Thursday, April 2, 2009

Sah Najib PM...

Najib angkat sumpah jawatan
Sah PM ke 6 di istana Negara esok:



Sah. Presiden UMNO Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak akan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di Istana Negara besok 3 April 2009, beritahu ahli Lembaga Disiplin UMNO Tan Sri Abu Zahar Dato' Nika Ujang, ketika merasmikan seminar penulisan autobiografi di Sekolah Dato' Razak, Sungai Gadut, Seremban hari ini 2 April 2009. Tan Sri Abu Zahar yang juga Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Negeri Sembilan menjelaskan, pelan peralihan kuasa tersebut mengikut prosedur undang-undang di samping diterima oleh semua pihak, jelas Tan Sri Abu Zahar. "Justeru yang penting ialah rakyat Malaysia perlu memelihara perpaduan di kalangan kaum bagi meneruskan kesinambungan sokongan kepada Dato' Seri Najib seperti sejarah bangsa kita," beliau menambah.

Seminar yang dihadiri oleh guru-guru sejarah di sekolah menengah seluruh Negeri Sembilan itu dihadiri hampir 200 peserta dengan pembentang kertas kerjanya Haji Jaafar Kassim, Pak Dharma dan Hajjah Mahaya Yassin. Menyentuh penulisan autobiografi tokoh-tokoh Negeri Sembilan, Tan Sri Abu Zahar menyarankan tokoh-tokoh pentiang seperti Dr Rashdan Baba, Raja Alias dan beberapa lagi wajar diberi prioriti. Katanya, Raja Alias adalah tokoh yang memain peranan di belakang kejayaan Tun Abdul Razak melaksanakan rancangan Felda. "Penulisan autobiografi perlulah berdasarkan komitmen tokoh terbabit dalam pembangunan negara serta sumbangannya kepada pemikiran bangsa," Tan Sri Abu Zahar menjelaskan.

Seminar Penulisan Autobiografi...



Perserta berasa hairan:
Pak Dharma bukan penulis NS?


Pimpinan PRIMA Pak Dharma yang dijemput memberikan ceramah pada seminar penulisan autobiografi ditakrif bukan penulis Negeri Sembilan. Seminar yang dianjurkan Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Negeri Sembilan itu berlangsung hari ini 2 April 2009 di Sekolah Dato' Razak, Sungai Gadut, Seremban diberikan tugasan memilih senarai tokoh yang disediakan bagi menulis autobiografi. Persatuan Sejarah dikatakan menerima senarai berkenaan daripada Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) ialah Allahyarham Dato' Kamaruzzaman Kadir, A Latiff Moheidin, Haji Ismail Hadi dan Hajjah Mahaya Yassin. "Bukan sahaja peserta, kalangan penulis di Kuala Lumpur juga berasa hairan apabila nama Pak Dharma tak disentuh oleh PEN dan Persatuan Sejarah," kata penyair prolifik Yassinsalleh.

Yassinsalleh penyair seangkatan dengan Kamaruzzaman Kadir dan Latiff Moheidin memberitahu, Pak Dharma memenangi lapan kali sayembara sastera, malah rekod paling tinggi dibandingkan penulis-penulis yang disenaraikan. Pak Dharma turut menulis dalam semua genre yang sukar ditandingi oleh semua penulis-penulis di negeri Sembilan, beritahu Yassinsalleh yang juga pengarah terbaik dalam Pesta Filem Malaysia 1980-an menerusi filem 'Dia Ibuku'. Beliau juga menjelaskan Pak Dharma sudah menghasilkan hampir 20 buah buku autobiografi termasuk tokoh dari Negeri Sembilan 'Tan Sri A Samad Idris'. "Antara penulis Negeri Sembilan yang lebih berwibawa termasuk Kala Dewata, A.F. Yassin, Drs Ramli Isin, Dr Anuar Noor Arai. Dr Noordin Selat, Ali Majod dan Dr Zakaria Ali," menurut Yassinsalleh menambah.

Tan Sri Abu Zahar Nafi...



Tak berlaku pemberian permit
Isu 200 AP untuk cemar lembaga


Isu membabitkan 200 permit AP kepada keluarga Lembaga Disiplin UMNO dinafikan oleh Tan Sri Abu Zahar Dato' Nika Ujang. Beliau yang juga ahli Lembaga Disiplin UMNO memberitahu selepas merasmikan Seminar Penulisan Autobiografi di Sekolah Dato' Razak, Sungai Gadut di Seremban hari ini, 2 April 2009. Tan Sri Abu Zahar yang juga Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan kecewa, apabila didakwa berat sebelah dalam isu yang membabitkan pimpinan UMNO berkaitan 'politik wang'. "Kalau tak ada perubahan mulai esok 3 April 2009, UMNO akan hancur lebu kerana 'politik wang' berlaku secara terang-terangan dan tak berhemah lagi," menurut Tan Sri Abu Zahar.


Justeru beliau menafikan Lembaga Disiplin terbabit dengan pemberian 200 permit AP, malah menolak berlakunya konspirasi bagi menghalang Dato' Seri Mohd Ali Rustam bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden. Katanya, tuduhan berkenaan dibuat disebabkan beliau kelihatan bermain golf bersama Dato' Seri Megat Najamuddin Megat Khas. Beliau memberitahu, secara kebetulan memang beliau sudah lama tak bermain golf. Apabila dilihat bersama Megat Najamuddin di lokasi berkenaan, justeru tuduhan tersebut dilimparkan. Seterusnya kata Tan Sri Abu Zahar, keputusan yang dibuat secara tiga peringkat dan oleh orang yang berlainan iaitu menilai pertuduhan, menjatuhkan keputusan dan menerima rayuan. "Tak berlaku konspirasi atau keputusan berat sebelah," beritahu Tan Sri Abu Zahar.