Sunday, March 9, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


MALAM PERHITUNGAN 8 MAC
MESEJ ‘UNDI CALON’ DISAMBUT
Assalamualaikum,


Jam 2.00 pagi (9 Mac 2008) ketika keputusan pilihanraya ke 12, 8 Mac masih lagi disiarkan secara langsung, Sang Kelembai (Sdr Zaharin Mohd Yassin) menelefon dari dalam kereta, memberitahu mengenai teori ‘pengundi hantu’ yang pernah saya bangkitkan semasa ‘rumah terbuka’ di kediaman Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz pada 27 Oktober 2007. Tetapi sengaja saya alihkan kepada fakta perjumpaan saya dengan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada jam 3.00 pagi, 27 November 1999 (ketika beliau masih Timbalan Perdana Menteri) di Seberang Jaya pada pilihanraya 1999. Tiba-tiba Sang Kelembai berasa sebak hingga tercungap-cungap sewaktu memandu, justeru saya meminta meletakkan telefon di samping berihat sementara.


Teori saya mudah sahaja iaitu ‘pengundi hantu’ mampu membantu BN sekiranya kedudukan 50-50 atau pihak lawan sekadar menang dengan majoriti di bawah 1,000 undi; sebaliknya ‘pengundi hantu menjadi sia-sia’ apabila anjakan paradigma rakyat berlaku yang membawa majoriti melebihi 5,000. Mungkin sahaja Sang Kelembai merasakan teori berkenaan boleh diterima berikutan ramai pimpinan BN ‘tergolek’ dalam pilihanraya ke 12 ini (8 Mac 2008) menyebabkan beliau berasa hiba, duka dan kecewa. Barangkali! Malah saya dapat mengagak (menerusi telefon) Sang Kelembai benar-benar terkedu menahan sebak, hingga kedengaran suaranya terputus-putus akibat menangis atau terlalu beremosi. Gamaknya!


Sekalipun pimpinan BN menafikan teori ‘pengundi hantu’, tetapi ianya tak pula boleh dikatakan tidak berlaku. Misalnya 11 buah bas yang berkonvoi mengangkut anak-anak Terengganu di IPTA balik bercuti, tentu menimbulkan persoalan kenapa balik bercuti dengan berkonvoi? Justeru 11 buah bas yang sekadar mampu mengangkut (11 x 40) kira-kira 440 orang sahaja tak boleh mencapai sasaran kemenangan BN, sebaliknya anjakan paradigma rakyatlah mendorong kepada perubahan besar berlaku. Tak hairanlah jam 7.00 pagi (9 Mac 2008), penyair Yassinsalleh mengirim SMS dengan pantun ‘Gurindam Tak Tidur Malam’: ‘Ku sangka hujan sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari; ku sangka Kelantan boleh dijulang, rupanya hilang lima negeri!


Memang pagi ini ramai kawan-kawan menelefon di samping berbalas-balas SMS termasuk pengarang ‘Buletin Rakyat’, Norzah Haji Kepol, Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gombak, Hajjah Fauziah Raof, aktivis budaya dari Melaka Dr Harun Kidam, pendakwah tabligh di Jelebu Abdul Latiff Sheikh Haji Ahmad dan Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Petang jam 5.00 petang, Dato’ Kamal Amir yang baru balik dari Gua Musang pula menelefon, di samping menyampaikan tahniah kerana mesej yang disampaikan PRIMA kepada rakyat Melaysia diterjemahkan menerusi keputusan jelas dalam pilihanraya ke 12 ini seolah-olah ‘gayung bersambut, kata berjawab’!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:

PRIMA TOLAK SARANAN TUN DR M
SEMUA PIMPINAN UMNO BERTANGGUNGJAWAB

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menolak saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai keputusan pilihanraya ke 12 semalam (8 Mac 2008) yang ianya tak menyebelahi BN supaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima tanggungjawab sepenuhnya. Kemenangan yang kurang selesa itu perlulah diterima sebagai tanggungjawab kolektif oleh semua pimpinan UMNO. Kata Dato’ Kamal Amir, sebagai ahli UMNO beliau meminta pimpinan UMNO yang turut menganggotai kabinet Dato’ Seri Abdullah sebelum pilihanraya perlu dirombak secara drastik, sama seperti menggugurkan ramai muka lama dalam senarai calon pilihanraya (yang juga secara drastik). “Mesej yang diterima dari pengundi-pengundi amat jelas adalah ditujukan kepada pimpinan kerajaan bukan Dato’ Seri Abdullah sahaja,” menurut Dato’ Kamal Amir.

Justeru beritahu Dato’ Kamal Amir, gesaan Tun Dr M bagi meminta Dato’ Seri Abdullah berundur dengan memberi laluan kepada timbalannya, tak sesuai dijadikan formula ketika UMNO berhadapan senario yang sukar ditafsirkan. Sebaliknya pimpinan UMNO perlu menyerahkan semula mandat kepada perwakilan menerusi ‘Perhimpunan Agung’, di samping melantik pimpinan sementara yang diketuai oleh tokoh dekad 1960-an yang berpengalaman dan masih aktif iaitu Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah. Dalam senario sekarang ujar Dato’ Kamal Amir, Dato’ Seri Abdullah wajar terlebih dahulu menubuhkan kerajaan seberapa segera, kemudian barulah membetulkan semula pimpinan dalam UMNO. “Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen, perlu dibawa semula seperti Tunku membawa semula Tun Dr Ismail ke dalam kerajaan dalam insiden selepas pilihanraya 1969,” katanya.



PIMPINAN UMNO PERLU BERASA MALU
KEPONGAHAN TAK MEMBAWA MANFAAT


Pimpinan UMNO perlu berasa malu dengan mesej yang disampaikan oleh rakyat menerusi keputusan pilihanraya semalam (8 Mac 2008), menurut pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail. Mengulas kenyataan Dato’ Seri Idris Jusoh dari Terengganu dan Dato’ Seri Adnan Yaakob (kerana mereka belum lagi mengangkat sumpah untuk menubuhkan kerajaan menjadi Menteri Besar Terengganu dan Pahang) mengenai demokrasi masih subur, Haji Yahaya (Pak Ya) memberitahu, demokrasi bukan bermakna ‘ada pilihanraya’ di samping ‘pembangkang banyak menang’. Demokrasi kata Pak Ya hendaklah dilaksanakan mengikut prinsipnya, tetapi pelaksanaan yang menjadi amalan di negara ini sekadar ‘demokrasi ala UMNO’.

Seterusnya jelas Pak Ya, kenyataan kedua-kedua pemimpin dari Terengganu dan Pahang itu lebih mirip kepada kepongahan sehingga terlupa ‘kuasa rakyat’ mampu mengubah sekalipun pelbagai jaringan muslihat dilaksanakan. Misalnya, kata Pak Ya ketika isu ‘pengundi hantu’ dianggap berhasil dalam pilihanraya 2004, ianya boleh ‘memakan tuan’ apabila anjakan paradigma rakyat turut menolak ‘perhambaan minda’ secara besar-besaran atau mengikut gegaran skala Ritcher, beliau menjelaskan. Malah beritahu Pak Ya lagi, apa yang berlaku pada 8 Mac 2008 ialah gegaran pada skala Ritcher anjakan paradigam rakyat yang di luar dugaan sama sekali. “Sebenarnya rakyat sudah bosan dengan slogan, apa yang mereka mahu ialah sumber rezeki yang diagih kepada rakyat dan dinikmati secara realiti,” menurutnya.



TAHNIAH KEPADA TAN SRI KHALID
TUBUH KERAJAAN NEGERI DI SELANGOR


Aktivis budaya Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mengucapkan tahniah kepada rakannya ketika sama-sama dalam profesion perguruan, Tan Sri Mohd Khalid Ibrahim yang akan mengetuai kerajaan negeri Selangor. Tan Sri Khalid yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya mendominasi DUN Selangor pada pilihanraya semalam 8 Mac 2008 bersama rakan-rakannya dari PAS dan DAP. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM memberitahu, dengan pengalaman Tan Sri Khalid selaku tokoh korporat diharap ianya mampu memenuhi kepercayaan rakyat Selangor terhadap pimpinan PKR bersama rakan-rakannya dari PAS dan DAP.


Di samping menyampaikan tahniah kepada Tan Sri Khalid, Dato’ Dr Mohd Mansor yang terbabit membantu kempen Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak di Parlimen Pekan mengakui, kemenangan di kawasan berkenaan tak bermakna sokongan secara total. Menurutnya kemampuan pembangkang menembusi kubu kuat UMNO membuktikan mesej yang dibawa PRIMA ‘undi calon, bukan undi parti’ adalah memberi kesan positif. Justeru kata Dato’ Dr Mohd Mansor seterusnya, penampilan Dato’ Seri Najib ke kawasan Pekan yang sering didampingi tokoh-tokoh koprorat dari Kuala Lumpur memang tak disenangi rakyat. “Mereka yang mengundi Dato’ Seri Najib ialah rakyat di Pekan bukan tokoh korporat dari luar,” beliau menjelaskan.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


KECIL JANGAN DISANGKA ANAK
BESAR JANGANLAH DISANGKA BAPA


Sebermula kata sahibul hikayat berkatalah nenek moyang fakir, “Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa". Syahadan berlakulah sudah dalam negeri Melayu keputusaan pemilihan orang besar-besarnya pada 30 Safar 1429 (kata anak cucu fakir ialah 8 Mac 2008) menyebabkan empat menteri dan ramai timbalan menterinya ‘wal hasil balik hasal’. Arakian akan segala pihak lawan yang mahu bertanding merebut jawatan orang besar-besar itu, disebutlah segala kelemahan, kekurangan dan keburukan mereka malah tak berpengalaman memerintah negeri, adanya! Adapun kata bijak pandai yang tahu mengenai falaq pada 30 Safar jatuhlah ia bagi zodiak Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi itu dalam keadaan kelam, tetapi cerahlah pada 1 Rabiulawal sekiranya mahu memulakan pekerjaan. Wallahu’alam!

Arakian akan Merah Silu itu diperlekeh, diperleceh dan dipersisih oleh abangnya Merah Caga, maka larilah ia ke rimba Jerun. Semasa berkelana di rimba itu, pada suatu hari anjingnya Si Pasai itu menyalak, lalu dilihatnya tanah tinggi seperti ditimbun. Setelah diamat-amati tahulah Merah Silu tanah tinggi itu ialah semut besar seperti seekor kucing, lalu dimakannya. Syahdan beberapa lamanya belayarlah Shariff Mekah menumpang kapal Sheikh Ismail ke negeri bawah angin, bertemulah ia akan Merah Silu. Dinamakan negeri itu Samudera sempena semut besar, di Islamkannya Merah Silu dan diberi nama ‘Malikul Salleh’. Masyhurlah Malikul Salleh menjadi raja besar, malah lebih gah namanya daripada abangnya Merah Caga seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ yang dusuratkan oleh:





HIDUP BAHASA MELAYU!