Saturday, September 8, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


FOKUS KEPADA ISU SEMASA
PENULIS MUDA TAK MAHU KONGSI IDEA


Assalamualaikum,


Dalam usia menjangkau 91 tahun, Cikgu Mohd Noor Jion masih sihat sekalipun tak segagah tenaga mudanya apabila dipaksa Inggeris menyertai ‘Pasukan Sukarela’ pada tahun 1940, berikutan Jepun semakin mara menyerang China dan Korea. Inggeris pula mengerahkan guru-guru Melayu menyertai ‘Pasukan Sukarela’ bagi diserapkan ke dalam Angkatan Bersenjata apabila Jepun meneruskan ekspedisi mereka ke selatan. Cikgu Mohd Noor enggan menyertai ‘Pasukan Sukarela’, malah bersedia dihukum penjara kerana ingkar dengan perintah jabatan. Tetapi tak ramai penulis, mahupun wartawan yang konon hebat-hebat belaka mahu berkongsi pengalaman dengan Cikgu Mohd Noor yang sekarang menetap di Simpang Tiga, Batu 6 ¾ Gombak.

Kebanyakan penulis muda terlalu memberi fokus kepada isu semasa, menyebabkan mereka tak sempat berkongsi idea dengan mereka yang dikategorikan ‘warga emas’ seperti Cikgu Mohd Noor. Beliau pernah dihantar mengajar di kawasan pendalaman di Jerantut, malah tinggal serumah dengan Cikgu Ahmad Kotot (novelis Pahang terawal dengan karyanya ‘Hikayat Percintaasn Kasih Kemudaan’); apalagi Cikgu Ahmad Kotot pula dikenal’ ‘lebih lama menikmati pencen daripada gaji perkhidmatan’ – maknanya beliau meninggal dunia ketika berusia hampir 100 tahun. Sebaliknya Cikgu Mohd Noor tak menikmati pencen sebagai guru, kerana beliau meletakkan jawatan setelah tak mahu berkompromi dengan Inggeris untuk menyertai ‘Pasukan Sukarela’.


“Inggeris tubuhkan ‘Pasukan Sukarela’ untuk berperang dengan Jepun, di samping latihan ketenteraan dalam tempoh sebulan. Maknanya, Inggeris mahu orang Melayu ‘mati katak’ kerana yang berperang melawan tentera Jepun, bukannya tentera Melayu tetapi sekadar ‘Pasukan Sukarela’,” beritahu Cikgu Mohd Noor. Memang beliau gembira asal sahaja saya berkunjung ke rumahnya, malah beliau sudah membaca autobiografi yang saya hasilkan seperti ‘Tan Sri Abdul Samad Idris’, ‘Tun Abdul Razak’, ‘Dato’ Onn Jaafar’ dan ‘Dato’ Ahmad Badawi’. Cikgu Mohd Noor yang berasal dari Chenor, Pahang pernah berkhidmat dengan akhbar ‘Majlis’ sehinga ditutup dekad 1950-an, memang banyak menyimpan khazanah sejarah lisan yang belum digali oleh anak-anak muda.


-Muluk.

INFO HAK ASASI MANUSIA:

BAJET 2008 DIBENTANG DI PARLIMEN
PAK LAH PRIHATIN DENGAN MODAL INSAN


Bajet 2008 yang dibentangkan di Parlimen semalam (7 September 2007), memperlihat Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi prihatin dengan kepentingan modal insan. PRIMA mengalu-alukan langkah kerajaan memansuhkan ‘yuran persekolahan’, di samping ‘buku teks’ percuma kepada pelajar-pelajar. Sekalipun buku teks bukanlah membebankan ibu bapa sebelum ini, kerana isu yang dibangkitkan ialah ‘buku kerja’, tetapi langkah Pak Lah memberi percuma buku teks memanglah bagus. Apalagi ‘buku teks’ yang disalurkan kepada pelajar-pelajar tak mampu sebelum ini, dikatakan berlambak-lambak dalam simpanan pihak sekolah.


Ibu bapa berasa rimas, lemas dan cemas dengan isu ‘buku kerja’ sahaja, apalagi setiap tahun sentiasa sahaja bertukar, di samping pembekal ‘buku kerja’ akan kerap melobi di sekolah-sekolah. ‘Yuran sekolah’ juga tak membebankan ibu bapa, tetapi aktiviti sekolah biasanya memerlukan sumber kewangan yang bertali arus. Misalnya, dilaporkan hari ini (8 September 2007), sebuah sekolah menengah di pinggir ibu kota mengadakan jamuan di Hotel Putra, PWTC bermula jam 12 tengahar, dengan mengenakan bayaran kepada pelajar-pelajar RM40.00 seorang. Sebelum itu ‘jamuan kelas’ juga diadakan di sebuah restoran (pelajar yang sama) yang dikenakan RM10.00 seorang.

Memang ianya diadakan setahun sekali sahaja (sama juga dengan yuran persekolahan ialah setahun sekali), tetapi pelajar yang dibawa ke Hotel Putra itu adalah ‘ahli-ahli Pusat Sumber’ di sekolah berkenaan. Mereka berkhidmat di perpustakaan sekolah secara sukarela, dengan hadir di sebelah pagi bagi pelajar sesi petang, begitu juga sebaliknya dengan makan tengahari adalah urusan sendiri. Setelah berkhidmat secara sukarela selama setahun, apabila sekolah mahu mengadakan jamuan kepada pelajar-pelajar terbabit di hotel besar, mereka pula dikenakan bayaran RM40.00 seorang. Maknanya yang membebankan ibu bapa selama ini bukan ‘yuran sekolah’ mahupun ‘buku teks’, tetapi ‘benda-benda sampingan’ yang dibuat demi glori terancang pihak sekolah sendiri. Wallahua’alam!


KETAHANAN SEMANGAT TUN DR M
DOKTOR MERAWAT KAGUM FIZIKALNYA

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan semakin stabil selepas menjalani pembedahan pintasan koronari di IJN pada 4 September 2007 lalu, malah doktor yang merawat juga dikatakan dengan ketahanan fizikal beliau yang menjangkau usia 82 tahun. Bacaan Yasin dan doa selamat yang dihadiri kira-kira 400 orang jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan kelmarin (7 September 2007), memang mengharapkan kesihatan Tun Dr. M segera pulih. Majlis berkenaan dianjurkan oleh anak-anak beliau Datin Paduka Marina, Dato’ Mukhriz dan Dato’ Mukhzani, disambut baik oleh jemaah termasuk juga rakan-rakan yang lain.


Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yang sekarang masih berada di London menyampaikan salam kepada keluarga Tun Dr M, di samping berdoa semoga kesihatan Tun Dr. M akn segara pulih. Tun Dr. M dilaporkan sudah menjalani rawatan fisiotrafi pernafasan, sekaliun menurut anaknya Dato’ Mukhzani beliau terkeliru apabila sedar selepas pembedahan dengan bertanya sama ada sudah dilakukan rawatan ataupun belum. “Kita tahu Tun (Dr. M) mempunyai ketahanan semangat yang kuat, sebab itu PRIMA percaya kesihatan beliau akan segera pulih,” beritahu Kamal menerusi telefon dari London.



INFO SASTERA & BUDAYA:

BUKU ‘LILIN MEMBAKAR DIRI’
MENARIK MINAT ORANG TAMBUSAI


Peminat sejarah dari Tambusai, di kabupaten Kampar, propinsi Riau dikatakan ingin bertemu dengan pengarang buku ‘Analitikal Pimpinan Pemuda: Ahmad Badawi Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’, Dharmala N.S. menerusi penerbitnya Thinker’s Library. Dalam buku berkenaan hanya disebut sepintas lalu mengenai peranan Tuanku Imam Tambusai (yang kononnya tak disebut ‘imam’) berkaitan dengan pembabitan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad (iaitu menantu Tuan Guru Haji Salleh al-Masri) dalam siri perjuangan ulama di Bukit Mertajam dan Kepala Batas.


Tuan Guru Haji Salleh al-Masri pengasas madrasah yang dikendalikan oleh Haji Ahmad Fuad dijadikan markaz PAS pertama, ialah cicit kepada Tuanku Imam Tambusai. Tak siapapun memberi gelaran ‘imam’ kepada Tuanku Tambusai, kecuali Dharmala N.S. yang mengangkat ketokohan ahli fiqah berkenaan kerana ianya terbabit bersama Tuanku Imam Bonjol dan Tuanku Imam Rao ketika menentang Belanda di Sumatera Tengah pada dekad 1830-an. Sebelum bertolak ke Pasir Pengaraian di Tambusai pada 2003, Dharmala N.S. juga mengangkat tokoh berkenaan menerusi penulisannya, sekalipun di Negeri Sembilan sendiri tak siapa mengenali ‘Tuanku Tambusai’.



Tuanku Tambusai diproklamir oleh Presiden Suharto sebagai ‘Pahlawan Indonesia’ pada dekad 1990-an (kerana kepentingan politiknya), sekalipun meninggal dunia di Seremban, Negeri Sembilan pada 1881. Justeru Dharmala bersama Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris, mengangkat ketokohan Tuanku Tambusai (dengan menamakan Tuanku Imam Tambusai) selaras dengan perjuangan Tuanku Imam Bonjol yang ditawan Belanda, kemudiannya dibuang dan meninggal dunia di Sulawesi. Bukan sahaja peminat sejarah di Riau ingin mengenali Dharmala N.S. (yang sentisa di belakang tabir) lebih dekat, malah pimpinan POLO di Selatan Thailand dan MORO di Filipina juga tercari-cari rakan terdekat Tan Sri Abdul Samad Idris yang pernah memimpin NASRUL HAQ sekitar penghujung dekad 1970-an dan awal 1980-an dulu.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


APABILA HAKIM DISIASAT BPR
MACAM INSIDEN "SEJARAH MELAYU"


Astaga! Sebak juga rasanya apabila membaca laporan akhbar hari ini (8 September 2007) mengenai ‘hakim syarie’ diremah empat hari bagi membolehkan BPR membuat siasatan terperinci. Hakim berkenaan berusia, 53 tahun ditahan di pejabatnya di Ipoh jam 3.30 petang (7 September 2007), membabitkan kes GRO dan poligami. Hari Jumaat pula le gamaknya, hakim berkenaan ditahan! Tak tahulah sejauh mana pembabitan hakim itu dalam kes yang menyebabkan beliau ditahan oleh BPR, kerana ianya masih lagi dalam siasatan terperinci. Kononnya! Maka teringatlah kita akan insiden dalam epik ‘Sejarah Melayu’ mengenai anak pembesar Melaka diusir oleh guru agama kerana sukar menyebut perkataan-perkataan Arab.


Bagi anak pembesar Melaka berkenaan, perkataan-perkataan Arab bukanlah termasuk dalam kategori ‘ilmu agama’. Lantas dia meminta tuan guru (berbangsa Arab) menyebut perkataan-perkataan Melayu seperti ‘kunyit’ (disebutnya kusit), ‘nyiru’ (disebutnya niru) dan beberapa lagi seperti termaklum dalam epik ‘Sejarah Melayu’ itu. Justeru marahlah guru agama berbangsa Arab terbabit, apabila menganggap anak pembesar Melayu yang belajar daripadanya itu mahu mempersendakan dirinya. Makanya, tentulah Bahasa Arab sekadar ‘ilmu bahasa’ bukannya ‘ilmu agama’, maka demikianlah ‘hakim syarie’ yang disiasat BPR sekadar ‘Melayu’ bukannya mewakili ‘hakim-hakim Islam’.

Terpulanglah kepada keputusan BPR dalam siasatannya, kerana ‘hakim’ yang sentiasa menjalankan syiar Islam tak dipengaruhi anasir-anasir korupsi. Apalagi dalam adat istiadat Melayu juga disebut fasal empat kategorinya iaitu ‘adat yang teradat’, ‘adat yang diadatkan’, ‘adat sebenar-benar adat’ dan ‘adat istiadat’. Setiap kategori mempunyai perbezaan yang ketara samalah seperti disebutkan ‘hakim yang terhakim’, ‘hakim yang dihakimkan’, ‘hakim sebenar-benar hakim’ dan ‘hakim berjawatan’ sahaja menurut fakta yang sedang dikategorikan pula oleh:






HIDUP BAHASA MELAYU!