Sunday, April 6, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

KEMPEN BUKU MASIH HAMBAR
KURANG PRIHATIN UNTUK MEMBACA

Assalamualaikum,

Awal pagi hari ini (5 April 2008) kira-kira jam 8.30 am Dato’ Dr Mohd Mansor Abadullah sudah menelefon beritahu keputusan mesyuarat Gapena pada sebelah malamnya (4 April 2008) berkaitan perhimpunan perpaduan Melayu pada 12 April 2008 (jam 8.00 malam) di Rumah Gapena; di Dewan Merdeka PWTC 16 April 2008 (jam 8.30 malam), seterusnya di Johor Bahru pada 2 – 4 Mei 2008, sebagai kemuncak melestarikan naratif perpaduan itu. Alhamdullillah! Keprihatinan Gapena mengajak 36 badan NGO bersamanya melonjakkan perpaduan Melayu, dengan mendaulahkan ‘Bahasa Melayu’ sebagai paksi jatidiri bangsa yang sudah dijanjikan oleh pimpinan negara, asal sahaja Gapena berdiri teguh sebagai benteng kepimpinan. Heh heh heh!

Maknanya, kalau tak berdiri teguh di belakang pimpinan negara ‘Bahasa Melayu’ akan kekallah menjadi ‘Bahasa Malaysia’ sekalipun daripada jumlah 222 kerusi Parlimen skadar mampu dipertahankan 140 kerusi sahaja (atau tak mencapai dua pertiga majoriti). Justeru apabila Bahasa Melayu diinjak-injak dengan pembelajaran mata pelajaran matematik dan sains diwajibkan dalam Bahasa Inggeris, tak apalah!. (Memang saya tahu Gapena menentangnya dengan mengajak Dong Jai Zong melawan polisi berkenaan dalam dialog di Rumah Gapena, sayangnya tak dibuat secara terbuka sebagai mesej kepada polisi pentadbiran ketika itu di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad). Justeru Gapena tak seharusnya berkompromi dengan pimpinan sekarang yang terdesak, kerana ‘Bahasa Melayu’ bukan untuk dijual beli.

Pengusaha buku semakin rimas, lemas dan cemas dengan fenomena kurang prihatin bangsa Melayu dengan kempen membaca. Apalah maknanya ‘Pesta Buku Antarabangsa’ yang berlangsung di PWTC sekarang, kalau bangsa Melayu itu tak berminat membaca. Misalnya, Dato’ Dr Mohd Mansor sekadar diberitahu oleh DBP novelnya ‘Amigo Possa’ hanya dicetak sejumlah 1,700 naskhah sahaja. Apalagi akhbar ‘Utusan Melayu’ dalam tulisan jawi, sekadar dijadikan ‘akhbar sisipan’ sahaja setiap hari Isnin, berbanding dengan jumlah komuniti India dengan jumlah penduduk tak sampai dua juta, sebaliknya mampu memasarkan beberapa edisi akhbar bertulisan Tamil. Begitu juga komuniti Cina mempunyai lebih daripada lima edisi akhbar bertulisan Cina, termasuk banyak majalah-majalah di pasaran terbuka (malah diimport dari Taiwan, Hong Kong, China, Singapura). Begitulah!

Ironinya, ketika saya ke PWTC (5 April 2008) di samping meneguk kopi di Riverside bersama Haji Hassan Hamzah, Sdr L Mankadir Shamsi, Sdr Zainal Abidin Rasidin dan Sdr Zakaria Bidin memang ramai yang menghadiri ‘Pesta Buku Antarabangsa’, sekalipun kebetulan pula berlangsungnya mesyuarat agung ‘Bank Rakyat’. Barangkali! Haji Hassan yang juga Presiden Pengusaha Buku Malaysia bagaimanapun masih optimis dengan industri buku negara, justeru beliau mahu meneruskan kempen membaca dengan pendekatan lebih rapat bagi berinteraksi dengan orang ramai. Haji Hassan mengajak Sdr Mankadir siapkan drama bersiri menggalakkan orang ramai membaca, bukan sekadar untuk perhimpunan perpaduan Melayu yang ‘molok-molok’ didengar tetapi ‘wal hasil balik hasal’. Alahai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

TUN DR M BERSAMA KU LI
TEMUI PIMPINAN UMNO BAHAGIAN

Pertemuan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah besama pimpinan UMNO lebih daripada 60 Bahagian dikatakan berlangsung besok (6 April 2008) di Hotel d’Palma, Ampang mulai jam 9.00 pagi. Menurut sumber yang disampaikan kepada sekretariat PRIMA, perjumpaan tersebut diteruskan sekalipun pada peringkat awal ianya dianggap sebagai desas desus sahaja. Sekretariat PRIMA diberitahu minggu lalu oleh sumber yang rapat dengan Tengku Razaleigh, yang mengakui mereka tak tahu menahu dengan perjumpaan tersebut. “Setakat ini pihak kami tak diberitahu oleh Ku Li fasal perjumpaan tersebut, insya Allah kalau diberitahu kami akan hubungi sekretariat PRIMA,” kata sumber itu.

Bagaimanapun sekretariat PRIMA diberitahu pagi ini (5 April 2008 jam 10.00 pagi), Ku Li dikatakan berada di Johor Bahru bagi menghadap Duli Yang Maha Mulia, Sultan Johor di istana Bukit Serene. Beliau dilaporkan balik ke Kuala Lumpur petang ini bagi menghadiri perjumpaan di Ampang bersama Tun Dr M. Disebabkan perjumpaan tersebut dikira seolah-olah terlalu sulit, pihak sekretariat PRIMA juga berasa kebingungan kerana sukar mendapat maklumat. Pimpinan PRIMA menyedari perjumpaan demi perjumpaan yang digerakkan bagi memulihkan ‘krisis keyakinan’ di kalangan pimpinan UMNO tak merenggangkan perpaduan Melayu, sebaliknya usaha yang sepatutnya diberi sokongan. “Kami sudah memulakan dialog dengan Ku Li pada Jun 2007, disusuli wacana bersama Tun Dr M di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Ogos 2007, selebihnya terserah kepada UMNO sendiri,” menurut pimpinan PRIMA.

ISU BAHASA MELAYU DI SOKONG
PERTAHANKAN PAK LAH DITENTANG

Aktivis teater di Pahang, Sdr L. Mankadir Shamsi menyokong sebarang usaha demi memertabatkan ‘Bahasa Melayu’, tetapi menolak perjuangan bahasa dijadikan alat untuk mempertahankan pimpinan negara di bawah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sdr Mankadir yang juga Timbalan Ketua Dewan Persuaratan Melayu Pahang (DPMP) Cawangan Temerloh ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa di PWTC hari ini (5 April 2008) memberitahu, pimpinan Gapena membuat kesilapan besar sekiranya menjadikan isu Bahasa Melayu sebagai landasan mempertahankan pimpinan Dato’ Seri Abdullah menerusi agenda ‘perpaduan Melayu’. “Urusan Pak Lah hadapi krisis UMNO bukan urusan kerabat Gapena, justeru jangan peralatkan kami penulis-penulis Melayu,” beritahu Sdr Mankadir.

Sementara itu Presiden Penaja Pemandu-Pemandu Teksi Islam Lembah Kelang, Sdr Zainal Abidin Rasidin kesal dengan sikap mana-mana pihak menjadikan isu perjuangan Bahasa Melayu sebagai usaha mempertahankan pimpinan negara. Katanya, perjuangan bahasa tak boleh dikaitkan dengan kepentingan politik sekalipun ianya mempunyai pertalian antara satu sama lain. Sdr Zainal Abidin yang juga bekas wartawan dan aktivis kerabat Gapena tak mahu penulis-penulis diheret seolah-olah ‘lembu ternak’ untuk dibawa ke rumah penyembelihan semata-mata demi kepentingan ‘orang politik’. “Lebih baik Gapena fikirkan bagaimana mahu memajukan industri buku Malaysia dalam usaha memperkasakan Bahasa Melayu,” katanya.

USAH DISUSU KERA DI HUTAN
TAK PERLU PEDULIKAN SUFIAH
Kerajaan diminta tak memberi kepedulian kepada pelajar pintar matematik warga Britain, Sufiah Yusuff yang terjerumus ke lembah maksiat. Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gombak, Hajjah Fauziah Raof berkata, tak perlu disusukan kera di hutan ketika ramai rakyat Malaysia memerlukan perhatian kerajaan. Seterusnya Hajjah Fauziah melahirkan rasa kesal apabila kerajaan terlalu memberi perhatian kepada warga Britain berkenaan, walhal secara keturunan ayahnya ialah Pakistan, justeru Sufiah lebih 'berdarah Pakistan'. Menurut Hajjah Fauziah, sekalipun ibunya orang Malaysia tetapi berdasarkan 'keturunan' beliau tetap berdarah Pakistan. "Kenapa kita susukan kera di hutan, anak di pangkuan diletakkan," ujar Hajjah Fauziah.

INFO SASTERA & BAHASA

KOMUNITI ORANG ASLI DI KERDAU
MENUNGGU ACARA ‘BACA PUISI’ PRIMA

Pimpinan komuniti Orang Asli di Kerdau mendesak aktivis teater di Pahang Sdr L. Mankadir Shamsi memeprcepatkan program ‘Baca Puisi PRIMA’ yang dijanjikan sejak sebelum pilihanraya umum 8 Mac 2008 lalu. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Sdr Mankadir mengakui pernah berjanji dengan komuniti Orang Asli terbabit bagi membawa pimpinan PRIMA berkunjung ke perkampungan mereka. Apalagi disebut mengenai program ‘baca puisi’ yang akan dihadiri oleh Yahaya Ismail (pimpinan kanan PRIMA), Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz (jurucakap PRIMA) di samping aktivis lain seperti Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Mohd Sayuti Omar, Yassinsalleh, Zakaria Bidin dan Dato’ Ruhanie Ahmad.

“Awak beritahu dato’-dato’ PRIMA nak baca puisi dengan kami, bila lagi dato’-dato’ dari Kuala Lumpur tu mahu ke sini,” beritahu Sdr Mankadir mengenai desakan komuniti Orang Asli terbabit. Mereka juga dikatakan sudah bersiap sedia untuk menyampaikan lagu-lagu rakyat serta permainan tradisional tempatan bagi menyambut kunjungan pimpinan PRIMA. Justeru Sdr Mankadir sudah menghubungi pimpinan PRIMA di Kuala Lumpur, di samping menerima jawapan positif. Acara ‘baca puisi’ akan diadakan di perkampungan Orang Asli di Kerdau sebaik sahaja diberitahu mengenai tarikh yang sesuai. “Pak Dharma dan Dato’ Kamal Amir sudah memberi lampu hijau bagi acara baca puisi bersama komuniti Orang Asli ini,” jelas Sdr Mankadir.

PIMPINAN DIMINTA LETAK JAWATAN
GAPENA PERLU RAWATAN PEMULIHAN

Pimpinan Gapena perlukan rawatan pemulihan apabila menjadikan isu perjuangan Bahasa Melayu sebagai agenda politik pihak tertentu, dengan tak menghiraukan masalah yang berkaitan dengan kepentingan penulis. Beberapa pihak turut mendesak pimpinan Gapena wajar meletakkan jawatan sama seperti senario politik sekarang apabila pimpinan negara di bawah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi didesak berundur oleh kalangan aktivis UMNO. Menyentuh agenda perpaduan Melayu yang digerakkan oleh Gapena pada 12 April 2008 (di Rumah Gapena), 16 April 2008 (di Dewan Merdeka PWTC) dan 2 Mei 2008 (di Johor Bahru), penyair Dinsman memberitahu, “Pimpinan Gapena wajar meletakkan jawatan, kerana sudah terlalu lama memimpin badan penulis ini.”.

Peguam dan aktivis PENA Sdr Mohd Radzi Mustapha juga bersetuju dengan penyair Dinsman meminta pimpinan Gapena meletakkan jawatan menerusi SMS, diikuti dengan Dr Harun Kidam yangs sekarang berada di Tanjung Balai, Pulau Kerimun, propinsi Riau. Sementara penyair Yassinsalleh pula menganggap pimpinan Gapena sebagai ‘si Luncai yang terjun dengan labu-labunya’ jika menganggap kerabat Gapena begitu mudah untuk diheret kepada agenda perpaduan Melayu, tetapi bermotifkan kepentingan politik pihak tertentu. (Sekitar tahun 1975, pimpinan Gapena Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein pernah didesak meletak jawatan oleh PENA di bawah pimpinan Dato’ Noor Azam kerana kenyataannya ‘kerajaan’ ketika itu perlu disokong kerana ianya bersifat nasional – sila lihat Utusan Malaysia 4 Mac 1975).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo


HULUBALANG MEMINTA LAWAN
MEMANGKIS KE TENGAH GELANGGANG

Arakian memangkislah orang besar bergelar menteri pemukul canang, Dato’ Ahmad Shabery Cheek hari ini (28 Rabiulawal 1429 atau disebut orang sekarang 5 April 2008) meminta lawan dengan berkata, “UMNO pernah diharamkan pada zaman beliau (Tun Dr Mahathir) dan kita tak mahu perkara ini berlaku lagi. Semua perkara ini saya percaya orang Melayu tak lupa, tetapi mungkin Dr Mahathir sendiri lupa mengenai apa yang pernah dilakukannya ketika memimpin UMNO.” Syahdan akan fakir diberitahu oleh orang yang empunya ceritera, ahli penyurat bernama Zakry Abadi itu sudahlah meninggal dunia beberapa tahun dahulu iaitu pada 1994, adanya. Maka disebut oleh Zakry Abadi dalam kitab yang disuratnya, adapun orang yang menyebabkan UMNO itu haram ialah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengetuai 11 gerombolan membawa kepada penghakiman di mahkamah.

Sekali persetua disebut juga di dalam kitab yang disurat oleh Zakry Abadi akan Dato’ Seri Abdullah terbabit mendorong penubuhan Parti Melayu Semangat 46 yang disebut-sebut oleh Dato’ Ahmad Shabery, adanya. Sebermula tersebutlah Tun Besar itu matilah ditikam oleh Raja Muhammad. Maka segala perihal ehwal itu semua dikatakan orang kepada Bendahara Paduka Raja. Kata bendahara kepada anak-anak buahnya, “Jika demikian mengapa kamu berlengkap ini?” Maka sahut segala anak buah bendahar “Sahaya semua hendak berbalas kematian saudara kami. Bendahara pun memangkis, “Ceh, kamu sekalian kerana tiada adat, hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi janganlah kita bertuankan anak raja seorang ini!” (Syahdan berundurlah anak raja itu ke Pahang, setelah diketahui orang Melaka tak mahu bertuankan ia!). Eloklah undur, seperti kata:








HIDUP BAHASA MELAYU!