Wednesday, August 15, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

AKTIVIS PRIMA TAK SARAPAN
PUASA HINGGA 12 TENGAHARI

Assalamualaikum,

Bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, Haji Abu Bakar Ninggal mengajak ke Putrajaya dengan bertolak jam 6.30 pagi (15 Ogos 2007) dari Taman Seri Gombak. Beberapa kali pula berhenti untuk bertanya kepada warga Putrajaya jalan ke Presint 8 bagi memghadiri majlis wacana bersama mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana. Memang sampai ke bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana terlalu awal, iaitu sebelum jam 9.00 pagi terasa juga lapar kerana tak sempat sarapan pagi. Bukan sahaja saya dan Haji Abu Bakar tak sempat bersarapan, malah rakan-rakan yang lain termasuk Yahaya Ismail, Dato’ Kamal Amir, Mohd Sayuti Omar, Mohd Radzi Mustapha, Zaid Mat Ariff dan Abdul Rahman Osman juga, begitulah!


Sebelum majlis wacana bermula, saya bersama Yahaya Ismail, Dato’ Kamal Amir, Abdul Rahman Osman dan Mohd Sayuti Omar menemui Tun Dr. M di pejabatnya bagi taklimat ringkas. Secara bergurau pula Tun Dr. M meminta kebenaran untuk bercakap menggunakan Bahasa Perancis dalam majlis berkenaan. Justeru, kami berbangga kerana Tun Dr. M sebenarnya menerima perjuangan dasar PRIMA mahu mendaulatkan Bahasa Melayu, apabila beliau meminta kebenaran mahu bercakap Bahasa Perancis. “Saya nak bercakap bahasa apa dalam majlis ni, bolehkah gunakan Bahasa Perancis?” tuturnya secara sinikal tetapi membawa maknanya yang berlapik-lapik, berlapis-lapis dan bertapis-tapis. Heh heh heh!

-Muluk.

INFO HAK ASASI MANUSIA:

RM200 BOLEH DIBELI UNDI
FRASA KEHANCURAN MELAYU


Bangsa Melayu berhadapan dengan frasa kehancuran, sekiranya boleh menjual maruah dengan harga RM200 sahaja menerusi undi sama ada dalam pilihanraya mahupun ketika pemilihan parti, kata bekas Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam majlis wacana bersama PRIMA di dewan Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya. Serentak dengan itu beliau mengakui akan terus setia bersama UMNO, tetapi tak bermakna menyokong aura kepimpinan yang membawa pendekatan ‘politik wang’. Menurut Tun Dr. M lagi ‘politik wang’ digalakkan oleh pimpinan UMNO, justeru yang bersalah bukan ‘UMNO’ tetapi pemimpin terbabit yang perlu dipersalahkan.


Kira-kira 200 aktivis masyarakat, porfesional, pengendali laman web & laman blog dan pihak media menyertai majlis wacana PRIMA bersama bekas Perdana Menteri itu. Turut kelihatan termasuklah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Dato’ Paduka Marina Mahathir, Dato’ Ruhanie Ahmad (bekas Ahli Parlimen UMNO), Dato’ Ibrahim Ali (bekas timbalan menteri), Salahuddin Ayub (Ahli Parlimen PAS) dan Mahfuz Omar (bekas Ahli Parlimen PAS). Ketika sesi soal jawab, Tun Dr M meminta maaf kepada rakyat Malaysia sekiranya membuat pilihan yang salah bagi menggantikannya. “Kenapa awak tak beritahu ketika itu, saya membuat pilihan yang salah,” katanya menjawab soalan Zaharin Mohd Yassin, pengendali laman web disambut gelak ketawa.

YAHAYA SAMPAIKAN KEPADA DR. M
MANUSKRIP ANTOLOGI ‘MELAYU MUDAH LUPA’


Pengkritik sastera tersohor pada dekad 1960-an Yahaya Ismail diberi penghormatan oleh PRIMA menyampaikan manuskrip antologi ‘Melayu Mudah Lupa’ kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Pimpinan PRIMA sasterawan Dharmala N.S. turut diminta naik ke pentas bersama Yahaya sebagai penyelenggara bersama antologi berkenaan. Antologi sajak berkenaan sudah pun dalam proses percetakan dan dijangka terbit sebelum 31 Ogos ini. Dato’ Kamal Amir yang mempengerusikan majlis wacana bersama Tun Dr. M turut juga menjemput Presiden ProWaris, Sdr Feriz Omar bagi menyampaikan ‘buku merah hitam’ yang mengandung 20 Perkara tuntutan berkaitan isu Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di selatan Johor.

Tun Dr. M menyifatkan WPI meletakkan orang Melayu dalam ‘dilema baru’ kerana berdasarkan sejarah masa lalu, mereka tak mampu bertahan apabila menerima tawaran tinggi bagi membeli tanah mereka. Menurut beliau, hak milik tanah di sekitar bandar Alor Setar pada period penjajah Inggeris misalnya, memang dikuasai oleh orang Melayu. “Apabila berlaku pembangunan terancang, hakmilik tanah orang Melayu di Alor Setar bertukar tangan, menyebabkan mereka menjadi kuli di tanah air sendiri,” beritahu Tun Dr M dalam keadaan sebak, apabila menjawab soalan wakil ProWaris.

CORAT CORET PUTRAJAYA


Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar melahirkan rasa kesal dengan pelaksanaan Akta 664 Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang dianggapnya tak mengikut prosedur yang betul. Ketika menemui wakil PRIMA di bilik jamuan selepas majlis wacana bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau memberi jaminan PAS akan turut menentang WPI sekiranya merugikan bangsa, agama dan tanahair. Sementara itu Ahli Parlimen PAS, Kubang Kerian Salahuddin Ayub mengakui akta tersebut memang dibahas di Dewan Rakyat, tetapi Ahli-Ahli Parlimen tak diberi masa yang cukup bagi meneliti kandungan Akta 664.

INFO SASTERA & BUDAYA:

TERKILAN TAK DIJEMPUT
MENYERTAI ANTOLOGI PRIMA

Penyair kelahiran Johor, Dato’ Ruhanie Ahmad terkilan kerana tak diberitahu oleh PRIMA mengenai penerbitan antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’. Katanya, beliau sudah menghasilkan beberapa sajak yang sesuai untuk dimuatkan ke dalam antologi tersebut. Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Parit Sulong dan bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan di Dewan Rakyat, sentiasa menyokong sebarang usaha yang membabitkan perjuangan bahasa dan kesusasteraan Melayu bagi memartabatkan jatidiri bangsa yang semakin goyah, goyang dan goncang.

“Janganlah pinggirkan saya dalam aktiviti kesusasteraan dan bahasa Melayu,” katanya ketika menemui pimpinan PRIMA.Dato’ Ruhanie atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Ron’ kecewa tak sempat memuatkan sajaknya ke dalam antologi ‘Melayu Mudah Lupa’ yang diselenggara oleh PRIMA disebabkan sudah berada di percetakan. Ron juga mempelawa melayari laman blog yang dikendalinya http://www.kuda-kepang.blogspot.com/ , bagi mendapat maklumat berkiatan pembabitan beliau dalam perjuangan ketuanan Melayu. Antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ akan diterbitkan sebelum 31 Ogos ini dengan memuatkan puisi-puisi yang menjana pemikiran berterasakan jatidiri Melayu.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


TUN DR M INGATKAN SEMUA
PENULIS BLOG MESTI BERHEMAH
Dalam majlis wacana di Yayasan Kepimpinan Perdana, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amanat kepada pengendali-pengendali laman web dan laman blog sentiasa berhemah dalam penulisan. Katanya, blogger menjadi harapan orang ramai sekarang, justeru kalau menulis secara tak berhemah ianya akan menimbulkan kesangsian orang ramai kepada pengendali laman web dan laman blog. Pengendali laman web ‘Malaysia Today’ Raja Petra Kamaruddin dan isterinya Marina Lee pula diberi perhatian oleh media luar negeri, berikutan menghadapi soal siasat polis baru-baru ini setelah laman webnya dituduh menghina raja-raja Melayu dan agama Islam. Entahlah!
Ketika balik dari Putrajaya, mantan Timbalan Naib Canselor HEP UTM, Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah pula menelefon dari Johor Bahru kecewa apabila isu seorang pelajar menghina lagu ‘Negaraku’ dan meleceh-lecehkan Malaysia dianggap sudah selesai. Bolehkah isu yang membabitkan maruah negara diinjak-injak hanya dianggap selesai dengan hanya meminta maaf. Alahai! Dalam buku ‘Sejarah Melayu’ juga pernah disebut pada period kesultanan Melaka, perihal pelaut Portugis de Squera menyarung rantai emas ke kepala Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir secara biadap. Bagaimana pun Tun Mutahir ingatkan orang-orang Melayu ‘maafkan’ orang Portugis itu kerana tak faham adat resam Melayu. Dianggap selesailah! Apabila semuanya ‘dianggap selesai’ sekalipun tak pernah selesai, makanya ia semakin kusut masai adalah:










(gambar-gambar dengan ikhsan MSO)

HIDUP BAHASA MELAYU!!!