Wednesday, December 10, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA
SUARA < < < > > > PRIMA
(mnentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG
PERMUAFAKATAN ANTARA BLOGER DICAPAI
DALAM PERJUMPAAN DI HOTEL CONCORDE
Assalamualaikum,

Resolusi pengendali laman web dan blog yang dicapai dalam permufakatan di Hotel Concord 21 Oktober 2008, di samping deklarasi yang diproklamir di Janda Baik, 26 Oktober 2008 tak dilestarikan sebagai keputusan pendesak. Justeru Sallehuddin Hashim yang biasanya bising, tiba-tiba sahaja menyepi tak bersuara. Bukan sahaja Sallehuddin malah Zakaria Bidin ,Yassinsalleh atau MSO juga sekadar menghantar SMS sama ada resolusi atau deklarasi itu sekadar menjadi bahan blog sahaja. Tetapi bagi saya yang pentingnya mesej sudah disampaikan, apalagi mesej yang jelas sejelas-jelasnya seperti pernah disebut oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pertemuan dengan PRIMA di Yayasan Kepimpinan Perdana 15 Ogos 2007. Mesej ini juga harus dilestarikan oleh pengundi-pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihanraya kecil 17 Januari 2009 nanti.
Mesej pada pilihanraya kecil itu sama ada pimpinan bakal Presiden UMNO Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak diterima atau tidak oleh ahli di peringkat akar umbi. Maknanya, 186 pencalonan yang diterima Dato’ Seri Mohd Najib menjelang perhimpunan Mac 2009 masih boleh dipertikaikan sekiranya UMNO tewas di Kuala Terengganu. Ujian getir sebenarnya bukan kepada calon UMNO, sebaliknya Dato’ Seri Mohd Najib yang sudah tak secara rasmi menjadi Presiden UMNO. Apalagi desas desus menyebut pencalonan yang diterima adalah atas sebab-sebab terpaksa, di samping mematuhi kouta yang ditetapkan. Kekalahan calon UMNO di Kuala Terengganu akan menterjemahkan penolakan akar umbi terhadap pimpinan Dato’ Seri Mohd Najib, yang memberi isyarat kepada beliau ehem ehem ehem!

Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga secara tak rasmi sudah merestui calon PAS bertanding di Kuala Terengganu. Mungkin sahaja pimpinan PAS di Terengganu seperti Dato’ Mustapha Ali atau Wan Mutalib Embong lebih diberi perioriti berbanding dengan Muhammad Sabu. Sekalipun di peringkat nasional Muhammad Sabu merupakan pimpinan Pusat, tetapi di Terengganu populariti Dato’ Mustapha dikira mempunyai advantage. Bagaimanapun ketika trend pengundi mahukan calon muda, PAS juga perlu memberi perhatian kepada tokoh di kalangan Pemuda. Lainlah DAP yang cenderung memilih calon dari kalangan tahanan ISA, kerana dianggap berani dan ‘tahan diuji’, PAS tentu mempunyai criteria sendiri. Kalau mahukan calon muda yang pernah ditahan ISA, mungkin sahaja PAS boleh mengimport Nik Adli bin Nik Aziz dari Kelantan menjadi calon di Kuala Terengganu.

Pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu tak memberi tekanan kepada PAS yang dikira underdog, sebaliknya calon UMNO perlu memenanginya untuk menyampaikan mesej kepada Dato’ Seri Mohd Najib. Setidak-tidaknya UMNO Terengganu boleh membuka ruang kepada Dato’ Seri Idris Jusoh untuk dibawa ke Parlimen. Setidak-tidaknya pengaruh Dato’ Seri Idris mampu mengubati kekelabutan, kekalutan dan keserabutan UMNO di Terengganu selepas PRU12. Bagaimanapun UMNO juga boleh mengambil risiko meletakkan calon muda yang serba bersih daripada sebarang skandal, kerana seperti kata Tun Dr Mahathir yang salah bukannya parti, tetapi orangnya! Calon yang belum terbabit dalam sebarang kontroversi, mungkin tak disenangi oleh pimpinan di peringkat Bahagian, sebaliknya boleh memberi banyak manfaat kepada kesinambungan perjuangan parti berkenaan. Barangkali!

-Pak Dharma

UCAPAN SELAMAT
HARIRAYA AIDIL-ADHA


HAYATI ERTI PENGORBANAN

Selamat merayakan Aidiladha. Sama-sama kita menghayati erti pengorbanan. Semoga kita akan dapat merasakan betapa agama, bangsa & tanah air kita kini memerlukan pengorbanan kita. Cik ke boom cik! Terima kasih – (Yassinsalleh, Kajang, Selangor).

SELAMAT SAMBUT AIDILADHA

Selamat sambut Aidiladha, maaf zahir dan batin. – (Fazal Khan, Kg Banda Dalam, Gombak).

SELAMAT HARI RAYA

Selamat Hari Raya Haji – (019-3311489)

SEMOGA ALLAH REDHA

Salam Aidiladha. Semoga Allah meredhai dan menerima pengorbanan kita. Dari Rozmal Malakan & Raja Siti Noor serta Kauthar, Fauzan, Fathin, Amirul, Firdaus – (Rozmal Malakan, Seremban, N.S.).

TERUS PERTAHAN MARUAH

Salam Aidiladha, semoga maruah agama, bangsa dan tanah air dapat terus kita pertahankan untuk tidak dijadikan korban. Salam perjuangan – Kamal Amir & famili. – (Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur).


SALAM FAMILI
Selamat Hari Raya. Datanglah ke rumah, bawa sama famili. Salam. – (Hajjah Fauziah Raof & Omar Manan, Selayang, Selangor).

INFO HAK ASASI MANUSIA

PENDUDUK WAJAR SAMAN PBT
SUDAH TERANTUK BARU TENGADAH!

Langkah penduduk Bukit Antarabangsa yang terbabit dalam insiden tanah runtuh meranap 14 buah banglo, berhasrat mahu menyaman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah dialu-alukan, menurut aktivis masyarakat Dr Seri Intan Mokhtar. Katanya, sekalipun insiden berkenaan merupakan bencana alam berikutan hujan berterusan, tetapi keghairahan pemaju-pemaju membina perumahan di lereng bukit mempunyai kaitan dengan ‘kelalaian manusia’. Menyentuh laporan media mengenai ura-ura penduduk akan menyaman PBT, Dr Seri Intan seterusnya memberitahu, selepas tragedi Highland Towers pada 1993 sepatutnya PBT tak menggalakkan lereng bukit dimajukan sebagai lokasi perumahan. Sebaliknya pihak pemaju, PBT dan pembeli rumah mengambil remeh dengan insiden yang berlaku sebelumnya. “Pihak penduduk perlu mempastikan hak mereka terjamin di segi undang-undang, sekalipun ghairah mahu memiliki rumah di lereng bukit,” ujar Dr Seri Intan.

Media melaporkan hari ini (10 Disember 2008), pihak PBT Ambang sudah diberitahu mengenai tanda-tanda awal akan berlakunya bencana tanah runtuh, tetapi langkah-langkah positif tak diambil. Malah kerenah birokrasi tak berlaku di PBT sahaja, sebaliknya kebanyakan jabatan-jabatan kerajaan lebih gemar bersikap tak memberi kepedulian dalam aduan-aduan orang ramai, menurut Dr Seri Intan lagi. Kerenah birokrasi juga menyebabkan keberangan orang ramai terhadap kerajaan dengan menunggu sehingga banyak pihak menjadi mangsa. Seterusnya beritahu Dr Seri Intan, sekiranya langkah-langkah meminta penduduk berpindah lebih awal, mungkin kemalangan jiwa dapat dielakkan. “Kerenah birokrasi memang menunggu sudah terantuk baru mahu tengadah,” kata Dr Seri Intan menambah.

INFO SASTERA & BUDAYA

MB NS PATUT BERASA MALU
UNDANG LUAK BAYAR PENULIS

Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Mohamad Hassan sepatutnya berasa malu dengan insiden YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Dato’ Haji Mohd Jan Abdul Ghani, Undang Luak Johol menyumbang RM5,000 dan YTM Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman RM1,000 kepada kerja-kerja pra produksi menulis buku autobiografi Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau, kata bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Mengulas kenyataan aktivis budaya Yassinsalleh baru-baru ini, Dato’ Kamal Amir berasa hairan bagaimana Negeri Sembilan yang mempunyai ramai penulis yang menerima anugerah kerajaan negeri tak diminta menulis buku autobiografi, tetapi mengharapkan penulis dari Kuala Lumpur. “Kerajaan negeri di bawah Muzium Negeri Sembilan sepatutnya membiayai kerja-kerja berkenaan bukannya YTM Undang Luak Johol dan YTM Undang Luak Rembau,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

Seterusnya Dato’ Kamal Amir menambah, projek penyelidikan dan penulisan berkenaan adalah diselenggara oleh Muzium Negeri Sembilan yang menerima suntikan kewangan kerajaan negeri, justeru tak seharusnya dibebankan kepada kedua-dua Undang Luak yang terbabit. Malah peruntukan yang diberikan oleh Muzium Negeri Sembilan sejumlah RM2,400 bagi dua projek berkenaan tak setimpal dengan kerja-kerja penulisan yang memakan masa hampir setahun sejak Oktober 2007 tahun lalu, kata Dato’ Kamal Amir. Dato’ Mohamad Hassan bukan sahaja patut berasa malu, malah wajar mengakui beliau ‘buta sastera’ hingga tak mampu mengenal pasti penulis-penulis dari Negeri Sembilan yang seharusnya diberi tanggungjawab membuat penyelidikan dan penulisan berkaitan sejarah di Negeri Sembilan. “Penulis dari Kuala Lumpur bukan sahaja tak berstatus penerima anugerah, malah kos perjalanan tinggi untuk berulang alik dua minggu sekali,” kata Dato’ Kamal Amir selanjutnya.

INFO SUARA PROLITAR

BIASISWA KERAJAAN NEGERI SELANGOR
KALAU TAK IKHLAS JANGAN DIBERIKAN

Kerajaan negeri Selangor di bawa bekas Menteri Besar Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo menganugerahkan biasiswa kepada pelajar-pelajar sekolah menengah RM50 sebulan kepada mereka yang mencapai keputusan cemerlang. Anehnya, buku akaun pelajar dipegang oleh pihak sekolah. Khabarnya biasiswa berkenaan masih diteruskan di bawah kerajaan negeri yang baru. Apalah maknanya biasiswa itu kalau pelajar sendiri tak pernah tahu jumlah yang terkumpul dalam akaun berkenaan. Kononnya, kalau buku akaun dipegang oleh pelajar, biasiswa itu akan disalah gunakan. Begitulah prasangka kerajaan negeri terhadap bangsa Melayu yang dianggap boros dan tak tahu menguruskan wang biasiswa berkenaan. Kalau kerajaan prejudis dengan orang Melayu, eloklah jangan harapkan undi orang Melayu pada pilihanraya. Disebabkan prejudis kerajaan terhdap sikap orang Melayu, justeru ada ibu bapa yang tak pernah bertanyakan tentang biasiswa kerajaan negeri Selangor itu.

Malah di antara ibu bapa terbabit ada juga tak pernah ambil tahu mengenai biasiswa yang diberikan kepada anak-anak. Sejak awal tahun 2007 hingga sekarang mereka tak pernah tengok pun buku akaun berkenaan. Pihak sekolah pula turut mendiamkan diri. Tak tahulah kerajaan negeri Selangor sekarang menyedari atau tidak apa yang berlaku di sekolah-sekolah negeri Selangor. Kalau berasa ragu-ragu untuk memberi biasiswa, lebih baik jangan diberikan. Apalagi dalam Islam juga sering diingatkan, kalau tak ikhlas memberikan sesuatu, eloklah jangan diberi supaya tak berdosa. Disebabkan beberapa orang ibu bapa merungut, maka seorang Pengerusi PIBG memberitahu, pelajar-pelajar boleh memohon pada bulan April dan Jun. Kalau dah kenan memohon, maknanya bukanlah biasiswa, tapi meminta sedekah. Kerajaan Selangor dan pihak sekolah kenalah berfikir menggunakan kepala, bukannya kepala lutut…! (Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

KALAU BERUMAH DI LERENG BUKIT
HENDAKLAH SANGGUP DITIMBUS TANAH
Syahdan gemparlah orang banyak akan kejadian tanah runtuh menyebabkan rumah-rumah di lereng bukit di Ampang menjadi mangsa tertimbus. Adapun Orangkaya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Seri Ong Ka Chuan berdiam dirilah ia apabila sekalian orang banyak bertambah gempar. Arakian terlalu marah Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana orang banyak suka sangat berumah di lereng bukit. Pada masa dahulu Orangkaya Dato’ Abdullah marahkan bekas Orangkaya Menteri Besar Selangor Dato’ Seri (Tabib) Mohd Khir Toyo kerana banyak sangat bukit di Selangor ditarah. Tetapi kemarahan Orangkaya Dato’ Seri Abdullah macam ‘angat-angat taik ayam’, apabila rumah di lereng bukit juga menjadi kesukaan anak-anak buah. Sebermula akan fakir diberitahu oleh orang tua-tua, kalau berumah di tepi pantai, hendaklah sanggup dilambung ombak. Maka berkatalah kawan-kawan fakir, kalau berumah di lereng bukit, hendaklah sanggup ditimbus tanah. Barangkali!

Arakian, maka tiada berapa lamanya, dengan takdir Allah Taala mahligai itu pun terbakar, tiba-tiba di atas kemuncak mahligai itu api. Adapun mahligai itu tak didirikan di lereng bukit, tetapi dengan keringat dan airmata rakyat jelata juga, adanya. Maka Sultan Mansor Shah dan Raja Perempuan dan segala dayang-dayang habis turun dari istana itu ke istana lain; suatu pun tiada harta raja lepas; sekaliannya tinggal di dalam istana itu. Maka orang banyak pun dating hendak berlepas harta itu; terlalu sukar kerana timah atap istana itu hancur, turun seperti hujan lebat. Syahdan, sorang pun tiada berani masuk. Maka tatakala itulah anak tuan-tuan yang bergelar berebut-rebut masuk. Seorang Tun Isap namanya digelar Tun Isap Berakah, sekali ia masuk dibawanya harta raja, selepas itu tak berani lagi ia. Memang segala mereka yang bergelar terpaksalah berbakti kepada raja seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:



HIDUP BAHASA MELAYU!