Wednesday, May 20, 2009

PUISI

Happy Birthday To Me!

Di bumi Thai
cakra dharma
jauh dari anak-anakku
tersayang
dan isteriku
tercinta
aku membuka
pintu waktu dan
melangkah ke
hari
ulang tahun
kelahiranku
yang bagaikan
separuh tertawa
mengatakan
“Tua dah engkau ya!”

Duhai,
seri intan
permata hati
wahai
seri nilam
permata budi
bersamamu
aku mau
membuka
banyak lagi pintu
waktu
sebegini
demi kelangsaian
perjuangan yang
tertangguh.

Mummy, Mama,
Abang, Adik dan
Along,
di langit kota
Bangkok ini
daddy
menghitung
senandung
bintang-bintang
mengulit simfoni
duka
helang segara
kakinya luka
patahpun
sayapnya
rekahpun
paruhnya
namun terbang
tetap jua ia
terbang
tanpa walang
sayang disayang
serunai malam.

Duhai kota
Bangkok
Happy Birthday
To Me!

-yassinsalleh
2104 hrs mei 19, 2009
kamar 1103
Grand Hyatt
Erawan,
Bangkok,

Khabarkan Jua Kepadanya!

Di awal Januari 1512
panglima-kapitan raja Portugis
Alfonso de Albuquerque
telah mengarahkan dutanya
Antonio Miranda de Azavedo
"Engkau khabarkan
kepada raja Siam
bahawa aku pasti sekali
dia sedang amat gumbira
di atas kehancuran si raja Melaka
yang telah sekian lama
diperanginya.

"Khabarkan jua padanya
bahawa baginda raja Portugis
amatlah terlalu gumbiranya
kapal dan orang Siam
akan datang berdagang ke Melaka.
dan khabarkanlah juga padanya
bahawa itulah sebab utama
musababnya aku menakluk
Melaka.

"Dan khabarkan jua lagi
sekiranyalah teringin dia
akan bantuan soldadu
dan armada kita segalanya
makanya aku
selaku panglima-kapitan
baginda raja Portugis
akan menyempurnakan
laksana segala hajatnya
yan sedemikian itu
hasratnya."

Demikianlah
yang tercatat di dalam
BRAS DE BUQUERQUE
COMENTARIO DO GRANDE
AFONSO DE ALBUQUERQUE
COLOMBIA, 1923
Bahagian III Bab XXXVI.

Sedemikianlah di dalam buku
Thailand - a traveller companion
aku terbaca betapa serakahnya
keangkuhan penakluk sejarah
yang megah kerana mereka
punyai bijaksana.

Aduhai Melaka
demikianlah kau dulu
bebal dan kalah
dan terjajah
dan 500 tahun
berlalu telah
apalah pula lagi
aib yang kini kau tatang
selaku kandang pulau selatan
untuk berzaman lagi?

-yassinsalleh
jam 0423
Mei 20, 2009
Grand Hyatt
Erawan Bangkok
Kota Bangkok, Thailand.
kebal dan gagah.

INFO DARI SABAH...


Protes di Semporna, Sabah:
UMNO ditalkinkan penduduk
Naib Presiden UMNO Dato' Shafie Apdal yang dieskport ke Kedah memegang Pengerusi Perhubungan UMNO di negeri itu, pernah dimalukan oleh penduduk sebuah kampung di Semporna, Sabah secara simbolik mentalkinkan parti itu. Menurut pemerhati politik, kalau di kawasannya sendiri di Semporna pimpinan beliau tak disenangi, bagaimana Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak melantiknya mengetuai Perhubungan negeri Kedah. Insiden UMNO di sebuah kampung dalam Parlimen Semporna menggerakkan protes terhadap pimpinan UMNO di kawasan berkenaan.

Pimpinan UMNO Kedah sudah melahirkan rasa terkilan dengan pemilihan Shafie sebagai pengerusi perhubunagn negeri, seperti dilaporkan akhbar BULETIN RAKYAT. Apalagi prestasi kementerian yang dipimpinnya sebelum ini, memerlukan Dato' Shahrir Samad memulihkan semula imej kerajaan dengan kenaikan harga minyak. Malah di bawah pimpinannya kementerian perpaduan, kebudayaan, warisan dan kesenian turut malap dengan perpustakaan negara tak meneruskan skim yang dilaksanakan Dato' Seri Dr Rais Yatim kepda pengarang-pengarang sebelumnya. Justeru insiden yang pernah berlaku di sebuah kampung di Semporna, Sabah inikah sesuai untuk beliau mengetuai Kedah? (gambar dengan ihsan laman blog http://www.chegubard.com/) .

RENTETAN KES RM63J DI PAHANG...

Peguam dedah isu saman:
UMNO diberi tanah 10 ribu ekar

Kes saman RM63 juta terhadap kerajaan negeri Pahang oleh syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn BHd (SGMSB) adalah membabitkan UMNO Bahagian Pekan yang dketuai oleh Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, menurut Penasihat Undang-Undang PKR Pahang, Ahmad Nizam Hamid ketika berucap dalam perjumpaan parti itu di Bera menerusi laporan laman blog http://www.lanailestari.blogspot.com/ . Katanya, kes itu sudah disampakan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM), tetapi tak ada langkah diambil.

"Saman SGMSB berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran yang baik berlandaskan undang-undang sedia ada. Ini kerana kes berkenaan berpunca daripada salahguna kuasa menteri besar Pahang terdahulu yang telah meluluskan tanah seluas 10,000 ekar kepada Umno Bahagian Pekan," beritahu Ahmad Nizam. Beliau seterusnya menambah, pada tahun 1998, Menteri Besar Pahang serta sebahagian besar barisan anggota exconya adalah ahli Umno, malah mereka hadir dan aktif dalam mesyuarat Exco yang meluluskan tanah kepada Umno.
"Ini merupakan suatu kesalahan tetapi gagal diambil tindakan oleh pihak berkuasa walaupun banyak laporan telah dibuat kepada Suruhan Jaya Pencegah Rasuah (SPRM) dan Polis," beritahu Ahmad Nizam seterusnya. Setelah memperolehi tanah berkenaan, Umno tidak menjelaskan bayaran premium berjumlah RM4.8 juta kepada kerajaan negeri menyebabkan kerajaan kehilangan hasil bagi tanah berkenaan sebaliknya tanah tersebut dijual kepada SGMSB dengan harga hanya RM50,000 sahaja, katanya.

APA YANG TERSIRAT...


Siti berpakaian litup:
Kunjungi Nik Aziz di KB

Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggap oleh seteru politiknya menolak sebarang program berbentuk hiburan di Kelantan, tak meminggirkan artis-artis yang terbabit dengan sektor hiburan. Dato' Nik Aziz dilaporkan menerima kujungan artis tersoho Dato' Siti Nurhaliza Taruddin bersama suaminya Dato' Seri Khalid Jiwa hari ini (20 Mei 2009). Kesediaan Dato' Nik Aziz menerima kunjungan artis-artis, menolak persepsi umum yang kerajaan PAS pimpinannya meminggirkan artis, di samping tuut membei galakan kepada pembangunan hiburan dan kebudayaan.

Laman blog http://www.malaysiaharian.com/ melaporkan kunjungan Siti Nurhaliza bersama suaminya disambut oleh Dato' Nik Aziz sendiri. Menurut laporan, pertemuan berkenaan adalah pertama kali dilakukan, di samping ianya sudah lama dirancang oleh artis terbabit bersama suaminya. Siti Nurhaliza dilihat berpakaian bertudung litup, tetapi tak dketahui sama ada ianya sebagai pakaian yang ditetapkan. Menurut sumber, Dato' Nik Aziz tak pernah menetapkan pakaian bagi sesiapa yan mengunjungi beliau, termasuk juga artis-artis tempatan.

DARI PEJABAT ANWAR...


Di Mahkamah Rayuan esok:
Anwar cabar kesahihah pemecatan


Dato' Seri Anwar Ibrahim mengemukakan rayuan bagi didengar di Mahkamah Persekutuan Putrajaya esok, 21 Mei 2009 bagi mencabar keputusan sebelum ini berkaitan kesahihan pemecatan beliau dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998. Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Dato' Seri Anwar atas fakta yang diberikan beliau mempunyai kuasa mutlak kerana Perdana Menteri yang membuat lantikan, justeru beliau juga berhak memecat. Bagaimanapun Dato' Seri Anwar memfailkan saman terhadap Tun Dr Mahathir berdasarkan pemecatan itu berlawanan dengan prosedur.

Mahkamah Persekutuan akan bersidang untuk mendengar rayuan Dato’ Seri Anwar berhubung pemecatan beliau dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998. Dato’ Seri Anwar mencabar kesahihan pemecatan tersebut kerana ianya tidak menuruti lunas Perlembagaan. Sebelum itu saman beliau diketepikan, justeru beliau mengemukakan rayuan, dan akan didengar hari Khamis (esok, 21 Mei 2009) mulai jam 9.00 pagi. Pejabat Dato' Seri Anwar mengeluarkan kenyataan berkenaan mengenai kes rayuan tersebut. - PRIMA