Saturday, January 19, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:
OKU JUAL TISU DI GERAI
KE MANA ARAH ISLAM HADHARI


Assalamualaikum,


Hingga jam 1.00 pagi (17 Januari 2008) menunggu Pengerusi Telapak Budaya Gombak (Telapak), Sdr Omar Sudi Abdul Manan di sebuah restoran mamak di Taman Seri Gombak, berikutan beliau masih shooting drama TV di Hulu Kelang bersama krew Dato’ Yusuff Haslam. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz tiba lebih awal kira-kira jam 11.00 malam di lokasi berkenaan bersama isterinya Datin Rozie, setelah menghubungi saya sebelum itu. Memang pada peringkat awalnya mahu bertemu di rumah Sdr Omar Sudi, tetapi terpaksa diubah lokasi pada saat-saat akhir, disebabkan hingga jam 12.00 malam beliau masih belum selesai menjalani shooting drama TV berkenaan.


Sebaik sahaja Sdr Omar Sudi sampai di restoran berkenaan, beliau terus sahaja merungut disebabkan sepasukan penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang dengan dua buha van mengganggu penggambaran. Kononnya, jiran berdekatan lokasi penggambaran drama itu membuat laporan mengganggu mereka tengah malam disebabkan bising dan entah apa-apa lagi. Astaga! Sdr Omar Sudi memberi penjelasan beliau juga salah seorang ahli majlis perbandaran di Selayang, sekiranya berlaku gangguan bising biasanya pihak polis yang dihubungi. Tetapi penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang masih juga mahu menunjukkan pihaknya menjalankan tugas hingga melewati jam 12.00 malam, justeru tak pedulilah fasal rayuan Sdr Omar Sudi. Agaknya heh heh heh!



Kebetulan pula sebelum Sdr Omar Sudi tiba di lokasi berkenaan, seorang suami OKU dipimpin oleh isterinya menjual kertas tisu ke meja saya bersama Dato’ Kamal Amir minum bersama isteri juga. Disebabkan kami tak memerlukan kertas tisu, Dato’ Kamal Amir sekadar menghulurkan RM10 kepada si OKU tersebut. “Inilah Malaysia tanah airku yang tercinta!” sinis Dato’ Kamal Amir sebaik sahaja OKU terbabit berlalu. Bukan sahaja berkisar kepada OKU yang menjual kertas tisu di kedai-kedai makan, malah isu pengutip derma yang sentiasa menunggu di pintu bangunan bank mahupu premis Tabung Haji yang kononnya mewakili badan anak-anak yatim, madrasah, masjid dan entahlah!



Kata Dato’ Kamal Amir, peruntukan berjuta-juta yang disalurkan kepada program perkampungan Islam Hadhari, lebih baik digunakan memantau kegiatan OKU menjual kertas tisu di kedai-kedai makan, pengutip derma yang membabitkan badan anak-anak yatim, institusi madrasah, pembinaan masjid dan sebagainya. Setidak-tidaknya OKU boleh bersantai di rumah apabila malam, di samping aktivis pengutip derma tak payah melilau di pintu-pintu bank atau premis Tabung Haji menjual kaset, CD, buku-buku dan sebagainya. Apalagi ketika Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak umumkan pembinaan masjid di Kelantan, pengutip derma juga berharap mahu membina masjid di Grik, Perak. Di Kedah juga!


Aktivis perkampungan Islam Hadhari juga wajar turun padang, termasuk juga menteri yang terbabit. Kalau sekadar duduk di pejabat berhawa dingin, memang yang dilihat ialah program perkampungan Islam Hadhari dengan peruntukan, peruntukan dan peruntukan! Sekali sekala turunlah bersama PRIMA ke gerai-gerai makan pada waktu malam, atau menjengah ke premis bank atau Tabung Haji. Fenomena berkenaan sudah jadi lumrah di beberapa buah bank di Taman Seri Gombak atau premis Tabung Haji di Batu Caves. Bukan sekadar mengganggu mereka yang berurusan di premis berkenaan, malah sesiapa yang melintas di depan kaki lima akan dirayu (sekalipun tak sama dengan taktik perayu undi ketika pilihanraya). Aduhai!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


LAPORAN PERSIAPAN UMNO
PAK LAH BERDEPAN GUNUNG BERAPI


Laporan yang disampaikan kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai persiapan pilihanraya UMNO semuanya cemerlang, gemilang dan terbilang. Berdasarkan laporan yang disampaikan Dato’ Seri Abdullah (Pak Lah) juga berasa lega, ceria dan gembira, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau yang juga penganalisis politik memberitahu, pergolakan dalaman UMNO bagai kawah gunung berapi yang sudah memuntahkan laharnya. Menurut Dato’ Kamal Amir, sebagai aktivis UMNO beliau bimbang Pak Lah sekadar menerima laporan sahaja, tetapi tak pernah meninjau sendiri ke akar umbi, apabila mengulas laporan media hari ini (18 Januari 2008) mengenai persiapan jentera UMNO.

“Pak Lah kata dia puas hati dengan laporan Ketua Perhubungan UMNO negeri yang mengaku mereka bekerja kuat, tapi banyak pula lagi perkara yang perlu diberi perhatian,” beritahu Dato’ Kamal Amir apabila merujuk laporan PRIMA mengenai 17 ADUN di Negeri Sembilan akan digugurkan pada pilihanraya akan datang. Sekalipun ianya boleh diandaikan sebagai spekulasi, tetapi ianya bukan perkara mustahil berdasarkan senario politik sekarang, jelas Dato’ Kamil Amir selanjutnya. Sambil merujuk kepada kenyataan Dato’ Seri Dr Rais Yatim yang mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1987 melaksanakan dasar ‘politik cantas’, Dato’ Kamal Amir juga tak menolak kemungkinan fenomena ‘politik cantas’ dilakukan besar-besaran menjelang pilihanraya ini.


FOKUS POLITIK DI KELANTAN
KU LI GUGUR SEBAGAI CALON


Bekas Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah disebut-sebut akan digugurkan sebagai calon UMNO dalam pilihanraya akan datang, sekaligus beliau tak lagi berpeluang mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang yang dimenanginya sejak pilihanraya 1974. Bagaimanapun pada pilihanraya 1990 dan 1995, Tengku Razaleigh (Ku Li) terus memenangi kerusi Parlimen Gua Musang atas tiket Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) menewaskan calon UMNO. Menurut sumber di Kelantan, UMNO negeri itu dikatakan sudah menyerahkan dua senarai calon kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Salah satu daripada senarai calon berkenaan nama Ku Li digugurkan, sebaliknya senarai yang satu lagi masih memerlukan khidmat Ku Li.


“Kalau pilihanraya 1959 dan 1990, UMNO sekadar tinggal dua sahaja kerusi di DUN Kelantan atau bagi masyarakat tempatan ‘batu nesan’, adalah dibimbangkan UMNO tak akan menang satu kerusi pun sekiranya Ku Li digugurkan dari senarai calon,” beritahu sumber tersebut kepada sekretariat PRIMA. Seterusnya kata sumber itu lagi, fenomena menyerahakan dua senari calon itu bukan sahaja berlaku di Kelantan, malah di beberapa negeri lain pimpinan UMNO negeri turut melakukan. Menurut sumber berkenaan, dalam senarai calon pilihanraya di Kelantan setakat ini, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Kelantan Dato’ Seri Anuar Musa disebut-sebut diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Gua Musang.


INFO SASTERA & BUDAYA:

MANKADIR AKAN MENGAUM
YASSIN BACA ‘10 BUDAK HITAM DI PUTRJAYA’


Aktivis teater dari Pahang L. Mankadir Shamsi akan mendeklamasikan sajak ‘Aum Si Tua’ dalam majlis Baca Puisi Maal Hijrah di Taman Seri Gombak, 19 Januari 2008 ini. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Mankadir yang pernah membintangi beberapa filem Melayu sejak dekad 1970-an memberitahu sajak beliau membawa tema ngauman harimau tua yang berhadapan dengan gonggongan serigala. Katanya, biarlah audien membuat tafsiran mengenai sajak yang dideklamasikan, selagi mereka tak mahu melihat ‘perhambaan minda’ berterusan meracuni kehidupan bangsa Melayu. “Insya Allah saya akan hadir untuk memeriahkan majlis baca pusi asal sahaja diundang oleh mana-mana pihak penganjur,” beritahu Mankadir.



Sementara itu penyair Yassinsalleh akan mendeklmasikan sajak ’10 Budak Hitam Di Putrajaya’ yang pernah menggamatkan suasana baca puisi di Rumah Pena baru-baru ini. Baca Puisi Maal Hijrah ini dianjurkan oleh Telapak Budaya Gombak (Telapak) dan Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang dan PRIMA, di samping akan dirasmikan oleh ADUN Gombak Setia, Tuan Haji Yuszahari Yusuff. Di samping penyair-penyair yang akan hadir termasuk Ahmad Sarju, M. Ashikin, Ruhanie HR, Azeem Arash, Nurul Salwa, Rozie Kamal dan Dharmala N.S., Tuan Haji Yuszahari juga akan turut mendeklamasikan sajaknya ‘Di Sisi Gapura’.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


PERKAMPUNGAN HADHARI DI SELANGOR
PROGRAM KEBANGGAAN ABDULLAH ZAIN


Syahdan diberitahu ke serata pelusuk negeri mengenai program Perkampungan Hadhari Negeri Selangor akan berlangsunglah pada 26-27 Januari 2008 ini yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kononnya! Maka bergembiralah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Abdullah Mohd Zain kerana peruntukan yang berbaloi melaksanakan program Perkampungan Hadhari itu, kira-kiranya akan kekallah ianya di atas peterana segala menteri-menteri di dalam negeri, kerana terbuktilan taat setianya bekerja kuat membelanjakan peruntukan tersebut. Adapun program itu termasuklah Seminar Antarabangsa Islam Hadahri diadakan di Hotel Concorde, bukanlah di kampung-kampung. Masya Allah!


Gerangannya 600,000 peserta akan memenuhi perkampungan tersebut di Dataran Merdeka, malah jumlahnya melebihi demonstrasi jalanan anjuran Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih (BERSIH). Heh heh heh! Sebermula dimaklumkan kepada fakir akan Dataran Merdeka dan Hotel Concorde itu bukanlah lagi di dalam negeri Selangor, tetapi ianya di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur adanya. Maka datanglah Dr Fazley Yaacob memberikan motivasi kepada Perkampunga Islam Hadhari (tentulah tak sama dengan Perkampungan al-Arqam) yang turut diserikan dengan halaqah, malam penghayatan, pertandingan nasyid, pidato hijrah, senamrobik dan sukaneka dan dan dan…(seakan-akan program Jom Heboh TV3).

Arakian fakir pun teringat akan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, apabila anak-anak buah datang bermain di halaman rumahnya (taklah sampai 600,000 orang), maka diberilah mereka itu barang sebahara emas seorang. Disebabkan lagi bermain anak-anak buahnya meletakkan emas itu di gelegar rumah atau di mana-mana sahaja, apabila hari petang mereka semua baliklah ke rumah masing. Maka terlupalah mereka akan emas yang dihadiakan oleh Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir itu. Setelah budak-budak itu pulang ke rumah, maka emas yang diletakkan di gelegar atau di hujung bendul diambil oleh pengawal-pengawal rumah Dato’ Bendahara. Keesokan harinya apabila budak-budak itu datang bermain mengadulah mereka emasnya sudah hilang. Lalu diberi pula oleh Bendahara Seri Maharaja emas yang lain sebahara lagi, maka suakcitalah budak-budak itu seperti yang disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ itu oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!