Thursday, May 22, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

AKHBAR LARIS ISU TUN DR M:
KATA DUA MINTA PAK LAH UNDUR

Assalamualaikum,

Menjelang jam 10.00 pagi, Selasa 20 Mei 2008 akhbar kehabisan di premis kedai berdekatan rumah saya di Fasa 9, berikutan isu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad keluar UMNO diberi liputan utama di muka depan. Justeru terpaksa pula turun ke Fasa 3 bagi membeli surat khabar, disebabkan sudah lama memberhentikan langganan berikutan pihak vendor tak mahu dibayar secara mingguan (mereka mahu ikut prosedur dibayar secara bulanan). Bukan sahaja akhbar laris dengan isu Tun Dr Mahathir memberi kata dua kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya berundur sebagai pra syarat beliau kembali ke pangkuan UMNO, malah di mana-mana sahaja orang ramai turut menjadikan ianya topik perbualan.

Belum sempat membaca akhbar, Pembantu Kurator Muzium Negeri Sembilan Sdr Asrul Affandi Kamaruzzaman (anak sahabat saya Allahyarham Dato’ Dharmawijaya) menelefon bagi mengingatkan program ‘Wacana Adat Johol’ pada 24 Mei 2008 ini, sempena kerjan (pertabalan) YTM Dato’ Haji Mohd Jan Abdul Ghani menyandang pesaka Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Undang Luak Johol ke 14 bermula hari ini 21 Mei 2008. Bagi warga Negeri Sembilan ‘kerjan’ Undang Yang Empat (iaitu Sungai Ujong, Jelebu, Rembau dan Johol) memang istiadat melestarikan legasi ketuanan Melayu ‘negeri beradat’ yang berpegang kepada: Bulat anak buah menjadikan Buapak/ Bulat Buapak menjadikan Lembaga/Bulat Lembaga menjadikan Penghulu atau Undang/ Bulat Penghulu menjadikan Raja.

Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris (bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan) pernah menulis menerusi rencana di Mingguan Malaysia (sebagai kolumnis) menyebut struktor adat yang dilestarikan di Ranah Minang (Minangkabau) adalah model kepada sistem demokrasi yang digerakkan oleh pemikir-pemikir barat. Sistem demokrasi ini juga diadaptasi oleh UMNO mengikut keserasiannya dengan pelaksanaan beberapa akta yang menjadi kritikan kalangan aktivis hak asasi manusia termasuk ISA, OSA, Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Polis dan AUKU. Ketika mahu menghadap komputer kira-kira jam 12.00 tengahari, aktivis teater dari Pahang Sdr L. Mankadir Shamsi pula menelefon mengajak makan tengahari.

Sdr Mankadir perkenalkan saya kepada Pengerusi Kelab Penyokong BN Pahang, Sdr Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah sebelum makan tengahari di lokasi gerai Medan Selera Taman Seri Gombak. Memang banyak info daripada Syed Adnan berkaitan kelab yang dipimpinnya, di samping ‘pelan kerja’ yang mahu dilaksanakan bagi membabitkan diri dengan senario politik UMNO pasca PRU12 yang serba berserabut, berkelabut dan berkemelut. Bagaimanapun UMNO sendiri tak mampu menyelesaikan seribu satu kekusutan sosial; apalagi krisis makanan terutama kenaikan harga beras yang terlalu ‘kurang ajar’ sekarang. Kenaikan harga barang menjadi salah satu instrumen yang membawa UMNO hilang 2/3 majoriti di Parlimen, sebaliknya isu berkenaan dibiarkan pula terus bermaharajalela. Aduhai!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA

PELUANG KHAIRY MAKIN SELESA
APABILA MUKHRIZ KELUAR UMNO JULAI

Pergolakan UMNO berikutan langkah drastik Tun Dr Mahathir Mohamad keluar parti memberi peluang selesa kepada Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO apabila Dato’ Seri Hishamuddin Hussein terlalu awal mengumumkan tak mempertahan jawatan tersebut. Menurut sumber, sebelum ini Ahli Parlimen Jerlun Dato’ Mokhriz Mahathir disebut-sebut akan menawarkan diri menjadi calon Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan Disember 2008 akan datang, di samping bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo juga turut menyatakan hasrat mahu merebut jawatan berkenaan. “Sekiranya Dato’ Mukhriz menunggu sehingga Julai dengan Dato’ Seri Abdullah tak berundur, bermakna peluang Khairy terbuka luas,” beritahu sumber tersebut.

Bagaimanapun menurut sumber berkenaan, Khairy yang ditunjuk sebagai calon Ketua Pemuda UMNO oleh pimpinan parti tak akan diberi laluan mudah oleh Dato’ Seri Dr Khir yang juga Presiden Majlis Kerjasama Belia Asean. Penyokong-penyokong Dato’ Mukhriz dikatakan bersedia untuk bersatu dengan Dato’ Seri Dr Khir dalam persaingan yang disokong peringkat akar umbi, kata sumber itu selanjutnya. Seterusnya beritahu sumber berkenaan, sokongan ke atas Khairy bergantung kepada kouta pencalonan dengan memonitor Ketua Pemuda Bahagian, sebaliknya Dato’ Seri Dr Khir mampu mendominasi peringkat akar umbi dengan kapisiti beliau Presiden Majlis Kerjasama Belia Asean. “Kompromi Dato’ Mukhriz dan Dato’ Seri Dr Khir mampu membawa perubahan kepada pimpinan Pemuda UMNO,” jelas sumber berkenaan.


INFO SASTERA & BUDAYA

ADAPTASI NOVEL KE SKRIN FILEM
SUKAR MENCAPAI TAHAP ‘BOX-OFFICE’.

Analitikal yang dibuat mengenai karya novel diadaptasi ke filem, seolah-olah tak mahu menyebut ‘Cinta Gadis Rimba’ karya Harun Aminulrasyid. Kalangan penulis muda sekadar menggapai ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ (Shahnon Ahmad) yang difilemkan sekitar dekad 1970-an, diikuti ‘Langit Petang’ (A. Samad Said). Memang kedua-dua filem itu gagal mencapai ‘box-office’ di pawagam, tetapi tak bermakna ianya disebabkan adaptasi dari novel, beritahu L. Mankadir Shamsi yang terbabit dalam pemileman ‘Langit Petang’ bersama Shahrom Mohd Dom. Kata L. Mankadir seterusnya, novel ‘Cinta Gadis Rimba’ (1948) mencapai ‘box-office’ di pawagam apabila difilemkan sekitar dekad 1950-an, malah ianya adalah bukti karya novel mampu menarik penonton ke pawagam apabila diadaptasi ke filem.

Menurut L Mankadir, filem ‘Cinta Gadis Rimba’ membariskan aktor (Dato’) S. Roomai Noor, M. Amin, Salmah Ahmad di samping memperkenalkan pelakon dari Sarawak dikenali Narang. Di samping ‘Cinta Gadis Rimba’ difilemkan pada period kegemilangan filem Melayu, ianya dibuat dalam tata warna sebagai kelainan daripada filem-filem Melayu ketika itu dihasilkan secara hitam putih. L Mankadir juga menyentuh filem ‘Panca Delima’ arahan Tan Sri P. Ramlee sekalipun tak mengadaptasi novel ‘Putera Gunung Tahan’ karya Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), tapi episod ‘citra dan daka’ yang merakamkan kisah silam ketika Suria Kencana memberitahu Teratai asal usulnya adalah mirip kepada watak Tuan White melihat kecurangan isterinya yang dipancarkan melalui corong (seperti video TV).

Seterusnya L Mankadir juga menyebut sebelum ‘Ranjau Sepanjang Jalan’, Omar Rojik juga sudah mengadaptasi novel ‘Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh’ karya Dato’ Alias Ali ke filem sekitar dekad 1960-an menerusi Studio Merdeka Filem. Sekalipun filem ‘Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh’ tak mencapai ‘box-office’ tetapi usaha mengangkat karya novel ke filem, memang berterusan sebagai perkembangan yang memberangsangkan dalam genre sastera. Novel ‘Jejak Pulang’ karya Dharmala N.S. juga diadaptasi ke telefilem untuk siaran TV dengan judul ‘Kosai’, malah sebelumnya novel ‘Rentung’ (Shahnon Ahmad) diadaptasi ke telefilem dengan judul ‘Harimau! Harimau!’, kata L Mankadir menambah.


INFO SUARA PROLITAR

NASIB SI LUNCAI, NASIB SI LUNCAI
BIARKAN TERJUN BERSAMA LABUNYA!

D ripples caused by tun’s (Tun Dr Mahathir Mohamad) exit from UMNO will morph into tidal wave n culminate into a political tsunami of unprecendented magnitude in Malaysia that cud only b pacified by an indefinite shut down of d demoratic process. Kalau tanya pada pimpinan UMNO sekarang, sama macam sebelum 8 Mac 2008. Semua kata, bersatu padu sokong Pak Lah. Apalagi Pak Lah pun senyumlah. Lepas tu tunggulah UMNO jadi si Luncai. Biarkan! Biarkan! Biarkan! (SMS; 20 Mei 2008 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor).


MENGAPA NIK AZIZ GEMBIRA.BILA MAHATHIR UNDUR UMNO?
oleh Asalbayu

BUKANLAH satu perkara yang menghairankan jika Menteri Besar Kelantan, YAB Dato Nik Aziz Nik Mat menyatakan beliaulah orang yang paling gembira bila Tun Dr Mahathir mengumumkan keluar UMNO. Beliau juga menyatakan pintu PAS sentiasa terbuka untuk Tun Dr Mahathir andainya dia berhasrat menyertai PAS. Meskipun Tun Dr Mahathir menafikan akan menyertai PAS, tetapi dalam politik macam-macam kemungkinan boleh berlaku.

Dalilnya sangat jelas kerana meskipun Tun Dr Mahathir pernah memimimpin UMNO selama lebih 22 tahun, akhirnya dia meninggalkan parti yang amat disayanginya itu. PRU 12 menyaksikan hal yang di luar jangka telah berlaku. Manakala kini Kelab Penyokong PAS semakin galak pertumbuhannya di sana sini, sedangkan hal sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini. Dulunya orang bukan Islam juga amat khuatir kalau-kalau PAS berkuasa, tetapi kini tidak lagi.

Saya teringat PRU tahun 1991 di mana waktu itu saya adalah petugas di Bilik Gerakan Pilihanraya UMNO yang pada waktu itu turut ditentang oleh Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li). Anak raja Kelantan ini merupakan 'orang lama' dalam UMNO dan sudah tentulah menyimpan banyak maklumat berkaitan UMNO. Ketika tersebar berita serta foto Ku Li memakai hiasan kepala yang ada lambang salib ugama Kristian, Dato Khalid Abdullah (kini Tan Sri) segera datang ke Bilik Gerakan Pilihanraya UMNO menyampaikan mesej bahawa Dr Mahathir mahu supaya PAS dapat meneruskan survival.

Alasan yang diberikan ialah kerana PAS merupakan satu-satunya parti Melayu yang masih wujud bagi meneruskan kesinambungannya dan tidak pernah diharamkan seperti yang pernah dialami oleh UMNO. Ini adalah kali kedua saya mendengar perkara sedemikian. Sebelum ini dalam tahun 1980-an saya pernah mendengar cerita yang sama daripada Ustaz Halim Arshad yang pernah menentang Tun Dr Mahathir di kawasan Parlimen Kubang Pasu dalam PRU.

Saya yakin biarpun Tun Dr Mahathir dikatakan memperlekehkan pimpinan PAS oleh kebanyakan golongan ulama, dalam hatinya dia tetap menyanjung ketrampilan PAS sehingga mendapat sokongan berterusan daripada rakyat Kelantan.Di pihak PAS pula kini sewajarnya mengamalkan sikap fikiran terbuka demi perpaduan umat Melayu.


KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

BILA DI DEPAN MANIS MUKA
DI BELAKANG LAIN BICARA PULA

Syahdan berkampunglah segala Orangkaya-Orangkaya di balairong seri memberi ikrar taat setia kepada memanda Perdana Menteri Dato’ Abdullah Ahmad Badawi seperti yang disurat penitir canang hari ini 15 Jamadilawal 1429 (atau disebut orang banyak 21 Mei 2008). Maka sekalian hulubalang juga turut memberikan taat setia sama seperti perihal sebelum 30 Safar 1429 (disebut sekalian hamba rakyat sekarang ini 8 Mac 2008), adanya. Arakian perjumpaan di balairong seri itu amatlah menggembirakan memanda Perdana Menteri kerana ianya tak percaya sangat dengan kata-kata orang tua ‘di depan manis muka, di belakang lain bicara’. Syahdan fakir diberitahu oleh orang tua-tua dahulukala, akan pepatah Melayu menyebut ‘telunjuk lurus kelengkeng berkait, pepat di luar rencong di dalam’ memang tak difahami pembesar-pembesar Melayu ketika itu.

Sebermula tersebutlah akan segala Orangkaya-Orangkaya berkampunglah pada memanda Bendahara Paduka Raja. Maka bendahara menyuruh bersaji akan memberi makan segala orang banyak itu. Maka kata jurutanak, “Pinggan mangkuk kita tiada cukup, kerana orang yang diberi makan itu terlalu banyak; empat lima puluh hidangan tiada cukup’. Maka oleh bendahara disuruhnya bentang kajang di pantai, pada kajang itu dihampari daun, maka dibubuhlah nasi. Segala rakyat hina dina makanlah bersama bendahara, kerana mereka akan berperang merajakan semula Sultan Zainul Abidin di Pasai. Arakian alahlah Pasai, maka Sultan Zainul Abidin setelah dirajakan semula katanya, “Yang sembah hamba di Melaka itu, tinggallah di Melaka”. Terlalulah amat marah Bendahara Paduka Raja kerana sikap ‘telunjuk lurus kelengkeng berkait’ maka baliklah ia ke Melaka seperti disebut ‘Kitab Melayu’ daripada:








HIDUP BAHASA MELAYU!