganu kite ni
nok jugok merase
se perahu due jeragang
serupa selera
pipik ubang
sorang putih
seekor hitamg.


Di Melake
lagilah lahabaunye
dah kene
tangkap curi ayam
masih jugak
boleh jage kandang
hawau betul
bendahara Melake
dulu yang buntingkan
tiang telefon
tak kena apa-apa pun
tapi kelendan roket pulak
yang masuk penjare.


Begitu ramai
jutawan balak di Pahang
yang Lng sorang kena
tanggug aib pikul malu
engkar perintah
mahkamah tu
apasal?


Tokkanloh
Pahang doh tok beduit lalu weh
entoh meneloh koi nok nyorok
muke
bak kato orang
jando baik
buat malu kon ajo
itulah citer ek!
kate pulok
orang Jerantutnye

Care hendollah
awok merentoh weh
lewat amat
samsennye
jueh mulut
orang di pekan sari Temerloh

Ai, takkan tiga
saja citernya?
nak sampai empat
nanti marah pulok
Tan Sri P. Ramlee
satu, banyak-banyak
dua, jarang-jarang
tiga, kad dang-kad dang
bapkpe pulok tige saje tu?


Doh Jeragang Besor
tige sejoli
Dato' Nikoh Kawing
kire sapai tigeloh juge
tok bolehloh
tamboh menamboh
tok comel!
se jantang, se betine
selagi si tue
banke
kelepek weh
belake!


-Yassinsalleh

25 April 2009
jam 0232
di bawah rimbunan
cempaka tinggi
kelopaknya menggapai
awan

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Orangkaya pun ke pasar pesara
Diiringi segala juak-juak hulubalang

Kata sahibul hikayat tersebutlah ceritera Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak pergilah ia ke pekan pesara semalam (25 April 2009) di tengah kota. Banyaklah segala hulubalang, juak-juak dan pengawal santeri mengiringi orangkaya itu. Arakian segala penitir-penitir canang pun memberitahu semuanya baik-baik belaka. Adapun kunjungan ke pasara pesara itu sudah menjadi adat turun temurun, kerana bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi turun juga mereka ke pasar pesara selepas memegang jawatan, adanya.

Sebermula akan Tun (Tabib) Mahathir itu apabila bulan Ramadhan turunlah ia ke Kampung Baru membeli juadah. Bahawasanya diketahui oleh orang banyak juadah kegemaran ia adalah pulut panggang. Maka akan Tun Abdullah turun juga ia ke pasar pesara asal sahaja bulan Ramadhan, kerana sudah menjadi adat istiadat orangkaya Melayu, gerangannya. Adapun jika mereka tak turun ke pasar pesara, akan diketahui oleh orang banyak mereka tak membuat kerja, adanya. Syahdan, fakir juga ketahui akan Orangkaya Dato' Najib itu akan turun juga ke pasar pesara bila bulan Ramadhan nanti, kerana ianya mengikut adat turun temurun sahaja.

Maka pada sekali persetua pencuri terlalu buas di dalam negeri Melaka (tetapi tak sama dengan pencuri di kemudian hari yang disebut orang banyak ialah rasuah itu), orang kehilangan pun tiada berhenti lagi senantiasa malam. Telah Sultan Alauddin mendengar pencuri terlalu ganas, maka baginda pun terlalu masyghul. Telah hari malam, maka baginda pun memakai cara pakain si pencuri. Maka baginda menyamar, pergi ke pasar pesara tiada membawa teman, hanya Hang Isap dan Hang Siak juga dibawa baginda. Tatkala bertemu lima orang pencuri lalu diusir baginda,ditinggalkan oleh pencuri peti itu. Hang Siak disuruh baginda tunggui peti, manakala baginda bersama Hang Isap mengekori hingga ke Bukit Cina (mastghul juga fakir, kenapa ke Bukit Cina). Maka dibuat orang nyanyian:

Sultan Alauddin berlari-lari
Hang Isap dan Hang Siak ke mana
Maka raja menangkap pencuri
Pencuri lari ke Bukit Cina

Syahdan setakat itulah sahaja yang fakir suratkan seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:







HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG


Salangkan bah kapar tak hanyut
Inikan pula kalau kemarau panjang

Assalamualikum,
Bekas Presiden UMNO Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata optimis pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang mampu menjadi pencetus kepada usaha mengembalikan negeri itu ke pangkuan Barisan Nasional (BN).
Sambil menyifatkan Ahmad Zahid sebagai pemimpin yang mempunyai keupayaan tersendiri, bekas Perdana Menteri itu menekankan apa yang amat penting untuk merealisasikan hasrat itu ialah permuafakatan ahli UMNO dan parti komponen BN perlu dipertingkatkan.

"Bukan mustahil untuk BN mengambil balik Pulau Pinang. Yang diperlukan ialah bekerja bersungguh-sungguh dan lebih penting ialah perpaduan dan muafakat yang baik bukan hanya di antara ahli UMNO bahkan ahli parti komponen," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Sambutan 100 Tahun Pengakap Malaysia di Stadium Negara, di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr. Shafie Salleh.

Bagaimanapun tak mustahil pula, kalau UMNO/BN hilang kuasa di mana-mana kalau sekadar kokok berderai-derai ekor bergelumang taik. Salangkan Pulau Pinang di bawah Perdana Menteri selaku ketua perhubungan boleh wal hasal balik hasil, wal hasil balik hasal, apa sangatlah dengan Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi. Parlimen Bagan Datoh pun hampir terjunam ke tangan Pakatan Rakyat, bagaimana mahu ke Pulau Pinang. Kalau kewibawaan Ahmad Zahid mampu membawa Pulau Pinang cemerlang, bukankah baik beliau sendiri dilantik ketua perhubungan negeri Perak yang berhadapan dengan krisis perlembagaan sekarang!


Malah oran tua-tua sentiasa mengingatkan kita: Salangkan bah kapar tak hanyut, inikan pula kemarau panjang. Tetapi untuk 'berhibur-hibur hati' bolehlah Tun Abdullah memberi pandangan akan kemampuan Ahmad Zahid. Setidak-tidaknya Ahmad Zahid yang pernah diperlekeh, diperleceh dan diperhegeh semasa ditahan polis pada penghujung tahun 1998, boleh bangkit dengan keberanian luar biasa. Apalagi polis yang memperlekeh beliau (kalau belum bersara) juga boleh berdiri sambil mengangkat tabik di sisinya. Mudah-mudahan!

- Pak Dharma.

Persepsi Dato' Kamal Amir...


Pimpinan perhubungan negeri
Najib tak hormat lembaga disiplin

Pimpinan MT UMNO yang diumum presidennya Dato' Seri Najib Tun Razak mengekalkan Pengerusi Perhubungan Negeri Melaka, Dato' Mohd Ali Rustam. Sekalipun Najib menyedari Ali Rustam terbabit dalam 'politik wang', malah dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden oleh Lembaga Disiplin UMNO, tetapi beliau seolah-olah tak menghormati keputusan tersebut. Kalau sekadar mahu menghalang Ali Rustam daripada bertanding kerana ianya boleh menjejaskan peluang Tan Sri Muhyiddin Yassin, tak perlulah dikaitkan dengan 'politik wang'. Apabila Najib mengekalkan Ali Rustam memimpin UMNO Melaka, maknanya tak menghormati Lembaga Disiplin yang memutuskan ianya terbabit dalam 'politik wang'.

Pelantikan ahli MT menjadi pengerusi perhubungan d beberapa negeri juga memperlihatkan pergolakan d peringkat negeri sukar dibendung. Apalagi Najib seolah-olah mencabar UMNO Perlis, apabila Shahidan Kassim menawarkan jawatan pengerusi perhubungan kepada Muhyiddin, tetapi Dr Mohd Isa Sabu yang dilantik. Di Terengganu wakil MT, Hishamuudin Hussein menjadi pengerusi perhubungan sekadar menyulitkan lagi keadaan yang memudahkan Idris Jusoh membuka gelanggang. Apalagi di Kedah diserahkan kepada Shafie Apdal, bukanlah penyelesaian tetapi lebih mengusaikan. Tunggulah!
(*Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz ialah bekas Exco Pemuda UMNO biro antarabangsa sekitar dekad 1980-an. Terbabit dalam profesion kewartawanan di Utusan Melayu dan editor di Karangkraf. Sekarang adalah usahawan, di samping penulis buku-buku politik)

Saturday, April 25, 2009

ANALITIKAL KECOH TERENGGANU...


Polis cari penyokong Idris Jusoh:
Kes ugut menerusi SMS sidang DUN


Bekas Menteri Besar Terengganu Dato' Idris Jusoh dikatakan terbabit dalam kecoh sebelum persidangan DUN, berikutan sumber menyebut polis sedang mengesan bekas calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 lepas, Dato' Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir (gambar kiri). Bekas Setiausaha Politik Idris Jusoh itu dikehendaki membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN baru-baru ini.


Ahmad Ramzi juga adalah calon BN yang tewas kepada Presiden PAS Haji Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang pada PRU12. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri memberitahu media baru-baru ini, bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut."Ahmad Ramzi dicari kerana beliau adalah antara individu yang mengeluarkan kenyataan kepada media pada malam ketiga-tiga Adun itu menerima SMS ugutan berkenaan."

KENANGAN NIZAM DARI TEMERLOH...


Rumah Penghibur No 1 Asia:
Sepi di tengah api membakar

Kepada saya puisi Yassinsalleh 'RumahINDUK RumahPUSAKO Nan Gadang' (Blog PRIMA semalam, 24 April 200) sungguh mengesankan,mengimbau kenangan zaman kanak-kanak yang "innocent",berlarian di padang dan berkubang di paya.Tiada yang perlu difikirkan kerana,ketika itu,dunia anak-anak dengan persekitaran kampung yang mendamaikan,jauh dari dunia 'perlumbaan tikus' (rat race) seperti dewasa ini.

Manakala foto (di sebelah) menunjukkan Rumah Induk Rumah Pusako Rumah Gadang yang rentung di mamah api.Rumah pusaka ini juga amat dikenali sebagai Rumah Sudirman,beralamat di No.48 Kg Bukit Tok Embun hangus didalam kebakaran pada 3.12.2008. Hampir 9 tahun saya tinggal di sana bersama Arwah Ibu Mertua (kembali ke rahmahtullah pada 6.8.2008) dan putera kami, Ahmad Suhail, seawal umurnya 1 hari tinggal dan membesar di rumah No.48 tersebut.Saya punya kenangan indah dengan Arwah Mak, Enar dan kemudiannya Suhail selain kucing-kucing yang banyak bilangannya di rumah tersebut.Membahagiakan.

Apabila LanaiLestari siap dibina,kami berpindah bersama Arwah Mak.Maka tinggallah rumah No.48 tanpa penghuni,sepi dan dingin.Pokok-pokok rambutan,mempelam dan lain-lain seakan merajuk,enggan berbuah. Dan akhirnya,rumah No.48 Kg Bukit Tok Embun,Rumah Gadang,Rumah Induk,Rumah Pusako,Rumah Sudirman ini menyembah bumi di jilat api sekitar jam 4.00 pagi 3.12.2008...


(*Ahmad Nizam Hamid ialah peguambela dan peguamcara, terbabit dalam gerakan persuratan dan bahasa. Beliau juga pendeklamator puisi, malah pernah ikut sama mendeklamasi puisi di Jakarta bersama WS Rendra. Ahmad Nizam juga ialah adik ipar kepada Allahyarham Sudirman Haji Arshad, penghibur no 1 Asia. Malah pernah menetap di rumah kelahiran Sudirman bersama emak mertuanya)

SUARA ANAK LANCANG...

Misi kerajaan 'Hantu Kopek':
Terus mencolek wakil rakyat

KERAJAAN 'Hantu Kopek' (pinjam dari gelaran yang diberikan oleh Rahim Kassim) akan melaksanakan misi kedua - ketiga - ke empat - kelima - keenam untuk merampas Kerajaan -Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat setelah berjaya merampas Perak sacara tidak demokratik disamping merampas mandat rakyat!Dengan menggunakan 'Hantu Kopek' yang memangnya kerja 'mencolek' ahli-ahli YB Pakatan Rakyat dengan cara mengundang dan menyimpan beberapa hari di lokasi yang tidak diketahui umum dan akan muncul dengan iringan surat pengakuan keluar parti dan menyertai parti 'Hantu Kopek' .

Pengalaman yang lalu mereka yang disembunyikan oleh 'Hantu Kopek' ini akan muncuo dengan wajah pucat lesi, malu tak tentu pasal, ketawa buat-buat, tangan membaca teks pengakuan keluar parti pun terketar dengan suara tertekan-tekan.Kenapa begitu ? Kerana mereka telah disuap makan dengan benda-benda haram dan janji seribu!Taktik colekan 'Hantu Kopek' adalah taktik politik era baru. Tak lama dulu (selepas PRU12), saya pernah ke rumah bekas Menteri Besar Selangor Dato' Seri Dr Khir Toyo bersama Pak Dharma dan Allahyarham Syed Noor Adnan Dato' Syed Abdullah, ketika mereka berbincang sesuatu saya sekadar makan cucur tepung yang dihidangkan.

(*L. Mankadir Shamsi ialah aktivis teater dan perfileman. Terbabit sebagai penulis kreatif dengan menghasilkan sajak, skrip pentas dan skrip tv. Pernah memenangi sayembara menulis skrip drama pentas DBP sekitar dekad 1980-an, dan menjadi penolong pengarah beberapa buah filem termasuk 'Anak Tunggal Tujuh Keturunan', 'Langit Petang' dan beberapa lagi)

Friday, April 24, 2009

BERPUISI DENGAN YASSINSALLEH...

RumahINDUK RumahPUSAKO
Nan Gadang


Cuba
dan cuba
dan ku cuba lagi
berulang kali
ku cuba mencari
kesan denai-denai laluan
remajaku
memikat balam
di pinggir hutan,
menajur haruan
di tebat pandan
mengutip berangan gugur
bersepahan
menggetah punai
d hujung dahan
melastik tupai
makan putik
durian
sambil menunggu
merbah datang
menyerah
ke pintu jebak
tiang buluh
kulit bertam
yang tengadah.


Aduhai,
bagaimanakah akan tercari
olehku lagi
denai-denau laluan remajaku
yang telah mengajarku
menyayangi alam
dan segala hikmah
kesemulajadiannya
yang telah
mendidikku menghargai
daulah imbangannya
yang mengikatku
ke dahan ingatan
yang tertambat
ke pohon zaman
yang sudah
entah ke mana hilangnya
kenangan tak
berkesan.


Bersama
semalamku
yang tidak lagi
menyambutku pulang
terlentang
sawah dah jadi
belukar
dan mayat
pepohon
pokok-pokok hutan
bergelimpangan
di tengah halaman
rumahINDUK
rumahPUSAKO.
nan gadang
yang lengang.


-Yassinsalleh
jam 1751
April 24, 09
Pelangai
kampungku
lagikah engkau
ini?

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo


Raja Petra enggan jejak kaki:
Di Selangor kerana ia derhaka


Syahdan tersebutlah ceritera Raja Petra Kamaruddin penulis warta (disebut orang di kemudian hari pengendali laman web) engganlah ia datang ke balai panjang nan tinggi berbicara kerana ia tak dibenarkan menjejak kaki di bumi Selangor. Adapun balai panjang nan tinggi itu terletak di negeri Selangor, bahawasanya tempat larangan kerana Raja Petra itu menderhaka. Maka disuruh tangkap oleh orangkaya di balai panjang nan tinggidisebabkan Raja Petra enggan ia hadir berbicara di balai. Arakian Raja Petra itu dituntut membayar RM2 juta oleh seorang anak muda kerana dituduh ianya memfitnah.


Sebermula akan Hang Tuah itu difitnah orang. Maka pergilah ia membawa diri ke Pahang. Maka katanya di dalam hati, "Baiklah aku berbuat bakti kepada Yang Dipertuan, tiadalah baginda murka akan daku." Setelah berfikir ia, maka Hang Tuah berbaik-baik dengan Mak Inang yang mnejad penghulu dayang-dayang, kerana kasadnya mahu memiliki anak bendahara bernama Tun Teja itu. Arakian akan Han Tuah sudah diketahuinya raja Melaka terlalu bercinta akan kecantikan Tun Teja. Maka di dalam hatinya, baiklah diserahkan Tun Teja kepada Duli Yang Dipertuan, supaya hilang murka baginda; itulah dibuat orang pantun:

Tun Teja Ratna Benggala
Pandai membelah lada sulah
Jikalau tuan kurang percaya
Mari bersumpah kalam Allah.

Arakian hilanglah murka Raja Melaka akan Hang Tuah yang difitnah itu setelah terpandang kecantikan Tun Teja seperti diturunkan dalam 'Kitab Melayu' daripada:










HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG...

Takrif buku berkualiti:
Karya besar & karya heh heh heh!
Assalamualaikum,
Barangkali karya J.K. Rawlings siri Harry Porter dikategorikan buku berkualiti sekalipun dicetak menggunakan kertas 'news print' disebabkan ianya ditulis dalam Bahasa Inggeris; apalagi ianya mampu menjangkau pasaran hingga berjuta naskhah. Malah dengan sebuah buku sahaja Rawlings mampu menghadiahkan rakannya sebuah banglo bernilai 500 ribu pounds. Sebaliknya karya-karya Tok Awang Ngah dan Tamar Jalis tak berkualiti kerana ditulis dalam Bahasa Melayu, sekalipun tak sebuah buku berbahasa Melayu mencapai pasaran melebihi 100 ribu naskhah bagi sebuah karya. Tak pernah pula dibuat kajian ilmiah mengenai karya-karya itu, tetapi ditakrif sebagai khurafat, tahyol dan memesongkan aqidah.

Buku '50 Dalil Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM' tak pernah dipertikai sebagai mengaibkan individu; begitu juga dengan buku '100 Dalil Mengapa Najib Tak Boleh Jadi PM' tak pernah disentuh sebagai tak berkualiti. Apalagi ramalan berkenaan tak tepat, apabila Najib berjaya juga menjadi Perdana Menteri. Epik 'Hikayat Hang Tuah' yang dianggap sebuah mahakarya Melayu (atau disebut karya agung) turut mengaibkan individu dengan melabelkan Hang Jebat sebagai penderhaka. Sebaliknya selepas lebih 400 tahun, Kassim Ahmad tampil mempertikaikan watak Hang Jebat yang dianggapnay sebagai wira Melayu.

Sebaliknya selepas sahaja Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin bertitah merasmikan Pesta Buku Antarabangsa di PWTC (masih lagi berlangusng sekarang) menyebut mengenai buku yang mengaibkan individu dan buku-buku tak berkualiti, tiba-tiba sahaja pelbagai pihak 'menumpang sekaki' untuk membenarkannya. Mereka yang bersuara pula tak tampil menghasilkan buku berkualiti yang bertaraf antarabangsa, bagi menyahut titah ucapan Raja Muda Perak itu. Tak pernah pla disentuh sama ada 'Dilema Melayu' karya Tun Dr Mahahir Mohamad sebuah karya berkualiti atau sebaliknya.
Apalagi dalam tempoh dekad 1950-an hingga 50 tahun sekarang hanya dua buah sahaja novel Melayu dianggap bertaraf antarabangsa iaitu 'Salina' (A Samad Said) dan 'Ranjau Sepanjang Jalan' (Shahnon Ahmad). Di mana penulis-penulis besar dalam Gapena yang 'tumpang sekaki' untuk bersuara seolah-olah 'aku sahaja yang mampu menghasilkan buku berkualiti'. Kalau tak kesungguhan Cikgu Buyung Adil, Ibrahim Mahmood dan Tan Sri Abdul Samad Idris, di mana buku-buku sejarah bangsa Melayu dihasilkan oleh mereka yang bijaksana bercakap bijaksini heh heh heh! Sejak 1971 Gapena diwujudkan, berapa naskhah buku-buku Melayu mampu memasuki pasaran di Indonesia yang kononnya bahasa serumpun?

-Pak Dharma

NGOMEL DATO' MANSOR...


Jangan kokok berderai-derai:
Tampil hasilkan buku berkualiti

Pimpinan Gapena dicabar menghasilkan buku ilmiah yang berkualiti seperti mereka sarankan apabila menyifatkan wujud penulis-penulis upahan yang mengaibkan individu lain, di samping menganggap fenomena demikian tak melahirkan buku-buku berkualiti. Cabaran itu dibuat oleh bekas Timbalan Naib Canselor HEP UTM Profesor Dato' Dr Muhammad Mansor Abdullah ketika mengulas pimpinan Gapena menyelar penulis-penulis buku politik sebagai pengarang upahan. "Jangan sekadar menyelar orang lain, tetapi diri sendiri tak mampu melahirkan buku-buku ilmiah berkualiti seolah-olah kokok berderai-derai ekor bergelumang taik," menurut Profesor Dato' Dr Muhammad Mansor.

Beliau juga turut gelagat pimpinan Gapena mirip kepada Ketua Pengarah DBP Dato' Tarmuzi Aziz yang menawarkan graduan-graduan menganggur menulis buku, kerana agensi berkenaan menyediakan peruntukan. Sambil menyifatkan Ketua Pengarah DBP itu buta kepengarangan, beliau yang juga aktivis bahasa dan sasterawan mengingatkan budaya dan Bahasa Melayu akan menjadi caca marba, kalau dasar tersebut dilaksanakan oleh Dato' Tarmuzi. Katanya, kepengarangan adalah berdasarkan kepada bakat semula jadi, bukan menawarkan pakej rangsangan kepada graduan-graduan menganggur. "Kalau begitu apa salahnya Dato' Tarmuzi sendiri tampil mengarang buku-buku ilmiah yang berkualiti dengan keadaan buta kepengarangan," beliau menambah.


(*Profesor Dato' Mohamad Mansor Abdullah, bekas Timbalan Naib Canselor HEP UTM ialah aktivis bahasa dan persuratan d Pahang. Menghasilkan hampir 100 judul buku kanak-kanak, di samping novelis dan cerpenis prolifik sekitar dekad 1980-an. Buku sejarahnya pernah dibahaskan di Parlimen, apabila dianggap menyentuh komuniti lain yang dikatakan berasal dari taik Nabi Adam a.h.)

Thursday, April 23, 2009

PANDANGAN ANWAR...


Segelintir pegawai Malaysia:
Terbabit dagangkan gadis Burma?

Sekiranya benar laporan Financial Times bahawa ada segelintir pegawai Malaysia yang terbabit dalam aktiviti memperdagangkan gadis-gadis pelarian Burma, seharusnya Kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas dengan menghukum mereka yang terbabit. Laporan Financial Times tersebut menyatakan pelarian ini lari dari negara asal mereka ke negara Malaysia ataupun Thailand dengan harapan untuk mendaftar di bawah perlindungan United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR).
Namun harapan mereka berkecai apabila pegawai yang diharapkan menjadi pelindung dari kezaliman berterusan, bertindak mendapat laba dengan menjual mereka ke rumah-rumah pelacuran. Kita sewajarnya memberi perhatian serius laporan Financial Times yang berasaskan dari siasatan Jawatankuasa Hubungan Antarabangsa Senat Amerika itu. Usaha tidak bersungguh-sungguh pihak berkuasa di dalam mengendalikan masalah ini merumitkan lagi keadaan serta mencacatkan reputasi negara kita dikaca mata dunia. Saya menyeru agar siasatan menyeluruh diadakan dan usaha memerangi jenayah ini dipertingkatkan. Mereka yang bertanggungjawab mesti dihadapkan ke muka pengadilan

(*Dato' Seri Anwar Ibrahim ialah Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh. Bekas Timbalan Perdana Menteri, dan pernah terbabit sebagai aktivis pelajar dan pimpinan belia sekitar dekad 1960-an dan 1970-an)

SUARA ANAK LANCANG...


Kemelut ancaman era baru:
Akibat UMNO 'rampas kuasa'

Kecoh yang melanda UMNO sekarang berikutan kepongahan pimpinannya membelakangkan sistem demokrasi dengan menerapkan unsur-unsur 'menghalalkan cara', menurut aktivis teater dan pemuisi dari Temerloh, L.Mankadir Shamsi (gambar kiri). Katanya, beberapa negeri dalam Malaysia terutamnya di Semenanjung sedang berdepan dengan kemelut ancaman era baru dalam politik tanahair apabila membelakangkan demokrasi.Perak adalah negeri pertama dilanda kerakusan pemimpin Umno/Bn dengan merampas mandat rakyat dengan menubuhkan Kerajaan Haram hasil dari tipu muslihat melibatkan pihak berkuasa yang menyalahgunakan kuasa, katanya menerusi laman blog tokperan.

Seterusnya Mankadir memberitahu, Selangor tidak ketinggalan diusik sejak kemenangan PR di PRU 12 2008 dengan gelagat Khir Toyo (Bekas MB yang suka melancung keluar negara) berura-ura menubuhkan Kerajaan Perpaduan PAS/BN.Usaha mengerjakan MB (Khalid Ibrahim) tak sudah-sudah sebagai usaha menyorokkan tembelang busuk Kerajaan BN Selangor yang lalu, beliau menambah. Di samping itu Terengganu juga sudah memulakan rentak di gelanggang yang dipercayai sejak Idris Jusuh ditolak oleh istana untuk menjadi MB selepas PRU 12 lalu. Ahmad Said (gambar kanan) sedang dihujani anak panah ura-ura undi tidak percaya dan taburan bahawa MB tidak mempedulikan geng Deris Jusuh, katanya.

Menurut Mankadir lagi, Isa Sabu di Perlis juga terkena tempias kemelut politiik dalam Umno dimana Shahidan Kassim tidak mahu berundur dari mengerjakan MB yang diperkenan oleh istana.Pahang pula beberapa tokoh di belakang Adnan Yaakob (Long Nan) sedang menunggu gelombang Hutang Rm 63 juta. Jika Long Nan lalai sikit bertindak pastilah jejuak yang selama ini membodek dia akan terus menumpe Long Nan ke longkang, ujar Mankadir setersnya.

Beliau juga tak menolak kemungkinan Melaka menanti arus perkembangan politik Najib Rosmah -Mahathir. Ali Rustam belum sejok punggung duduk di kerusi KM Melaka setelah gagal menyertai pertandingan Timbalan Presiden Umno atas pertuduhan rasuah (disebut dalam Umno politik wang) yang lalu.Ini semua berlaku kerana kerakusan pemimpin Umno untuk menerus, menyambung, mengukuhkan kuasa mereka bagi mengikis harta dan mandat rakyat untuk diri sendiri - keluarga - kroni dengan menjeritkan One Malaysia !Adakah kuasa politik dan tadbir negara ini mesti mengikut telunjuk seorang? Siapakah di belakang One Malaysia itu?, tanya Mankadir.

INFO SUARA PROLITAR...

Pekerja warga asing biadap:
Tak hormati budaya tempatan

Sikap tak menghormati budaya tempatan di Johor Bahru di kalangan pekerja warga asing tak lama dulu, menular pula ke Taman Seri Gombak di Selangor tiga hari lalu, menurut aktivis masyarakat di sini Ir Adnan Haji Khalid (gambar kiri). Katanya, beberapa orang pekerja warga asing yang menjadi pengawal keselamatan di kondomuniam di sini menggangu isteri orang yang jelas sedang mendukung anak kecil. Pekerja warga asing itu secara biadap cuba memikat wanita terbabit, apabila ditolak mereka menyentap beg di tangan hingga botol susunya anak kecilnya jatuh ke jalan. "Insiden itu dilihat oleh seorang pemuda dikenali Zarul, apabila dia cuba nasihati, pekerja warga asing itu membelasahnya" beritahu Ir. Adnan.

Berikutan sikap tak menghormati budaya tempatan itu, pergaduhan berlaku pada sebelah malamnya, apabila penduduk tempatan bertindak balas. Suami wanita terbabit turut terbabit dalam pergaduhan, tetapi tak berlaku perkara yang tak diingini. Justeru Ir Adnan meminta syarikat yang menawarkan pekerjaan kepada warga asing perlu mengambil langkah positif bagi mengelakkan pergaduhan berulang lagi. Sekiranya pekerja warga asing terus bersikap tak mahu menghormati budaya tempatan, kesannya akan menimpa syarikat terbabit. Menurut Ir Adnan, pekerja warga asing itu dipercayai dari Bangladesh, tetapi dalam keadaan mabuk. "Syarikat terbabit perlu bertanggungjawab, kalau pergaduhan berulang," kata Ir Adnan.

PUISI BERSAMA YASSINSALLEH

Malang Oh Malang!

Perak berselerak
nak lelong Camry
di carpark
lapangan persendaan hak
tak berhak
seloka pohon si balai-balai
jenaka hukum
lelucon para badut sarkas
mempersenda maruah rakyat
pada tahap kebangsatan
di bawah aras kedunguan
seekor lembu
bunting.

Pulau Pinang
tercengang
dikatakan demi tidak mau
membazir wang rakyat
Penanti tidak akan ditandingi
demi tumpuan
ke arah mentadbir ekonomi
negara
yang kian tambah caca merba
Alhamdullillah.

Sedemikianlah
mudahnya dianggap
bahawa akan sebodoh itulah
rakyat menerima kewalian
seorang perdana
memperlembukan
kebijaksanaan rakyat.

Pahang
tunggang langgang
perintah mahkamah
supaya dibayar hutang
tiada sedikit diberi nilai
kepedulian
bagaikan suara pengundi
Pelangai yang walang
berdendang
sayang Long
sayang!

Jambatan bengkok
yang lagi berkokok
dulu selaku menteri
nyaring lantang
sokong si tukang batal
kini selaku
menteri tak
dilantik lagi terpekik
terlolong sokong
si tukang nak
batal kebatalan.

Aduhai
tiadakah dalam
kamus Dewan
takrif perkataan
pordah!

Wahai kerabatku
Anak Bangsa Malaysia
Let Them Insult
Our Intelligence
At Their Own
PERIL!
malang oh malang...

-Yassinsalleh
22 April 2009
jam 2155
Kuala Lumpur.

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Orangkaya Perdana berseru:
Hendaklah bersetia dengan hamba

Sebermula akan Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang belum pun sepurnama ia bergelar itu menyeru sekalian orang banyak memberikan kesetiaan yang disebut '1 Malaysia'. Kesetiaan itu sudah barang tentu kepada dirinya kerana ia berseru itu dengan menyebut, 'hendaklah bersetia selagi pemimpin itu heh heh heh!'. Arakian akan hamba yang setia dalam '1 Malaysia' itu sudah berulang kali disebut Laksamana Hang Tuah pada masa Melaka dahulukala hingga ia memangkis, "Melaka se Melaka-Melakanya, Pahang se Pahang-Pahannya, tiadalah hamba bertuan selain daripada Yang Dipertuan!"

Arakian orang banyak pun hendaklah bersetia kepada Orangkaya Dato' Seri Mohd Najib kerana ia jua berkata, "Tuan hamba tak boleh memberikan ganjaran kepada seseorang itu hnya kerana ia setia, tetapi lupa bahawa kesetiaan tak berkemajuan adalah tak memadai'. Syahdan suatu hari kedengaran kepada fakir orang banyak berjenaka sesamanya dengan menyebut dalam bahasa dan loghat di Rembau yang pekat, 'Cangkau se Cangkau-Cangkaunya, Rambau se Rambau-Rambaunya, pakung sado alah eh,' (yang maksudnya: Cengkau se Cengkau-Cengkaunya, Rembau se Rembau-Rembaunya, semuanya berpekung). Adapun yang dimaksudkan itu ialah 1Cengkau dan 1Rembau jua, adanya.

Syahdan, maka Raja Kassim pun masuk melanggar ke dalam. Maka orang pun gempar mengatakan, Raja Kassim melanggar ke dalam. Arakian segala orang-orang besar Melaka yang bersama Raja Ibrahim pun datanglah mengusir bendahara dengan segala orang-orangkaya dan hulubalang sekalian. Mereka itu bertanya, "Mana Bendahara?". Maka sahut orang banyak, "Bendahara pergi dengan Raja Kassim." Maka pada hati mereka, "Bendaharalah yang empunya pekerjaan ini." Maka berseru-seru orang melarangkan jangan menikam Raja Rekan dahulu kerana ia tak bercerai dengan Sultan Abu Syahid. Maka tak didengar orang kerana terlalu sabur. Setelah dalam istana alah, maka diserulah orang banyak bersetia dengan Raja Kassim seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' oleh:








HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG...


Sia-sia sahaja media barat:
Malaysia pun tak tahu 'mahathirism'

Desas desus menyebut media barat seolah-olah terlalu memberi perhatian sangat terhadap peralihan pentadbiran baru di Malaysia yang belum pun sampai sebulan. Malaysia dianggap di bawah 'Mahathirism', malah di Australia menggelarkan Malaysia negara 'porahhh'. Entahlah! Hebat sangatkah Malaysia di kalangan media barat, menyebabkan mereka bagaikan trauma dengan 'mahathirism' seperti keperihalan 'moism' di Republik Rakyat China (RRC) sekitar dekad 1960-an dan 1970-an. Malah ketika Tun Abdul Razak menjalin hubungan diplomatik dengan RRC pada dekad 1970-an ianya dipandang serong.

Ketika saya ke Stockholms, Sweden pada 1996 penduduk pendalaman di Surrahhamar (gambar kanan di depan muzium The Vikings) misalnya tak kenal pun Malaysia; apalagi mereka tak tahu di mana letak negara Malaysia. Apabila diberitahu Malaysia di benua Asia, mereka bertanya adakah berdekatan dengan Kuwait (yang juga di benua Asia) disebabkan keluarganya berkhidmat di negara berkenaan. Kalangan 'kesatuan sekerja' pula sekadar mengenali 'Kuala Lumpur' dan Tunku Abdul Rahman pejuang 'apartheid', justeru mereka tak langsung mengenali Malaysia. Kalau media di barat memburuk-burukkan Malaysia, barangkali tak memberi apa-apa kesan!


Tak tahulah di Australia sama ada mereka memahami istilah 'porahh' atau tidak, tetapi memang terdapat rakyat Malaysia yang diterima menjadi penduduk tetap (permanent resident) di negara tersebut. Sewaktu berceramah di UKM mengenai Adat Perpatih pada Disember 2008, bekas Naib Canselor Unisel, Profesor Dato' Dr Kamaruddin Kachar (gambar kiri, berbaju Melayu) mengakui memiliki hartanah di Australia. Maknanya, memang ramai warga Malaysia di Australia, tetapi apakah faedah media di negara itu melabelkan Malaysia sebagai 'negara porahhh'? Malah di mana logiknya pula jika masyarakat barat terlalu phobia dengan 'mahathirism'?

Berbeza dengan 'moism' yang berpengaruh di Indochina, barangkali termasuk juga Mongolia, di samping bersaing bersama komunisme marx dan lenin di Eropah Timur, 'mahathirism' bukan menjadi ancaman kepada blok barat. Malah aura Osama bin Laden lebih menggerunkan mereka selepas propaganda George Bush mampu mempengaruhi lembu-lembu ternaknya di Eropah. Di Malaysia sendiri tak siapa pun mengetahui mengenai 'mahathirism', justeru media barat seolah-olah memasaang serkap jarang di lokasi anak-anak ikan bermain. Heh heh heh!
-Pak Dharma