Sunday, August 19, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


MUSIM MAJLIS KAHWIN
ANAK RAKAN-RAKAN PENULIS


Assalamualaikum,

Cuti penggal persekolahan menjadi tradisi masyarakat Melayu, bagi mengadakan majlis perkahwinan. Kalau pada dekad 1940-an,1950-an malah 1960-an, majlis kahwin dipilih selepas musim menuai, ketika padi penuh di kepuk. Bagaimanapun perubahan pradigma Melayu, mereka memilih musim cuti penggal persekolahan bagi mengadakan majlis kahwin, justeru terpaksalah membahagikan masa majlis mana yang lebih diberi prioriti. 18 Ogos 2007, majlis perkahwinan anak rakan lama seorang dramatis yang sering muncul di TV sekitar dekad 1970-an iaitu Shafie Ibrahim. Beliau mengadakan majlis berkenaan di Taman Tasik Titiwangsa, sementara sebelumnya terpaksa menghadiri majlis kahwin anak jiran satu qariah terlebih dahulu.


19 Ogos 2007, terpaksa pula ke Seremban menghadiri majlis perkahwinan anak bekas aktivis Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) Haji Mohd Salleh Salimin. Malamnya, majlis makan malam ‘Harakah Daily’ di hotel di Kuala Lumpur, bagi jadual diari pada hari Ahad (19 Ogos 2007). Pada 18 Ogos pun jadual memang padat juga (tapi tak sepadat jadual penyanyi Mawi), kerana selepas menghadiri dua majlis kahwin, 3.00 petang pula mesyuarat PRIMA. 5.30 petang ke pekan Batu Caves menemui Ramesh Rao, berkaitan pelancaran buku ‘Analitikal Pimpinan Pemuda: Dato’ Ahmad Badawi bin Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’ dijangka pada 24 Ogos 2007 di Pan Pacific.


Bekas aktivis drama Shafie Ibrahim, sudah tak berminat lagi dengan drama sama ada teater mahupun di TV. Tak sama dengan keprihatinan beliau ketika memimpin Persatuan Kebudayaan Anniversary Kuala Lumpur (ANGKASA) pada dekad 1970-an, malah beliau menterjemah manuskrip drama saya ‘BILA SENJA MENGEPAK TIBA’ yang diberi sambutan ketika dipentaskan di Panggung Bandaraya. Tetapi dalam pembangunan teater di Malaysia juga melalui lorong yang berliku-liku, berbucu-bucu dan berpenjuru-penjuru, menyebabkan Shafie Ibrahim lebih senang menumpukan kepada perniagaan. Begitu juga Haji Mohd Salleh Salimin semakin lesu mahu menulis, sekalipun satu ketika beliau adalah penolong setiausaha PEN, malah beliau yang pernah tinggal serumah dengan saya tahu mengenai latar belakang cerpen ‘HARUAN’ yang memenangi Hadiah Sastera Nasional 1974. Aduhai bangsaku!


-Muluk.-



INFO HAK ASASI MANUSIA:


DEKLARASI 10 KEPRIHATINAN
AKAN DISERAH PADA PIMPINAN MELAYU


Deklarasi yang mengandungi ’10 Keprihatinan’ sebelumnya dinamakan ‘Deklarasi Putrajaya’ ditukar kepada ‘Deklarasi Perdana’ selaras ianya dilakar ketika majlis wacana bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana 15 Ogos 2007 lalu. Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz dalam kenyataannya memberitahu, keputusan tersebut dicapai dalam perjumpaan di Taman Seri Gombak hari ini, 18 Ogos 2007. Dalam perbincangan bersama pimpinan PRIMA yang turut dihadiri sasterawan Dharmala N.S. dan bekas pensyarah USM, Yahaya Ismail ianya dipersetujui deklarasi berkenaan akan diserahkan kepada semua pimpinan pertubuhan Melayu termasuk raja-raja Melayu.



Bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah yang terlewat sampai, bersetuju dengan keputusan tersebut berdasarkan ’10 Keprihatinan’ itu merangkumi isu bahasa, budaya, pendidikan, agama, ekonomi dan politik masyarakat Melayu. Menurut Kamal, setiap pemimpin Melayu diminta bersikap rasional memikirkan ’10 Keprihatinan’ dalam ‘Deklarasi Perdana’ sebagai manifestasi masyarakat Melayu yang berhadapan dengan dilema baru mengenai masa depan mereka. “Kita tampil sebagai kumpulan yang menyedari ‘perhambaan minda’ adalah musuh utama yang menghalang orang Melayu mengamalkan budaya melonjak ke puncak kejayaan yang disarankan oleh Pak Lah,” kata Kamal.


SALAM KU LI UNTUK PRIMA


Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menyampaikan salam kepada aktivis PRIMA berikutan kejayaan menganjurkan wacana bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana 15 Ogos 2007 lalu. Beliau dikatakan menyampaikan salam tersebut kepada Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, setelah mengikuti perkembangan wacana tersebut. Menurut Kamal, Ku Li kagum dengan keprihatinan PRIMA dengan isu kebobrokan yang berlaku dalam pentadbiran menyebabkan masyarakat Melayu berhadapan dengan dilema baru, seperti disebut oleh Tun Dr. M dalam wacananya.


Sementara itu ketua pimpinan PRIMA sasterawan Dharmala N.S. mengakui menerima ucapan tahniah dari pelbagai pihak menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) selepas membaca laporan yang disiarkan pelbagai media. Bendahari UMNO Bahagian Kelang, Dato’ Azman Salleh misalnya menelefon beliau pada malam 16 Ogos 2007, melahirkan rasa terkilan kerana tak dijemput menghadiri majlis wacana berkenaan. Beliau yang berbual menerusi telefon selama satu jam, mengakui mengkagumi pimpinan Tun Dr. M dan Ku Li yang dianggap sentiasa prihatin dengan masalah bangsa Melayu. Kata Dato’ Azman, beliau bersetuju dengan Tun Dr. M bahawa UMNO tak bersalah apabila berlaku kebobrokan pentadbiran, sebaliknya kesalahan pimpinan tertentu sahaja.


KONTROVERSI AKTA 664 WPI



Pimpinan PRIMA akan meneruskan gelombang fasa kedua bersama-sama pimpinan Generasi Profesional & Pewaris Bangsa (ProWaris) dalam isu kontroversi Akta 664 Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor. Presiden ProWaris Sdr Feriz Omar sudah dihubungi melalui telefon pada 18 Ogos 2007 bagi tindakan bersepadu bersama Majlis NGO Malaysia (MAPAN). ProWaris dalam beberapa kenyataan sebelum ini mempertikai akta tersebut kerana bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia termasuk Seksyen 50 dan 56 IRDA (Akta 664) yang jelas ianya bertentangan dengan Artikel 10 (1) Perlembagaan Persekutuan. Malah ianya turut bercanggah dengan Artikel 152 (6) yang menjelaskan perkara keputusan mahkamah ‘Kes Merdeka Universiti Bhd vs Kerajaan Malaysia’, seperti disebut Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Suffian Hashim.

Sementara itu peguam PRIMA Mohd Radzi Mustapha mahu meneliti Akta 664 bagi tindakan susulan. Beliau mengakui belum melihat Akta itu sebelum ini, justeru perlu mengambil masa bagi mengkaji dengan lebih mendalam. Radzi juga menyarankan supaya perjumpaan yang membabitkan Majlis NGO Malaysia (MAPAN), ProWaris, PRIMA dan lain-lain NGO diadakan secepat mungkin untuk membincangkan Akta ini secara positif.


INFO SASTERA & BUDAYA:

LAGI HADIAH UNTUK SASTERA
BONUS PENGARANG MASTERA 2007



Tentunya pengarang Melayu sedang menunggu ihsan yang ditawarkan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) bagi menerima ‘bonus’ bernilai RM10,000 November ini. Sekretariat MASTERA di Tingkat 25, Menara DBP menunggu karya-karya untuk dinilai menjelang tarikh tutup 10 September 2007. Penilaian pun sekadar mengikut prosedur sahaja, kerana pengarang yang dipilih tak perlu dinilai apa-apa. Sekretariat dengan segala kekebalan mungkin sahaja menafikan setiap dakwaan, tetapi ianya bukanlah benar sekali pun penafian itu dipercayai oleh orang ramai. Insiden Allahyarham Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) tak menerima anugerah ‘Sasterawan Negara’ masih lagi misteri kerana ianya memang berangkai-rangkai, berungkai-rungkai dan berantai-rantai. Astaga!


Apalagi rakan yang berkhidmat di editorial DBP pernah beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah baru-baru ini mengenai ‘pengarang’ yang sudah dinamakan untuk menerima anugerah ‘SEA Write’ 2007 di Bangkok kelak. Sudah tentulah bukan Dr. Mohd Mansor yang tumpul bakat kerana bergelimang dengan akademik, begitu juga Dharmala N.S. sekalipun dianggap sasterawan nombor satu di Negeri Sembilan dengan memenangi pelbagai hadiah sastera di peringkat nasional, terusir, tersisir dan terpinggir daripada menerima anugerah di Negeri Sembilan. Malah Yahaya Ismail juga tak pernah berharap untuk menerima anugerah-anugerah berkenaan, kalau sekadar berstatus ihsan dari sekretariat yang sebenarnya lebih tumpul bakat daripada Dr. Mohd Mansor. Heh heh heh!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo



PEMUDA UMNO IKUT DAP
KEMPEN MENERUSI LAMAN WEB


Tak sangka pula Pemuda UMNO terlambat menyertai laman web dan laman blog, sehingga terpaksa mengekori DAP. Ketika memberitahu pemberita selepas majlis perasmian Pameran Pelajaran dan Kerjaya Malaysia 2007 di Kuala Lumpur (17 Ogos 2007) Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, “Kita akui bahawa ini gelanggang yangb kita belum masuk secara total. Ini satu perkara yang perlu kita atasi dalam masa terdekat kerana kita mahu medium Internet akan jadi medium komunikasi pada masa akan datang”. Rupa-rupanya pengendali laman web dan laman blog yang ditakrif ‘goblok’ ini memukau pimpinan Pemuda UMNO. Hebat juga!



‘Perhambaan minda’ sudah dipimpin oleh media arus perdana sebelum ini, justeru alternatif yang boleh membebaskan ‘perhambaan minda’ itu ialah laman web dan laman blog. Nampaknya Pemuda UMNO sudah mengiktiraf peranan pengendali laman web dan laman blog, malah ianya memang dialu-alukan semoga persaingan sihat membebaskan ‘perhambaan minda’ boleh dikongsi bersama. Keperihalan pengendali laman web dan laman blog yang ditakrif sebagai ‘goblok’ itu, kerana rata-rata mereka tak akan menjadi menteri kerana ‘ihsan’, apalagi bukan disebabkan bakat kepimpinan dan sumbangan dalam gerakan nasionalisme. Makanya, janganlah bangsa Melayu mengulangi insiden Tun Jana Khatib dalam ‘Sejarah Melayu’ yang dibunuh kerana bercakap benar, seperti yang sukar mempercayai orang yang sudah berbohong sekali disebabkan kedua kali, ketiga kali seterusnya tetap berbohong ialah:





HIDUP BAHASA MELAYU!