Thursday, July 10, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


DI KAMPUNG SIBUK HARGA BERAS NAIK
DI BANDAR RESAH FASAL HARGA PETROL

Assalamualaikum,

Hingga jam 12.00 malam terconggok minum teh tarik di restoran mamak di Taman Seri Gombak semalam (9 Julai 2008), masih ramai pelanggan bertumpu di situ. Justeru kalau sesiapa sahaja merungut keadaan ekonomi Malaysia berkelabut sekarang, tentu Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmd Badawi mudah menangkis. Takkan teruk sangat ekonomi Malaysia dengan fenomena yang menyelubungi kedai kopi berkenaan apabila masih ramai yang terconggok hingga santak 12.00 malam. Di kampung pun ketika balik ke Jelebu bertemu kawan-kawan di Felda, mereka juga berlonggok di kedai masakan Thai hingga jam 12.00 malam, sekalipun merungut disebabkan harga beras naik sampai cecah RM35 bagi kampit isian 10 kilogram.

Sewaktu terconggok minum teh tarik di restoran mamak di Taman Seri Gombak, beberapa orang pelanggan merungut fasal harga petrol mencecah RM2.70 satu liter. Apalagi yang bertugas di Putrajaya juga mengeluh, sukar mahu berjimat, berhemat dan berkhidmat dengan janji kenaikan gaji yang entah bila-bila. Aduhai! Tetapi saya pula bukanlah setiap malam keluar minum teh tarik, kecuali apabila kawan-kawan teringin sangat nak ‘belanja’. Heh heh heh! Misalnya, Zakaria Bidin entah sudah berapa kali mengajak keluar teh tarik, hingga habis bulan Jun pun masih tak nampak kelibat. Saya keluar pun selepas Ir Adnan Khalid dan Azwa mengajak keluar, berikutan selesai bincang mahu gerakkan pertubuhan ala Nasrul Haq. Insya Allah!

(Saya memilih minum teh tarik di restoran disebabkan suasananya sesuai untuk warga emas). Di situ tak dilengkapkan TV bagi menonton rancangn Astro atau muzik untuk halwa telinga. Kadangkala diperdengarkan kaset bacaan al-Quran, menyebabkan ramai ‘orang masjid’ bertumpu di situ, terutama bersarapan selepas solat subuh. Ironinya di Masjid al-Khirriyah Taman Seri Gombak, setiap malam Jumaat disediakan jamuan makan juga selepas solat isya, tak ramai pula jemaah turut menyertai program memakmur masjid. Kadangkala sekadar dua saf sahaja, tak sampai 100 orang jemaah mahu turut sama berjemaah. Sebaliknya terconggok di kedai kopi (restoran) mamak, santak 2.00 pagi masih sanggup bersengkang mata. Entahlah!

Ketika mahu balik (kerana tumpang kereta Ir Adnan) kira-kira jam 1.00 pagi, saya ternampak dari jauh seolah-olah aktivis PAKSI, Dinsman bersama rakan-rakannya Ito (penyanyi) dan Nasir Jani (aktivis filem) memesan minuman. Memang saya tak menegur Dinsman, kerana tak berapa cam sangat (sekadar kenal nama sahaja). Begitulah. Justeru apabila balik ke rumah saya sengaja hubungi Dinsman dengan menghantar SMS, bagi memastikan sama ada beliau juga teh tarik di restoran mamak berkenaan. Memang Dinsman mengakui beliau bersama Ito dan Nasir Jani terconggok di situ hingga melewati (bukan meliwat) jam 1.00 pagi. Heh heh heh!

-Pak Dharma.


INFO SASTERA & BUDAYA


SEMINAR PENULIS PASCA PRU12
PERPUSTAKAAN SHAH ALAM 19 JULAI

Seminar penulis pasca PRU12 akan digerakkan di Perpustakaan Shah Alam, Selangor 19 Julai (2008) ini sebagai manifestasi pengarang-pengarang Melayu dalam mendamba kesusasteraan nasional berikutan anjakan paradigam rakyat dalam pilihanraya lalu, kata pimpinan PAKSI, Dinsman selaku penganjur. Kerabat penulis yang prihatin dengan masalah kepupusan berkarya di kalangan sasterawan Melayu, dijemput menghadiri seminar berkenaan. Setiap kerabat bebas menyampaikan pandangan secara kritikal dengan tak terikat kepada sebarang perhambaan minda hingga menjadikan sasterawan Melayu jumud dan mandul idea. “Jumpa di perpustakaan Shah Alam dalam seminar penulis pasca PRU12,” kata Dinsman menerusi SMS.

Dalam satu kenyataan yang lain Dinsman turut menganggap Gabungan Penulis Naional (Gapena) pimpinan Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein tak relevan dalam perubahan pemikiran di kalangan pengarang-pengarang Melayu sekarang. Di samping menyifatkan Gapena tak berwawasan berbanding dengan Asas 50 yang mampu mencetus idea ‘Seni Untuk Masyarakat’, Dinsman juga menerusi ‘Harakah’ memberi jaminan ormas pimpinannya PAKSI bersedia menggantikan fungsi Gapena. Katanya, PAKSI lebih bersifat merakyatkan sastera dan budaya yang mampu diterima olah masyarakat akar umbi. “Ormas budaya perlu kembali kepada akar umbi di kalangan rakyat, bukan menjadi objek yang rela menerima umpanan pihak tertentu,” katanya.

INFO HAK ASASI MANSIA

TAK WAJAR DILAYAN GAJI HARI:
BAYARAN STANDARD UNTUK KARYAWAN


Saranan mengajak karyawan Melayu mengambil pendekatan profesional disambut baik oleh beberapa aktivis sastera sebagai langkah baik, tetapi sukar diterima oleh kalangan karyawan muda yang baru mahu menempa nama. Aktivis teater dan pendeklamator dari Pahang, L Mankadir Shamsi percaya sekiranya semua karyawan bersatu, isu bayaran yang tak setimpal diterima boleh memberi impak kepada perkembangan seni tanah air sama ada sastera, teater, perfileman mahupun pelukis. Sebaliknya beliau bimbang, kalangan karyawan muda sukar menerimanya disebabkan mereka sangat berharap karya-karya mereka dipasarkan. “Misalnya pelakon drama TV, kalau harapkan bayaran tinggi sahaja sudah tentu mereka hilang banyak peluang,” beritahu Mankadir yang juga turut terbabit sebagai pengarah drama TV.

Semalam (9 Julai 2008) pengarah terbaik dalam Pesta Filem Malaysia 1980-an menerusi filemnya ‘Dia Ibuku’ Yassinsalleh menyarankan karyawan Melayu mengambil pendekatan profesionalisme bagi memartabatkan karya mereka. Yassinsalleh dalam laman blog ini mengingatkan karyawan-karyawan Melayu, tak membiarkan karya-karya mereka tak dihargai hingga mudah dibayar dengan murah atau secara lamsam. Mankadir ketika menyokong saranan Yassinsalleh turut mencadangkan bayaran standard (seragam) perlu ditetapkan, bagi membolehkan hasil kerja karyawan-karyawan Melayu diiktiraf. “Di kalangan pelakon-pelakon drama TV, tak ada bayaran standard menyebabkan terdapat mereka yang dibayar gaji hari macam buruh kontrak,” kata Mankadir.

INFO SUARA PROLITAR

DI MANA JURI HAKIM WANITA
DISKRIMINASI TILAWAH AL-QURAN?

Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan ke 51 diadakan di Kubang Pasu, Kedah. Sejak dikenali pertandingan membawa al-Quran hingga kepada ‘musabaqah’ dan sekarang era ‘tilawah’, sudah 51 tahun ianya dijayakan. Sayangnya, tak pernah pula juri hakim yang dipilih di kalangan wanita. Daif sangatkah wanita kalau dipilih menjadi juri hakim bagi tilawah ini? Atau terdapat nas wajar ada diskriminasi? - (SMS; 10 Julai 2008; 15:56:33 – Imah, Senawang, Negeri Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANG BANYAK MAHU TAHU:
RENDAH SANGATKAH HUKUM SYARIAH?

Syahdan disuratkan orang akan bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengadulah ia kepada undang-undang syariah mengikut peruntukan qazaf, kerana dituduh meliwat itu. Maka berkatalah akan penasihat persatuan peguam Muslim, Dato’ Paduka Zaitoon Othman, tak sepatutnya mengadu kepada undang-undang syariah kerana ianya sedang disiasat oleh orang-orang Dato’ Temenggung (atau disebut orang banyak ialah polis). Sebermula bertanyalah orang banyak undang-undang syariah itu lebih rendahkan daripada undang-undang Dato’ Temenggung? Arakian akan undang-undang syariah itu Perkara 41, Kanun Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, menetapkan hendaklah ditunjukkan empat saksi apabila menuduh orang lain itu melakukan zina.

Alkisah pada suatu hari fakir diberitahu akan Hang Tuah itu lagi budak, turun ia bersama kawan-kawannya Hang Jebat seorang namanya, Hang Kasturi seorang namanya, Hang Lekir seorang namanya, Hang Lekiu seorang namanya. Maka mereka berlima sabahat membawa sampan lencong menuju ke laut bermain-main. Syahdan di tengah laut dihambatlah oleh beberapa perahu lanun. Maka Hang Tuah lima bersahabat pun tak mahu mengalah ia, sebagai anak jantan mereka tetap melawan. Mereka pun menuju ke sebuah pulau batu karang. Maka diparang mereka setiap lanun-lanun yang mahu menangkapnya. Syahdan kata Batin Singapura yang menyelamatkan budak-budak itu, memang budak-budak itu anak jantan tak mudah dia mahu menyerah. Lagikan budak-budak mereka tunjuk jantan, kalau umurnya sudah 23 tahun tentu berlebih-lebihlah jantannya!

Syahdan Sultan Mansor Shah memandang pada anakanda baginda Raja Husin. Maka titah baginda, ‘Ketahuilah olehmu, hai anakku, bahawa yang dunia ini tiada akan kekal adanya. Yang hidup itu sedia akan mati juga sudahnya. Iman yang sempurna dan pekerti yang baik, itulah yang kekal, disebut orang selama-lamanya. Adapun peninggalanku ini, hai anakku, hendaklah engkau berbuat sabar serta adil sangat-sangat, dan jangan tamakkan harta orang, kerana makan hak sama Islam itu terlalulah besar dosanya, tiada diampuni Allah subahanahu wataala, melainkan dengan izin tuannya. Dan janganlah lagi khali engkau keluar dihadap orang, kerana segala hamba Allah banyak berserah kepadamu. Jikalau kesukaran baginya, hendaklah engkau tolong; jikalau teraniaya ia, hendaklah engkau periksa baik-baik,’ begitulah seperti disuratkan ‘Kitab Melayu’ oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!