Friday, September 14, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:



TELEFON BIMBIT JADI PENTING
KAWAN LAMA DI HOSPITAL UKM

Assalamualaikum,


Puasa hari pertama (13 September 2007) banyak juga menerima SMS dari kawan-kawan mengucapkan selamat menjalani ibadat berpuasa, hingga terasa telefon bimbit menjadi penting kepada komunikasi masyarakat sekarang. Di samping membalas semula SMS kawan-kawan, aktivis PRIMA Haji Abu Bakar Ninggal pula menelefon fasal masalah kesihatan, di samping berat badannya semakin sukar dikawal. Haji Abu Bakar juga sudah beberapa hari tak menelefon, apabila diganggu kesihatan menyebabkan lebih banyak berihat selepas mengambil ubat di klinik dan farmasi. Begitulah! Dalam usia semakin meningkat, keinginan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti masyarakat tak pernah menghalang fizikal yang kurang gagah.



Sebaik sahaja Haji Abu Bakar meletakkan telefon, saya menerima pula panggilan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Bandar Tun Razak dari rakan lama yang terputus hubungan beberapa tahun. Terkejut juga saya apabila dihubungi oleh Dato’ Laksamana Haji Ismail Abdul Kadir, bekas aktivis Gerakan Belia 4B Malaysia menerusi nombor telefon yang baru. Beliau sudah beberapa hari dimasukkan ke HUKM, setelah menerima rawatan awal di Seremban akibat penyakit yang dihidapinya. Tak hairanlah, sudah lama beliau tak hubungi saya kerana berulang alik sahaja ke hospital di Seremban, hinggalah dimasukkan ke HUKM minggu lalu. “Lama betul kita tak berjumpa,” katanya seperti biasa sama macam Dato’ Seri Dr Rais Yatim juga.
Memang menjadi kelaziman masyarakat Negeri Sembilan menyebut ‘lama tak berjumpa’, sekalipun dalam tempoh beberapa bulan sahaja tak bersua muka. Apalagi, Dato’ Ismail baru setahun sahaja tak bersua, tetapi sering juga menghubunginya melalui telefon. Ketika media arus perdana melaporkan pelancaran buku saya ‘Analitikal Pimpinan Pemuda, Ahmad Badawi Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’ pada 25 Ogos 2007, Dato’ Ismail berhadapan dengan kemelut penyakitnya, justeru beliau tak sempat mahu menghubungi saya. Sebagai bekas Setiausaha Kerja Gerakan Belia 4B Malaysia sekitar dekad 1960-an, beliau memang mempunyai hubungan yang rapat dengan Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris, bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Apabila bertemu Dato’ Ismail pada 13 September 2007, beliau lebih banyak mengimbau kenangan bersama Tan Sri Abdul Samad ketika berkunjung ke Sumatera Barat (Minangkabau) mahupun rombongan pesta filem ke mana-mana.

- Muluk



INFO HAK ASASI MANUSIA:


GEGARAN MENJELANG RAMADAN
AMARAN TSUNAMI DI PERAIRAN NUSANTARA



Di samping gegaran gempa bumi berukuran 8.2 pada skala Ritcher di Barat Daya Bengkulu, kawasan perairan dan pantai Malaysia juga terjejas dengan diingatkan amaran tsunami. Misalnya di pantai Kota Kuala Muda di Kedah yang pernah dimusnahkan oleh tsunami pada 24 Disember 2004, lebih kurang 500 penduduknya berpindah mendapatkan perlindungan di rumah saudara mara, bagi menjauhkan diri daripada pantai. Apalagi beberapa lokasi di Malaysia turut bergegar akibat gempa bumi di Bengkulu itu termasuk di Barat Daya Johor, yang khabarnya termasuk dalam lingkungan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Amaran awal itu seolah-olah memberi peringatan WPI akan berhadapan dengan ‘gempa’ dari Bengkulu di masa akan datang. Begitulah!



Bukan sahaja di Johor, malah di Lembah Kelang juga diganggu gegaran gempa bumi yang melanda Bengkulu pada 12 September 2007, iaitu menjelang bulan Ramadan ketika umat Islam di nusantara bersiap sedia menyambut puasa. Misalnya, lebih kurang 2,500 penghuni di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Ulu Pudu dan beberapa pangsapuri di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras bertempiran meninggalkan apartmen masing-masing berikutan gegaran jam 7.15 malam pada 12 September 2007. Malah Jabatan Meteorologi mengakui gempa bumi yang berlaku ialah pada 4.5 darjah Selatan dan 101.0 darjah Timur, iaitu 718 kilometer di Barat Daya Johor Bahru memang berkaitan dengan tsnami di Padang, Sumatera Barat dengan ketinggian satu hingga tiga meter.



Mungkin sahaja ancaman tsunami membolehkan pihak berkuasa meminta orang ramai berpindah sementara ke kawasan yang jauh dari pantai, tetapi gegaran gempa memang sukar mencari perlindungan di mana-mana. Sekalipun jabatan agama pernah ingatkan umat Islam mengamalkan surah az-Zalzalah (Kegoncangan) pada setiap kali solat, tetapi amalan doa sahaja tak memadai kalau pemusnahan alam sekitar dilakukan berleluasa dengan memperalatkan ‘pembangunan’. Di sebalik ‘pembangunan’ sebenarnya ialah naratif kerakusan, kebobrokan dan kepongahan hingga menimbulkan banyak persoalan apabila projek pembangunan dilaksanakan. Alahai!




DEBAR MUSIM PERAYAAN
HARGA AYAM NAIK 40 SEN


Penetapan harga siling runcit maksimum ayam standard naik 40 sen kepada RM6 sekilogram, berkuatkuasa 13 September 200 seperti diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Maknanya harga ayam yang ditetapkan oleh kementerian pada 5 September 2007 dibatalkan, berikutan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan, di samping meneliti kos pengeluaran semasa ladang ternakan ayam. Kalau tak diumumkan harga siling jualan ayam di pasaran pun, PRIMA sudah menduga kementerian terbabit, sekadar menembak ‘meriam buluh’ sahaja di peringkat awal, asal sahaja menyentuh harga barang. Kenaikan harga barang sudah menjadi perkara biasa, seperti akhirnya kita juga akan ‘biasa’ dengan gegaran tsunami dan gempa yang melanda di perairan Lautan Hindi.



Ketika wakil PRIMA menemui seorang petani di Bagan Datoh, dikenali ‘Alang Seman’ baru-baru ini, beliau tak pernah berasa bimbang dengan kenaikan harga barang. Baginya, kenaikan harga barang sejak 2003 seolah-olah ombak ‘tsunami’ yang sukar dihalang apabila mahu menimpa penduduk-penduduk di pesisir pantai. Justeru katanya, kalau harga beras naik, beliau serahkan kepada kemampuan untuk membelinya yakni, mampu secupak belilah secupak, mampu segenggam belilah segenggam. Memang kenaikan harga barang mengikut siling yang ditetapkan oleh kementerian, tetapi insiden mahu membakar anak-anak ayam satu ketika dulu adalah ehem ehem!



INFO SASTERA & BUDAYA:

PENERBITAN BUKU MEWAH
PENGARANG MELAYU TAK KE MANA!


Penerbitan buku-buku mewah yang pernah dipelopori oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tak lama dulu, tak mengangkat martabat pengarang Melayu ke tahap yang lebih bermakna. Karya SN Dato’ A Samad Said yang pernah dijual dengan harga RM60 senaskah misalnya, tak menjanjikan sebarang manfaat kepada pengarangnya, kalau dibandingkan dengan lonjakan pernghargaan yang diterima oleh penulis wanita J.K. Rowling apabila menghasilkan siri ‘Harry Porter’nya. Buku-buku mewah yang pernah diterbitkan sekadar mempertahan kualiti penerbitan dengan kertas mahal, di samping gambar-gambar lebih menjurus kepada ‘album’. Justeru buku-buku berkenaan bukan untuk dipasarkan, sebaliknya menjadi glori kepada mereka yang terbabit di sebalik tabir penerbitan buku-buku berkenaan.



Misalnya, buku ‘Adat Perpatih’ (Wintrac [WWB/Malaysia] Sdn Bhd, Kuala Lumpur; 1992) dengan 120 halaman dijual dengan harga RM69 senaskhah, memang diakui akan kualiti penerbitannya. Bagaimanapun buku berkenaan lebih berbentuk jurnal, sekadar kompilasi kertas kerja beberapa tokoh akademik, tak berhasil menyuburkan pembacaan di kalangan masyarakat. Pernerbitan buku-buku mewah pula mendorong kepada rasa ketakutan di kalangan masyarakat bersikap ‘mesra buku’ apabila mereka menganggap setiap buku-buku dipasaran menunggu ‘jerat harga’ berterusan. Penerbitan buku-buku mewah sebenarnya tak membawa manfaat kepada pengarang, sekalipun ditawarkan 10 peratus royalti kerana anjakan harga boleh berlaku tak semena-mena. Aduhai!



KOMENTAR
bersama Pak Parjo

BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO)
SUMBER KEWANGAN DARI KEMENTERIAN



Langkah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil mempertahankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah tak menyalah gunakan dana yang diberi, secara tak langsung mendedahkan banyak NGO yang menerima dana dari kerajaan. Sebelum itu Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam laporan auditnya menegur NGO yang menyalah gunakan dana, tetapi tak diberikan secara terperinci NGO yang menerima suntikan kewangan dari kerajaan, di samping kementerian yang terbabit menyalurkan bantuan kepada NGO. Maknanya, NGO yang menerima sumber kewangan kerajaan sudah tentulah secara misteri menggerakkan aktiviti mengikut acuan yang ditetapkan oleh kerajaan.



Tak sesuailah pula NGO diberi nama ‘pertubuhan bukan kerajaan’, kalau aktivitinya mengikut acuan yang ditetapkan kerajaan. Lainlah pada period pentadbiran kesultanan Melaka, tak pernah diwujudkan NGO tetapi setiap aktiviti masyarakat memang dipantau oleh istana. Apalagi jabatan yang dibentuk ketika itu termasuk Bendahara, Temenggung, Laksamana, Penghulu Bendahari, Syahbandar tak mempunyai apa-apa otonomi, tetapi menjalankan ‘titah perintah’ sahaja. Justeru NGO memang tak wujud pada period ianya di bawah sistem feudalisme, kecuali di kampung-kampung dibentuk kumpulan pencak silat yang setara dengan ‘kumpulan belia sekarang’, tetapi kumpulan pencak silat itu memang tak menerima sumber kewangan kerajaan sekalipun tak ditakrif sebagai NGO seperti keperihalan yang tak pernah sumber bantuan kerajaan ialah:





HIDUP BAHASA MELAYU!