Wednesday, December 26, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:



SUMPAHAN TUJUH KETURUNAN
LANGKAWI SEKADAR MITOS MAHSURI



Assalamualaikum,


Lawatan ke pulau legenda Langkawi bermula 22-24 Disember 2007, mungkin sahaja tertarik dengan promosi berikutan kejayaan LIMA 2007 (Pameran Maritim dan Pesawat Antarabangsa Langkawi) sejak pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dulu. Bagaimanapun bukanlah kehebatan LIMA yang menjadi fokus saya ingin membuat lawatan ke Langkawi, sebaiknya mitos Mahsuri dengan sumpahan tujuh keturunan lebih menarik perhatian. Mahsuri wanita Melayu yang mampu melonjakkan nama sebagai pejuang kezaliman, mampu memberi kesedaran kepada bangsanya yang sejak turun menurun menjadikan individu yang lemah mangsa kepada kekejaman mereka yang berkuasa mengikut undang-undang nafsu sarakah tak berperi kemanusiaan.



Tetapi kesedaran bangsa Melayu terhadap mitos Mahsuri sekadar pada lahiriah semata-mata, apabila mereka melihat pada persepsi wanita Melayu terbabit menjadi mangsa fitnah hingga dihukum bunuh. Tragedi yang dikatakan berlaku pada 1819M itu, ternyata tamadun bangsa Melayu sudah berkembang berikutan Pulau Pinang sudah jatuh ke tangan Inggeris yang dipimpin Farncis Light pada 1776M, begitu juga Singapura di bawah Thomas Stamford Riffales pada Januari 1819M. Pada period tersebut Kedah pula di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah (1804-1843), apabila dikatakan ianya berkaitan dengan serangan Siam ke atas Kedah. Kononnya!


Mahsuri dibunuh ketika suaminya Wan Darus membantu Sultan Kedah melawan tentera Siam di Kuala Kedah, apabila birasnya Wan Mahara cemburu dengan kecantikan Mahsuri yang mempesonakan Dato’ Pekerma Jaya (Yahya), suami Wan Mahara (abang kepada Wan Darus). Beliau mencari kesempatan hubungan baik seorang perantau dari Minangkabau dikenali Deramang dengan Mahsuri, dengan memerangkap mereka hingga dituduh berkhalwat (mungkin juga berzina); walhal ketika itu Mahsuri baru melahirkan anak yang masih lagi ‘menyusu’. Justeru sewaktu Mahsuri dibunuh dengan keris pesaka ayahnya Pandak Mayah (senjata lain kononnya tak lut ditikam), memancut darah putih dari tubuh Mahsuri (mungkin juga susu pada payudaranya), menyebabkan beliau lantas menyumpah: Langkawi menjadi padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan!


Insiden serangan Siam (menerusi Raja Legor) ke atas Kedah pula berlaku pada tahun 1821 (bukannya 1819), menyebabkan Sultan Ahmad Tajuddin berundur ke Pulau Pinang. Sebaliknya apabila Sultan Ahmad Tajuddin meminta bantuan Inggeris, mereka enggan membantu sebaliknya menghantar wakilnya John Crawford pada 1822, di samping Henry Burney mengadakan perjanjian dengan Bangkok pada 1826. Berikutan fakta ‘Perjanjian Burney’, Sultan Ahmad Tajuddin tak dibenarkan balik ke Kedah, sebaliknya dihantar menetap di Melaka, hingga pada 1842 barulah takhta baginda dikembalikan. Di manakah pula kaitannya dengan Wan Darus (suami Mahsuri) yang membantu peperangan Kedah melawan Siam?


Tak mungkin Mahsuri berdarah putih (malah kepercayaan orang Kedah, Puteri Lindungan Bulan di Jitra juga berdarah putih); begitu di Johor mengenai Sultan Mahmud Mangkat Dijulang berdarah putih untuk memanipulasi kehebatan orang Melayu apabila ditikam oleh Megat Seri Rama pada 1699M. Sebaliknya seperti dirawikan oleh Abu Said Khudri r.a. ketika ayahnya Malik bin Sanan r.a. menjilat darah Rasullullah yang cedera dalam peperangan Uhud mengakui darah baginda Rasullullah sama dengan pejuang-pejuang Islam yang lain (iaitu merah) apabila baginda Rasullullah bersabad: “Api neraka tidak akan menyentuh orang yang darahnya bercampur dengan darahku.”



Kalau Rasullullah berdarah merah, takkan Mahsuri, Puteri Lindungan Bulan atau Sultan Mahmud Mangkat Dijulang berdarah putih! Justeru kalangan para ulama mahupun pimpinan agama seharusnya membetulkan semula persepsi masyarakat Melayu terhadap mitos Mahsuri mengenai ‘darah putih’ yang digambarkan sebagai wanita Melayu yang suci itu. Versi mengenai Mahsuri juga dikatakan berlaku di Jempol, Negeri Sembilan dalam insiden gadis kampung bernama ‘Jempu’ yang difitnah melakukan perbuatan zina, ketika tunangnya ‘Tengkek’ dikatakan merantau. Hukuman bagi kesalahan tersebut ialah terjun ke dalam sungai yang dicancang dengan buluh runcing (ranjau), menyebabkan Jempu terbunuh dengan darahnya mengapung hingga ke kuala Sungai Jempol. Begitulah!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA:

SEKTOR PELANCONGAN MAJUKAN LANGKAWI
BUKAN SEKADAR KOMERSILKAN MITOS MAHSURI


Memajukan sektor pelancongan di Langkawi tak seharusnya bergantung kepada fakta komersialkan mitos Mahsuri sahaja, sebaliknya menjadikan ianya pulau peranginan yang menarik pelabur-pelabur luar, beritahu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau yang juga terbabit dalam bidang usahawan mengakui cetusan idea bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membawa Pameran Maritim dan Pesawat Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) setiap tahun mampu menjadikan pulau legenda itu pusat pelancongan berpotensi di Asia Tenggara, sekiranya menerima sentuhan idea yang berterusan dari bekas perdana menteri itu.


Tun (Dr M) sudah meletakkan asas bagi memajukan Langkawi dengan prasarana bagi membangunkan sektor pelancongan, justeru kita tak boleh bergantung kepada mitos Mahsuri bagi pembangunan jangka panjang Langkawi,” kata Dato’ Kamal Amir lagi. Kota Mahsuri yang dibangunkan di Ulu Melaka memang mampu menarik pelancong bagi jangka pendek, tetapi lama kelamaan ianya akan menjadi klise kalau sekadar tayangan klip video mengenai episod yang menimpa keluarga Mahsuri. Seterusnya Dato’ Kamal Amir menambah, usaha memberi kemudahan pembelajaran kepada waris keturunan Mahsuri dari Phuket (Wan Aishah) juga tak membawa sebarang hasil membanggakan.


Apalagi dengan ‘Tasik Dayang Bunting’ perlukan suntikan baru dalam pembangunan pelancongan, bukan sekadar bot solar atau gerai kecil yang menjual minuma dalam tin hingga RM3 seunit, sedangkan di Kuala Lumpur boleh diperolehi RM1.20 seunit. Begitu juga kereta kabel di Gunung Mat Cincang, memang menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara, tetapi mungkin bagi tempoh jangka pendek sekiranya tak mempunyai sebarang pelan induk bagi tempoh jangka panjang ianya akan kehilangan pengunjung, menurut Dato’ Kamal Amir selanjutnya. “Persaingan kereta kabel di Genting Highland dan keretapi bukit di Bukit Bendera, Pulau Pinang lebih memudahkan pengunjung ke lokasi berkenaan,” ujar Dato’ Kamal Amir.


Seterusnya Dato’ Kamal Amir menarik perhatian kepada harga makanan di gerai-gerai di Pantai Cenang yang menurutnya ‘menghambarkan’ selera pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negeri. Bukan sahaja harganya lebih mahal dari di Kuala Lumpur mahupun di Pulau Pinang, malah perkhidmatan juga terlalu ‘memualkan’ kalau Langkawi mahu dibangunkan sektor pelancongan. Katanya, bukan sekadar roti nan hingga RM2.00 berbanding di Kuala Lumpur RM1.20, malah bagi ayam tanduri juga mencecah RM6.00 berbanding di Kuala Lumpur sekadar RM4.50. “Di samping harga tak setimpal dengan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, perkhidmatan juga hingga satu jam pengunjung terpaksa menunggu,” jelasnya.


INFO SASTERA & BUDAYA:


SASTERA LISAN MELAYU TERPINGGIR
PEMIKIRAN SONGSANG KARYAWAN ILMIAH


Masih banyak karya sastera lisan Melayu dipinggirkan akibat pemikiran songsang kalangan karyawan ilmiah yang menganggap tak sesuai dengan pendekatan semasa, menurut novelis prolifik dekad 1980-an Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah apabila memperkatakan perkembangan sastera Melayu sekarang. Beliau seterusnya berbangga apabila Saterawan Negara Dato’ A. Samad Said ketika majlis pelancaran buku di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini berulang-ulang menyebut tak kurang 27 kali ‘Bahasa Melayu’ sebagai manifestasi menolak ‘Bahasa Malaysia’. “Ketika pelancaran buku Dato’ Syed Hamid Albar, A. Samad Said berulang-ulang menyebut tak kurang 27 kali ‘Bahasa Melayu’ bukan ‘Bahasa Malaysia,” katanya.



Seterusnya beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, kesongsangan pemikiran ilmiah menyebabkan karya-karya sastera lisan Melayu terpinggir apabila kalangan intelektual mentakrifkan karya-karya pemikiran baru sebagai perkembangan menarik dalam kesusateraan Melayu. DBP pula yang memberi perhatian kepada karya-karya dianggap intelek, sebaliknya hilang perhitungan kerana karya-karya terbabit sudah dieksprimen oleh karyawan-karyawan sekitar dekad 1970-an dan 1980-an yang ditakrif sebagai ‘absurdisme’, ‘stream of conciousness’ atau ‘interior monolog’. “Karya-karya realisme dan konvensionel dianggap bukan pemikiran baru mengikut takrif sekarang,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.


Katanya, bangsa Melayu memerlukan ‘Bahasa Melayu’ sebagai jatidiri yang tak boleh dikompromi dengan sebarang alasan yang dangkal, jutseru sastera lisan Melayu juga wajar diberi nilai baru di samping menolak ‘kesongsangan ilmiah’. Beliau menarik perhatian pada dekad 1960-an, apabila seniman legenda Tan Sri P. Ramlee mengangkat karya sastera lisan ‘Pak Belalang’ dalam medium perfileman menerusi ‘Nujum Pak Belalang’ hingga mampu memenangi anugerah ‘Filem Komedi Terbaik’ dalam Pesta Filem Asia di Tokyo, Jepun. “Karya sastera lisan Melayu mampu menakluki pemikiran orang luar, sekiranya diberi penghayatan yang bersumberkan ilmu,” ujar beliau.



KOMENTAR
bersama Pak Parjo


SEMUA PIHAK TOLAK KEGANASAN
SEMUA PIHAK MAHUKAN KEADILAN


Sebermula akan fakir diberitahu semua pihak tak sukakan keganasan.Begitulah! Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta rakyat tak memberi ruang kepada ‘puak pelampau’ seperti dilaporkan akhbar arus perdana hari ini (26 Disember 2007). Kata Dato’ Seri Abdullah (Pak Lah), budaya ekstrim tidak akan menyelesaikan masalah, ketika menyampaikan mesej Hari Natal (25 Disember 2007). Alhamdullilllah! Hari Natal tahun ini aman tenteram, tak seperti Hari Natal 2004 apabila ‘puak pelampau’ tsunami menunjukkan garangnya, hingga tak mampu kuasa FRU atau mana-mana pihak menentang kemaraannya. Justeru memang semua pihak menolak keganasan; malah semua pihak juga mahukan keadilan!


Syahdan tersebutlah alkisah Hang Jebat itu berkatalah ia: “Raja adil raja disembah; raja zalim raja disanggah!”. Maknanya, rakyat itu tak akan bersikap ‘melampau’ seperti keperihalan Hang Jebat mengamuk di istana, sekiranya pemerintah itu berlaku adil, tak membolot harta kekayaan negara dan memberikan pertimbangan yang seksama, bukan mendengar laporan sebelah pihak yang sengaja mengampu-ampu. Gamaknya! Maka terbacalah fakir akan ‘Kitab Melayu’ betapa ‘Marga Paksi’ tujuh bersaudara berlaku ‘melampau’ mereka di bumi Melaka, hingga porak perandalah kehidupan rakyat jelata semuanya. Segala hulubalang Melaka (ketika itu belumlah lagi wujud FRU), tak mampu untuk menghalang sikap melampau ‘Marga Paksi’ tujuh bersaudara.


Lalu berfikirlah Hang Tuah bagaimana mahu menghadapi akan kerenah dan sikap melampau Marga Paksi tujuh bersaudara itu. Sekonyong-konyong menyamarlah Hang Tuah menjadi pengikut setia Marga Paksi, dengan berpura-pura melakukan sikap melampau dengan merompak, menyamun dan merampas harta benda rakyat Melaka, adanya! Syahdan akan Hang Tuah yang berpura-pura menjadi sahabat @ orang suruhan Marga Paksi, diberinya minum air mabuk lagi memabukkan. Apabila Marga Paksi tujuh bersaudara itu sudah mabuk lagi memabukkan, lalu dipenggal oleh Hang Tuah akan leher Marga Paksi bagi menghapuskan sikap melampaunya, seperti disuratkan oleh:





HIDUP BAHASA MELAYU!