Thursday, May 8, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

Assalamualaikum,

Ketika membaca akhbar di kereta, sementara menunggu isteri saya berurusan di premis pejabat Tabung Haji di Selayang hari ini (7 Mei 2008) jam 10.00 pagi, tiba-tiba terserempak dengan Dr Abdul Wahid Suhaimi (bekas orang kepercayaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim). Memang lama tak bersua beliau, sekalipun tinggal berjiran disebabkan sibuk dengan urusan masing-masing. Dr Abdul Wahid diperkenalkan oleh Haji Abu Bakar Ninggal selepas PRU 10 tahun 1999, ketika gerakan mahu membebaskan Dato’ Seri Anwar yang masih ditahan di sel Sungai Buluh. Dr Abdul Wahid bersama Haji Abu Bakar menemui saya sekitar Jun 2003, kerana sebelumnya mereka mengakui sering berulang alik menggunakan pendekatan ‘berkiyai’ ke Batam di Indonesia. Aduhai!

Bagaimanapun menjelang PRU 11, sekitar awal tahun 2004, Dr Abdul Wahid tak disangka-sangka meninggalkan mentornya Dato’ Seri Anwar menyertai ‘Kumpulan 12’ diketuai Sdr Ruslan Kassim bertindak keluar dari Parti Keadilan Nasional (sebelum ditukar kepada Parti Keadilan Rakyat). Tak banyak dibualkan bersama Dr Abdul Wahid dalam pertemuan hari ini disebabkan beliau memang mengambil keputusan tak mahu lagi berpolitik; apalagi selepas insiden 1998 beliau dikira ‘low profile’. Apabila terserempak Dr Abdul Wahid beberapa kali sebelumnya, saya juga tak berminat untuk berbual fasal politik yang serba berserabut, berkelabut dan berkemelut. Balik kira-kira jam 12.00 tengahari Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz pula menelefon.

Sebelumnya L. Mankadir Shamsi mengirimkan SMS mengingatkan mengenai laman blognya http://rpsemantan.blogspot.com/ sudah mula beroperasi. Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah juga menelefon dari Pulau Pinang bagi urusannya (mungkin sahaja bekaitan dengan penerbitan buku-bukunya), mahu tahu mengenai perkembangan di Kuala Lumpur termasuk kes membabitkan pengendali laman web Raja Petra Kamaruddin. Bagi saya kes Raja Petra sekadar mahu menyembunyikan kebobrokan pimpinan UMNO di samping krisis kenaikan harga beras yang menjadi makanan ruji utama rakyat Malaysia. Media lebih memberi prioriti kepada kes Raja Petra daripada krisis kenaikan harga beras, iaitu bagi mengalihkan fokus rakyat bagi melupakan isu sebenarnya.

Ketika harga beras melonjak naik setiap minggu sejak penghujung April 2008, suara prolitar seolah-olah tak diberi keutamaan bagi mempersoal kenaikan harga. Berikutan ‘Hari Ibu’ pada 10 Mei 2008, saya menghubungi ibu tersayang Hajjah Safiah Jatin di kampung yang sudah berusia 82 tahun tetapi masih sihat. Ibu saya memberitahu, pada period pentadbiran Jepun beliau tak pernah mengalami krisis makanan hingga memasak rebus ubi kayu atau ubi gadung bagi tempoh 1941-1945. Menurut ibu, disebabkan ayah saya Allahyarham Dato’ Sati Haji Daud bin Sheikh Haji Ahmad pegawai pertanian (atau Jaikiden), beliau diberi tugas mengawal bekalan beras. Justeru kata ibu, keluarganya tak pernah mengalami kekurangan bekalan beras sepanjang pencerobohan Jepun ke atas Tanah Melayu. Begitulah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

ISTERI PET DINAFIKAN HAKNYA
CUBA ALIHKAN ‘KRISIS KEYAKINAN’

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz berasa hairan apabila Puan Marina Abdullah, isteri Raja Petra Kamaruddin yang dihantar ke sel Sungai Buluh semalam (6 Mei 2008) tak dibenarkan bertemu suaminya, atas alasan Raja Petra (Pet) tak berhasrat menemui sesiapa. Menurut Dato’ Kamal Amir, adalah tak rasional sekiranya Raja Petra enggan bertemu isterinya yang ditemani peguam dengan mengikut prosedur yang sudah ditetapkan. Pagi ini (7 Mei 2008), Puan Marina bersama peguamnya dilaporkan mahu menemui Raja Petra, tetapi diberitahu oleh pihak polis pengendali laman web yang diberi jolokan ‘Raja Blog’ itu enggan menemui sesiapa sahaja termasuk isterinya Puan Marina. “Kita perlukan penjelasan sebenar dari Pet, berkaitan dakwaan beliau enggan menemui sesiapa?” ujar Dato’ Kamal Amir.

Seterusnya Dato’ Kamal Amir berharap, kesihatan Raja Petra tak terjejas berikutan dihantar ke sel Sungai Buluh, disebabkan ketika dibawa ke sana (sel Sungai Buluh) beliau dalam keadaan sihat. Bagaimanapun kata Dato’ Kamal Amir lagi, Puan Marina diberitahu oleh pihak polis, Raja Petra juga enggan menjamah makanan yang disediakan semasa di dalam sel. Justeru menurut Dato’ Kamal Amir, sekiranya Raja Petra lancarkan ‘mogok lapar’, isterinya Puan Marina bersama peguam wajar dibenarkan menemui beliau bagi memastikan kesihatannya tak terjejas. Apalagi dalam usianya menjangkau 58 tahun, Raja Petra perlu diberi perhatian mengenai tahap kesihatannya semasa ditahan di dalam sel, beritahu Dato’ Kamal Amir. “PRIMA sentiasa mendoakan kesihatan Pet sentiasa baik, demi perjuangan menentang perhambaan minda,” beliau menambah.

TANAH RANCANGAN BELIA DI JOHOR
EKSPLOITASI DI TANGAN PIMPINAN MELAYU

Pelaksanaan skim Tanah Rancangan Belia yang digerakkan oleh bekas Menteri Besar Johor Tan Sri Osman Saat (Allahyarham) sekitar dekad 1970-an bagi menjamin belia-belia memiliki tanah dikatakan terjejas berikutan eksploitasi pimpinan Melayu sendiri, kata penduduk-penduduk di Kampung Belia Jaya, Johor Bahru ketika menemui bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Mereka dilaporkan menemui Dato’ Dr Mansor ketika persidangan ‘Kongres Permuafakatan Melayu’ berlangsung di Johor Bahru pada 1-4 Mei 2008 yang lalu. Menurut sumber berkenaan, skim yang digerakkan oleh Tan Sri Osman memperuntukkan setiap peneroka memiliki 10 ekar seorang. “Bagaimanapun tujuh ekar sudah diambil bagi pembangunan dengan pampasan RM100 ribu sahaja, di samping sebuah rumah,” kata sumber itu.
Seterusnya beritahu sumber berkenaan, sebelum PRU 12 peneroka terbabit dikatakan menerima jaminan akan memperoleh rumah yang dijanjikan, tetapi hingga sekarang tak pernah disebut-sebut lagi oleh pemimpin-pemimpin Melayu. Kampung Belia Jaya yang lokasinya berdekatan Lapanganterbang Senai, Johor Bahru turut didesak mengosongkan tanah milik mereka yang tinggal 3 ekar seorang itu, bagi tujuan pembangunan dengan pampasan mengikut harga pasaran. Langkah pengambilan tanah di lokasi Rancangan Tanah Belia yang dilaksanakan pada period Tan Sri Osman, adalah eksploitasi pimpinan Melayu sendiri terhadap tanah peneroka-peneroka yang dijadikan eksprimen, mereka meminta Dato’ Dr Mansor membangkitkan pada ‘Kongres Permuafakatan Melayu’ itu. “Pimpinan Melayu perlu prihatin dengan masalah skim tanah belia yang dirancang oleh pimpinan di masa lalu,” beritahu sumber berkenaan.

TIADA GARIS PANDUAN JELAS
UNDANG-UNDANG MURTAD BERMASALAH

Undang-undang murtad yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen UMNO Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi di Dewan Rakyat semalam (6 Mei 2008), mendedahkan fakta ianya tak mempunyai garis panduan yang jelas, hingga mudah diperlekeh oleh kalangan bukan Islam, beritahu aktivis sosial penyair Yassinsalleh. Mengulas ucapan Dr Mohd Fuad di Dewan Rakyat semalam, Yassinsalleh turut mendesak penggubalan undang-undang itu perlu disegerakan bagi memastikan pertikaian tersebut mampu dileraikan. Seterusnya Yassinsalleh merujuk kepada kes permohonan murtad membabitkan dua orang Melayu baru-baru ini berjaya di mahkamah. “Pertubuhan Melayu Kristian (IFC) sudah dilulus untuk ditubuhkan, justeru penggubalan undang-undang berkenaan perlu disegerakan,” menurut Yassinsalleh ketika menghubungi sekretariat PRIMA hari ini (7 Mei 2008).

Justeru menurut Yassinsalleh seterusnya, setiap individu Islam diminta melayari laman web http://www.myislamnetwork.net/ bagi mendesak pembubaran IFC, sebagai gerakan sokongan kepada perjuangan mempertahankan syiar Islam. Kata Yassinsalleh, kita mahu sejumlah satu juta umat Islam memberi sokongan, bukan berharap kepada 30 ribu orang yang sudah menyatakan sokongan mereka. Dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agung di Dewan Rakyat semalam Dr Mohd Fuad membangkitkan isu murtad menimbulkan banyak masalah, terutama apabila seseorang yang memeluk agama Islam mahu kembali kepada agama asalnya. “Ketika kita melihat isu orang bukan Islam memeluk Islam, kita juga perlu melihat kepada isu orang Islam yang murtad,” kata Yassinsalleh selanjutnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

KERIS YAK BERSARUNG BERKARAT
TIKAMANNYA BANYAK MEMAKAN DIRI

Terima kasih kerana kirim senaskhah ‘SEMPERUNG’. Nampaknya Dharmala masih bertenaga politik. Saya akan cuba membacanya. Terasa macam banyak berunsur Islam pula. Cikgu (fizikal) kiri agak uzur, tapi masih berotak geliga. Apa tak datang ke Penang jumpa Ketua Menteri, tentu Dharmala kenal rapat dengannya. Bagaimana dengan nasib UMNO sekarang? Nampaknya keris tak bersarung sudah berkarat teruk. Tikamannya lebih banyak terasa makan diri saja. Soal bahasa, soal ketuanan Melayu sudah turut berkarat. Baru-baru ini penulis dari Seremban datang menziarahi saya di rumah. Beliau pun masih politik – SHAHNON AHMAD.
TUMPU MENULIS PUISI SUFI
BACA NOVEL BUKA KAMUS

Terima kasih kiriman novel terbaru saudara ‘SEMPERUNG’. Hebat saudara kerana dapat menulis novel baru. Sedangkan saya sudah lama berhenti menulis novel. Saya menumpukan pada penulisan puisi terutama bercorak sufi dan gerakan Islam. Saya terpaksa mengikuti perkembangan puisi luar negara terutama Iran, Turki dan Arab Saudi. Saya membaca novel saudara mencari makna di sebalik cerita. Terkadang terpaksa buka kamus. Saya rasa novel saudara lebih hebat daripada novel Shahnon Ahmad ‘RANJAU SEPANJANG JALAN’. Baru sahaja habis bab pertama, terpaksa berhenti membaca menumpukan persidangan Parlimen pula.


Akan saya sambung membacanya apabila apabila tiada gangguan. Sebagai balasan buku saudara, insya Allah akan saya kirim kumpulan puisi ‘TEMBOK TIDAK BERPINTU’ apabila diterbitkan oleh DBP. Nampaknya dunia Malaysia sudah berubah kecuali hidup di bawah tempurung. Kita tidak tahu apa akan berlaku 10 atau 20 tahun akan datang. Mungkin kita sudah tidak ada lagi di dunia! Sedih memikirkan almarhum Rustam A Sani yang lebih muda daripada saya, mendahului rakan-rakan penulis. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatehah! – NAHMAR JAMIL.

INFO SUARA PROLITAR

CALON BAGI ANUGERAH BULANAN
MENOLAK PAKSI PERHAMBAAN MINDA

Tokoh penentang penjajahan minda (yang dipelopori UMNO/BN) bulan ini saya calonkan Raja Putera (Kamaruddin). Calon pengampu UMNO terulung jatuh kepada pimpinan Gapena (Gabungan Penulis Nasional), sekalipun tak direstui oleh majoriti kerabat Gapena. Apalagi dilaporkan di Kedah, pimpinan ASASI dikatakan mahu letak jawatan, kerana menyokong UMNO. Di masa lalu ketika UMNO mendominasi DUN Kedah, Shahnon Ahmad dan Azizi Haji Abdullah (lebih dikenali dalam gerakan sastera Melayu) tak pula letak jawatan jawatan apabila memimpin ASASI. (SMS; 6 Mei 2008, jam 12.00 malam – L Mankadir Shamsi, Lancang, Pahang).

MEDIA MACAM SEGAN NAK SIAR
USUL KRISIS KENAIKAN HARGA BERAS

Pelik juga dengan isu kenaikan harga beras. Media arus perdana macam segan nak siar perbahasan di Dewan Rakyat apabila usul dibawa oleh Salehuddin Ayub wakil PAS dari Kubang Krian semalam (6 Mei 2008). Media cuba alihkan kepada isu Raja Petra dengan diletakkan di muka depan. Nak sembunyi apa? Petani-petani Melayu dah merungut dengan ahlinya 280,000 fasal harga padi hanya RM650 satu tan, ketika pengilang beras cari untung berganda-ganda, ganda-ganda, ganda-ganda! Petani-petani Melayu baru nak minta naikkan harga padi kepada RM1,000 satu tan aje, pengilang tak perlu nak minta untuk naikkan harga beras. (SMS; 7 Mei 2008 – Zainal Abidin Rasidin, Kelana Jaya, Selangor)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERIHAL KOKOK BERDERAI-DERAI
HULUBALANG KETAR MASUK GELANGGANG

Kata sahibul hikayat disuratkan oleh sekalian penitir canang, akan segala hulubalang pun melompat ke tengah gelanggang mendesak diambil tindakan undang-undang ke atas Orangkaya Bukit Gelugor iaitu Karpal Singh kerana kononnya menghasut. Adapun akan Orangkaya Bukit Gelugor itu mempertikaikan titah perintah Sultan Azlan Shah di negeri Perak campur tangan berkaitan perkara menukar Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Dato’ Jamry Sury. Syahdan akan baginda Sultan Perak memanglah ketua agama di negeri baginda, oleh yang demikian hulubalang-hulubalang terbabit tak perlulah nak tunjuk bisa keris, kerana sudah sekian lama para hulubalang sekadar ‘kokok berdegar-degar, ekor habis bergelumang taik’; apalagi Orangkaya Menteri yang tak dipilih pada pemilihan 30 Safar 1429 (disebut orang ialah 8 Mac 2008) yang lalu.

Arakian hulubalang-hulubalang yang kokok berdegar-degar itu dikatakan oleh orang banyak, mereka sekadar terketar-ketar apabila masuk ke gelanggang. Maka Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak itu berkatalah kepada penitir canang hari ini, 1 Jamadilawal 1429 (sepeti disebut anak cucu fakir 7 Mei 2008) ambillah iktibar kegagalan negeri Selangor mengurangkan cukai pintu kediaman. Adapun diberitahu kepada fakir perihal Orangkaya Timbalan Perdana Menteri itu, tak pula berani mencabar ke mahkamah bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menuduhnya semasa pilihanraya kecil Ijok dahulu. Maka segala orang banyak juga menunggu-nunggu supaya bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri itu didakwa menghasut. Eh eh eh!

Syahdan, telah utusan itu sudah kembali, maka Seri Rana Wirana Kerma pun bertanya kepada Badang, ‘Dapatkah engaku melawan Benderang itu?’. Maka sembah Badang, ‘Tuanku, dengan daulat Duli Yang Dipertuan dapatlah patik melawan dia. Esok hari adulah patik dengan dia’. Maka titah baginda, ‘Baiklah’. Maka baginda pun berangkat masuk; dengan segala yang menghadap pun masing-masing kembali ke rumahnya. Syahdan, telah Tun Perpatih Pandak sampai ke perahunya maka Benderang pun berkata kepada Tun Perpatih Pandak, ‘Jikalau dapat dengan bicara tuan hamba, jangan hamba diadu dengan Badang, kalau-kalau tiada terlawan oleh hamba, kerana pada pemandangan hamba, ia itu terlalu gagah perkasa’, seperti disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!