Thursday, November 13, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


WAJAR ‘BAPA PENDIDIKAN NASIONAL’
HARGAI SUMBANGAN RAHMAN YA’KUB

Assalamualaikum,

Syabas Tun Abdul Rahman Ya’kub! Mungkin sahaja selama ini suara bekas Menteri Pelajaran Tun Abdul Rahman terbatas bagi mendaulatkan Bahasa Melayu ketika pihak Kementerian Pelajaran mahu meneruskan pembelajaran mata pelajaran Matematik dan Sains menggunakan Bahasa Inggeris. Tun Abdul Rahman tak mempunyai kepentingan politik apabila menyuarakan dasar yang pernah dilaksanakan beliau pada period 1970-an atau selepas tragedi 13 Mei 1969. Tak hairanlah pelajar-pelajar di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang menggerakkan bantahan kepada kerajaan ketika itu, tak mahu melepaskan Tun Abdul Rahman memegang jawatan Menteri Pelajaran. Belum pernah berlaku dalam sejarah di Malaysia, apabila pelajar-pelajar berdemonstrasi mendesak kerajaan mengekalkan jawatan Menteri Pelajaran kepada individu yang wajar dianggap ‘Bapa Pendidikan Nasional’.

Hari ini (13 November 2008) media melaporkan Tun Abdul Rahman tampil buat pertama kali mempertahankan dasar pelajaran yang pernah meletakkan beliau sebagai Menteri Pelajaran kesayangan pelajar-pelajar dan negara. Ketika memberitahu media selepas berucap pada majlis wacana ilmu ‘Pembangunan Pendidikan di Sarawak’ anjuran Institut Aminuddin Baki di Pusat Maklumat Islam (PMI) di Kuching semalam ( 12 November 2008), Tun Rahman secara sinikal memberitahu Bahasa Melayu akan menjadi ‘bahasa melukut di tepi gantang’ kalau pengajaran mata pelajaran Matematik dan Sains diteruskan dalam Bahasa Inggeris. Dalam masa Jepun, Korea, Jerman, Russia dan Perancis mampu melonjakkan kepakaran sains dan teknologi dengan tak didominan Bahasa Inggeris, tak semena-mena Malaysia menghidupkan kebangsatan dengan meletakkan Bahasa Inggeris menjadi ‘penghulu’ bahasa-bahasa di dunia.

‘SEMPUA’ LEBIH PANTAS SELESAI:
KAEDAH MATEMATIK DPD ‘KALKULATOR’

Pencapaian mata pelajaran Matematik di kalangan pelajar-pelajar Cina di Malaysia dengan medium Bahasa Mandarin lebih menonjol dibandingkan pelajar-pelajar Melayu terutama di sekolah-sekolah jenis kebangsaan. Malah saya sendiri secara peribadi baru-baru ini (26 Oktober 2008) menguji kaedah kepakaran ‘sempua’ di sebuah kedai di Simpang Empat, Hutan Melintang, Perak dengan ‘kalkulator’ bagi kepantasan matematik. Sukar mahu mempercayai si ayah yang menggunakan kaedah ‘sempua’ lebih pantas menyelesaikan kaedah matematik berbanding ‘kalkulator’ si anak. Aduhai! Adik angkat saya juga Ir Adnan Haji Khalid yang lulus sebagai jurutera terlatih di Jepun adalah menggunakan bahasa Jepun. Maknanya, bagi mengikuti pengajian kejuruteraan di Jepun pelajar-pelajar adalah diwajibkan mempelajari bahasa Jepun sebagai medium terpenting dalam pembelajarannya.

Justeru tak hairanlah bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menyokong pandangan Tun Abdul Rahman yang juga bekas Ketua Menteri dan Yang Dipertua Negeri Sarawak yang mahukan pembelajaran mata pelajaran Matematik dan Sains mestilah dalam Bahasa Melayu. Malah menurut Dato’ Dr Mohd Mansor beliau melanjutkan pengajian di Universiti Indiana dan Louisiana State University di Amerika Syarikat pada dekad 1980-an adalah dari aliran Sekolah Menengah Melayu ketika di tanah air. Beliau juga turut berbangga dengan penampilan semula Tun Abdul Rahman dalam perjuangan Bahasa Melayu yang diasaskan beliau ketika memegang jawatan Menteri Pelajaran selepas tragedi 13 Mei dulu. Alahai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


BUKAN PENULIS LAMAN BLOG:
TAPI, ISA UNTUK PEMIMPIN RASUAH

“Humban pemimpin yang rasuah ke dalam penjara. Mungkin Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh digunakan terhadap mereka, bukannya terhadap seseorang yang menulis perkara karut dalam internet. Saya berpendapat calon akan sukar untuk merasuah semua bahagian tetapi mereka akan mencari jalan lain untuk mendapatakan pencalonan. Akhirnya rasuah tetap berlaku tetapi dalam keadaan yang berbeza” – (Tun Dr Mahathir Mohamad kepada media selepas menyampaikan ucaptama siri syarahan Perdana ‘Bangsa Malaysia’ di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya; 12 November 2008)

UNJURAN PERTUMBUHAN DIKEMUKA NAJIB:
UNTUK MEREKA ‘BUTA PENDIDIKAN EKONOMI’

Unjuran pertumbuhan ekonomi yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak tahun hadapan (2009) iaitu 3.5%, disifatkan sebagai lagu rakyat yang dipopularkan pada period penjajah Inggeris ‘buai laju-laju’. Retorik unjuran pertumbuhan ekonomi disebut oleh Dato’ Seri Mohd Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri sekadar untuk mereka yang ‘buta pendidikan ekonomi’ menurut penganalisis politik Dr Seri Intan Mokhtar. Dengan kadar inflasi sekarang melonjak kepada 8% kata Dr Seri Intan menambah, secara perkiraan mudah pertumbuhan ekonomi pada 2009 adalah (-) 4.5%, atau jauh tersasar daripada unjuran pertumbuhan ekonomi yang disebut oleh Dato’ Seri Mohd Najib. “Kalau inflasi turun kepada 4% pun, kadar pertumbuhan ekonomi masih pada (-) 0.5%,” beritahu Dr Seri Intan menambah.

Legasi ‘buai laju-laju’ seharusnya tak dijadikan alat melinakan rakyat hingga digula-gulakan dengan impian kosong, menurut Dr Sri Intan selanjutnya. Di masa lalu katanya, ‘buai laju-laju’ dilagukan dengan ungkapan ‘sampai ke pucuk sena’; di samping disebut ‘beli baju baru, dari kedai Cina’. Justeru Dr Seri Intan memberitahu, hanya politik angka yang dipopularkan oleh Dato’ Seri Mohd Najib sahaja berpaksi kepada retorik ‘buai laju-laju’, kerana rakyat perlu diubah persepsi ‘buai laju-laju, sampai ke pucuk kayu’, dengan disudahi kepada ‘beli baju baru, pergi ke kedai Melayu’. Fakta yang perlu diberikan ialah inflasi 8% sekarang, perlu membawa unjuran pertumbuhan ekonomi melebihi 8% bagi mengimbangi kadar defisit sebenar, jelas beliau menegaskan.

Seterusnya Dr Seri Intan menasihatkan Dato’ Seri Mohd Najib supaya realistik dengan fakta angka sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia pada kadar 1% yang diumumkan oleh Bank Dunia semalam (12 November 2008). Dr Seri Intan mengulas pengmuman Dato’ Seri Mohd Najib mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka melonjak 3.5% pada tahun hadapan (2009). Bagaimanapun menurut Dr Seri Intan, pencapaian yang disebut oleh Dato’ Seri Mohd Najib sekadar mengurangkan kadar inflasi sahaja yang melonjak ke paras 8% sekarang, sebaliknya bukanlah menepati sasaran mengatasi defisit yang dihadapi oleh negara. “Angka yang lebih realistik sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi pada kadar 1% yang diumumkan oleh Bank Dunia 12 November 2008, perlu dirujuk oleh Najib,” kata Dr Seri Intan.

SENATOR MEWAKILI PENULIS BLOG
WADAH PERJUANGAN SECARA KESINAMBUNGAN

Perjuangan kumpulan pengendali laman web dan laman log mendesak kerajaan supaya mereka diwakili di Dewan Negara sebagai wakil NGO akan diteruskan menjadi wadah secara berkesinambungan, kata penulis buku politik tersohor Haji Mohd Sayuti Omar. Menyentuh kegagalan pengendali laman blog http://kudakepang.blospot.com/ Dato’ Ruhanie Ahmad (Ron) melepasi kouta untuk bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT) pada 9 November 2008 lalu, Haji Mohd Sayuti berharap Dato’ Ron akan dilantik untuk menyertai MT selepas Perhimpunan Agung, Mac 2009 nanti. “Kegagalan Ron melepasi kouta untuk bertanding MT, tak bermakna perjuangan pengendali laman web dan blog sudah berakhir, ianya akan terus menjadi wadah secara berkesinambungan,” menurut Haji Mohd Sayuti selanjutnya.

Sementara itu Sallehuddin Hashim pula yakin Dato’ Ron boleh melepasi kouta 10 pencalonan sekiranya empat lagi Bahagian yang ditangguhkan mesyuaratnya membuat keputusan berani mencalonkan beliau. Dato’ Ron yang sudah melepasi lima pencalonan menurut Sallehuddin, boleh memenuhi kouta 10 apabila empat lagi bahagian yang ditangguhkan sebelum ini mengadakan mesyuarat. Kolumnis akhbar ‘Buletin Rakyat’, Zakarian Bidin juga berharap ‘suara alternatif’ yang dibawa oleh Dato’ Ron boleh mengisi slot di MT berikutan Presiden UMNO boleh melantik enam lagi ahli tambahan. Aktivis budaya Yassinsalleh juga mahukan keputusan pengendali laman web dan blog pada 21 Oktober 2008, direalissasikan oleh kerajaan dengan melantik pimpinan PRIMA sasterawan Dharmala N.S. dan Haji Yahaya Ismail ke Dewan Negara berdasarkan wakil artis dan OKU sudah menjadi senator. “Kerajaan perlu berbangga dengan pimpinan yang kritis, berilmu dan berwibawa menjadi ‘suara alternatif’ di dalam Dewan Negara,” katanya.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(33)

11
LANGKAH TERUS DIATUR

DRAMA KEJAR MENGEJAR TENGAH OMBAK:
LAUNGAN MINTA JAUH DARI OBJEK BERBAHAYA

SEMAKIN rapat ke tanah daratan jelas kelihatan ramai penduduk-penduduk kampung menunggu di Bagan Sungai Belukang. Di tengah orang ramai berkumpul menunggu di bagan, memang emak dan abah turut sama di situ. Opah dan atuk juga berdiri cemas bersama Abang Khairil, Abang Caah, Adang, Kak Wa dan adik Mi. Emak pula merungut-rungut sebaik sahaja Abang Din rapat ke pangkalan.

Bot laju polis marin yang mengiringi kami, tak terus mendekati pangkalan. Mereka sekadar berlabuh tak jauh dari muara di bagan berkenaan. Dari rumah-rumah papan di bagan memang kami nampak drama kejar mengejar bot marin polis dengan bot laju Si Tongkol masih berterusan. Bagaimanapun tak berlaku tembak menambak apabila kami berlima naik ke bagan.

“Bukankah aku dah ingatkan, jangan bawa bot tu ke laut!” tak bertangguh Alang Seman memarahi Abang Din sebaik sahaja terserempak.

“Cukup Seman! Biar budak-budak tu balik ke rumah dulu,” ujar atuk ingatkan Alang Seman supaya bersabar. “Kamu pun nampak polis marin sedang mengejar bot lanun di tengah laut,” katanya memuncungkan bibir ke arah laut bergelombang.

“Budak-budak ni dah selamat pun, syukurlah Seman,” opah pula mencelah lantas memeluk saya erat-erat. Air mata opah juga terasa membasahi pipi sewaktu dia mencium saya berulang kali.

“Dia memang begitu Ngah, nak ikutkan marah hati aje!” segera isteri Alang Seman mendengus. Marah juga dia dengan sikap Alang Seman terus sahaja memberang ketika anak mereka naik ke bagan.

“Kita di sini tak senang duduk, apalagi ombak tsunami di sebelah utara,” tutur Alang Seman pertahankan diri.

“Bot kehabisan petrol, mujurlah dicolek lanun ke tempat persembunyian mereka, kalau tidak tentu kami turut menjadi mangsa tsunami,” beritahu Abang Din memujuk kedua-dua ibu bapanya.

“Mereka juga yang hantar kami balik ke bagan,” sahut saya berpaling ke laut yang terbentang luas. Drama kejar mengejar masih mendebarkan. Penduduk-penduduk kampung melihat dengan jelas beberapa buah bot polis marin menghambat bot laju Si Tongkol.

Ternyata Si Tongkol tak mahu menyerah. Dia tetap membelah ombak sekalipun laluan ke perairan antarabangsa dikawal ketat. Saya tahu dia memang berani. Langkahnya tak sama macam tentera-tentera boneka yang dipantau Bapak Profesor menerusi alat kawalan jauh. Si Tongkol mahu buktikan dirinya seorang wira bukannya tentera boneka sekadar dipantau dengan punat butang di tangan Bapak Profesor.

Perlahan saya menghela nafas memerhati bot kejar mengejar di tengah ombak. Ketika itu Sahak Salai menuding ke arah objek yang muncul di permukaan laut bagaikan tong gas terapung-apung. Memang kami semua cam objek seperti tong gas itu klon wira pulau yang sudah diubahsuai. Cepat-cepat saya melaung meminta mereka di tengah ombak jauhkan diri daripada objek berkenaan.

Sekalipun sistem berkomputer yang dicipta Bapak Profesor sudah musnah di pulau terumbu karang, tetapi tentera boneka berkenaan masih mempunyai tenaga nuklear yang aktif. Logam padu tungsten bercampur bahan letupan boleh meledak asal sahaja tergesel kuat. Sebab itu saya melaung kuat supaya mereka tak merempuh objek tersebut.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)


PUISI LAMA


Sembah Adat Bersembah

Bukan lebah sebarang lebah
Lebah bersarang di buku buluh
Bukan sembah sebarang sembah
Sembah bersusun jari nan sepuluh.

Keduduk letak di dalam dulang
Urat berjalur kita kelarkan
Duduk kita duduk berbilang
Adat yang mana kita keluarkan.

Teluk tanjung berbelah-belah
Dibelah atas kayu belantan
Telunjuk memang kurnia Allah
Buat pencolek kapur jintan

Keduduk buat pengilat tembikar
Uratnya semua dikerat belaka
Duduk kita beralas tikar
Hendak membilang adat pesaka.

Pinang sahaya pinang jujutan
Patah tampuk di tepi telaga
Ilmu sahaya ilmu tuntutan
Awan bertepuk, gunung berlaga.

Kata raja kata bertitah
Kata ulama kata hakikat
Janji UMNO janji bertatah
Janji heh heh heh janji terikat

Kata adat fahamnya beriman
Pelengkap rukun dengan syarat
Kalau elok buat pedoman
Sentosa dunia serta akhirat.

-Alba
Jelebu, N.S.
13 November 2008.


INFO SUARA PROLITAR

PEMBINAAN PPRT LAMBAT SIAP
KAMPIT SIMEN DIKEBAS PENYANGAK.

Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) memang dialu-alukan. Sebuah rumah untuk dianggarkan RM25-RM30, bolehlah kontraktor bernafas. Tetapi ada pula PPRT di Kampung Seperi, Jelebu, Negeri Sembilan dah lebih sebulan tak siap. Kontraktor entah ke mana. Kampit simen pun dikebas penyangak. Apa akan jadi kalau kayu-kayu, batu blok dan simen dicuri hingga tak tinggal apa-apa. Lainlah, ada penyokong UMNO yang dapat PPRT, rumah terbabit disewakan. Pejabat Daerah, penghulu dan pemimpin UMNO di Jelebu, silalah turun padang. (SMS; 13 November 2008; 14:27:51 – Awang Litak, Jelebu, Negeri Sembilan).

BAHAN BESI DI KEDAI HARDWARE
MAKIN KURANG, KURANG DAN KURANG!

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato’ Shahrir Abdul Samad bercakap di TV (Selamat Pagi Malaysia) pagi ini (13 November 2008) mengenai harga barang. Memang wajar barang keperluan harian diturunkan apabila harga minyak sudah turun, turun dan akan turun lagi. Kononnya! Bagaimanapun harga bahan-bahan binaan juga perlu diberi perhatian. Bukan sahaja besi sudah berkurangan, paku dan bahan-bahan dari besi di kedai hardware juga semakin kurang, kurang dan kurang lagi. Mungkinkah berlaku aktiviti ‘sorok’ kepada bahan binaan? (SMS; 13 November 2008; 16: 43:09 – Man Cincai; Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

BEKAS ORANGKAYA MASYGHOL:
SUKAR HALANG HULUR MENGHULUR

Sebermula tersebutlah ceritera bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun (Tabib) Mahathir Mohamad berasa masyghol kerana harakah Melayu (UMNO) itu berlakulah hulur menghulur seperti keperihalan anak-anak buah Tun Hassan Temenggung pada masa kerajaan Melayu Melaka dahulukala, adanya. Arakian semasa menyampaikan ucaptamanya di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam (12 November 2008), bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir percaya berlakunya hulur menghulur itu. Maka kata Tun (Tabib) Mahathir, apabila seseorang yang sudah diketahui kelakuannya tak baik yang menerima sokongan selepas ketinggalan, tentulah berlaku perkara yang buruk itu. (Apabila anda tahu seseorang mempunyai rekod buruk mendapat sokongan penuh mungkin sesuatu perkara tidak betul sedang berlaku).

Hatta maka oleh Hang Nadim si pelulut itu diberinya emas dan kain baju terlalu banyak. Telah ia memandang harta banyak itu maka tertawanlah hatinya oleh harta dunia. Maka si pelulut itu pun mengakulah menanggung rahsia Hang Nadim. Syahdan kata Hang Nadim, ‘Jikalau dapat, hendaklah dengan barang daya upaya manda, Tun Teja itu bawa kepada aku supaya ku persembahkan kepada raja Melaka.’ Maka oleh Hang Nadim diberinya si pelulut itu ubat guna-guna. Arakian si pelulut itu masuk ke dalam pagar bendahara. Maka ia berseru-seru katanya, ‘Siapa hendak berlulut, marilah beta lulut’. Makat kata Tun Teja pada dayang-dayang, ‘Panggil si pelulut itu, aku hendak berlulut.’ Maka si pelulut itu pun masuklah ke rumah bendahara berlulut Tun Teja, seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:












HIDUP BAHASA MELAYU!