Sunday, October 28, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

MENUNGGU ACARA DEKMALASI PUISI
PERJUMPAAN PENYAIR AKAN DIGERAKKAN

Assalamualaikum,

Hingga 1.00 pagi masih ramai kawan-kawan di rumah terbuka Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz semalam (27 Oktober 2007) di No 1 Lorong Dato’ Suleiman 8, Taman Tun Dr Ismail, tetapi saya terpaksa balik juga sekalipun bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) di Parlimen, Dato’ Ruhanie Ahmad masih rancak bersembang. Dato’ Ruhanie (Ron) pula dalam usaha menggerakkan antologi sajak dengan mempelawa penyair-penyair Malaysia mengirimkan karya-karya menerusi emel putramaya@gmail.com atau panggilanpertiwi@gmail.com. Sebelum menjadi Ahli Parlimen pun Ron memang sudah dikenali sebagai penyair Melayu dengan nama penanya Ruhanie A.R. sekitar dekad 1970-an.

Justeru pertemuan singkat di rumah terbuka Dato’ Kamal mencetuskan idea pula mahu menggerakkan acara baca puisi, apabila S.H. Alattas dan Zakaria Bidin merasakan ruang pekarangan kediaman berkenaan sesuai dijadikan pertemuan penyair-penyair. Ron juga bersetuju acara deklamasi sajak dibuat secara spontan di kediaman rakan-rakan sahaja, kerana digerakkan di dewan-dewan besar tak mungkin mampu memasyarakatkan puisi. Zakaria Bidin (Zek) pula menunjukkan sebuah sajak yang baru ditulisnya, tetapi tergamam apabila saya beritahu terlalu sensitif, agresif dan provokatif, malah menyeram bulu roma kalau dideklamasikan, apatah lagi disiarkan di mana-mana medium.


Dato’ Kamal pula memberi jaminan PRIMA akan menggerakkan perjumpaan penyair di kediamannya tak lama lagi, di samping Ron akan membawa kumpulan penyair-penyair ‘Kuda Kepang’nya ikut serta. Bagaimanapun di rumah terbuka Dato’ Kamal beberapa aktivis PRIMA tak sempat hadir termasuk Yahaya Ismail (Pak Ya), Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah (Pak Chot) dan Mohd Radzi Mustapha, sebaliknya Mohd Sayuti Omar sebentar sahaja nampakkan kelibat, di samping Abdul Rahman Osman dan Zaid Mat Arif juga hingga jam 10.30 malam sudah mohon diri balik ke rumah. Haji Abu Bakar Ninggal pula balik jam 11.00 malam, disebabkan beliau lebih awal datang kira-kira jam 8.00 malam.


Sebelum itu pada 25 Oktober 2007, Mohd Radzi juga menganjurkan ‘rumah terbuka’ mulai jam 12.00 tengah hari di pejabatnya No 28 Tingkat 2, Bangunan Tabung Haji di Jalan Ipoh. Memang perjumpaan di ‘rumah terbuka’ sempena Hari Raya sahaja peluang bertemu kawan-kawan, kerana lazimnya pada hari raya pertama mereka semua balik ke kampung terlebih dahulu. Apalagi kampung halaman mereka jauh dari ibu kota sama ada di utara, di selatan mahupun di pantai timur. Sebagai peguam Mohd Radzi pula sibuk dengan urusan firma guamannya, justeru ‘rumah terbuka’ pada 25 Oktober itu sekadar tempoh 12.00 tengah hari hingga jam 2.00 petang sahaja. Heh heh heh!


-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA:

RON IKRAR TAK BERKOMPROMI
KUASA ASING RAMPAS HAK RAKYAT


Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong yang juga bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) di Parlimen, Dato’ Ruhanie Ahmad berikrar tak akan berkompromi dengan kuasa asing yang mahu merampas hak rakyat negara ini secara terancang. Katanya, beliau terbabit menyertai pengendali laman blog semata-mata untuk memberi mesej kepada kerajaan iaitu ‘kuasa politik’ bukan untuk melaksanakan perintah, tetapi mestilah menjadi ‘pentadbir’ yang telus bagi kesejahteraan rakyat sendiri. Dato’ Ruhanie yang juga dikenali ‘Ron’ di kalangan rakan-rakan mengingatkan pimpinan kerajaan agar tak dipengaruhi ‘golongan berkepentingan’ dengan membuat laporan memuji-muji pimpinan, sebaliknya tak menghiraukan agenda terancang kuasa asing.


Dengan tak menyebut isu yang dibangkitkannya, Ron secara jelas merujuk kepada projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor ianya dikatakan membabitkan golongan prolitar Melayu di selatan yang berhadapan dengan dilema. Beliau mengakui mungkin ramai pemimpin-pemimpin Melayu diberi gambaran kurang tepat mengenai projek terbabit, menyebabkan laporan memuji-memuji pimpinan diberi prioriti sebagai menutup ‘misteri’ yang terus menjadi tanda tanya. “Kalau dulu kita bimbang dengan isu pasir yang dikorek kuasa asing, sekarang tanah petani-petani pula disediakan seluas-luas mungkin untuk mereka,” beritahu Ron menambah.


Ron yang dilabel sebagai Ahli Parlimen berani mengkritik pimpinan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekitar dekad 1990-an juga dikatakan sering menggamatkan Dewan Rakyat apabila menjadi benteng kerajaan ketika berhadapan serangan bertubi-tubi wakil pembangkang. Misalnya, ketika Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw memanggilnya Yang Berhormat ‘Parit Yang So Long’ (merujuk Parit Sulung), Ron dikatakan menyambut dengan memanggil pula Dr Tan ‘Yang Berhormat Terkepong’ (merujuk Kepong), menyebabkan Speaker meminta mereka berdua menarik balik tuduh menuduh berkenaan. Begitulah!



LARANG JUAL BUKU DI PWTC
PAK LAH TAK PERNAH ARAHKAN


Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tak pernah mengarahkan melarang penjualan buku-buku ketika Perhimpunan Agung UMNO, menurut buku terbaru ‘Khairy Jamaluddin Perdana Menteri?’ yang dihasilkan penulis prolifik S.H. Alattas. Perhimpunan Agung pada 2006, dikatakan pihak pengurusan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) melarang sebarang penjualan buku-buku politik. Berikutan langkah drastik yang diambil pihak pengurusan PWTC, kemeriahan di gerai-gerai disediakan kurang menarik perhatian umum. Apalagi penulis-penulis buku politik tak berminat mendengar perbahasan-perbahasan di skrin besar yang disediakan di luar dewan. Gamaknya!



‘Khairy Jamaluddin Perdana Menteri?’ setebal 560 muka itu diterbitkan oleh JB News Media Network, tak pula dinyatakan harganya. Bagaimanapun bagi peminat-peminat buku politik aliran pemikiran S.H. Alattas memang ianya menghiburkan dengan pendekatan spekulatif yang menarik. Mungkin sahaja ianya akan diedarkan di PWTC pada Perhimpunan Agung UMNO 5-8 November 2007 ini, sebagai sasaran utama dalam mesej penulisan buku berkenaan. Penulis juga turut melampirkan info penting mengenai perjumpaan dengan Pak Lah, apabila pemimpin negara itu mengakui tak pernah sebelum ini mengarahkan larangan menjual buku di Perhimpunan Agung UMNO. Alhamdullillah!



Antara kritikan S.H. Alattas sebagai mesej pentingnya, beliau menulis: “Dua puluh dua tahun Dr Mahathir jadi Perdana Menteri macam-macam telah dilakukan, dia gagal mengubah Melayu yang pernah ditegur oleh Abdullah Munshi, Syed Sheikh al-Hadi, Zaaba kerana Melayu tak suka membaca, tak suka ditegur, suka dipuji. Melayu bangsa yang terlalu ‘sensitif’ dengan kritik dan benci kepada cerdik pandai akibat ada P.H.D. perangai hasad dengki semula jadi. Idris berani tegur dan cuba ubah bangsanya menerusi sistem pendidikan sama seperti Syed Ali namun mereka tak punya lampu Aladdin.” (halaman 233 bab 14).




KAJI SEMULA ANUGERAH PINGAT KEBESARAN
NILAI GELARAN SELARAS DENGAN SUMBANGAN



Anugerah pingat kebesaran sempena hari keputeraan Yang Dipertua Agong, raja-raja Melayu dan hari jadi Yang Dipertua Negeri perlu dikaji semula bagi memelihara nilai status yang diberikan supaya ianya tak dianggap sebagai lambakan pingat kebesaran. Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Omar Sudi Abdul Manan mengingatkan sekiranya berlaku lambakan pingat kebesaran yang tak selaras dengan sumbangan bagi penerima-penerimanya, anugerah berkenaan tak memberi makna lagi. “Adalah wajar anugerah tersebut dikaji semula, dengan penilaian yang lebih komprenhesif supaya tak membazir masa, di samping memelihara status pingat kebesaran itu,” kata Omar Sudi mengulas beberapa insiden yang dianggapnya tak lagi rasional.


Menurut Omar Sudi, sekiranya seseorang penerima anugerah sudah diberi pingat kebesaran yang membawa gelaran Dato’, adalah tak rasional menerima anugerah yang sama di negeri lain. Malah menurutnya, terdapat penerima pingat kebesaran membawa gelaran Dato’ hingga dua tiga kali sempena keputeraan raja-raja Melayu di negeri lain, atau hari jadi Yang Dipertua Negeri. Seterusnya kata Omar Sudi, dengan mengambil langkah dikaji semula, ianya boleh menghadkan penerima yang pernah diberi anugerah pingat kebesaran yang membawa gelaran Dato’, tak dicalonkan untuk menerima anugera yang sama di negeri lain. “Cukuplah dengan satu gelaran Dato’, kenapa perlu diberi gelaran Dato’ hingga dua tiga pingat kebesaran,” jelas Omar Sudi.

INFO SASTERA & BUDAYA:


FILEM MELAYU DEKAD 1950-AN
MESEJ DAN KRITIKAN MASIH BERKESAN

Filem-filem Melayu terbitan dekad 1950-an dan 1960-an yang ditayangkan di slot TV sepanjang Hari Raya Aidilfitri mulai 13 Oktober 2007 memang menarik perhatian orang ramai, beritahu seorang peminat filem era 1950-an dikenali Dr Mohd Hassan Ali. Ketika menyentuh kegemilangan filem-filem Melayu era Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di Singapura, beliau memberitahu mengenai filem-filem ‘Pendekar Bujang Lapok’, ‘Ali Baba Bujang Lapok’, ‘Musang Berjanggut’ dan beberapa lagi. “Mesej dan kritikan yang disampaikan oleh P. Ramlee masih berkesan, malah kita ketawa kerana mentertawakan diri sendiri,” ujar Dr Mohd Hassan.

Beliau mengambil contoh filem ‘Pendekar Bujang Lapok’ ketika Sudin disuruh dua orang kawannya membaca papan tanda di hadapan sekolah buta huruf. Sudin berpura-pura tahu membaca menyebut: Alif Mim tendang Nun Wau – sarkas! Maknanya, kata Dr Mohd Hassan lagi, P. Ramlee sudah menafsirkan ‘Alif Mim Nun Wau’ (UMNO) itu ‘sarkas’ sejak dekad 1950-an, dengan tak disedari oleh pimpinan UMNO sejak dahulu hingga sekarang. UMNO yang ditakrif ‘sarkas’ oleh P. Ramlee menerusi ‘Pendekar Bujang Lapok’ sekitar dekad 1950-an, rupa-rupanya menterjemahkan UMNO sebenar lebih awal sebelum ianya dikuasai warga sarkas dan badot-badotnya, kata Dr Mohd Hassan selanjutnya.


Menurut Dr Mohd Hassan lagi, sekalipun ketika filem itu dibuat P. Ramlee tak maksudkan ‘UMNO’, tetapi sekadar menyebut abjad huruf-huruf jawi secara ‘hantam kormo’, sebaliknya idea seniman agung itu sudah mendahului zamannya. Malah beliau juga menyentuh filem ‘Musang Berjanggut’ mengenai dialog Dato’ Nikah Kahwin kepada Puspa Wangi iaitu: “Salah tu memang salah, tetapi itu undang-undang Dato’ yang bikin!”. Maknanya pemikiran beliau memang mendahului zamannya, apabila senario kehakiman yang berlaku sekarang boleh dirujuk kepada dialog Dato’ Nikah Kahwin (justeru ianya tak disebut Tuan Kadi). Pemikiran P. Ramlee menerusi karya-karya filemnya memang wajar dianalisis secara ilmiah, menurut Dr. Mohd Hassan.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PATAH SEMAKIN TAK TUMBUH
HILANG KIAN SUKAR PULA DIGANTI

Belasungkawa! Sebermula terdengarlah kepada fakir akan khabar bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Othman Saat sudah kembali ke rahmatullah semalam (27 Oktober 2007) ketika berusia 83 tahun. Mungkin sahaja anak-anak muda sekarang kurang mengenali perihal Tan Sri Othman setelah memegang jawatan Menteri Besar Johor dari 1967 hingga 1982, maklumlah sudah 25 tahun bersara. Bukanlah salah anak-anak muda kalau mereka tak mengenali Tan Sri Othman, kerana yang patah semakin tak tumbuh; apalagi yang hilang kian sukar pula diganti. Syahdan akan jawatan Menteri Besar Johor bolehlah diganti oleh cendekia yang lebih muda, tetapi akan keterampilannya Tan Sri Othman itu sukarlah dicari ganti yang setara. Alahai!

Maka diberitahulah kepada fakir oleh sahabat Tan Sri Othman iaitu bekas Timbalan Menteri Besar Negeri Sembilan (1964-1969) Tan Sri Abdul Samad Idris, ketika Pemuda UMNO mahu melancarkan gerakan militan pada dekad 1950-an yang dikenali ‘Barisan 33’, Tan Sri Othman antara tiga tokoh Pemuda dipilih mengetuai operasi. Dato’ Hamzah Alang (Selangor) mengendalikan latihan menggunakan senjata api, Tan Sri Abdul Samad dikehendaki melakukan serang hendap ke atas balai-balai polis dan depoh Askar Melayu di Port Dickson untuk mengumpulkan senjata, sementara Tan Sri Othman meletupkan takungan air di Gunung Pulai. Berikutan agenda Pemuda UMNO yang dirancang oleh Naib Ketuanya, Dato’ Ahmad Badawi, Inggeris terpaksa mengalah dengan menerima memorandum UMNO mengadakan pilihanraya.

Selepas Inggeris bersetuju mengadakan pilihanraya dengan pindaan iaitu daripada 100% kepada 50% sahaja dipilih (tetapi membenarkan parti yang menang menamakan tujuh lagi ahli yang dilantik), di samping tarikhnya ditunda dari November 1954 kepada Julai 1955, tiga tokoh Pemuda UMNO itu membatalkan operasi mereka. Arakian tahulah fakir, Tan Sri Othman itu bukanlah calang-calang orang ketika memimpin Pemuda iaitu seperti kata nenek moyang fakir dahulukala: Kok berdepan sanggup koyak di dada, kok membelakang biarlah diradak tengkuk! Memang kehilangan Tan Sri Othman bukanlah sekadar dirasakan oleh UMNO, tetapi semua orang Melayu di luar UMNO seperti juga pemimpin-pemimpin Melayu lain tetap dikenang oleh:





HIDUP BAHASA MELAYU!