Saturday, October 27, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:

BAHASA MELAYU DI RUSSIA
KEMAJUAN SAINS DAN TEKNOLOGI

Assalamualaikum,


Syabas! Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak memberikan kenyataan media di Russia menggunakan Bahasa Melayu, ketika menyambut kepulangan angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Dato’ Sheikh Mustapha ke bumi pada 21 Oktober 2007. Selepas memberikan kenyataan media dalam Bahasa Inggeris yang diterjemah ke Bahasa Russia, Dato’ Sri Najib lancar menggunakan Bahasa Melayu dengan tak perlu diterjemah. Maknanya, Bahasa Melayu juga mampu bersaing dalam kemajuan sains dan teknologi, malah Dr Sheikh Muszaphar turut membuktikan Bahasa Melayu tak menjejaskan kewibawaan beliau ketika berada dalam jarak 350 kilometer dari bumi hingga didengar ke seluruh alam. Heh heh heh!



Justeru PRIMA menganggap Dato’ Sri Najib mengambil langkah bijak apabila membuat kenyataan media dalam Bahasa Melayu ketika di Russia, apalagi rakyat Russia sendiri ‘tak ambil pot’ dengan Bahasa Inggeris. Bukan sahaja Russia, malah Republik Rakyat China yang terbabit dengan aktiviti penerokaan angkasa lepas juga ‘tak ambil pot’ dengan Bahasa Inggeris, kerana bahasa sains dan teknologi tak semestinya gunakan Bahasa Inggeris. Kalau terpaksa gunakan ‘bahasa Pak Pandir’ pun apabila membuat istilah apa salahnya, seperti pernah dilakukan pada penghujung dekad 1950-an dan awal 1960-an dengan mempelopori istilah sains ke dalam Bahasa Melayu.


Bukan bermakna kita menentang Bahasa Inggeris, tetapi jangan mendewa-dewakan hingga meletakkan Bahasa Melayu tak berstatus langsung. Siapapun boleh belajar Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil, Bahasa Perancis, Bahasa Arab, Bahasa Latin, Bahasa Jerman atau sebagainya. Belajarlah! Malah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem ‘Masam-Masam Manis’ misalnya turut mengkritik kelaziman masyarakat yang dewa-dewakan Bahasa Inggeris dengan menyebut: Aku cakap Jermanlah, kamu mana tahu! Buatlah analitikal mengenai filem-filem P. Ramlee, kita akan memahami kritikan yang disasarkan ialah: ‘Pelandok ditembak, gajah yang kena’. Begitulah!




WAJAH-WAJAH MERDEKA
TUN DR MAHATHIR ‘KAKI LAWAK’


Slot ‘Wajah-Wajah Merdeka’ di TV1 minggu ini (21 Oktober 2007) menampilkan peranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggerakkan pembangunan negara. Memang waktu terhad dalam tempoh setengah jam, ditambah lagi dengan iklan selingan, tak banyak pengalaman Tun Dr M yang boleh dikongsi bersama. Setidak-tidaknya slot berkenaan boleh diberikan hingga satu jam, berdasarkan keterampilan Tun Dr M mengendalikan negara dalam tempoh 22 tahun. Wawancara singkat dengan dua orang anak beliau Dato’ Marina dan Dato’ Mukhriz, sekadar pengalaman ‘anak dan ayah’ sahaja, justeru ianya tak merangkumi iltizam Tun Dr M yang sudah diiktiraf sebagai ‘Bapa Pemodenan Malaysia’.


Dato’ Mukhriz pula menyebut Tun Dr M suka berjenaka, atau dalam Bahasa Melayu kampung ‘kaki melawak’ apabila bersama anak-anak. Bukan sahaja bersama anak-anak, malah dengan tetamu yang baru dikenali juga Tun Dr M boleh melawak juga. Misalnya, ketika majlis wacana bersama PRIMA pada 15 Ogos 2007, pimpinan PRIMA dibawa bertemu beliau di pejabatnya sebelum majlis berkenaan. Beliau secara spontan bertanya, wacana bersama beliau mahu menggunakan Bahasa Melayu atau Bahasa Perancis. Malah ketika di pentas pun beliau menyebut: Saya fikir PRIMA ni syarikat susu! Bagaimanapun yang pentingnya Tun Dr M sudah bertambah sihat. Alhamdullillah!


-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:



PAK LAH LUAHKAN BERANG
POLIS TAK IKUT STRATEGI BETUL


Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meluahkan rasa berang ketika membuat kenyataan media (seperti warta TV malam ini, 26 Oktober 2007) berikutan tragedi berdarah di sebuah kawasan perumahan di Sungai Buloh. Hingga Pak Lah secara spontan menyebut dalam ‘Bahasa Melayu Kampung’: “Penjenayah tu tahu kalau mereka ditangkap kena hukuman mati, mereka pun nak hidup!” Maknanya, kalau Pak Lah tak berasa berang, beliau akan menggunakan ‘Bahasa Melayu standard’, misalnya: Mereka juga mampu bertindak untuk melepaskan diri, justeru pihak polis perlu mengambil langkah-langkah keselamatan di samping menggunakan strategi yang betul. Apabila Pak Lah berang, secara tak langsung beliau mengakui kelemahan strategi polis apabila menangani kes penjenayah yang kompleks.



Sebaliknya polis dikatakan mampu bertindak sercara berkesan dengan strategi yang betul apabila menyuraikan ceramah, demonstrasi secara aman atau berkaitan menyekat aktiviti parti-parti pembangkang. Gamaknya! Memang semua pihak bersimpati dengan tragedi yang menimpa dua anggota polis terbabit, dalam usaha membanteras jenayah berat. Malah PRIMA bersetuju dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato’ Johari Baharom, baju tak kalis peluru perlu dibekalkan kepada anggota polis apabila diberi tugas membanteras jenayah berat, setidak-tidaknya mengelakkan daripada keberangan Pak Lah berulang lagi. Mudah-mudahan!



PENGURUSAN UNISEL ULANGI LAGI
MUNGKIN JEJAS DASAR ‘MODAL INSAN’


Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz melahirkan rasa kesal terhadap pengurusan Universiti Industrial Selangor (Unisel) di Bestari Jaya (Batang Berjuntai) yang mengugut pelajar-pelajar tak membayar yuran peperiksaan dilarang memasuki peperiksaan. Menurut Kamal, semestar yang lalu pengurusan Unisel melakukan taktik yang sama, sebaliknya setelah pihak PRIMA melaporkan kes berkenaan kepada Perdana Menteri Dato’ Abdullah Ahmad Badawi, pelajar-pelajar dikehendaki membayar RM1,000 mengikut ‘budi bicara’. Sebelumnya kata Kamal, pelajar-pelajar dikatakan ‘berhutang’, justeru mereka dikehendaki melunaskan hutang-hutang terbabit.


“Pelajar-pelajar terbabit tak berhutang, sebaliknya pihak pengurusan Unisel mahu dibayar yuran peperiksaan terlebih dahulu bagi semestar sekarang, sedangkan mereka dijangka menerima pinjaman PTPTN pada Disember 2007 ini,” beritahu Kamal ketika menghubungi sekretariat PRIMA. Serentak dengan itu Kamal meminta kerajaan tak berkompromi dengan IPT dalam isu melaksanakan dasar ‘modal insan’, di samping memberi pengajaran kepada IPT yang bersikap ‘tak prihatin’ setelah diberi peluang mengendalikan pusat pengajian menerusi PTPTN yang disalurkan kepada pelajar-pelajar. Katanya lagi, IPT sendiri tak akan mampu digerakkan kalau tak memperoleh PTPTN yang disalurkan kepada pelajar-pelajar berkenaan.


Seterusnya Kamal menambah, Kementerian Pengajian Tinggi seharusnya memantau sikap pengurusan di Unisel seolah-olah tak prihatin dengan dasar ‘modal insan’ kerajaan apabila mengugut pelajar-pelajar dilarang mengikuti peperiksaan semester. Malah beliau memberitahu, ibu bapa dikehendaki membayar yuran peperiksaan mengikut budi bicara pihak pengurusan sama ada RM1,000, RM2,000 atau sebagainya bagi memenuhi tuntutan yang dikatakan sebagai ‘hutang’ yang belum dilunaskan. “Bagaimana pelajar-pelajar terbabit berhutang, sedangkan mereka belum lagi menduduki peperiksaan, malah Unisel boleh menunggu hingga PTPTN mereka diberikan pada Disember ini,” jelas Kamal.

ROJEK AKADEMIK DI GOMBAK SETIA
YUSZAHARI RASMIKAN PENDIDIKAN IT


Projek akademik IPTA di kawasan DUN Gombak Setia mengenai sains komputer dan teknologi maklumat (IT) akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) Gombak Setia, Yuszahari Yusuff besok (27 Oktober 2007) di pinggiran Batu Caves dan Khamis ini (1 November 2007). Projek berkenaan membabitkan dua grup pelajar-pelajar dari Universiti Industrial Selangor (Unisel) dalam bidang Sains Komputer dalam usaha memasyarakatkan penggunaan sains komputer dan IT. Memberitahu aktiviti pelajar-pelajar berkenaan, Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Omar Sudi Abdul Manan menjelaskan semua DUN dalam kawasan Parlimen Gombak sentiasa mengalu-alukan usaha meningkatkan ‘modal insan’ di kalangan masyarakat.


Katanya, grup yang pertama mengadakan bengkel di kawasan Taman Pinggiran, Batu Caves pada 27 – 28 Oktober, sementara grup yang kedua pula ialah di Sekolah Menengah Hillcrest, Taman Seri Gombak pada 1-2 November 2007. Grup kedua dijangka dihadiri kira-kira 90 murid sesi petang di sekolah berkenaan, dengan dikendali oleh instruktor dari Unisel sendiri. Bagaimanapun PRIMA difahamkan, acara bagi grup kedua yang dirasmi oleh ADUN Gombak Setia, Yuszahari Yusoff pada 1 November, akan ditutup pula oleh Jurucakap PRIMA sendiri, Dato’ Kamal Ami Kamal Hijaz. “Pejabat DUN Gombak Setia sentiasa memberi kerjasama dalam sebarang aktiviti pendidikan ke arah memperkasa ‘modal insan’,” beritahu Omar Sudi.


INFO SASTERA & BUDAYA:


FILEM MELAYU YANG CELARU
MASIH MENCARI JATIDIRI SEBENAR


Sepanjang Hari Raya Aidilfitri, TV menyiarkan banyak filem-filem tempatan, malah sebahagiannya sukar mahu ditakrifkan filem Melayu. Penonton tertanya-tanya sama ada menonton filem tempatan atau hasil karya luar, hingga segalanya bercelaru, berkeliru dan berkelabu. Kalau dianggap filem-filem terbabit mahu menggarap ciri-ciri Malaysia bagi tujuan komersil, ianya tak mencapai tahap menggalakkan di pawagam. Sebaliknya filem-filem Hindustan dianggap gah apabila ditayangkan, tak pula membawa unsur-unsur masyarakat majmuk di India. Berbeza dengan filem-filem Hollywood yang membabitkan pelbagai kaum, mereka tekun dengan penggunaan Bahasa Inggeris Amerika, bukan diselang seli dengan Bahasa Negro, Bahasa Mandarin atau Bahasa Jepun.


Kalau filem Melayu mahu ditonton oleh masyarakat Melayu, takkan mereka disogok dengan filem-filem bercelaru, malah makcik-makcik dan pakcik-pakcik di kampung jadi ‘melopong’. Tak hairanlah, mereka lebih seronok menonton filem hitam putih 1950-an, apalagi filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Anak-anak kecil yang berusia 10 tahun pun lebih serasi menonton filem-filem siri ‘Bujang Lapok’, ‘Nujum Pak Belalang’ atau ‘Madu Tiga’. Seorang pesakit autisme dikatakan mampu menghafal dialog dari filem-filem P. Ramlee, sekalipun ianya belum lahir ketika seniman legenda berkenaan sudah meninggal dunia. Justeru filem-filem tempatan yang menolak jatidiri Melayu wajarlah memberi iktibar kepada penerbitnya, filem-filem mereka akan ditolak oleh bangsa Melayu. Aduhai!



KOMENTAR
Bersama Pak Parjo


BPR MULA TUNJUK GARANG
PEGAWAI KEMENTERIAN DISIASAT


Sebermula sejak beberapa hari lalu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengambil langkah drastik menahan beberapa pegawai kementerian berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2006 baru-baru ini. Hari ini (26 Oktober 2007) BPR menahan empat individu termasuk tiga pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Berikutan tindakan BPR yang mula tunjuk garang, sudah 15 orang ditahan apabila ditakrif sebagai salah urus dana awam. Syabas! Bagaimanapun Perdana Menteri Dato’ Abdullah Ahmad Badawi turut mengingatkan agar BPR juga menjaga imej dalam sebarang langkah yang diambil, kerana kegarangan sahaja belum memadai seperti pepatah orang tua-tua kita ‘kuat gajah mati kerana gadingnya, kuat harimau mati kerana belangnya’. Entahlah!


Syhadan, diberitahulah kepada fakir mengenai kitab nenek moyang dahulukala, salah urus dana awam berlakulah ketika Bendahara Seri Maharaja di Melaka yang emasnya berketi-keti diberi sahaja kepada anak-anak buah. Hatta terlupalah anak-anak buah itu akan pemberian Bendahara Seri Maharaja, lalu ditinggalkan dimerata-rata bendul dan di celah-celah lantai sahaja. Alahai! Ketika itulah Raja Mendeliar berbalah dengan Seri Nina Sura Dewana, lalu diberinya hadiah akan Bendahara Seri Maharaja sebahara emas. Sebaik dilihat oleh Kitul akan peristiwa tersebut lalu diberitahu kepada Raja Mendeliar, akan menanglah Nina Sura Dewana apabila dibicara di depan Bendahara Seri Maharaja. Kalau BPR diwujudkan ketika itu, tentu pening juga kepala seperti keperihalan yang tak habis-habis pening ialah:











HIDUP BAHASA MELAYU!