Wednesday, July 9, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
“S U A R A P R I M A”
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

KEJUTAN PANGGILAN TELEFON:
RAKAMAN KETIKA MESYUARAT SULIT

Assalamualaikum,

Terkejut juga menerima panggilan telefon hanset, apabila nombor Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim yang naik kira-kira 9.30 malam semalam (8 Julai 2008). Rupa-rupanya bukan beliau yang membuat panggilan, sebaliknya sekadar rakaman dalam mesyuarat ‘sulit’ pimpinan kerajaan negeri Selangor. Ketika saya buat panggilan semula, Teng juga berasa hairan bagaimana laporan sulit mesyuarat ‘Pakatan Rakyat’ boleh tersibar menerusi hanset saya. “Nasib baik laporan sulit itu masuk ke saluran yang betul, kalau tidak sudah tentu kena putar belitkan,” beritahu Teng yang juga kawan lama saya. Sebagai peguam, memang kerapkali saya meminta khidmat nasihat beliau berkaitan perundangan, tetapi saya tak akan menggunakan firmanya, kerana beliau enggan menerima bayaran. Aduhai!








Memang pernah berlaku insiden saya meminta khidmat guaman beliau, setelah dibawa oleh Liew Ah Kim (bekas Ahli Parlimen Seputeh) menemui beliau di pejabatnya di Kelang. Teng berulang alik juga ke mahkamah di Kuala Lumpur, tetapi selesai sahaja kes berkenaan, beberapa kali saya mendesaknya mengirimkan bil, tetapi beliau sekadar heh heh heh! Bagaimanapun saya tetap meminta khidmat nasihat beliau berkaitan dengan perundangan, apalagi sebagai aktivis masyarakat banyak sangat keserabutan, kekelabutan dan kekalutan yang memerlukan khidmat nasihat peguam. (Petang ini 4.00 pm, 9 Julai 2008, Teng menghubungi PRIMA meminta jasa baik agar butir-butir perbahasan beliau dalam mesyuarat ‘sulit’ itu tak didedahkan).

Sebelum itu sebelah petangnya (8 Julai 2008), saya menghantar faksmili kepada Dato’ Seri Abdullah (yang juga Menteri Kewangan), berkaitan kebobrokan dalam pentadbiran Angkatan Koperasi Kebangsaan (ANGKASA) yang menguruskan pinjaman bank kepada kakitangan awam dan badan berkenun. Disebabkan respons daripada surat bertarikh 25 Jun 2008, Bank Simpanan Nasional (BSN) memberikan fakta peminjam sekadar melunaskan sebahagian sahaja hutangnya. Memang sukar dipercayai apabila potongan gaji dibuat oleh jabatan mengikut prosedur ditetapkan, tetapi bayaran disampaikan kepada BSN tak mencukupi. Berikutan ‘kelalaian manusia’ peminjam menerima notis daripada peguam untuk menarik semula segala kemudahan pinjaman, di samping perlu membayar bil peguam. Astaga!

Penyelesaiannya pula peminjam dikehendaki membayar semua tunggakan yang konon belum dilunaskan, disamping akan dikembalikan selepas selesai bayaran pinjaman (tak kiralah hingga 10 tahun sekalipun) sekiranya berlaku ‘rebat’. Ironinya, pihak ANGKASA masih tak memberikan jawapan berkaitan kekeliruan yang berlaku, apabila ianya sudah tentu menjadi trauma kepada peminjam. ANGKASA yang digerakkan menerusi khidmat urus selia bagi pinjaman yang dibuat kakitangan awam dan badan berkanun, seharusnya ‘mempertingkatkan’ (up grade) perkhidmatan bagai memelihara kewibawaannya. Malah PRIMA berharap pengurusan di ANGKASA prihatin dengan insiden berkenaan, justeru langkah segera perlu diambil memperbetulkan kekeliruan.

- Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA




KELALAIAN ANGKASA TAK DIPANTAU
MANGSA TERPAKSA TANGGUNG RISIKO



(Kenyataan media Ketua Pimpinan PRIMA, Pak Dharmala N.S. pada 8 Julai 2008 di Kuala Lumpur, meminta Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Seri Noh Omar memantau gerakan koperasi supaya memperbetulkan segera kekeliruan dalam memberikan khidmat nasihatnya).


Hari ini (8 Julai 2008) saya menulis surat menerusi faksmili kepada Jabatan Pengurusan Kredit, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan salinan kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Seri Noh Omar iaitu susulan surat bertarikh 25 Jun 2008 berkaitan kemudahan pinjaman yang dibuat oleh anak saya Khairil Nizam menerusi pejabatnya Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Berikutan kelalaian pihak ANGKASA, anak saya menerima notis daripada peguam BSN untuk menarik semula kemudahan pinjaman atas alasan tak melunaskan tunggakan bayaran pinjaman:

Bersama ini dikirimkan butir-butir bayaran ANGKASA kepada BSN, dan perbezaan potongan gaji Khairil Nizam dari Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di samping fakta bayaran kepada ANGKASA:

Potongan Gaji MPM ANGKASA kepada MPM

Mei 2007 (G 0189) RM 240.00 (K442792) RM 172.77
Jun 2007 (G 0189) RM 240.00 (K473176) RM 172.77
Jul 2007 (G 0189) RM 240.00 (K499787) RM 172.77
Nov 2007 (G 0189) RM 240.00 (K633624) RM 159.87
Dis 2007 (G 0189) RM 240.00 (K665399) RM 133.40
Jan 2008 (G 0189) RM 240.00 (K697271) RM 173.14
Feb 2008 (G 0189) RM 240.00 (K756057) RM 173.14


Sila berikan penjelasan kepada BSN, bagaimana berlaku perbezaan bayaran dari ANGKASA kepada BSN, berbanding potongan gaji Khairil Nizam daripada MPM. Perbezaan ini amat jelas disebabkan kelalaian pihak ANGKASA, justeru adalah tak wajar Khairil Nizam menerima risiko daripada BSN dan peguamnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

KARYAWAN MELAYU PERLU PROFESIONAL
TUNTUT BAYARAN SETIMPAL DENGAN KARYA

Aktivis budaya, penyair Yassinsalleh mencadangkan karyawan Melayu termasuk penulis, pelakon, pemuzik mahupun pelukis mengambil pendekatan profesional dalam berkarya. Ketika menghubungi PRIMA, Yassinsalleh yang pernah dinobatkan pengarah terbaik Pesta Filem Malaysia sekitar dekad 1980-an, memberitahu disebabkan karyawan Melayu mengenepikan profesionalisme, justeru mereka diperlekeh sekalipun berharap diperjuangkan menerusi janji pimpinan persatuan. Menurutnya, secara profesional setiap karyawan perlu menuntut bayaran yang setimpal daripada penerbit atau pengusaha yang mahu memasarkan karya-karya mereka. “Karyawan tak perlu berasa malu menuntut bayaran tinggi secara pendekatan profesionalisme yang diamalkan di negara-negara luar,” beliau menjelaskan.




Persatuan-persatuan yang mahu berjuang untuk kepentingan karyawan, sekadar mahu mencari glamour kerana ianya memberi manfaat kepada seorang berdua pemimpin dalam persatuan terbabit, kata Yassinsalleh seterusnya. Sambil mengambil contoh penulis siri novel Harry Poter, J.K. Rawlings yang mampu membeli rumah bernilai 5 juta pound dengan hanya sebuah sahaja novel karyanya, apa salah penerbit di Malaysia memberikan penghargaan kepada pengarang-pengarang Melayu, kata Yassinsalleh. Beliau juga kesal dengan sikap penerbit ketika Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan di bawah Dato’ Seri Rais Yatim memberi peruntukan kepada Perpustakaan Negara membeli buku-buku penulis, tetapi dieksploit dengan cara terancang.

“Dalam masa Perpustakaan Negara (PN) memperuntukkan RM25 ribu kepada setiap judul buku, penulis dibayar 10 atau 20 peratus sahaja oleh penerbit,” beritahu Yassinsalleh di samping meminta kementerian terbabit mengakji semula peruntukan tersebut. Katanya lagi, penerbit terbabit tak akan mendapat satu sen pun sekiranya penulis tak menurunkan tanda tangan dalam borang pesanan dibuat PN. Beliau juga seterusnya menambah, tak semua penulis seperti pimpinan PRIMA yang bertindak secara profesional hingga boleh menerima RM17 ribu daripada RM25 ribu, setelah ditolak kos cetak dan urusan perkhidmatan kepada penerbit. “Dato’ Dr Mohd Mansor sekadar menerima RM5 ribu sahaja apabila penerbit memberi pelbagai alasan,” kata Yassinsalleh.

INFO SUARA PROLITAR

UMNO LUPA UNDI BLOK 73
TAK SERIK DIKERENYUK PRU12

Apa dah jadi dengan UMNO? Tak serikkah dikerenyuk pada PRU12 lalu? 29 Jun (2008) lalu UMNO Pulau Pinang akan cadang Pak Lah (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Najib (Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak) untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada Disember nanti. Lepas tu Perlis. Hari ini (9 Julai 2008) Selangor pula. Bahagian-Bahagian UMNO tak bolehkah calonkan? Semua serah pada UMNO Negeri, macam undi blok sebelum 1973. Yang tak belajar sejarah, UMNO le gamaknya! – (SMS; 9 Julai 2008, 15:52:17 – Bung Sheikh; Kelang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PINDA KANUN ANAK ANGKAT
BERCANGGAH DENGAN HUKUM SYARAK



Sebermula diberitahu kepada orang banyak akan Majlis Fatwa Kebangsaan negeri Melayu itu sudah mengharamkan penggunaan nama anak angkat dengan ‘bin’ kepada ayah angkatnya sejak tahun Hijrah 1421 (atau disebut orang banyak 2000). Arakian kata Pengerusi Majlis Fatwa, Maulana Dato’ Mahaguru Abdul Shukor Husin (kata anak cucu fakir ialah Profesor Dato’ Dr Abdul Shukor Husin), hendaklah dipinda akan Kanun Pengangkatan 1952 (Kanun 253), iaitu seperti disebut orang banyak Akta Pengangkatan 1952 (Akta 253). Adapun kanun yang digunapakai sekarang bercanggah dengan hukum syarak. Syahdan diberitahu orang banyak kepada fakir, sudah 50 tahun merdeka kanun anak angkat di negeri Melayu itu bercanggah dengan hukum syarak. Barangkali!

Arakian tersebutlah sekali persetua di negeri Melayu itu pernahlah terjadi diserang oleh Jepun. Maka alahlah negeri Melayu itu. Pecah perang segala perajurit Mat Saleh yang digeruni oleh bangsa Melayu. Syahdan ramailah Mat Saleh itu melarikan diri dengan meninggalkan anak-anaknya yang kecil kepada orang Melayu, seperti perihal berlaku ke atas Mak Minah. Maka dipeliharalah oleh Mak Minah akan anak Mat Saleh itu diberikan namanya Natrah. Sebermula tak berapa lamanya, alahlah Jepun itu. Maka baliklah Mat Saleh itu menuntut anaknya yang diberi nama Natrah oleh Mak Minah. Oleh kerana orang Melayu tak mempunyai Majlis Fatwa Kebangsaan atau ulama-ulamanya, dapatlah Mat Saleh itu mengkristiankan semula anak angkat Mak Minah.

Sebermula, maka Sang Sapurbalah jadi raja di Palembang itu, maka Demang Lebar Daun pun turun menjadi mangkubumi. Syahdan, pada suatu hari hanyut buih dari hulu Sungai Palembang itu terlalu besar. Maka dilihat orang di dalam buih itu seorang budak perempuan, terlalu baik parasnya. Maka dipersembahkan orang ke bawah duli Sang Sapurba. Mak disuruh baginda ambil; maka dinamai baginda Puteri Tanjung Buih, lalu oleh baginda dijadikan anak angkat. Terlalu sangat dikasihi oleh baginda. Telah berapa lamanya Sang Sapurba duduk dengan Wan Sendari itu, maka baginda pun beranak empat orang, dua orang perempuan baik-baik parasnya. Maka jadi ikutan turun temurun apabila pasangan suami isteri itu tak beranak, diambillah anak angkat supaya akan beranaklah jua kemudiannya seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:

















HIDUP BAHASA MELAYU!