Thursday, March 6, 2008


JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda dari manusia kepada manusia)







PILIHANRAYA UMUM KE 12, 8 MAC 2008
‘UNDI CALON, BUKAN UNDI PARTI’
SERUAN DARIPADA PIMPINAN PRIMA.




DARI LAMAN BLOG



KEMELUT POLITIK DI NEGERI PERLIS
BERKOCAK, BERGOLAK DAN BEROMBAK!



Assalamualaikum,


Memang lama tak mendapat khabar dari rakan-rakan di Perlis, tetapi semalam (5 Februari 2008) Haji Nahmar Jamil mengirim surat beritahu mengenai senario politik di negeri berkenaan yang berkocak, bergolak dan berombak. Sebelumnya mantan editor Dewan Pelajar di DBP, Haji Abdul Ahmad yang sudah bersara dan menetap di Perlis sekadar mengirim SMS sahaja. Begitu juga mantan Ketua Satu Persatuan Penulis Perlis (3P) Haji Rejab F.I. juga mengirim SMS sempena Maal Hijrah. Maknanya hubungan dengan rakan-rakan tak pernah terputus, sekalipun jarang bersua disebabkan kedudukan geografi yang berbeza. Dr Harun Kidam dari Melaka pula pernah berkunjung ke rumah Tan Sri Khalid Ibrahim malam 12 Februari 2008 dengan membaca puisi, sayangnya tak sempat pula bertemu, mungkin saya leka berbual dengan Hajjah Habsah Hassan dan Hajjah Rubiah Suparman.




Bagaimanapun surat dari Haji Nahmar memang menarik kerana dilampirkan pula risalah politik yang disibarkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka Kelawar Tok Bah, Toyol, Gedembai dan Kongkiak. Haji Nahmar juga menulis: “Saya cukup gembira saudara berceramah di platform pembangkang, malangnya saudara disalah faham dianggap sebagai sasterawan heh heh heh (lihat Mingguan Siasah). Mudah-mudahan berjaya pembangkang.”. Hingga tulisan ini dinukil saya masih belum membaca ‘Mingguan Siasah’, tetapi sudah melihat blog MSO (mungkin sahaja petikan dari blog MSO) apabila saya dijemput berceramah oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Wangsa Maju, Sdr Wee Choo Keong. Memang PRIMA tak terbabit dengan mana-mana parti politik, tetapi bersedia dijemput untuk memberikan ceramah. Begitulah!



Kalangan penulis-penulis bukanlah anti-establishement, sebaliknya mahu melihat kerajaan yang bersih, bersedia menerima teguran dan memberi keseksamaan kepada rakyat. Justeru PRIMA menyambut baik pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 15 Ogos 2007 iaitu ‘parti (UMNO) tak salah, tetapi orang-orang tertentu dalam parti itu yang bersalah’. Justeru pada pilihanraya ke 12 ini, PRIMA mengambil pendekatan ‘undi calon, bukan undi parti’ berdasarkan pandangan yang diberikan oleh Tun Dr Mahathir, kerana beliau antara pemimpin terawal di samping Tengku Razaleigh Hamzah yang bersedia menerima kunjunga PRIMA.




Justeru pembabitan aktivis PRIMA memberi ceramah di atas platform pembangkang sekadar ‘memilih calon’ bukan ‘memilih parti’ seperti dilakukan oleh Jurucakap PRIMA apabila berceramah menerusi platform PAS di Pasir Mas, Kelantan. Begitu juga Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah yang menjalankan ‘kanvesing’ di rancangan Felda di kawasan Parlimen Pekan menggunakan platform BN, adalah berdasarkan pendekatan ‘undi calon, bukan undi parti’. Justeru apabila saya menerima jemputan untuk berceramah di platform PKR di kawasan Parlimen Wangsa Maju, juga adalah berdasarkan pendekatan yang sama iaitu mahukan kerajaan yang bersih, bersedia menerima kritikan dan mampu memberi keseksamaan kepada rakyat. Mudah-mudahan!




-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA



DIPENGARUHI HAGEMONI KUASA
PILHANRAYA DI THAILAND MENULAR



Keputusan pilihanraya di Thailand dan di Pakistan tahun lalu (2007) boleh menular di Malaysia pada 8 Mac ini (2008), sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipengaruhi oleh hagemoni kuasa, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamil Hijaz. Langkah membatalkan penggunaan dakwat khas bagi menanda kuku atau jari pada saat-saat akhir menunjukkan hagemoni kuasa seperti ditunjukkan oleh Thaksin Shinawatra di Thailand dan Pervez Musharraf di Pakistan mempengaruhi keputusan pilihanraya yang jelas penuh kontroversi, hipokrasi dan korupsi, beritahu Dato’ Kamal Amir lagi. “Kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini (6 Mac 2008) menimbulkan persoalan apabila beliau sendiri menghantar laporan kepada SPR,” menurut Dato’ Kamal Amir.





Seterusnya beliau menambah, sebagai badan bebas SPR tak seharusnya menerima pandangan pihak polis, sebaliknya merujuk kepada Menteri Dalam Negeri sebelum langkah membatalkan itu dilaksanakan. Sekiranya berdasarkan laporan polis sahaja sesuatu sistem boleh diubah di saat-saat akhir, mungkin sahaja SPR juga boleh membuat keputusan membatalkan pilihanraya apabila menerima laporan pihak polis, beritahu Dato’ Kamal Amir selanjutnya. Apalagi sebelum ini Tan Sri Musa juga turut membuat kenyataan mendedahkan lapan negeri dalam keadaan ‘panas’, yang seharusnya tak disuarakan oleh penjawat awam. “Kalau keadaan keselamatan berbahaya, lebih baik di peringkat awal polis menasihatkan pilihanraya tak diadakan,” kata Dato’ Kamal Amir.





NAFI TERBABIT PENGARUHI:
IBARHIM CALON PAS DI PASIR MAS

Aktivis masyarakat Haji Mohd Sayuti Omar menafikan beliau terbabit mempegaruhi pimpinan PAS di Kelantan menerima Dato’ Ibrahim Ali menjadi calon di Pasir Mas. Beliau menolak desas desus yang menyebut hubungan akrabnya dengan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendorong parti itu meletakkan Dato’ Ibrahim menjadi calon pada pilihanraya 8 Mac 2008 ini. Menurut Haji Mohd Sayuti, pimpinan kolektif PAS di Kelantan yang menilai prestasi Dato’ Ibrahim sewaktu beliau menjadi Ahli Parlimen BN, malah beliau juga aktif ketika mengambil bahagian dalam perbahasan. Seterusnya kata Haji Mohd Sayuti, beliau difahamkan rakyat di Pasir Mas menyedari Dato’ Ibrahim prihatin dengan pendidikan anak-anak Melayu.





“Saya difahamkan sesiapa sahaja mengadu kepada Dato’ Ibrahim mengenai kesulitan menghantar anak-anak mendapat pendidikan, beliau akan membantu sedaya upaya tak mengira penyokong UMNO mahupun penyokong PAS,” jelas Haji Mohd Sayuti yang juga berasal dari Pasir Mas. Menurut Haji Mohd Sayuti dalam politik memang musuh sentiasa mengambil pendekatan negatif, justeru tak hairanlah Dato’ Ibrahim dilabel sebagai ‘pakar lompat’. Sebaliknya beritahu Haji Mohd Sayuti lagi, ramai lagi pimpinan politik yang melompat tapi tak pernah disentuh termasuk juga tokoh-tokoh ternama di satu masa lalu. “Memang saya turut mengiringi Dato’ Ibrahim semasa penamaan calon, tapi tak pernah mempengaruhinya bagi menjadi calon PAS,” kata Haji Mohd Sayuti.

INFO SASTERA & BUDAYA



KEJATUHAN LEKRA DAN KOMUNISME
DITERBITKAN SEMULA UNTUK PEMAHAMAN

Buku ‘Pertumbuhan, Perkembangan dan Kejatuhan Lekra di Indonesia’ (PPDKLDI) oleh Yahaya Ismail akan diterbitkan semula, bagi membolehkan generasi alaf baru 2000 memahami bahaya komunisme kepada tamadun manusia. Yahaya Ismail pengkritik sastera tersohor dekad 1960-an memberitahu, buku berkenaan yang buat pertama kali diterbitkan pada 1972 menerusi DBP, akan diulang cetak oleh sebuah penerbitan di Indoensia. Dengan kata pengantarnya oleh pengkritik sastera ternama di Indonesia iaitu H.B. Jassin, fokus memang tertumpu kepada Lekra (Lembaga Kebudayaan Rakyat) yang disusupi anasir komunisme sekitar dekad 1960-an, hingga menyebabkan berlakunya kebangkitan rakyat menentang Presiden Sukarno dalam ‘Gerakan 30 September 1967’.





Ketika mengalu-alukan penerbitan semula buku berkenaan, pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menganggap PPDKLDI adalah kajian ilmiah yang sesuai untuk memberi kefahaman kepada rakyat Indonesia dan Malaysia mengenai bahayanya unsur-unsur komunisme. Justeru, kata Dato’ Dr Mohd Mansur generasi muda perlu didekatkan dengan kebebasan minda, bagi menolak sistem komunisme yang tak menerima agama sebagai landasan kehidupan rakyat. Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga aktivis budaya dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM memberitahu, sekalipun PPDKLDI sudah diterbitkan lebih 30 tahun lalu, tetapi masih relevan dijadikan bahan bacaan umum yang sesuai kepada semua peringkat umur.

Memang PPDKLDI merupakan tesis Yahaya bagi memenuhi pengajian akademik di Universiti Nasional Indonesia di bawah seliaan H.B. Jassin, tetapi persoalan yang dibawa merumuskan kepentingan di nusantara. Dalam kata pengantarnya H. B. Jassin juga turut mengakui: “Telah beberapa buku terbit mengenai komunisme di Indonesia, antara lain karangan Brackman, Hindley, Kahin, tapi mereka sama sekali tidak menyinggung peranannya di lapangan kebudayaan. Syukurlah skripsi ini sekarang sudah dapat terbit di Malaysia. Mudah-mudahan menjadi cermin, jangan sampai apa yang dialami di Indonesia berulang pula di Malaysia.” Maknanya kebobrokan dalam pentadiran kerajaan memungkinkan anasir luar menyusup masuk dalam kebudayaan tempatan. Barangkali!



KOMENTAR
bersama Pak Parjo




PERIHAL PENDAPATAN RAKYAT
HASIL KAJIAN YANG MENINGKAT

Sebermula tersebutlah di negeri Melayu akan Kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) 2007 yang dikeluarkan semalam (27 Safar 1429 atau tarikh anak-anak muda sekarang 5 Mac 2008) menjadi kebanggaan pembesar-pembesar negeri yang mahu dipuji-puji iaitu meningkat 4.3% daripda RM3,249 sebulan pada 2004 kepada RM3,686 pada 2007. Maka bertanyalah sahabat-sahabat fakir kepada penjaja kecil di tepi jalan, mahu dapatkan laba RM70 sehari ini pun ‘wal hasil balik hasal’. Syahdan akan pemandu teksi pula merungut kerana pakai gas pun (sebelumnya menggunakan petrol), pening kepala juga mahu dapat keuntungan bersih RM40 sehari. Tak tahulah sama ada kajian itu adalah berdasarkan hitung panjang purata termasuk pendapatan Patrick Lim, Vincent Tan, Ananda Krishnan atau Robert Kuok yang dicampurkan dengan petani, penjaja, nelayan dan heh heh heh!



Syahdan pergilah sahabat-sahabat fakir ke Felda kerana kononnya peneroka-peneroka menerima bonus RM500 setiap keluarga, apabila diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri negeri Melayu itu yang bernama Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Bahawasanya pada zaman purbakala akan Bendahara Paduka Raja tidaklah mempunyai ia akan timbalannya, tetapi taat setianya tiadalah berbelah bahagi kerana ‘pantang anak Melayu derhaka’. Maka peneroka-peneroka Felda itu memberitahu sahabat-sahabat fakir akan bonus itu memanglah diberi setiap tahun sebagai dividen, tetapi setelah dipotong itu dan ini oleh koperasi baliklah peneroka-peneroka itu ke rumah masing-masing ‘pergi dapat engap, balik dapat hembus’. Isy isy isy!




Arakian setelah didengar oleh Sultan Mahmud perihal syarat-syarat peminangan yang dikehendaki oleh Puteri Gunung Ledang seperti disembahkan Tun Mamat, maka baginda menitahkan semua orang besar-besar Melaka menyediakan segala permintaan tersebut. Syahdan bagi membina jembatan emas dan jembatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang itu, maka segala hamba rakyat dikerah memberikan segala barang-barang kemas mereka. Akan setempayan air mata dan setempayan air pinang muda pula, lalu dikerah segala hamba rakyat menangis dengan menadahkan air mata mereka. Terlalu gembiralah Sultan Mahmud kerana hamba rakyat boleh dikerah menyediakan segala yang dititah baginda seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ dan disurat oleh:















HIDUP BAHASA MELAYU!