Saturday, October 18, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

MEMANG SUKAR MAHU DIHARAPKAN:
MUSANG DIAMANAH MENJAGA REBAN

Assalamualaikum

Persaingan dalam merebut jawatan tetinggi UMNO semakin terasa bahangnya, sekalipun calon bagi jawatan Presiden UMNO terus dimonopoli oleh Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak. Hari ini (18 Oktober 2008) dan besok (19 Oktober), Mesyuarat Agung Bahagian-Bahagian UMNO, akan membuat pencalonan bagi jawatan-jawatan tertinggi UMNO. Dalam perebutan jawatan pimpinan UMNO, fokus memang terarah kepada pencalonan-pencalonan yang diputuskan menerusi Mesyuarat Agung Bahagian, disebabkan secara realiti UMNO masih mengetuai kerajaan. Mungkin sahaja Ahli Parlimen Jerlun Dato’ Mukhriz Tun Dr Mahathir sudah selesa dengan pencalonan bagi kerusi Ketua Pemuda UMNO apabila melepasi kouta 39, tetapi pengundian pada Mac 2003 boleh meranapkan segala-galanya. Barangkali!

Di samping Dato’ Mukhriz, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein juga sudah melepasi kuota 20 pencalonan bagi kerusi Naib Presiden, malah Tan Sri Rafidah Aziz yang semakin keras dikritik juga turut melepasi kouta 39 pencalonan bagi kerusi Ketua Wanita yang dikira sudah selesa dengan keputusan berkenaan. Begitulah! Secara kronologi sepanjang pemilihan UMNO sama ada di peringkat cawangan, Bahagian mahupun ke Perhimpunan Agung, Mac 2009 nanti semua warung teh tarik di kampung-kampung, apalagi kedai-kedai mamak yang beroperasi 24 jam di kota memang menjadi lokasi perjumpaan aktivis UMNO. Isu ‘politik wang’ yang diwar-war sekadar orkestra biasa untuk lunak didengar sahaja, kerana amat sukar apabila ‘musang’ diamanahkan sebagai pemantau reban ayam.

Ketika UMNO mencatur-catur petak yang diberikan kepada pemimpin-pemimpin mereka merebut posisi terpenting dalam parti, Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim tak pernah berdiam diri. Malah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) menggerakkan agenda bagi memintas pemilihan Mac 2009, sekalipun pimpinan UMNO menolak sebarang spekulasi mengenai ‘Kerajaan Perpaduan’ yang khabarnya disarankan oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Memang di peringkat awal Tengku Razaleigh menafikan pembabitan dalam permuafakatan dengan PR bagi mengambil alih kerajaan Persekutuan. Apalagi sebelumnya Tengku Razaleigh dilihat tak berminat dengan permuafakatan bersama Dato’ Seri Anwar, seperti keperihalan pada 1987. Insiden 1987 tak siapa menduga tiba-tiba sahaja Tengku Razaleigh beregu dengan Tun Musa Hitam dalam agenda menyampaikan mesej kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mesej Tengku Razaleigh amat jelas, iaitu beliau bersedia ke arah penubuhan ‘Kerajaan Perpaduan’ bagi mengambil alih kerajaan Persekutuan. Justeru tak hairanlah seperti disebut oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu proses mengambil alih kerajaan Persekutuan bukanlah semudah membuat spekulasi. Sebaliknya memerlukan permuafakatan teliti bagi menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat ke arah memantapkan kerjasama. Maknanya, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz juga tak menolak sebarang kemungkinan mengambil alih kerajaan Persekutuan yang digerakkan oleh Dato’ Seri Anwar. Malah Pemuda PAS di bawah Sallehuddin Ayub juga turut mempelawa Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyertai PR apabila trend dalam persaingan UMNO meneruskan abjad wal hasil balik hasal, wal hasal balik hasal!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

ONG KA TING MINTA MANSUH ISA:
BN PERLU BERUBAH ATAU DIUBAH

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Seri Ong Ka Ting mengingatkan BN perlu membuat perubahan, sebelum ianya diubah oleh rakyat. Beliau juga tak menyalahkan pembangkang berikutan kekalahan calon-calon MCA pada Pilihanraya Umum ke 12 (PRU12), 8 Mac 2008, sebaliknya persepsi rakyat terhadap kebobrokan yang berlaku dalam BN seolah-olah ianya sebagai pelaksanaan polisi oleh pimpinan komponen. “Rakyat menolak calon-calon BN kerana persepsi rakyat yang salah terhadap polisi kerajaan, sekalipun semua pemimpin komponen BN berusaha dengan penuh keikhlasan bagi meyakinkan mereka dengan polisi yang dilaksanakan,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung MCA yang disiarkan terus meneruskan di TV.

Presiden MCA itu dalam ucapan dasarnya yang terakhir di Perhimpunan Agung MCA pagi ini (18 Oktober 2008) mengakui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bukan penyelesaian dalam isu keselamatan awam yang diwar-war oleh kerajaan. Dato’ Seri Ong menerima tepukan gemuruh perwakilan (seperti menerusi siaran langsung di TV1 dan TV3) apabila meminta ISA dimansuhkan, atau sekurang-kurangnya dikaji semula penggunaannya. Ketika menggariskan enam perkara sebab-sebab BN kehilangan sokongan pada PRU12, Dato’ Seri Ong menjelaskan persepsi rakyat terhadap imej BN berikutan kebobrokan dalam pentadbiran menyebabkan ianya membawa padah. Di samping mengkritik ISA, Dato’ Seri Ong juga menyifatkan kenaikan harga barang-barang keperluan turut menyumbang kepada prestasi buruk BN pada PRU12, 8 Mac 2008 yang lalu.

“Harga minyak sudah pun turun sekarang, tetapi harga barang-barang keperluan masih belum turun,” beritahu Dato’ Seri Ong yang dipercayai tak mengikut teks asal ucapannya, di samping menerima tepukan gemuruh daripada perwakilan MCA. Seterusnya Dato’ Seri Ong mendedahkan kerenah birokrasi banyak menjadi penyumbang kepada persepsi buruk rakyat, malah tak menyalahkan pembangkang yang mengeksploit isu berkenaan, sebaliknya berkata, “BN perlu membuat perubahan, sebelum BN diubahkan”. Seterusnya beliau mendedahkan bagaimana MCA berjaya mempengaruhi kerajaan untuk membina bangunan sekolah Cina setelah tak mampu untuk uruskan mengutip derma. “Dengan usaha MCA sejumlah peruntukan diluluskan untuk membina sebuah sekolah, tetapi kalau diberikan kepada pihak lembaga pengurusan sekolah ianya boleh membina dua buah sekolah,” katanya sambil mengusik Dato’ Seri S Samy Vellu (bekas Menteri Kerjaraya) yang juga turut mengeluh dengan fenomena berkenaan.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(23)

7
STRATEGI PERANG BONEKA

KUNCI BILIK KURUNGAN TERUNGKAI
SI TONGKOL TUDUH BAPAK PROFESOR.

SI TONGKOL menumbuk-numbuk kepala lutut kerana marah sangat. Sekejap bingkas bangun bercekak pinggang sambil menghentak-hentak keki ke lantai, kemudian duduk semula di kerusi menghenyak punggung. Kepalang marahnya Si Tongkol sebaik sahaja mendapati kunci pintu bilik kurungan terungkai! Ditambah lagi kepenatan sepanjang malam tersadai di pulau-pulau kecil tengah laut akibat ombak tsunami di sebelah utara.

Dia merungut-rungut disebabkan tak dapat memasuki perairan Phuket di selatan Thailand, ke Aceh, Indonesia terus ke Sri Lanka. Ombak tsunami menghalang laluan ke destinasi yang dituju. Terpaksa pula berpatah balik ke terumbu batu karang yang mereka panggil planet boneka itu.

Memang di situ destinasi dia bekalkan senjata api yang direka cipta oleh Bapak Profesor. Segala tenaga kerja menyiapkan peralatan canggih memang Bapak Profesor gunakan boneka-boneka yang dipantau dengan alat kawalan jauh. Bukan takat senjata M-16 sahaja, malah pelancar roket juga mampu dihasilkan oleh Bapak Profesor. Sejak dicolek kumpulan gerila dari universitas di Bandong, lama juga Bapak Profesor dikurung dalam sel di Sweden.

Kumpulan gerila yang bersembunyi di Stockholms mahukan dia bekerja di pusat tenaga atom bawah tanah. Bapak Profesor menuruti kemahuan mereka setelah terdesak dengan nasib anak gadisnya menghidap barah hati. Tak mampu dia mahu mengongkosi rawatan kemoterafi hingga 10 juta rupiah seminggu. Kalau dibawa ke Malaysia pun kos rawatan mencecah RM6,000 juga seminggu untuk kemoterafi.

“Macam mana kamu uruskan budak-budak pun, mereka dapat boloskan diri?” jerkah Si Tongkol menghentak-hentak penumbuk ke meja.

“Kalau bos tak telefon kami minta tunggu di bot, tentu mereka tak ke mana,” sahut Bung Hirman pertahankan diri. Dia tetap salahkan Si Tongkol kerana yakin budak-budak yang dikurung tak akan mungkin dapat boloskan diri.

“Boleh jadi mereka dibawa ke planet boneka, kerana kau tengok banyak kesan tapak kaki tentera boneka di pantai sana,” beritahu Jojo menggosok-goosk hidungnya yang besar tertonggok.

“Hah, orang tua itu pun tak kenang budi,” gerutu Si Tongkol apabila kenang dapat melarikan Bapak Profesor ke situ. Apalagi Bapak Profesor sudah kecewa berikutan anak gadisnya yang menghidap barah hati meninggal dunia juga.

Sebab itu Bapak Profesor tak mahu balik ke Bandung selepas melarikan diri dari pusat tenaga atom bawah tanah di Sweden. Sebaik sahaja Si Tongkol mahu membantunya melarikan diri, dia memilih pulau terumbu batu karang di perairan antarabangsa. Bapak Profesor sanggup membantu Si Tongkol bekalkan senjata api yang mahu diseludupkan.

“Selepas dia merasa berkuasa, Bapak Profesor tak mahu lagi ikut arahan kita,” ujar Bung Superman pula mencemik muka. “Sebab itu dia larikan budak-budak yang kita colek untuk kepentingan projeknya,” katanya lagi.

“Mungkin dia akan jadikan budak-budak itu robot, sebab dia boleh ubahsuai otak mereka dengan kepakaran teknologinya,” lantas sahaja Bung Hirman pula menuduh.

Si Tongkol tak menyahut. Sejak balik ke gua kecil persembunyian mereka di pulau terumbu batu karang itu, dia tak boleh duduk diam. Hatinya mendongkol sangat apabila kunci bilik kurungan terungkai. Siapa lagi yang mampu kopakkan kunci berkenaan kalau bukan boneka-boneka yang dipantau Bapak Profesor?

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

PUISI LAMA

Lirik Puitis Untuk UMNO
(dengan apologi)


Wal hasil balik hasal
wal hasal balik hasil
kalau pembangkang buat fasal
ISA kurung dalam sel.

Wal hasal balik hasil
wal hasil balik hasal
kalau kompenan BN gesel
UMNO tak pernah kesal.

Wal hasil balik hasal
wal hasal balik hasil
bila Gerakan cari fasal
UMNO turun harga diesel.

Wal hasal balik hasil
wal hasil balik hasal
kalau pandai gesel-gesel
Najib takkan cari fasal.

Wal hasil balik hasal
wal hasal balik hasil
jangan sengaja buat fasal
nanti kena kurung dalam sel!

-Yasleh Rita Ayu
UM, Lembah Pantai.
18 Oktober 2008.


MUZIUM AKAN BANTU PENERBITAN:
BUKU AUTOBIOGRAFI UNDANG REMBAU

Penerbitan buku autobigrafi YTM Dato’ Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip Haji Othman, Undang Luak Rembau ke 21 akan diterbitkan Disember 2008 ini dengan kerjasama Muzium Negeri Sembilan. Penulisan buku autobiografi Undang Luak Rembau merupakan pertama kali dihasilkan sempena 10 tahun pemerintahan YTM Dato’ Haji Muhamad Sharip di luak Rembau dalam dikri pentadbiran adat di Negeri Sembilan. Sebelum ini Muzium Negeri Sembilan turut memberikan kerjasama menerbitkan buku autobiografi YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Haji Mohd Jan Haji Abdul Ghani, Undang Luak Johol sempena kerjan beliau selaku Undang Luak Johol ke 14, pada Februari 2008 lalu. Buku autobiografi YTM Dato’ Haji Muhamad Sharip akan dilancarkan di Balai Undang Rembau dijangka Disember 2008 ini, menurut sumber dari Muzium Negeri Sembilan.

INFO SUARA PROLITAR

ORANG TENGAH GEMUK GEDEMPOL
PEKEBUN KECIL MASIH KURUS MELEDING.

Harga sebiji kelapa siap diparut di kedai runcit sekarang masih lagi RM1.80 di Kuala Lumpur. Lori yang menghantar kelapa ke kedai-kedai runcit mengaku mereka beli buah kelapa dengan harga borong terlalu tinggi. Tetapi tak beritahu harganya. Kalau balik ke kampung bawa buah kelapa sendiri, hantar ke kedai untuk diparut ianya akan dikenakan RM0.30. Kalau harga minyak sudah turun, mengapa kos pengangkutan tak turun. Harga kelapa diberi kepada pekebun kecil kelapa ialah RM0.40-RM0.50 sen sahaja. Di mana silapnya, harga kelapa boleh melambung tinggi. Orang tengah makin gemuk gedempol, pekebun kecil kelapa kurus meleding. – (SMS; 18 Oktober 2008; 10:47:08 – Pak Andak, Taman Seri Gombak, Selangor).

UMNO MAIN SILAP MATA:
RAKYAT AKAN ‘SILAP PANGKAH’

Rakyat bukan nak dengar jumlah angka kos-kos setiap projek kerajaan. Jumlah yang berbilion-bilion itu perlu dapat dilihat. Najib (Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak) juga misalnya, pernah luluskan peruntukan berjuta-juta kepada mangsa tsunami. Tapi, nelayan yang dijanjikan bot-bot baru, tak nampak pun bot-bot itu. Sekarang pun nak buat begitu. Umum sara hidup untuk nelayan, petani dan entah apa lagi bantuan. Rakyat nak lihat ianya wujud. Bukan sekadar dengar peruntukan berjuta-juta. Kalau UMNO terus nak main silap mata, tunggulah PRU13 rakyat pula main ‘silap pangkah’- (SMS; 18 Oktober 2008; 16:52:37 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

TERLALU MARAH ORANGKAYA MENTERI
TAK AKAN BERTOLAK ANSUR DG PELAJAR

Arakian terlalulah marahnya Orangkaya Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein dengan kejadian pelajar-pelajar sekolah membelasah guru di sebuah sekolah di negeri Perlis Indera Kayangan. Maka berkatalah akan Orangkaya Menteri Pelajaran itu, “Hamba marah dengan kejadian ini. Hamba tidak akan bertolak ansur dengan pelajar kurang ajar dan biadap terhadap guru.” Sekali persetua tersebutlah ceritera di negeri Pahang Darul Makmur pada 8 Syawal 1429 (atau disebut orang 8 Oktober 2008), seorang pelajar di Pekan disebat (dirotan) gurunya hingga berbekas lebam. Adapun pelajar itu disebat kerana tak memakai ‘lencana’, adanya. Syahdan terfikirlah pada fakir, bahawa tak memakai ‘lencana’ itu macam kesalahan jenayah juga. Maka pelajar-pelajar yang tak ikut cakap gurunya hendaklah disifatkan kurang ajar dan biadap.

Syahdan tersebutlah al-kisah akan negeri Melayu itu pernah diperintah oleh orang di atas angin. Adapun ketika itu diberitahu kepada fakir, guru-gurunya datanglah ke rumah penduduk memujuk ibu bapa supaya menghantar anak-anak ke sekolah. Maka seperti kata orang banyak, guru-guru itu tak naiklah gaji mereka sekiranya murid-murid tak ramai di sekolah. Arakian guru-guru pada masa itu akan menangislah, apabila murid-murid tak lulus peperiksaan. Sebermula akan guru-guru pada masa pemerintahan Melayu ini, kasadnya lebih suka membuang sekolah pelajar-pelajar daripada menggalakkan mereka belajar. Maka segelintir guru-guru itu mahu jadi ‘pemerintah’, bukanlah ia jadi ‘pendidik’. Maka kemarahan Orangkaya Menteri itu disebabkan ia hanya mendengar laporan pihak sekolah sahaja, tak pernahlah bersemuka dengan ibu bapa, adanya.

Sebermula sekalian orang besar-besar Melaka berguru pada Maulana Abu Bakar, melainkan kadi Melaka juga yang tiada berguru, Kadi Yusof namanya. Adapun Kadi Yusof itu daripada anak cucu Makhdum yang pertama mengIslamkan segala orang Melaka itu. Syahdan maka sekali persetua Kadi Yuof hendak pergi sembahyang Jumaat lalu betul pintu Maulana Abu Bakar. Tatkala itu Maulana Abu Bakar ada berdiri di pintunya. Maka dilihat oleh Kadi Yusof akan Maulana Abu Bakar dikelilingi cahaya seperti sumbu dian yang dikeliling apinya, demikianlah rupanya. Maka Kadi Yusof segera berlari-lari datang menyembah Maulana Abu Bakar; maka segera disambut oleh Maulana Abu Bakar, seraya tersenyum. Syahdan akan dua orang guru itu beriri-iri hati, maka sekalian anak orang-orang besar yang berguru kepada mereka itulah menjadi mangsa seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!