Friday, March 6, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

Yang capek datang bertongkat
Yang pekak pembakar bedil
Yang buta penghembus lesung
Yang kurap mengekor angin
Yang katik tinjau meninjau
Yang cerdik hendakkan ilmu
Yang bodoh disuruh arah
Yang alim hendakkan doa
Yang jahil tertanya-tanya
Yang gagah jadikan kepala perang
Yang lemah jadikan penunjuk jalan

AYUH!
BERSATU MANSUHKAN PPSMI
(Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik
dalam Bahasa Inggeris)

SERTAI PERHIMPUNAN 100 RIBU DI HADAPAN
ISTANA NEGARA, 7 MAC 2009, JAM 2.00 PETANG.

Tempat berkumpul sebelum ke Istana Negara:

o Pasaraya Sogo
o Pasar Seni
o Masjid Negara

* UMNO hidup kerana Bahasa Melayu
* PAS bertahan kerana Bahasa Melayu
* PKR berjaya kerana Bahasa Melayu

Nah! Kita Daulatkan dan Rajakan Bahasa Melayu!

DARI LAMAN BLOG

BEKAS PELAJAR ALIRAN MELAYU:
TAK MAHU SIA-SIAKAN PERNGORBANAN!

Assalamualaikum,

Memang saya sekadar pejuang kerdil dalam mendaulatkan dan merajakan Bahasa Melayu, apabila sejak 1960 terbabit dalam pertandingan ‘Bulan Bahasa Kebangsaan’ di Negeri Sembilan. Pada 1966 misalnya, saya mewakili daerah Jelebu ke pertandingan ‘Bahas’ peringkat Negeri Sembilan bersama Maznah Yusuff (mengantikan Hishamuddin Rais kerana ketika itu masih lagi pelajar di SMUJ dan melanggar syarat), Susan Ho dan Siow Siew Sing. Sekalipun kalah dalam ‘Bahas’ tetapi memenangi pertandingan ‘Perbualan’ bersama Siow Siew Sing dan Joginder Singh (sekarang Dr Jesse).

Bukan sahaja menyertai aktiviti Bulan Bahasa Kebangsaan, malah saya juga terbabit sebagai peneroka bagi Sekolah Menengah Melayu di Seremban pada 1958, dengan 80 pelajar dan tiga orang guru. Terpaksa menumpang di bangunan Sekolah Umum Channer Road (kemudian ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Seri Kelana), sebelum menumpang pula ke bangunan Sekolah KGV di Jalan Hose (bilik darjah bersebelahan dengan kolam buaya) apabila murid ditambah lagi 80 orang (menjadi 160) dan guru tiga orang (menjadi enam). Guru besarnya ialah Shaharuddin Ishak (bekas Pengerusi Majlis Perbadnaran Petaling Jaya sekitar dekad 1970-an), di samping guru-guru terawal Zaharah Awang, Yusuff Ariff, Tifla Zakaria, Khatijah Awang, Ainon Tan Sri Dr Mohd Said (kemudian diganti oleh Malik Ahmad).

Saya ‘disumbat’ kepada sekolah menengah aliran Melayu, disebabkan UMNO dalam kritikal menjelang pilihanraya 1959, justeru meminta orang Melayu selamatkan mereka. Penubuhan sekolah menengah aliran Melayu bagi memujuk orang Melayu menyokong mereka pada pilihanraya, dengan tak menghiraukan universiti aliran Melayu belum lagi diwujudkan (UKM hanya ditubuhkan pada 1971). Akibatnya pelajar-pelajar terbabit yang lulus SPM pada 1962 atau 1963 tak ada universiti menampung, kecuali mengambil peperiksaan HSC untuk ke Universiti Malaya. Dengan kelulusan aliran Melayu berkenaan pelajar-pelajar hanya layak jadi kerani, guru sementara (sandaran), posmen atau lain-lain perjawatan rendah.

Memang segelintirnya berjaya dalam akademik dengan belajar sendiri (kalau harapkan UKM, terlalu banyak jurangnya 1963-1971) seperti Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor Abdullah di Perak atau Yassinsalleh di Pahang, tetapi kenapa disia-siakan pengorbanan peneroka-peneroka sekolah menengah aliran Melayu ini kerana kepongahan UMNO mahu meneruskan PPSMI. Justeru apabila Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mahu menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Malaysia pada Jun 2007, saya bersama rakan-rakan (termasuk mereka dari aliran Inggeris seperti Yahaya Ismail, Dato’ Kamal Amir, Zakaria Bidin dan beberapa lagi) bangkit menggerakkan PRIMA dengan matlamat bahasa orang Melayu ialah BAHASA MELAYU.

-Pak Dharma

INF0 HAK ASASI MANUSIA

DEMI MEMELIHARA IMEJ NEGARA:
NAJIB PERLU BERSIHKAN NAMA DI MAHKAMAH

Bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mendesak Timbalan Perdana Menteri yang juga bakal Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak membersihkan segala tuduhan dan dakwaan yang dihadapinya sebelum mengambil alih pimpinan Negara menerusi pelan peralihan kuasa yang dipersetujui. Sambil memetik pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu apabila sesuatu perkara dinafikan tak bermakna ianya tak berlaku. Menyentuh laporan media luar negeri di Paris mengenai hubungan Najib dengan kes wanita warga Mongolia, Altantuya Shaarribuu, beliau mahukan Najib membersihkan dirinya. “Orang Melayu tak mahu bakal pemimpin UMNO terlalu banyak masalah,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

Katanya, laporan akhbar di Paris itu bukan sahaja menjejaskan reputasi Najib bakal memimpin Negara, malah memburukkan imej Malaysia kepada masyarakat antarabangsa. Seterusnya menurut Dato’ Kamal Amir, krisis perlembagaan di Perak amat jelas mempsersoal wibawa sistem kehakiman yang teruk merudum pada 1998, ianya akan menjadi ‘duri dalam daging’ sekiranya Najib tak membersihkan dirinya. Dato’ Kamal Amir menyarankan Najib perlu membersihkan dirinya di mahkamah bagi memulihkan imej Malaysia. “Rakyat Malaysia bergembira kalau Najib bersedia membersihkan dirinya di mahkamah,” Dato’ Kamal Amir menambah.

Sementara itu aktivis masyarakat di Pahang, penyair Yassinsalleh memberitahu, akhbar ‘LIBERATION’ di Perancis melaporakn menerusi wartawannya Arnold Dubus mengesahkan mempunyai foto-foto membabitkan Najib dan Altantuya. Kata Yassinsalleh lagi, akhbar itu melaporkan pasangan terbabit menjamu selera di sebuah restoran di Paris pada 2005. Bukan sekadar laporan biasa, sebaliknya kronologi berkaitan pembelian kapal selam buatan Perancis, hingga tragedi yang menimpa wanita Mongolia itu secara berurutan, beritahu Yassinsalleh. “Keluaran hari ini menyiarkan kronologi kes Altantuya dengan isu komisen pembelian kapal selam France menjadi focus, dan ia membabitkan bakal pemimpin negara kita,” menurut Yassinsalleh lagi.

INFO SASTERA & BUDAYA

PERDAGANGAN BAHASA DAN AGAMA:
UMNO MENJANA PERNIAGAAN PENDIDIKAN

Oleh: Mohd Affandi Hassan
(Sasterawan dan Pengkritik Sastera Melayu)

Sekarang adalah masa terbaik untuk mengkritik UMNO habis-habisan, sebelum bahasa Melayu, agama Islam dan negara ini menjadi rosak binasa di bawah tadbiran UMNO. Sekarang dengan munculnya gelombang ketuanan rakyat di mana-mana saja orang bercakap tentang politik dan pembangunan ekonomi, maka para pemimpin UMNO memberi amaran satu perang besar akan berlaku sekiranya ketuanan rakyat itu diteruskan. Kata seorang ketua parti UMNO yang juga seorang menteri, para pemimpin UMNO dan pengikutnya akan mati syahid dalam peperangan mempetahankan ketuanan Melayu.

Jika ketuanan Melayu dihapuskan, maka apakah yang ada kepada orang Melayu? Hujah ketua parti UMNO ini hanya untuk mencari sensasi, membangkitkan kemarahan, menyedapkan hati para pemimpin UMNO bahawa mereka masih relevan dalam gelombang kebencian rakyat terhadap mereka. Sebenarnya ketuanan Melayu itu sudah dikuburkan oleh UMNO sendiri apabila para pemimpin mereka kembali ke zaman kolonial untuk memperjuangkan bahasa Inggeris. Apakah rahsia yang membuat UMNO sanggup mati untuk bahasa Inggeris? Wang dan kekayaan.

Wang dan kuasa. UMNO melihat dalam bahasa Inggeris itu limpahan wang ringgit yang amat banyak, yang hanya boleh diraih dengan memperdagangkan bahasa Inggeris. Perdagangan bahasa ini terjadi apabila ketua-ketua UMNO yang memang selesa berbahasa Inggeris (walaupun bukan jenis bahasa Inggeris yang baik) melihat hanya melalui bahasa Inggeris saja perdagangan pelajaran di Malaysia boleh dicapai. Sekarang hampir semua universiti menggunakan bahasa Inggeris untuk memastikan para pelajar dari seluruh dunia boleh menggunakan kemudahan di universiti yang diperjuangkan oleh orang Melayu selama ini.

Kemakmuran baru melalui perdagangan pelajaran dengan menggunakan bahasa Inggeris memberi peluang besar kepada para pemimpin UMNO dan sekutunya untuk mendapat kekayaan dalam pelaksanaan Wawasan 2020. Orang Melayu belum lagi celik mata untuk melihat bahawa perdagangan bahasa Inggeris ini adalah tonggak utama pelaksanaan Wawasan 2020. Teknologi dan tamadun yang kononnya dijadikan prinsip Wawasan 2020 adalah berasaskan bahasa Inggeris, bukan bahasa Melayu. Jangan harap Wawasan 2020 itu akan menguntugkan orang Melayu, tetapi agenda rahsia yang ditutup daripada orang Melayu ini dapat diterima oleh orang Melayu kerana adanya konsep ketuanan Melayu yang dengannya UMNO sanggup mati syahid (mempertahankan ketuanan Melayu yang berasaskan bahasa Inggeris).

Menteri Pelajaran telah memberi jaminan, pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris akan diteruskan dengan penyesuaian yang perlu. Dasar itu tidak akan dihapuskan, kerana dasar itu menjadi tonggak dalam Wawasan 2020. Bagi orang yang tidak berfikir, tentulah aneh apabila Wawasan 2020 dikaitkan dengan bahasa Inggeris. Sebenarnya itulah hakikatnya. Wawasan 2020 telah mengkhayalkan orang Melayu dalam mimpi indah kemakmuran yang mereka akan terima nanti. Mereka tidak tahu dan tidak faham tamadun yang akan dibangunkan dalam Wawasan 2020 itu adalah tamadun Barat yang seluruhnya bersifat kebendaan.

Orang Melayu hendak diseret ke dalam kemajuan kebendaan acuan Barat, seperti Mesir dan lain-lain negeri Arab telah menerimanya. Di Mesir filem-filemnya salin tak tumpah seperti filem Barat, dan ini termasuk ciumannya. Di Malaysia sudah mula diperjuangkan perkara ini, jika filem Melayu/Malaysia mahu diterima di luar negara dalam pasaran global. Cara melakukan hal-hal seumpama ini terbuka luas dalam konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan kerajaan. Melalui Islam Hadhari, Malaysia akan dibangunkan menjadi negara maju yang bertamadun mengikut acuan Barat tadi.

Tamadun itu seluruhnya berbentuk sekular, seperti terbukti daripada cara universiti diuruskan dan dinilai. Melalui Islam Hadhari, penekanan terhadap tauhid dan syariah dikendurkan, tidak lagi diberi perhatian. Kedua-dua aspek Islam ini dianggap menghalang kemajuan kebendaan tadi, oleh itu tidak perlu ditekankan. Kini banyak sekali kita dapati ma’ahad tahfiz dibangunkan, untuk menampung keperluan melahirkan para penghafal Quran. Niat itu baik, tetapi Quran tidak dihidupkan sebagai sumber ilmu, oleh itu di universiti tidak diperkenalkan konsep ilmu yang benar berasaskan ajaran Quran dan Sunnah.

Itulah matlamat Islam Hadhari yang akan mengelirukan umat Islam nanti, malah kini pun sudah ramai yang terkeliru apabila Islam Hadhari itu dikaitkan dengan kesederhanaan Islam yang menolak keganasan. Itulah yang diminta oleh Amerika Syarikat dan Israel, supaya Islam tidak lagi menjadi cabaran kepada golongan yang menjadi musuh Islam. Dalam konteks inilah kita harus melihat peranan bahasa Inggeris yang dipertahankan begitu rupa oleh para pemimpin UMNO. Orang Melayu nanti tidak saja akan kehilangan bahasa Melayu, tetapi juga agama Islam.

Adalah aneh apabila Perlembagaan Negara yang mengaitkan bahasa Melayu dan agama Islam, cuba dihakis oleh ketua-ketua UMNO dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai tonggak dan asas pembelajaran sains dan teknologi di Malaysia. Ruhnya dan semangat agama dibuang terus untuk memastikan budak-budak sekolah yang keluar nanti terus menyokong UMNO berasaskan kejahilan tentang sejarah dan budaya Melayu dan agama Islam. Jika inilah bentuk kemajuan yang ditaja oleh Wawasan 2020, maka ia harus ditolak sama sekali. (5/3/2009)

KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

IKTISAD TAK BERAPA BAIK
BUAT JAMBATAN BESAR BELANJA.

Kata sahibul hikayat tersebutlah Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada minggu lalu mengakui iktisad Negara tak berapa baik. Arakian pada hari kelmarin 8 Rabiulawal 1430 (5 Mac 2009), Orangkaya Dato’ Seri Abdullah mahu membina jambatan dari Pulau Labuah ke tanah besar di Sabah. Maka dikerah segala pegawaipegawai dan binti-binti perwira membuat kajian untuk memajukan di Pulau Labuan itu. Syahdan percayalah Orangkaya Dato’ Seri Abdullah dengan pulau bebas cukai akan dikenali sebagai ‘Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa (IOFC), bertambah-tambah majulah pulau berkenaan. Arakian tertanya-tanyalah fakir, ketika iktisad negeri tak kuat macam mana Orangkaya Dato’ Seri Abdullah nak berbelanja besar.

Syahdan dipersembahkan oleh Dang Raya Rani pada Puteri Gunung Ledang. Akan titah tuan puteri, “Jikalau Raja Melaka hendakkan aku, perbuatkan aku jambatan emas satu, jambatan perak satu, dari Melaka datang ke Gunung Ledang ini. Akan peminangnya, hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang, air mata setempayan, air pinang muda setempayan, dan darah raja semangkuk, dan darah anak raja yang bernama Raja Ahmad itu semangkuk. Jikalau boleh demikian, kabullah tuan puteri akan kehendak raja Melaka itu.” Telah sudah berkata-kata demikian lenyaplah ia. Maka pada suatu riwayat orang tua yang berkata-kata itulah Puteri Gunung Ledang, merupakan dirinya seperti orang tua. Sebermula akan jambatan di Pulau Labuan itu gerangannya akan peminangan jua seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!